Kerap benar bendera Malaysia yang kita namai sebagai “Jalur
Gemilang” itu dibakar oleh orang Indonesia. Mereka membakarnya atas pelbagai
sebab, misalnya apabila mendengar khabar kita mendera pembantu rumah mereka, atau “menciplak”
sesuatu yang bersifat serantau sebagai kononnya hak mereka, dan lain-lain sebagainya. Yang terbaharu, si Jalur Gemilang kita itu dibakar lagi apabila khabarnya tiga orang anggota PDRM merogol
seorang pembantu kedai wanita warganegara Indonesia di Pulau Pinang.
Sebenarnya, rakyat kita banyak juga yang dianiayai oleh orang
Indonesia ini – dipecah kediamannya lalu dirampok barangan bernilainya;
pembantu rumah Indonesia yang digajikan melarikan barang kemas majikannya atau
anak majikannya; dan ini belum lagi termasuk menyamun di jalanan; melarikan
anak gadis orang ke Lambok; dan sebagainya. Alhamdulillah,
kita orang Malaysia tidaklah sampai hendak membakar bendera mereka atau
menyuruh Duta Besar mereka berhambus atas perbuatan orang Indonesia itu.
Mereka juga (rakyat Indonesia) ada yang berkelakuan jahat di
negara Timur Tengah. Mereka itu ada yang membunuh rakyat di negara terbabit,
tetapi tidak pula didengar rakyat di negara terbabit sampai membakar bendera
Indonesia yang dua warna itu. (Berita yang saya ikuti tahun lalu mengatakan
bahawa jumlah tenaga kerja Indonesia yang dijatuhi hukuman pancung di Arab
Saudi, kalau tidak salah saya, sudah mencapai angka 28 orang. Fakta ini bukan
hendak mengatakan orang Indonesia jahat, tetapi hendak mengatakan bahawa
kejahatan itu akan dilakukan oleh siapa-siapa pun juga, tidak terkecuali orang
Indonesia dan orang Malaysia.)
Kita orang Malaysia memang tidak pernah bersetuju dengan
perangai rakyat kita yang menganiayai orang lain, apatah lagi yang berperangai
jahat itu pihak penguasa atau penguat kuasa. Kalau kebetulan si pelakunya ialah
anggota polis, dan mereka itu berjaya dibuktikan sebagai pesalah, kita mahu
mereka itu dihukum dengan hukuman yang setimpal. Dalam kes tiga orang anggota
polis itu, kalau benar mereka melakukannya, kelakuan mereka itu sebenarnya
bukan sahaja mengaibkan PDRM, tetapi turut mengaibkan badan-badan penguasa di Malaysia
seluruhnya. Yang celakanya, kita turut terpalit oleh “kejahatan” mereka itu. Telunjuk
yang kita harap membuang tahi mata, telunjuk itu pula yang mencucuk mata kita.
Kita harus berasa kagum terhadap Datuk Anifah Aman kerana
bersuara – bahawa ketiga-tiga orang anggota PDRM yang terlibat telah ditahan
reman dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. (Berita lain
mengatakan bahawa ketiga-tiga anggota PDRM yang berpangkat rendah itu telah
digantung kerja atas perbuatan yang dilakukan mereka pada pagi Jumaat itu.)
Kerana berita ini sampai menyentuh sensitiviti orang lain, Menteri Dalam Negeri
dan KPN hendaknya bersuaralah juga, tetapi janganlah sampai mengatakannya kes
terpencil. Perogolan kes besar, tuan-tuan.
Kita berharap agar orang Indonesia rasional, jangan sampai
bakar-bakar, usir-usir.
Assalammualaikum
ReplyDeleteMungkin mentaliti yg tertanam dalam diri sejak kecil atau didikan persekolahan yg tak menitik beratkan sensitiviti secara rasional yg menyumbang kepada pemikiran cetek dan membabi buta.
Menang menyakitkan hati, mereka sesuka hati melepaskan amarah pada bendera negara, sedangkan warga Malaysia dalam banyak kes melibatkan warga mereka tidak pula melakukan sedemikian.
Wslm.
Salam, Puan Zulninarq,
ReplyDeleteCiri-ciri kiasu ada pada diri mereka. Itulah yang saya rasakan.