Tuesday, November 13, 2012

Telunjuk Mencucuk Mata

Kerap benar bendera Malaysia yang kita namai sebagai “Jalur Gemilang” itu dibakar oleh orang Indonesia. Mereka membakarnya atas pelbagai sebab, misalnya apabila mendengar khabar kita mendera pembantu rumah mereka, atau “menciplak” sesuatu yang bersifat serantau sebagai kononnya hak mereka, dan lain-lain sebagainya. Yang terbaharu, si Jalur Gemilang kita itu dibakar lagi apabila khabarnya tiga orang anggota PDRM merogol seorang pembantu kedai wanita warganegara Indonesia di Pulau Pinang.

Sebenarnya, rakyat kita banyak juga yang dianiayai oleh orang Indonesia ini – dipecah kediamannya lalu dirampok barangan bernilainya; pembantu rumah Indonesia yang digajikan melarikan barang kemas majikannya atau anak majikannya; dan ini belum lagi termasuk menyamun di jalanan; melarikan anak gadis orang ke Lambok; dan sebagainya. Alhamdulillah, kita orang Malaysia tidaklah sampai hendak membakar bendera mereka atau menyuruh Duta Besar mereka berhambus atas perbuatan orang Indonesia itu.

Mereka juga (rakyat Indonesia) ada yang berkelakuan jahat di negara Timur Tengah. Mereka itu ada yang membunuh rakyat di negara terbabit, tetapi tidak pula didengar rakyat di negara terbabit sampai membakar bendera Indonesia yang dua warna itu. (Berita yang saya ikuti tahun lalu mengatakan bahawa jumlah tenaga kerja Indonesia yang dijatuhi hukuman pancung di Arab Saudi, kalau tidak salah saya, sudah mencapai angka 28 orang. Fakta ini bukan hendak mengatakan orang Indonesia jahat, tetapi hendak mengatakan bahawa kejahatan itu akan dilakukan oleh siapa-siapa pun juga, tidak terkecuali orang Indonesia dan orang Malaysia.)

Kita orang Malaysia memang tidak pernah bersetuju dengan perangai rakyat kita yang menganiayai orang lain, apatah lagi yang berperangai jahat itu pihak penguasa atau penguat kuasa. Kalau kebetulan si pelakunya ialah anggota polis, dan mereka itu berjaya dibuktikan sebagai pesalah, kita mahu mereka itu dihukum dengan hukuman yang setimpal. Dalam kes tiga orang anggota polis itu, kalau benar mereka melakukannya, kelakuan mereka itu sebenarnya bukan sahaja mengaibkan PDRM, tetapi turut mengaibkan badan-badan penguasa di Malaysia seluruhnya. Yang celakanya, kita turut terpalit oleh “kejahatan” mereka itu. Telunjuk yang kita harap membuang tahi mata, telunjuk itu pula yang mencucuk mata kita.

Kita harus berasa kagum terhadap Datuk Anifah Aman kerana bersuara – bahawa ketiga-tiga orang anggota PDRM yang terlibat telah ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. (Berita lain mengatakan bahawa ketiga-tiga anggota PDRM yang berpangkat rendah itu telah digantung kerja atas perbuatan yang dilakukan mereka pada pagi Jumaat itu.) Kerana berita ini sampai menyentuh sensitiviti orang lain, Menteri Dalam Negeri dan KPN hendaknya bersuaralah juga, tetapi janganlah sampai mengatakannya kes terpencil. Perogolan kes besar, tuan-tuan.

Kita berharap agar orang Indonesia rasional, jangan sampai bakar-bakar, usir-usir.

2 comments:

  1. Assalammualaikum
    Mungkin mentaliti yg tertanam dalam diri sejak kecil atau didikan persekolahan yg tak menitik beratkan sensitiviti secara rasional yg menyumbang kepada pemikiran cetek dan membabi buta.
    Menang menyakitkan hati, mereka sesuka hati melepaskan amarah pada bendera negara, sedangkan warga Malaysia dalam banyak kes melibatkan warga mereka tidak pula melakukan sedemikian.
    Wslm.

    ReplyDelete
  2. Salam, Puan Zulninarq,
    Ciri-ciri kiasu ada pada diri mereka. Itulah yang saya rasakan.

    ReplyDelete