Thursday, November 29, 2012

Piala AFF Suzuki 2012 Kumpulan B: Sekarang Semua Pasukan Perlu Menang

Selepas melalui dua perlawanan dalam kejohanan Piala AFF Suzuki 2012 yang sedang berlangsung dalam musim hujan sekarang, pasukan bola sepak Harimau Malaya kini berada dalam situasi langsung tidak boleh kalah. Selepas kalah 0-3 di kaki pasukan Singapura, alhamdulillah, pasukan Harimau Malaya bangkit untuk membasuh najis yang terpalit di muka dengan mengalahkan pasukan Laos dengan keputusan 4-1.

Situasi tidak boleh kalah itu berlaku kerana bola itu, seperti yang dikatakan orang, bulat bentuknya. Dalam perlawanan pertama, pasukan kita kalah 3-0. Laos dan Indonesia pula seri 2-2. Dalam perlawanan kedua, Indonesia mengalahkan Singapura 1-0. Malaysia pula, seperti yang dikatakan awal tadi, mengalahkan Laos 4-1. Situasi aneh ini memang biasa berlaku dalam perlawanan bola sepak, sama ada disengajakan ataupun sebaliknya.

Yang mengalahkan pasukan Harimau Malaya, iaitu pasukan Singapura, kalah di kaki Indonesia walhal pasukan Singapura telah mengalahkan Harimau Malaya dengan jaringan 3-0. Harimau Malaya kemudiannya mengalahkan pasukan Laos walhal pasukan itu seri dengan Indonesia. Hal ini bermaksud bahawa kekuatan yang digambarkan di atas kertas langsung tidak boleh dipakai dan elok jangan dipakai.

Perancangan dan strategi perlu betul. Hal ini telah dibuktikan malam tadi oleh jurulatih pasukan Harimau Malaya yang telah menurunkan Farizal Marlias, Mahalli Jasuli, Shakir Shaari, dan Wan Zack Haikal bagi menggantikan Khairul Fahmi Che Mat, Bunyamin Umar, Amar Rohidan, dan Khyril. Sebagai hasilnya, kita banyak menyerang dan mencipta peluang untuk menjaringkan gol walaupun banyak juga yang dibazirkan.

Situasi tidak boleh kalah yang saya katakan awal tadi berlaku kerana dalam Kumpulan B, semua pasukan berpeluang untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir. Indonesia agak selamat kerana mereka hanya memerlukan keputusan seri. Dengan 5 mata, mereka akan layak ke peringkat separuh akhir. Sebaliknya, jika seri dengan pasukan Indonesia, pasukan Harimau Malaya hanya beroleh 4 mata dengan perbezaan golnya 0.

Di pihak pasukan Singapura dan Laos, jika kedua-duanya seri juga, Singapura akan beroleh 4 mata sekali gus melayakkan diri ke peringkat separuh akhir berdasarkan kelebihan jaringan gol dan kebetulan mereka telah mengalahkan pasukan Harimau Malaya sebelum itu. Jika Singapura kalah, Laos akan beroleh 4 mata juga, tetapi daripada segi kelebihan jaringan gol, pasukan Harimau Malayalah yang layak ke peringkat separuh akhir.

Jika pasukan Harimau Malaya menang dalam perlawanan menentang pasukan Indonesia pada hari Sabtu kelak, pasukan itu akan layak terus ke peringkat separuh akhir. Di pihak pasukan Indonesia pula, jika mereka kalah, mereka bergantung harap pada keputusan perlawanan yang membabitkan Laos-Singapura. Jika Laos menang, Indonesia layak ke peringkat separuh akhir. Jika Singapura menang, Indonesia terpaksa pulang awal,

Kontroversi mungkin berlaku jika Laos dapat mengalahkan Singapura 1-0 atau 2-0 (bagi membolehkan mereka beroleh 4 mata) manakala Indonesia pula seri dengan Harimau Malaya. Indonesia akan layak kerana beroleh 5 mata. Malaysia (yang beroleh 4 mata juga) akan layak berdasarkan kelebihan jaringan gol. Laos mungkin akan menuduh Indonesia dan Harimau Malaya menetapkan keputusan perlawanan supaya kedua-duanya layak ke peringkat separuh akhir.

Wallahualam. Sebagai kesimpulannya, seperti yang saya tegaskan awal tadi, semua pasukan perlu menang, tetapi mustahil keempat-empat pasukan yang bersaing sesama sendiri itu akan beroleh kemenangan tanpa ada yang kalah atau seri. Kalau Harimau Malaya menang, Indonesialah yang kalah dan begitulah sebaliknya. Kalau Laos menang, Singapuralah yang kalah dan begitulah juga sebaliknya. Jika semuanya seri, tidak ada sesiapa yang kalah dan menang!

Yang berikut ini ialah kedudukan terkini setiap pasukan

Kumpulan A

Pasukan
P
M
S
K
J
B
Mt
2
2
0
0
6
1
6
Filipina
2
1
0
1
2
2
3
2
0
1
1
1
2
1
2
0
1
1
1
5
1


Kumpulan B

Pasukan
P
M
S
K
J
B
Mt
2
1
1
0
3
2
4
2
1
0
1
3
1
3
2
1
0
1
4
4
3
2
0
1
1
3
6
1


Tuesday, November 27, 2012

Piala AFF Suzuki dan Bola Sepak Malaysia: Mesti Ada Perubahan

Semalam, bermacam-macam komen, sindiran, kutukan, dan penghinaan dilemparkan oleh para pengikut sukan bola sepak tanah air berikutan kekalahan pasukan “Harimau Malaya” di kaki pasukan Singapura pada hari Ahad lalu. Yang kononnya arif dalam bola sepak memberikan komen bahawa bahagian tengah pasukan “Harimau Malaya” tidak berfungsi langsung yang hingga demikian Safee Sali terpaksa merayau-rayau mencari bola untuk dijaringkan. Yang paling banyak menjadi sasaran kutukan dalam pasukan itu ialah jurulatihnya, Datuk K. Rajagopal.

Sebagai imbasan, pada edisi dua tahun lalu (2010), “Harimau Malaya” beroleh kekalahan juga pada perlawanan pertama mereka. Kekalahan itu dapat dikatakan bahawa lebih mengaibkan kita daripada yang dialami oleh mereka pada Ahad lalu. Pada tahun itu, kita kalah 1-5 di kaki pasukan Indonesia di Stadium Utama Gelora Bung Karno. Namun demikian, kepada sebilangan peminat, kekalahan pada perlawanan pertama di kaki Indonesia itu masih dapat dimaafkan kerana kita bermain di gelanggang lawan. Pada tahun ini, kita kalah di gelanggang sendiri!

Kita pasukan penyandang juara Piala AFF-Suzuki itu. Apakah yang kita lakukan untuk mempertahankan kejuaraan yang jarang-jarang kita peroleh itu (kita baru sekali memenanginya)? Pada peringkat tempatan, perlawanan terakhir dalam liga tempatan (maksudnya final Piala Malaysia) adalah pada 24 Oktober 2012. Latihan pusat untuk menghadapi kejohanan itu pula bermula pada 17 September 2012. Pada waktu itu, ada juga pengikut sukan bola sepak tanah air yang berasa pelik kerana kejohanan Piala Malaysia masih lagi berlangsung!

Siapakah pemain-pemain yang tersenarai dalam latihan pusat itu? Untuk maklumat para pembaca sekalian, yang tersenarai dalam latihan pusat itu ialah 3 orang pemain Kedah, 3 orang pemain NS, 2 orang pemain Terengganu, seorang pemain Pahang, 5 orang pemain ATM, 6 orang pemain Harimau Muda A, 2 orang pemian Felda United, dan 1 orang pemain Pelita Jaya. Tidak ada pemain Kelantan, tidak ada pemain Selangor. Dalam senarai Piala AFF Suzuki 2012 ini, 7 orang daripada senarai 17 September itu digugurkan. Tidak mengapa, jurulatih lebih arif daripada kita, saya berkata.

Kawan saya yang senantiasa mengikuti perkembangan bola sepak tanah air tidak bersetuju dengan saya. Jurulatih tidak boleh memilih pemain berdasarkan sejarah, tetapi mesti berdasarkan prestasi semasa para pemain. Beliau menamakan pemain seperti Aidil Safuan dan Safik Rahim tidak harus ada dalam skuad. Sebaliknya, harus ada pemain seperti Nurul Azwan Roya, Badhri Radzi, Muslim Ahmad, Shahrul Azwari dan beberapa orang pemain lain yang tidak saya ingat namanya kerana prestasi semasa mereka lebih baik. Betapapun orang memberikan komen, kata pemutus ada pada jurulatih dan mungkin pengurus.

Hasilnya telah kita saksikan pada perlawanan pertama dan sebenarnya hasil itu dapat juga kita lihat pada empat perlawanan persahabatan sebelumnya. Selepas kalah pada Ahad lalu, esok (28 November 2012), kita akan berdepan dengan pasukan Laos yang seri dengan Indonesia 2-2 pada Ahad lalu. Pada kejohanan tahun 2010 lalu, kita telah mengalahkan Laos dengan keputusan 5-1. Jika kita sekadar seri, akan berlaku situasi bergantung nasib pada perlawanan yang membabitkan pasukan lain kerana selepas itu, “seteru besar” kita — Indonesia — menunggu kita pula.

Permainan bola sepak memang sering menghasilkan keputusan yang pelik-pelik. “Bola itu bulat,” kata orang. Pasukan yang bermain dengan baik dan mempunyai bintang yang banyak pun biasa kalah di kaki pasukan yang tidak ternama. Barcelona, misalnya, tunduk di kaki Celtic baru-baru ini. Dan, kata beberapa orang sahabat, “kita tidak perlu malu kalah di kaki Singapura kerana mereka mempunyai pemain naturalisasi daripada beberapa buah negara”. Ah, jangan menjadikan hal itu sebagai alasan untuk mewajarkan kekalahan!

Mengapakah sukan bola sepak negara kita, sama seperti sukan olahraga, terus merudum pada waktu sukan boling dan skuasy semakin menanjak dan sukan hoki dan badminton masih dapat mengekalkan kedudukannya hingga negara kita menjadi antara negara yang digeruni dalam sukan-sukan tersebut? Mesti ada perubahan.

Friday, November 23, 2012

AES — Janji Ditepati

Kita tidak dapat menafikan bahawa apa-apa pun dasar, moto, slogan, dll yang diperkenalkan oleh pihak mana-mana pun dalam negara ini akan menjadi sendaan dan gurauan sebilangan orang. Adakalanya dasar itu memang sekadar menjadi bahan lawak atau lelucon dan hingga demikian tidaklah sampai dipertikaikan orang. “Dasar Pandang ke Timur” yang diperkenalkan pada tahun 1980-an oleh PM pada ketika itu dipersendakan oleh kawan saya yang kini entah di mana. “Sebenarnya tujuan dia mengajak kita memandang ke Timur adalah supaya kita tidak perasan akan perbuatannya hendak menompokkan harta di Barat,” kata sahabat yang sudah terputus hubungan dengan saya sejak penghujung 1980-an itu. Saya tertawa oleh leluconnya itu. Slogan “Kepimpinan Melalui Teladan” yang diperkenalkan oleh PM yang sama pada 1980-an itu pun menjadi bahan sendaan orang juga. “Tak akan jadi apa-apa kerana kepimpinan itu cuma lalu sahaja, tak singgah pun. Oleh sebab itulah hampir tidak ada pemimpin yang dapat kita angkat menjadi suri teladan,” kata sahabat yang menjadi sahabat kepada sahabat saya pula.

Tetapi, sepanjang ingatan saya, yang paling banyak menjadi sendaan malah sering menjadi pertikaian orang ialah dasar “1Malaysia” yang berslogankan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” itu. Pada peringkat awal pengenalannya, “1Malaysia” itu tidak difahami orang. “Apakah yang 1Malaysianya?” Demikian orang bertanya. Slogan yang mengikutinya pula — “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” — lebih kerap dipersendakan dan dipertikaikan orang kerana banyak benar dasar, pembaharuan, tindakan, dll yang diperkenalkan oleh pihak yang memperkenalkan dasar dan slogan itu yang berlawanan dengan roh slogan yang murni itu. Yang terbaharu, perkara yang bertentangan dengan slogan itu hingga menjadi bahan pertikaian dan untuk mewajarkannya dibawa pula masuk ke Parlimen ialah pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) itu. Sistem itu bukan ditentang oleh rakyat yang berada di belakang pembangkang sahaja, tetapi turut dibantah oleh rakyat yang berada di belakang kerajaan sendiri. Walaupun rakyat menentang, kerajaan bertegas untuk melaksanakannya! Jadi, yang didahulukan siapa?

Satu lagi slogan kerajaan sekarang yang menjadi bahan persendaan orang ialah slogan “Janji Ditepati” yang menyusul tidak lama selepas kemunculan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” itu. Saya berpendirian bahawa slogan ini sangat ketara retoriknya kerana dengan menjadikan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” sebagai suatu janji (memang slogan itu merupakan suatu janji pun), kita dapat membuat penilaian tentang sejauh mana slogan “Janji Ditepati” itu dipatuhi dan ditunaikan. Kita tidak perlu berpatah semula untuk menilai hal ini kerana yang ada di depan mata sudah dapat membantu kita untuk membuat penilaian itu — AES. Dalam hal ini, kerajaan berjanji bahawa “Rakyat Didahulukan”. Ironinya, dalam hal AES ini, “Rakyat Dikesampingkan” secara terang-terangan. Pada pandangan saya, hal ini berlaku demikian kerana kerajaan sebenarnya telah membuat janji yang lain — membantu kroni. Dalam konteks AES, kroni yang dimaksudkan itu tidak lain tidak bukan si pemegang konsesi — ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd, bukan Rakyat Malaysia Bhd. Dalam perkataan yang lebih mudah, slogan “Janji Ditepati” itu hanya “valid” untuk kroni, bukan rakyat marhaen.

Untuk pengetahuan pihak kerajaan, perkara yang sangat dikehendaki oleh rakyat yang hingga demikian perlu “Didahulukan” tidak kira dengan cara apa-apa sekalipun ialah KEADILAN selain KEJUJURAN bukannya BR1M yang hanya diperoleh oleh segelintir rakyat apatah lagi AES yang membolehkan orang membuat keuntungan daripada kesalahan yang dilakukan oleh rakyat. Ketahuilah bahawa kewujudan AES tidak sekali-kali menggambarkan bahawa rakyat semakin berdisiplin, sebaliknya yang terlihat daripada kewujudan AES ialah rakyat yang sayang akan wangnya. Kalau berlaku situasi orang yang melanggar kesalahan di bawah pengawalan AES itu semakin berkurang dari tahun ke tahun atau lebih drastik lagi, semua rakyat menjadi sangat kedekut yang hingga demikian ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd tidak dapat memungut apa-apa dalam tempoh tiga empat tahun kemudian, siapakah yang akan membiayai kos pemasangan sistem itu kelak?

Wednesday, November 21, 2012

Baiklah Menjadi Kancil yang Berakal daripada Menjadi Harimau yang Lembik

Tan Sri Annuar Musa (Timbalan Presiden FAM) pada Mac 2012 lalu mengkritik prestasi skuad Harimau Malaya (bola sepak) yang tidak menentu. Beliau berkata bahawa skuad Harimau Malaya masih tidak mempamerkan peningkatan sejak kalah di “kaki” skuad Singapura dalam aksi Pusingan Awal Kelayakan Piala Dunia 2014 bagi Zon Asia. Oleh sebab itu, Tan Sri Annuar yang juga Timbalan Presiden FAM meragui kemampuan skuad negara kita ini untuk mempertahankan Piala AFF Suzuki pada tahun ini.

Sekali lagi saya ulang, kritik itu diluahkan oleh Tan Sri Annuar pada Mac 2012 lalu. Sekarang sudah bulan November 2012, iaitu bulan bermulanya kempen Piala AFF Suzuki itu. Kepada yang tidak mengikuti perkembangan bola sepak, ketahuilah bahawa skuad Harimau Malaya akan memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Piala AFF Suzuki itu pada Ahad ini dan seteru yang menanti skuad ini tidak lain tidak bukan skuad yang mengalahkan kita pada Pusingan Awal Kelayakan Piala Dunia 2014 bagi Zon Asia lalu — Singapura.

Sebagai persediaan untuk menghadapi kejohanan dua tahun sekali itu, pasukan negara telah melakukan beberapa siri perlawanan persahabatan. Keputusan yang diperoleh oleh pasukan negara yang diberi nama Harimau Malaya itu langsung tidak membanggakan — kalah di “kaki” Vietnam dan Thailand serta seri di “kaki” Hong Kong dan Bangladesh. Oleh sebab itu, kritik dan teguran Tan Sri Annuar Musa tentang prestasi negara itu (yang diluahkannya lapan bulan yang lalu), pada pandangan saya, sangat berasas.

Pada pandangan saya, teguran dan kritik itu disasarkan oleh Tan Sri Annuar Musa terhadap jurulatih skuad Harimau Malaya — Datuk K. Rajagobal — yang beriltizam untuk menanjakkan nama Malaysia sebagai “kuasa baharu” bola sepak Asia menjelang tahun 2015. Hal ini saya katakan demikian kerana Tan Sri Annuar Musa secara terus terang dan ikhlas telah mempertikaikan tindakan jurulatih itu yang sering dan asyik bereksperimen dalam usaha hendak membentuk skuad bola sepak terkuat negara.

Walau bagaimanapun, teguran dan kritik terbuka yang ikhlas dan benar itu, sangat mahal harganya kerana pada April 2012, Timbalan Presiden itu digantung 30 bulan oleh FAM. (Penggantungan itu kemudiannya mencetuskan bermacam-macam hal — Tan Sri Annuar diminta supaya menanggung kos mesyuarat jawatankuasa tatatertib, Tengku Abdullah ditegah untuk menjadi perantara dalam krisis penggantungan itu, serta Tan Sri Annuar menyaman FAM atas hukuman yang dikenakan terhadap dirinya.)

Seperti yang dinyatakan tadi, skuad Harimau Malaya kalah di “kaki” Vietnam dan Thailand dalam siri perlawanan persahabatan yang diadakan baru-baru ini. Selepas kekalahan itu, Tengku Abdullah membuat teguran yang hampir sama dengan yang diluahkan oleh Tan Sri Annuar dahulu — Rajagobal, berhentilah mencuba-cuba pemain (bereksperimenlah tu), sebaliknya hendaklah mencuba untuk mengenal pasti kesebelasan utama. Kerana barangkali titah baginda itu bukan kenyataan, baginda tidak senasib dengan Tan Sri Annuar.

Selepas tunduk di “kaki” Vietnam dan Thailand, skuad Harimau Malaya hanya seri dengan Hong Kong (ranking FIFA 172) dan Bangladesh (ranking FIFA 171). Komen spontan yang keluar dari mulut kebanyakan orang tentang dua keputusan terakhir itu ialah “malu”. Tanpa hendak mempertikaikan kesungguhan mana-mana pemain, saya ikut berasa malu daripada keputusan itu. Walau bagaimanapun, saya tetap positif — bahawa Sang Harimau sedang menyembunyikan kukunya untuk digunakan pada masa yang betul, yang ada ganjarannya.

Berbalik kepada kritik dan teguran Tan Sri Annuar itu, kita dapati beliau awal-awal lagi sudah menyedari “kemeruduman” prestasi skuad Harimau Malaya. Malangnya, oleh sebab FAM “tidak boleh menerima” kritik dan teguran dengan cara yang demikian, maka loceng kesedaran itu terus dimatikan dan jurulatih pun terus melakukan caranya — bereksperimen. Sebagai hasilnya, kedudukan ranking FIFA kita jatuh dengan laju — daripada berkedudukan 148 pada Januari 2012 kepada kedudukan 163 pada November 2012!

Sebagai insan yang patriotik, kita patut menyokong pasukan negara kita. Sebagai insan yang patriotik juga, kita wajar bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh Tan Sri Annuar Musa dan Tengku Abdullah — menegur yang kurang betul supaya yang kurang betul itu dapat dibaiki hingga menjadi betul. Patriotisme boleh dizahirkan orang melalui pelbagai cara; oleh itu, hukuman yang dijatuhkan kepada para patriot yang memperlihatkan sikap patriotik merupakan suatu bentuk penganiayaan, suatu bentuk kezaliman!

Ada yang berkata, kita cuma seri, bukannya kalah. Yang lain pula berkata, seri lebih baik daripada kalah. Saya tidak bersetuju dengan kenyataan itu. Sebagai harimau, kita tidak wajar berkata demikian. Hal ini saya katakan begitu kerana kita seri dengan pasukan yang tergolong sebagai lemah, dan keputusan seri yang kalian “bangga”kan itu berlaku di koloni kita. Huh, harimau tidak mampu untuk menewaskan “mangsa”nya yang lemah di koloni sendiri! Lebih baik menjadi kancil yang berakal daripada menjadi harimau yang lesu!

Berusahalah Harimau Malaya! Kalian harus menjadi garang sekalipun terhadap jurulatih kalian! Kalian harus membuatkan semua orang menelan tohmahan mereka semula. Yang lebih penting, kalian harus memadamkan arang yang terpalit di muka kalian ... dan kami. Doa kami senantiasa bersama dengan kalian. SELAMAT MAJU JAYA, HARIMAU MALAYA!

Tuesday, November 13, 2012

Telunjuk Mencucuk Mata

Kerap benar bendera Malaysia yang kita namai sebagai “Jalur Gemilang” itu dibakar oleh orang Indonesia. Mereka membakarnya atas pelbagai sebab, misalnya apabila mendengar khabar kita mendera pembantu rumah mereka, atau “menciplak” sesuatu yang bersifat serantau sebagai kononnya hak mereka, dan lain-lain sebagainya. Yang terbaharu, si Jalur Gemilang kita itu dibakar lagi apabila khabarnya tiga orang anggota PDRM merogol seorang pembantu kedai wanita warganegara Indonesia di Pulau Pinang.

Sebenarnya, rakyat kita banyak juga yang dianiayai oleh orang Indonesia ini – dipecah kediamannya lalu dirampok barangan bernilainya; pembantu rumah Indonesia yang digajikan melarikan barang kemas majikannya atau anak majikannya; dan ini belum lagi termasuk menyamun di jalanan; melarikan anak gadis orang ke Lambok; dan sebagainya. Alhamdulillah, kita orang Malaysia tidaklah sampai hendak membakar bendera mereka atau menyuruh Duta Besar mereka berhambus atas perbuatan orang Indonesia itu.

Mereka juga (rakyat Indonesia) ada yang berkelakuan jahat di negara Timur Tengah. Mereka itu ada yang membunuh rakyat di negara terbabit, tetapi tidak pula didengar rakyat di negara terbabit sampai membakar bendera Indonesia yang dua warna itu. (Berita yang saya ikuti tahun lalu mengatakan bahawa jumlah tenaga kerja Indonesia yang dijatuhi hukuman pancung di Arab Saudi, kalau tidak salah saya, sudah mencapai angka 28 orang. Fakta ini bukan hendak mengatakan orang Indonesia jahat, tetapi hendak mengatakan bahawa kejahatan itu akan dilakukan oleh siapa-siapa pun juga, tidak terkecuali orang Indonesia dan orang Malaysia.)

Kita orang Malaysia memang tidak pernah bersetuju dengan perangai rakyat kita yang menganiayai orang lain, apatah lagi yang berperangai jahat itu pihak penguasa atau penguat kuasa. Kalau kebetulan si pelakunya ialah anggota polis, dan mereka itu berjaya dibuktikan sebagai pesalah, kita mahu mereka itu dihukum dengan hukuman yang setimpal. Dalam kes tiga orang anggota polis itu, kalau benar mereka melakukannya, kelakuan mereka itu sebenarnya bukan sahaja mengaibkan PDRM, tetapi turut mengaibkan badan-badan penguasa di Malaysia seluruhnya. Yang celakanya, kita turut terpalit oleh “kejahatan” mereka itu. Telunjuk yang kita harap membuang tahi mata, telunjuk itu pula yang mencucuk mata kita.

Kita harus berasa kagum terhadap Datuk Anifah Aman kerana bersuara – bahawa ketiga-tiga orang anggota PDRM yang terlibat telah ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. (Berita lain mengatakan bahawa ketiga-tiga anggota PDRM yang berpangkat rendah itu telah digantung kerja atas perbuatan yang dilakukan mereka pada pagi Jumaat itu.) Kerana berita ini sampai menyentuh sensitiviti orang lain, Menteri Dalam Negeri dan KPN hendaknya bersuaralah juga, tetapi janganlah sampai mengatakannya kes terpencil. Perogolan kes besar, tuan-tuan.

Kita berharap agar orang Indonesia rasional, jangan sampai bakar-bakar, usir-usir.

Monday, November 5, 2012

Berani Bertindak, Bijaksana Menimbang, Jangan Taasub

Ketua Pembangkang berjanji bahawa jika pakatan yang dipimpin oleh beliau berjaya menduduki tampuk pemerintahan di Putrajaya, antara tindakan awal yang akan dilakukannya dengan segera (dalam tempoh 24 jam) termasuklah menurunkan harga bahan bakar (petrol, diesel, dan yang berkaitan dengannya) dan menghapuskan PTPTN.

“Ah!” kata sebilangan orang yang sentiasa sinis terhadap pihak pembangkang, khususnya terhadap ketua pembangkang itu sendiri, “apalah susahnya menaupkan bibir atas dengan bibir bawah”. Kata yang lain pula, “Biasalah, beb, pembangkang macam dia orang tu memang pandai menanam tebu di tepi bibir”. Yang lain pula menokok, “Cakap berdegar-degar, berak di gelegar!”

Kesemua yang diperkatakan oleh pihak-pihak yang saya katakan itu jelas memperlekeh janji ketua pembangkang itu. Keluarga yang dekat dengan saya pun ada yang begitu sinis terhadap azam dan janji ketua pembangkang itu, “Alah, tipu je! Ingat senang ke nak turun-turun gitu saja!” (Kalau betul-betul turun nanti kalau benar-benar kerajaan berpindah tangan, apakah pula katanya lagi!)

Di Terengganu, sebaik-baik sahaja diisytiharkan dapat menjadi kerajaan di Terengganu pada tahun 1999, kerajaan PAS pimpinan Datuk Seri TG Abdul Hadi Awang mengisytiharkan bahawa tol di Jambatan Sultan Mahmud dihapuskan serta-merta. Sebagai hasilnya, semua rakyat beroleh manfaatnya, sejak malam itu hingga kini. Susahkah untuk melakukannya?

Kerajaan Selangor, sebaik-baik sahaja menjadi kerajaan pada tahun 2008 yang lalu, berusaha sedaya upaya untuk memberikan bekalan air percuma kepada rakyatnya. Walaupun sorong tarik dan acah-mengacah berlaku, selepas usaha digembleng, akhirnya banyak rakyat yang beroleh air percuma (termasuk saya sendiri). Susahkah untuk melaksanakannya?

Sepatutnya, kita usah memperlekeh azam dan janji pihak-pihak pembangkang itu. Yang elok kita lakukan ialah kita wara-warakan janji itu sampai semua rakyat tahu. Jangan paksa rakyat percaya, tetapi berusahalah supaya rakyat berfikir — katakan kepada mereka, berbanding dengan BR1M yang menganaktirikan ketua keluarga bergaji RM3001.00, yang manakah yang lebih baik?

Kalau ditakdirkan Allah SWT mereka benar-benar menjadi kerajaan, jika dalam tempoh 24 jam, tiada apa-apa yang turun dan dimansuhkan, kita pakat berdemonstrasi ramai-ramai seperti mereka berdemonstrasi pada Bersih dahulu. Oh, barangkali, pada waktu itu ada yang berkata, “Sudah terlambat, nasi sudah menjadi bubur. Padan muka kalian!”

Jangan melatah. Tempoh lima tahun bukanlah lama. Kita pun semakin matang, semakin bijak, semakin berani. Kalau ternyata mereka itu sama dengan kerajaan sebelumnya, kita pakat ramai-ramai untuk menubuhkan parti baharu. Kita kempen habis-habisan. Kita angkat orang yang benar-benar layak untuk memimpin kita, parti kita, negara kita. Kita berusaha untuk memenangkan mereka. Baru puak-puak tersebut sedar akan kuasa rakyat!

Memang keadaan akan menjadi haru-biru, rakyat akan bertambah pecah belah. Soalnya, sekarang rakyat bersatu padukah? Tidak, kita tidak bersatu padu kerana semua pihak yang menjadi pemimpin sedang mengejar KUASA. Yang satu sedang berusaha untuk mempertahankan kuasa, yang satu pihak lagi sedang berusaha untuk merampas kuasa.

Kalau betul mereka menitikberatkan hal ehwal kita rakyat jelata, mereka pasti akan bersatu atas nama ISLAM. Pihak yang memerintah pasti akan memanggil pihak yang ingin menurunkan harga bahan api itu dan bertanya akan formula yang hendak digunakannya. Setelah mendapati ada rasionalnya, mereka pasti akan menurunkannya sebelum sempat kerajaan mereka dirampas!

Kita perlu rasional, bijaksana menimbang, tidak taasub, dan berani bertindak. Saya berpendirian bahawa, sesuatu puak itu tidak boleh dibiarkan terlalu lama berkuasa. Orang yang berkuasa terlalu lama akan berperasaan bahawa apa-apa yang dilakukan oleh mereka senantiasa betul dan memang betul.

Walau apa-apa pun yang saya katakan, saya omelkan, saya cadangkan, pisau di tangan anda, timun pun di tangan anda. Anda boleh memilih, sama ada hendak memakan timun dengan memotong dan mengupas kulitnya dahulu, atau memakan timun itu begitu sahaja, atau hendak memakan timun dan pisau itu bersekali!