Tuesday, November 27, 2012

Piala AFF Suzuki dan Bola Sepak Malaysia: Mesti Ada Perubahan

Semalam, bermacam-macam komen, sindiran, kutukan, dan penghinaan dilemparkan oleh para pengikut sukan bola sepak tanah air berikutan kekalahan pasukan “Harimau Malaya” di kaki pasukan Singapura pada hari Ahad lalu. Yang kononnya arif dalam bola sepak memberikan komen bahawa bahagian tengah pasukan “Harimau Malaya” tidak berfungsi langsung yang hingga demikian Safee Sali terpaksa merayau-rayau mencari bola untuk dijaringkan. Yang paling banyak menjadi sasaran kutukan dalam pasukan itu ialah jurulatihnya, Datuk K. Rajagopal.

Sebagai imbasan, pada edisi dua tahun lalu (2010), “Harimau Malaya” beroleh kekalahan juga pada perlawanan pertama mereka. Kekalahan itu dapat dikatakan bahawa lebih mengaibkan kita daripada yang dialami oleh mereka pada Ahad lalu. Pada tahun itu, kita kalah 1-5 di kaki pasukan Indonesia di Stadium Utama Gelora Bung Karno. Namun demikian, kepada sebilangan peminat, kekalahan pada perlawanan pertama di kaki Indonesia itu masih dapat dimaafkan kerana kita bermain di gelanggang lawan. Pada tahun ini, kita kalah di gelanggang sendiri!

Kita pasukan penyandang juara Piala AFF-Suzuki itu. Apakah yang kita lakukan untuk mempertahankan kejuaraan yang jarang-jarang kita peroleh itu (kita baru sekali memenanginya)? Pada peringkat tempatan, perlawanan terakhir dalam liga tempatan (maksudnya final Piala Malaysia) adalah pada 24 Oktober 2012. Latihan pusat untuk menghadapi kejohanan itu pula bermula pada 17 September 2012. Pada waktu itu, ada juga pengikut sukan bola sepak tanah air yang berasa pelik kerana kejohanan Piala Malaysia masih lagi berlangsung!

Siapakah pemain-pemain yang tersenarai dalam latihan pusat itu? Untuk maklumat para pembaca sekalian, yang tersenarai dalam latihan pusat itu ialah 3 orang pemain Kedah, 3 orang pemain NS, 2 orang pemain Terengganu, seorang pemain Pahang, 5 orang pemain ATM, 6 orang pemain Harimau Muda A, 2 orang pemian Felda United, dan 1 orang pemain Pelita Jaya. Tidak ada pemain Kelantan, tidak ada pemain Selangor. Dalam senarai Piala AFF Suzuki 2012 ini, 7 orang daripada senarai 17 September itu digugurkan. Tidak mengapa, jurulatih lebih arif daripada kita, saya berkata.

Kawan saya yang senantiasa mengikuti perkembangan bola sepak tanah air tidak bersetuju dengan saya. Jurulatih tidak boleh memilih pemain berdasarkan sejarah, tetapi mesti berdasarkan prestasi semasa para pemain. Beliau menamakan pemain seperti Aidil Safuan dan Safik Rahim tidak harus ada dalam skuad. Sebaliknya, harus ada pemain seperti Nurul Azwan Roya, Badhri Radzi, Muslim Ahmad, Shahrul Azwari dan beberapa orang pemain lain yang tidak saya ingat namanya kerana prestasi semasa mereka lebih baik. Betapapun orang memberikan komen, kata pemutus ada pada jurulatih dan mungkin pengurus.

Hasilnya telah kita saksikan pada perlawanan pertama dan sebenarnya hasil itu dapat juga kita lihat pada empat perlawanan persahabatan sebelumnya. Selepas kalah pada Ahad lalu, esok (28 November 2012), kita akan berdepan dengan pasukan Laos yang seri dengan Indonesia 2-2 pada Ahad lalu. Pada kejohanan tahun 2010 lalu, kita telah mengalahkan Laos dengan keputusan 5-1. Jika kita sekadar seri, akan berlaku situasi bergantung nasib pada perlawanan yang membabitkan pasukan lain kerana selepas itu, “seteru besar” kita — Indonesia — menunggu kita pula.

Permainan bola sepak memang sering menghasilkan keputusan yang pelik-pelik. “Bola itu bulat,” kata orang. Pasukan yang bermain dengan baik dan mempunyai bintang yang banyak pun biasa kalah di kaki pasukan yang tidak ternama. Barcelona, misalnya, tunduk di kaki Celtic baru-baru ini. Dan, kata beberapa orang sahabat, “kita tidak perlu malu kalah di kaki Singapura kerana mereka mempunyai pemain naturalisasi daripada beberapa buah negara”. Ah, jangan menjadikan hal itu sebagai alasan untuk mewajarkan kekalahan!

Mengapakah sukan bola sepak negara kita, sama seperti sukan olahraga, terus merudum pada waktu sukan boling dan skuasy semakin menanjak dan sukan hoki dan badminton masih dapat mengekalkan kedudukannya hingga negara kita menjadi antara negara yang digeruni dalam sukan-sukan tersebut? Mesti ada perubahan.

No comments:

Post a Comment