Wednesday, October 24, 2012

Ibu Saudara Isteri Saya, Suaminya, Kambingnya, dan Si Penzina Pembunuh Bayi

Ibu saudara isteri saya diserang angin ahmar sekitar penghujung tahun 1990-an dahulu. Saya bertiga beranak serta ibu dan bapa mentua saya sempat menziarahinya di sebuah hospital di Pulau Pinang. Keadaannya yang terbaring dalam kepayahan, walhal semasa sihatnya sangat senang tertawa, menerbitkan suatu macam perasaan dalam diri saya — takut, tetapi seperti orang lain, takut itu bersarang pada waktu itu sahaja!

Tetapi ibu saudara isteri saya itu sangat luar biasa kuat azamnya — semasa kami melawatinya, apabila disuruh oleh arwah bapa mentua saya supaya dia menggerakkan jari-jemarinya, beliau berusaha untuk menggerakkan jari-jemarinya. Apabila bapa mentua saya menyuruhnya menggenggam bola span yang diberikan kepadanya, dengan raut yang serba payah, beliau berusaha untuk menggenggamnya.

Tiga atau empat bulan selepas serangan angin ahmar itu, berkat kasih sayang suaminya yang tidak pernah jemu untuk membawanya menemui pelbagai orang yang diyakini bahawa mempunyai kaedah untuk merawatnya, ibu saudara isteri saya itu kemudiannya dapat melakukan banyak perkara — angin ahmarnya dapat dikatakan bahawa hampir pulih, walaupun butir bicaranya pada awalnya pemulihan itu agak sukar untuk difahami.

Berselang bulan dan tahun, beliau akhirnya pulih, butir bicaranya kembali seperti biasa. Yang tidak pulis sepenuhnya ialah daya ingatannya – mungkin merosot 10% atau 20%. Si suami yang penyayang terus melayan kerenah isterinya – “Aku biarkan dia melakukan apa-apa yang disukainya, kuturutkan apa-apa yang diingininya asal dia tidak hypertension lagi.” Demikian kata suami ibu saudara isteri saya kepada saya semasa kami berbual tentang ibu saudara isteri saya itu.

Betul, suami ibu saudara isteri saya itu melakukan yang demikian seikhlasnya. Isterinya hendak membela kucing, dibiarkannya isterinya itu membela kucing; isterinya hendak menternak ayam itik, malah kambing juga, diikutinya sahaja kehendak isterinya itu. Semua itu dilakukannya supaya isterinya itu tidak hypertension. Melalui pemerhatian saya, haiwan-haiwan itu memang menjadi sumber ketenangan kepada ibu saudara isteri saya.

(Dalam tempoh sudah pulih itu, beliau — ibu saudara isteri saya itu — disahkan bahawa menghidap barah payu dara pula hingga kemudiannya terpaksa dibedah. Sekali lagi, beliau memperlihatkan kesungguhan yang tinggi untuk pulih — beliau berani melalui rawatan kemoterapi yang menyakitkan itu dan si suami dengan segala kekurangan dan kepayahan, tidak memperlihatkan keengganan untuk membantu isterinya.)

Dalam kepayahan yang demikian — kadang kala tidak sihat, bukan kesan angin ahmarnya, tetapi kerana pembedahan itu — ibu saudara isteri saya terpaksa menjaga ibunya yang sangat tua dan uzur. Ibu itu, pada awalnya, sekadar uzur tubuh badan sahaja, tetapi kemudiannya hilang pelihatan pula, dan akhir sekali terkedang kerana menghidap barah di wajah. Keluarga beliaulah yang memelihara ibu tua itu hingga ibu tua itu menghadap Ilahi baru-baru ini.

Baru-baru ini, dua ekor kambing betina peliharaannya masing-masing melahirkan dua ekor anak. Hal ini bermaksud bahawa potensi kambing yang dapat dijual oleh ibu saudara isteri saya itu pada masa akan datang bertambah empat ekor lagi (kambingnya dapat dikatakan berkembang biak dengan elok, tetapi penyangak telah beberapa kali “merampok” kambing yang dapat dijual itu).

Pada suatu malam, suami ibu saudara isteri saya mendengar embikan salah seekor anak kambing itu — anak kambing itu hanya mengembik dua kali dan kemudian diam. Pada fikirannya, anak kambing itu kehausan dan diamnya itu adalah kerana “ia” telah dapat menyedut susu ibunya. Si ibu kambing pula tidak hingar, ataupun mungkin “ia” hingar, tetapi suami ibu saudara isteri saya yang lelap.

Keesokan pagi, si ibu kambing mengembik tidak keruan. Apabila disusuli, suami ibu saudara isteri saya mendapati bahawa ibu kambing itu mengembik sampai demikian kerana “ia” telah kehilangan salah seekor anaknya. Berdasarkan kesan yang ada — kaki pagar yang terbongkes — suami ibu saudara isteri saya meyakini bahawa anak kambing itu telah mati dibaham oleh ... babi hutan.

Si ibu kambing yang kehilangan salah seekor anak itu mengembik terus-terusan — sejak pagi anaknya itu hilang hinggalah berhari-hari kemudian, tanpa mahu makan, tanpa mahu minum, hingga kemudiannya sesuatu yang tragis telah menimpa dirinya — “ia” telah kehilangan pelihatannya, maksud saya ibu kambing itu telah buta (barangkali kerana menangisi kehilangan anaknya!)

Kerana tidak mahu makan, tidak mahu minum, tubuh ibu kambing yang subur dan gemuk itu kurus dengan amat ketara. Anaknya tidak beroleh susu daripada ibunya. Kerana si ibu tidak mahu makan dan minum dan kerana si anak tidak beroleh susu daripada ibunya, dengan kasih sayang luar biasa, ibu saudara isteri sayalah yang menjadi “ibu” kepada ibu kambing itu dan “nenek” kepada anak kambing itu.

Ibu kambing disuapinya makanan — daripada yang berbeli kepada yang dicari (rumput dsb — tetapi tiada satu pun yang hendak dimakannya, barangkali hatinya luluh sebagai akibat kehilangan anaknya itu. Si anak kambing yang menjadi anak tunggal itu pula disuapi susu saban waktu oleh ibu saudara isteri saya — memerlihatkan selera yang berbeda daripada ibunya kerana “ia” tidak tahu apa-apa.

Semua ini bukan cerita rekaan, tetapi rentetan realiti yang dilalui ibu saudara isteri saya. Antara ibu saudara isteri saya, suaminya, dan ibu kambing dengan si penzina yang menjadikan bayinya mayat dengan cara yang paling hina dan keji, alangkah jauhnya! Ibu saudara isteri saya, dengan segala kepayahan dan kekurangan, terus menjaga ibunya dengan kasih sayang; selepas ibunya pergi, dia menjaga ibu kambing dan anaknya dengan cinta dan kasih.

Suami ibu saudara isteri saya menjaga isterinya dengan kasih sayang dan dengan keihlasan yang luar biasa, beliau menerima kekurangan isterinya seadanya. Kerana anak-anak mereka melanjutkan pelajaran, dan si isteri yang serba tidak sihat terpaksa menjaga ibu yang uzur pula, beliau (si suami itu) berhenti kerja demi memastikan isteri yang tidak sihat itu selamat semasa menjaga ibu yang tidak sihat itu.

Di manakah hendak kita letakkan taraf diri si penzina yang menjadikan bayi mereka mayat dengan cara paling binatang — menghumban bayi dari tingkat tiga, membenam bayi di dalam lubang najis, mencampakkan bayi ke dalam sungai dan alur, longkang dan timbunan sampah — dengan ibu saudara isteri saya dan suaminya itu, hatta dengan kambing yang kehilangan anak itu? Jawaban saya, mereka tidak ada tempat melainkan dengan bertaubat!

Wednesday, October 17, 2012

Cabaran Hidup: Hanya Daki di Celah Kuku

Selalu kita dengar daripada mulut orang-orang seni bahawa hidup sebagai orang seni ini sangat besar cabarannya. Bentuk cabaran yang dimaksudkan mereka kadangkala kurang jelas kepada kita, tetapi yang selalu dijadikan oleh mereka sebagai cabaran ialah pandangan masyarakat, seperti kita, iaitu kita sukar untuk menerima mereka yang berprofesion penyanyi, pemuzik, pelakon, penari, pelawak, dan lain-lain, malahan kita ini, kata mereka, sering menohmah mereka.

Wallahualam, saya tidak pernah berdepan dengan hal ini, iaitu masyarakat membenci dan menohmah orang seni, tetapi saya pernah melihat masyarakat menohmah orang lain dan orang lain itu bukan orang seni pun. Saya (para pembaca sendiri pun) cuma pernah melihat orang menohmah orang seni dalam filem sendiri — Nyonya Mansoor menohmah si ahli muzik miskin yang bernama Kassim Selamat yang dicintai oleh anaknya, Sabariah Mansoor dalam filem “Ibu Mertuaku”.

“Berapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul”, demikianlah yang diungkapkan oleh peribahasa. Dalam konteks ini, kita sekadar dapat memandang dan bersimpati terhadap orang dan “penderitaan” yang dihadapinya. Sebaliknya, mereka yang “menanggung penderitaan” itu patah selera untuk makan dan minum, tidak berkudrat untuk merasai nikmat tidur, tidak berupaya untuk menyekat air mata daripada berlelehan dari pipi ke dada, dan sebagainya.

Hakikat yang sebenarnya ialah semua manusia mendepani cabaran dan cabaran itu berbeda-beda, mengikut profesion masing-masing. Orang-orang politik adalah antara ahli masyarakat yang paling banyak mendepani cabaran (kadang-kadang mencipta cabaran), seperti fitnah, cacian, dan iri hati. Cabaran yang didepani oleh ahli perniagaan dan tokoh-tokoh korporat pun besar juga, khususnya persaingan dan iri hati pesaing, kerugian dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, yang lebih benar ialah cabaran yang didepani oleh siapa-siapa pun di dunia ini hanya seperti kotoran di celah kuku (yang apabila dibersihkan hilang tidak berbekas) jika hendak dibandingkan dengan cabaran yang didepani oleh Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad SAW. Cabaran yang didepani oleh baginda yang kita kasihi itu sangat rencam dan payah, seksa dan pedih hingga baginda tergolong sebagai salah seorang Rasul Allah yang bergelar “Ulul Azmi”.

Saya tidak fikir ada orang seni kita yang pernah direjam dengan batu hingga berdarah kakinya seperti yang dialami oleh Rasulullah SAW. Saya tidak fikir ada orang politik di negara ini yang terusir dari negaranya kerana berdepan dengan tentangan keras kaumnya seperti yang dialami oleh Rasulullah SAW. Saya ulang sekali lagi, cabaran yang kita tempuh hanya seumpama kotoran di celah kuku jika hendak kita bandingkan dengan cabaran yang ditempuh oleh Rasulullah SAW.

Jangan mengeluh dan menyalahkan pihak yang kita anggap menjadi cabaran kepada kita kerana Rasulullah SAW tidak meminta yang buruk-buruk daripada Allah SWT untuk ditimpakan kepada orang-orang yang menganiayanya. Jadilah insan terbaik yang semakin dianiaya semakin mendoakan kebaikan si penganiaya kerana doa orang yang teraniaya tiada hijab. Makbul doa orang yang teraniaya, berkurang seorang penganiaya di muka bumi ini.

Monday, October 15, 2012

Hilang Kepercayaan terhadap Media Arus Perdana

Sudah lama benar akhbar arus perdana yang bernama Utusan Malaysia tidak menjadi bacaan saya lagi. Dahulu, pada awal-awal pemulauan akhbar itu, akhbar itu tetap saya langgan (walaupun bukan hari-hari kerana saya menggemari Berita Harian). Saya melakukan demikian kerana saya mampu untuk menapis mana-mana yang buruk. Lama-kelamaan, kebencian itu tumbuh sendiri dan saya mengucapkan bye, bye kepadanya. Saya tetap dengan Berita Harian kerana saya masih dapat bertoleransi terhadap “buruk laku” Berita Harian itu. Tetapi, lama-kelamaan Berita Harian pun saya tinggalkan, walaupun kebencian saya terhadapnya tidak menyeluruh.

Profesionalisme kewartawanan – menceritakan apa-apa yang benar sebagai benar, apa-apa yang salah sebagai salah, kelihatan hampir pupus di akhbar-akhbar itu (walaupun bukanlah semuanya). Soalnya, apabila yang salah diceritakan sebagai benar dan diletakkan di muka depan, persepsi orang terhadap wartawan berubah hingga ada yang menganggap mereka sebagai penjahat. Orang di kampung bertanya, bagaimanakah kamu ketahui bahawa sang wartawan menceritakan yang salah sebagai benar? Entah-entah cerita itu memang benar! Saya berkata, dalam kes saman orang terhadap Utusan Malaysia, sudah berturut-turut kali Utusan Malaysia kalah!

Sekarang rating 3 juta yang dinikmati oleh TV3 merudum kepada 1 juta lebih sedikit. Berita di TV3 yang ke udara setiap jam 8:00 malam itu sudah tidak menjadi tontonan saya lagi sejak beberapa lama, kecuali bahagian laporan sukannya. Saya hanya menontonnya pada waktu yang kebetulan sahaja dan pada waktu yang kebetulan itu, 15 minit pertama itu seperti menonton perlawanan bola sepak yang membosankan selama hampir 90 minit! Yang dilipurlarakan ialah keburukan satu pihak manakala keburukan yang satu pihak lagi tersimpan kejap dalam arkib berita mereka. Hingga demikian, dengan tidak menonton berita di TV3, jiwa saya lebih tenang!

Saya yakin sangat bahawa kebencian orang terhadap media arus perdana ini bukan berpunca daripada hasutan siapa-siapa melainkan datang secara semula jadi, tanpa dipaksa-paksa. Kebencian itu datang dengan sendiri selepas hari demi hari manipulasi berita dan cerita terus berlaku tanpa takut akan hukuman Allah. Penipuan dan putar belit cerita (saya rasakan hal itu memang berlaku) berlaku setiap hari, pada mukadimah beritanya. Betahkah telinga manusia jika sang pengumpat hari-hari memfitnah dan berbohong di ruang tamu di dalam rumah kita seolah-olah kita ini tidak tahu akan duduk perkara yang sebenarnya?

Jika betul pun hal yang dilaporkan, mengapakah satu pihak sahaja yang dipilih untuk didedahkan hal ehwal dirinya? Satu pihak lagi yang tingkah laku dan amal perbuatannya sama teruk, malah ada yang lebih teruk dan hodoh, mengapakah tidak didedahkan? Media, bukankah perlu adil kepada semua orang? Atau bukankah lebih baik menyembunyikan kejahatan dan keburukan orang sepertimana Allah SWT menyembunyikan kejahatan hamba-Nya sehingga akhirnya apabila hamba-Nya itu bertaubat, yang tinggal ialah nama dan amalnya yang harum dan memberikan manfaat kepada manusia lain itu?

Kalau Sayidina Umar al-Khattab hidup pada zaman kita sekarang dan perbuatan semasa beliau jahil itu yang dipilih untuk dimanipulasi dan diputar belit oleh para wartawan, ke manakah muka hendak dipalingkan oleh para wartawan itu apabila dengan tiba-tiba manusia yang hal ehwal dirinya kalian manipulasikan itu berpusing 360 darjah lalu memeluk Islam dan kemudian diakui sebagai Amirul Mukminin? Dalam erti kata lain, yang hendak saya maklumkan ialah berceritalah yang benar tentang sesuatu tanpa sebarang tokok tambah dan manipulasi. Apa-apa yang buruk, kita rahsiakanlah agar Allah tidak mengaibkan kita kerana kejahatan silam kita.

Utusan Malaysia, Berita Harian, TV3, dan lain-lain, bukan sukar untuk mengembalikan kepercayaan orang terhadap kalian. 

Sunday, October 14, 2012

PRU dan Perihal Daim yang Bermulut Masin

Dia itu orangnya “bermulut masin”. PRU lalu telahannya bahawa PR akan menang di Kelantan, Selangor, Penang, Perak, betul malah PR turut memang di Kedah dan KL. Pada kali ini, dia berkata bahawa BN akan menang di tiga negeri sahaja, iaitu di negeri PM dan TPM, serta negeri KM yang berbelanja besar untuk menikahkan anaknya.

Tentu asas telahan orang yang “bermulut masin” itu berdasar pada sumber yang kuat dan dapat dipercayai. Seronokkah pihak yang membangkang negara sekarang tentang telahan ini hingga mereka boleh goyang kaki atau menggeletarkah pihak yang menerajui negara hingga mereka berura-ura hendak angkat kaki?

Tetapi pada fikiran saya, purata orang yang mengundi di setiap kawasan pilihan raya akan mencecah 90%. Dengan jumlah orang yang keluar mengundi mencecah 80% pun Terengganu yang diterajui PAS tersungkur di kaki BN pada 2004, apatah lagi dengan jumlah yang mengundi mencecah 90% atau lebih – tentulah PR akan tersungkur juga (ini telahan saya sahaja!).

Pada fikiran saya juga, fenomena orang mengganggu, mengancam, dan menakut-nakutkan para penyokong pembangkang yang ada sekarang ini akan berlaku juga pada PRU akan datang. Hal ini saya dasarkan pada keadaan yang berlaku sekarang – ada golongan yang mengancam perhimpunan pembangkang di sesetengah negeri.

Sama ada keadaan itu akan lebih teruk daripada yang dilakukan oleh mereka sekarang atau lebih teruk daripada yang pernah berlaku daripada siri PRU yang lalu tidaklah dapat diketahui. Kita berharap agar hal ini tidak berlaku kerana kita sudah semakin matang (walaupun dalam sesetengah keadaan, kuasa menjadikan orang macam binatang).

Berbalik kepada telahan orang yang “bermulut masin” itu, agaknya sumber maklumat yang diperolehnya tentang “kekuatan” PR itu sama dengan sumber yang diperoleh oleh PM hingga menyebabkan PM “berat hati” untuk membubarkan Parlimen. Barangkali hal itu memang benar-benar telahan dan tembakannya yang dibuat melalui pemerhatiannya.

Apa-apa pun yang ditelahkan, hakikat bahawa kekuasaan itu ibarat roda tidak dapat kita sangkal. Bahagian roda yang untuk beberapa ketika berada di atas, sekarang sudah bergerak ke bahagian bawah dan di bawahnya itu menanti lopak besar yang bakal menyebabkan bahagian itu kemik atau terus bengkok sampai tidak dapat dibaiki.

Atas bawah pada putaran roda sesuatu yang tidak dapat kita tahan-tahan, tidak dapat kita sekat-sekat. Kegilaan bola yang kita benam hendak melonjakkan dirinya ke permukaan tidak mampu untuk kita sekat kerana tangan kita sudah semakin lemah untuk menahannya. Di Mesir, al-Ikhwan yang menjadi bola yang dibenam sudah pun menghamburkan dirinya di permukaan air!

Bagaimanakah agaknya bahagian roda yang kini berada di atas hendak bertahan di situ untuk tempoh yang lama setelah bahagian itu juga, semasa berada di bawah, kemik-kemik? Jawabannya mudah, jangan dicontoh, jangan diikut, jangan ditiru perbuatan pihak yang buat masa ini masih berada di bahagian atas roda itu.

Telahan orang “bermulut masin” belum tentu betul dan tidak perlu betul hingga kita berasa takut atau seronok. Yang betul hanya qadak dan qadar ALLAH. Telahan saya juga belum tentu betul dan tidak perlu betul hingga saya ditanya tentang sumber yang saya peroleh. Yang betul terletak pada tangan orang yang matang.

Wednesday, October 10, 2012

Pelakon: Muslimahnya Hanya Lakonan

Sekali-sekala saya akan menonton drama Melayu juga; sekali-sekala yang lain saya akan menonton filem Hindi juga; sekali-sekala yang lain saya akan menonton filem Inggeris di HBO juga; sekali-sekala saya akan menonton gusti juga; sekali-sekala yang lain saya akan menonton National Georaphic dan yang seumpama dengannya. Yang bukan sekali-sekala tetapi selalu ialah saya akan menonton perlawanan bola sepak, tenis, dan badminton walaupun menonton bola sepak sudah agak kendur daya tarikannya. Yang bukan sekali-sekala tetapi hampir tidak pernah ialah menonton kartun – rancangan ini sukar menarik perhatian saya.

Saya tidak akan mengulas tentang kegemaran saya menonton sukan, atau kesekali-sekalaan saya menonton filem Hindi, filem Inggeris, dan yang lain-lain itu. Yang hendak saya ulas adalah tentang drama Melayu – yang kadang-kadang berunsur kelakar, kadang-kadang berunsur seram dan tahayul, kadang-kadang berunsur Islam, dan unsur-unsur lain juga.

Pelakon drama (namanya pelakon) banyak yang sangat karismatik dan berkarakter. Sehingga demikian, mereka mampu untuk melakonkan pelbagai watak. Mimik muka dapat digayakan dengan penuh wibawa. Penampilan mereka boleh tahan juga.

Saya ingin menyentuh perihal drama berunsur Islamik (sama ada di TV1, TV3, Al-Hijrah, dll). Saya dapati, pelakon wanita (saya tidak akan menyebut nama-nama mereka) sering berjaya membawa watak mereka sebagai wanita Islam (walaupun kening bercabut, rambut keperangan, dan kuku agak panjang). Tetapi mereka kelihatan Islamik kerana kejayaan mereka menjiwai watak Islam itu.

Kalau menjadi muslimah yang sabar, mereka begitu sabar. Kalau membawa wanita yang teraniaya, mereka kelihatan begitu tertekan. Dengan berjubah, bertudung litup, kemuslimahan mereka alangkah ketaranya!

Tetapi itu dunia lakonan; dunia kepura-puraan; dunia kesandiwaraan; dunia tipu daya! Kita melihat mereka demikian hanya dalam drama, tetapi di dunia realiti mereka suka bergaya. Di dunia realiti mereka mendedahkan aurat, memperlihatkan bahagian-bahagian yang haram kita lhat.

Saya pun berfikir, dialog yang dihafal mereka, watak yang dijiwai mereka mengapakah tidak mendorong mereka menjadi seperti watak yang dilakonkan mereka itu? Belum beroleh hidayah? Lantas, mereka mengerjakan umrah itu untuk apa? Bukan untuk beroleh hidayah?

Seorang teman lelaki pelakon muslimah, apabila melihat teman wanita “muslimah”nya berpakaian mendedahkan itu ini dalam suatu acara, meminta kita jangan menilai teman wanitanya melalui pakaiannya itu. Yang penting hatinya, begitulah pintanya lebih kurang.

Saya pun tidak akan menilainya secara peribadi kerana entah esok atau lusa dia akan menjadi seperti Rabiatul Adawiyyah, siapa tahu? Tetapi, permintaan si teman lelaki itu perlu kita nilai. Bukankah elok kalau dia berkata, dia akan mencuba menasihati teman wanitanya.

Semua orang perlu mencuba untuk membakar jari masing-masing. Kalau api dunia ini terasa panas, berhentilah berbuat dosa kerana api neraka berganda-ganda panasnya.

(Hampir sebulan meninggalkan dunia Blog – berhenti menelaah, berhenti menulis. Sibuk sungguh....)