Tuesday, July 3, 2012

Sebiji Bola, Dua Buah Negara, dan Kesesakan yang Mereda

SEMALAM hari Isnin yang tidak sama dengan hari-hari Isnin bekerja sebelumnya. Selalunya, hari-hari Isnin bekerja sebelumnya (tidak termasuk hari Isnin yang dalam tempoh cuti persekolahan), keadaan di jalan raya sangatlah sesak dengan kenderaan. Kalau saya keluar dari rumah pada jam 6:45 pagi, misalnya, kesesakan itu telah saya nikmati bermula dari Sungai Ramal lagi. Kemudian, kesesakan itu akan sekali lagi saya nikmati sebelum atau selepas Plaza Tol Sungai Besi (menghala ke KL). Kemudian, saya sekali lagi akan mengecap nikmat kesesakan itu betul-betul selepas Plaza Tol Salak Selatan (Lebuh Raya Maju/MEX). Untuk ke PJ, kesesakan yang bermula di hadapan RTM hingga ke Pintu Gerbang Darul Ehsan memang wajib dinikmati saban hari.

Tetapi, seperti yang saya katakan tadi, semalam tidak sama dengan hari-hari Isnin bekerja sebelumnya kerana jalan pada hari Isnin semalam agak lengang. Laluan di Sungai Ramal menghala ke Putrajaya agak lengang walaupun saya keluar dari rumah pada jam 6:55 pagi (biasanya, pada hari Isnin saya akan keluar sekitar jam 6:35 pagi). Kesesakan kecil selepas Plaza Tol Sungai Besi masih boleh saya terima. Kesesakan di MEX juga masih tidak menekan perasaan. Cuma laluan untuk ke Jalan Imbi dan seterusnya ke Jalan Sultan Ismail sedikit sesak. Itu pun masih membahagiakan hati dan perasaan saya. Laluan di hadapan RTM pun kurang sesak dan saya dengan hati yang lapang dan “gumbira” memandu kenderaan saya di lorong yang paling-paling kanan.

Di pejabat, rakan-rakan memerihalkan perkara yang sama – “Jalan lengang kan hari ini!” kata seorang kawan saya. “Pelik saya,” kata seorang kawan yang lain. Saya mengeyakannya. Seorang kawan yang lain menjawab, “Penangan final EURO 2012!” Wah, baru saya perasan akan hal ini (walaupun saya sempat menonton perlawanan itu sekitar minit ke-50 hingga minit 60, sebelum kemudiannya kembali terlelap)! Ya, tentu keadaan yang kurang sesak pada hari itu ada kaitannya dengan EURO 2012 itu. Saya benar-benar ingin bersetuju dengannya sebelum tiba-tiba hati dan perasaan saya dibaluti sedikit rasa musykil – tak kanlah begitu banyak orang yang bercuti hingga dapat mengurangkan kesesakan di jalan raya semata-mata kerana sebiji bola dan dua buah negara, kata hati saya.

Tetapi, apabila mengingat perihal ustaz (saudara saya) yang ikut juga berjaga malam bersempena dengan EURO 2012 ini; dan apabila mengingat cerita beliau tentang Pengetua di sekolahnya yang ikut juga berjaga malam kerana sebiji bola itu (walaupun selepas pasukan kesayangannya, England, tumpas); dan apabila mengingat cerita tentang kebijaksanaan seorang ayah yang apabila selesai menonton EURO 2012 bersama-sama dengan anak-anaknya akan segera membawa anak-anaknya ke masjid bagi mengelakkan mereka tertidur hingga terluput solat Subuh, kemusykilan yang berkembang dalam fikiran saya segera berangkat dari dalam hati saya. Telahan rakan saya itu tidak mungkin silap, kata hati saya. Kegilaan terhadap bola sepak memungkinkan segala-galanya.

Wah, sebiji bola begitu kuat kuasa magnetnya, malah kelihatan lebih kuat daripada kuasa magnet itu sendiri! Magnet hanya melekat apabila kutub utara dan kutub selatan bertembung. Sebaliknya, sebiji bola, tanpa mengira kutub, malah tanpa memerlukan kutub pun, dapat melekatkan orang di hadapan TV selama hampir dua jam. Sebiji bola yang tak berkutub itu dapat membuatkan peminatnya berjaga separuh malam dan kemudiannya mengambil cuti tahunan dan mungkin juga mengambil cuti sakit! Doktor pun faham.

Minat saya terhadap bola sepak belum berlalu secara total, tetapi kekuatan saya untuk menjegilkan atau menyengkang mata sejak dinihari hingga awal subuh sudah lesu dan layu. Saya masih boleh bertahan jika permainan bermula sekitar jam 10:00 malam dan usai sekitar jam 12:00 dinihari. Tetapi kalau bermula jam 2:45 pagi (malah kalau bermula jam 12:00 dinihari pun), saya tidak mungkin berupaya untuk menonton perlawanan bola sepak yang hanya mendatangkan sedikit keseronokan kepada saya tetapi kemudiannya mendera mata dan badan saya. Lagipun, pada fikiran saya, apalah gunanya saya mendera diri saya untuk keseronokan yang sedikit itu sedangkan si pemain mengutip keseronokan yang berlipat ganda kerana gaji mereka jutaan ringgit seminggu!

Tentang EURO 2012 itu, Sepanyol ialah pasukan bola sepak yang berada pada ranking nombor satu dunia. Pasukan itu awal-awal lagi telah diletakkan sebagai favourite untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya pada tahun 2008 (pasukan itu, dua tahun kemudian, memenangi Piala Dunia 2010 pula). Pasukan itu mempunyai bintang daripada kelab-kelab ternama di dunia yang bukan setakat “berkuasa” dalam liga di negara mereka sahaja, tetapi juga berkuasa di tahap paling tinggi – Liga Juara-juara Eropah! Malah, selepas tamat EURO 2012 ini, daripada 23 pemain yang dinamakan untuk menganggotai skuad pilihan Eropah 2012 oleh pihak UEFA, 10 orang daripada mereka ialah pemain Sepanyol – Casillas, Piqué, Ramos, Jordi Alba, Xavi, Iniesta, Busquets, Xabi Alonso, Fábregas, dan David Silva.

Yang sepuluh orang ini jugalah, bersama-sama dengan sebiji bola, yang telah membantu mengurangkan kesesakan jalan raya semalam di laluan saya. Terima kasih.


CATATAN
1   Apa-apa pun yang kita lakukan, asal tidak keterlaluan, bukanlah perbuatan yang bodoh. Perbuatan yang bodoh ialah mempercayai sotong, beruang, dan gajah dalam menentukan sang juara. Kalau mereka dipercayai, tidak perlulah mana-mana pasukan bersaing, sebaliknya eloklah pihak UEFA terus menobatkan pasukan pilihan si sotong, si beruang, dan si gajah sebagai juara. Berhentilah menjadi bodoh!
2   Sepanyol menjadi juara selepas mengalahkan Itali dengan jaringan 4-0. Gol-gol Sepanyol dijaringkan oleh David Silva, Jordi Alba, Fernando Torres, dan Juan Mata. Dua gol terakhir pasukan Sepanyol dijaringkan selepas Itali bermain dengan sepuluh orang pemain.
3   Kerana menjaringkan tiga gol, Fernando Torres beroleh “Kasut Emas” walaupun ada pemain lain yang menjaringkan tiga gol – Mario Gomez (Jerman), Alan Dzagoev (Rusia), Mario Mandzukic (Croatia), Mario Balotelli (Itali), dan Christiano Ronaldo (Portugal). Torres dipilih kerana turut mencipta peluang kepada pemain sepasukannya yang lain untuk menjaringkan gol. Gol yang dijaringkan oleh Juan Mata dalam perlawanan akhir itu merupakan umpanan Torres.
4   Andres Iniesta dipilih sebagai “Pemain Terbaik Kejohanan”. Pada kejohanan Piala Dunia 2010, beliau juga menjadi Pemain Terbaik Piala Dunia. Pada kehohanan EURO 2008, pemain Sepanyol juga yang menjadi Pemain Terbaik Kejohanan. Pemain itu ialah Xavi Hernandes.
5   Sepanyol menjadi pasukan yang pertama dalam sejarah kejohanan EURO yang dapat mempertahankan kejuaraan EURO (menjadi juara secara berturut-turut), iaitu pada tahun 2008 dan sekarang 2012.

No comments:

Post a Comment