Wednesday, October 10, 2012

Pelakon: Muslimahnya Hanya Lakonan

Sekali-sekala saya akan menonton drama Melayu juga; sekali-sekala yang lain saya akan menonton filem Hindi juga; sekali-sekala yang lain saya akan menonton filem Inggeris di HBO juga; sekali-sekala saya akan menonton gusti juga; sekali-sekala yang lain saya akan menonton National Georaphic dan yang seumpama dengannya. Yang bukan sekali-sekala tetapi selalu ialah saya akan menonton perlawanan bola sepak, tenis, dan badminton walaupun menonton bola sepak sudah agak kendur daya tarikannya. Yang bukan sekali-sekala tetapi hampir tidak pernah ialah menonton kartun – rancangan ini sukar menarik perhatian saya.

Saya tidak akan mengulas tentang kegemaran saya menonton sukan, atau kesekali-sekalaan saya menonton filem Hindi, filem Inggeris, dan yang lain-lain itu. Yang hendak saya ulas adalah tentang drama Melayu – yang kadang-kadang berunsur kelakar, kadang-kadang berunsur seram dan tahayul, kadang-kadang berunsur Islam, dan unsur-unsur lain juga.

Pelakon drama (namanya pelakon) banyak yang sangat karismatik dan berkarakter. Sehingga demikian, mereka mampu untuk melakonkan pelbagai watak. Mimik muka dapat digayakan dengan penuh wibawa. Penampilan mereka boleh tahan juga.

Saya ingin menyentuh perihal drama berunsur Islamik (sama ada di TV1, TV3, Al-Hijrah, dll). Saya dapati, pelakon wanita (saya tidak akan menyebut nama-nama mereka) sering berjaya membawa watak mereka sebagai wanita Islam (walaupun kening bercabut, rambut keperangan, dan kuku agak panjang). Tetapi mereka kelihatan Islamik kerana kejayaan mereka menjiwai watak Islam itu.

Kalau menjadi muslimah yang sabar, mereka begitu sabar. Kalau membawa wanita yang teraniaya, mereka kelihatan begitu tertekan. Dengan berjubah, bertudung litup, kemuslimahan mereka alangkah ketaranya!

Tetapi itu dunia lakonan; dunia kepura-puraan; dunia kesandiwaraan; dunia tipu daya! Kita melihat mereka demikian hanya dalam drama, tetapi di dunia realiti mereka suka bergaya. Di dunia realiti mereka mendedahkan aurat, memperlihatkan bahagian-bahagian yang haram kita lhat.

Saya pun berfikir, dialog yang dihafal mereka, watak yang dijiwai mereka mengapakah tidak mendorong mereka menjadi seperti watak yang dilakonkan mereka itu? Belum beroleh hidayah? Lantas, mereka mengerjakan umrah itu untuk apa? Bukan untuk beroleh hidayah?

Seorang teman lelaki pelakon muslimah, apabila melihat teman wanita “muslimah”nya berpakaian mendedahkan itu ini dalam suatu acara, meminta kita jangan menilai teman wanitanya melalui pakaiannya itu. Yang penting hatinya, begitulah pintanya lebih kurang.

Saya pun tidak akan menilainya secara peribadi kerana entah esok atau lusa dia akan menjadi seperti Rabiatul Adawiyyah, siapa tahu? Tetapi, permintaan si teman lelaki itu perlu kita nilai. Bukankah elok kalau dia berkata, dia akan mencuba menasihati teman wanitanya.

Semua orang perlu mencuba untuk membakar jari masing-masing. Kalau api dunia ini terasa panas, berhentilah berbuat dosa kerana api neraka berganda-ganda panasnya.

(Hampir sebulan meninggalkan dunia Blog – berhenti menelaah, berhenti menulis. Sibuk sungguh....)

4 comments:

  1. Assalammualaikum..
    Semoga kita semua yg mengaku beragama Islam dan beriman akan mendapat hidayahNya, yang muslimah akan menutup aurat sebagai muslimah sejati selaras syariat agama.
    Sebagai muslimah mualaf, saya bersyukur kerana terpilih dlm kalangan keluarga dan kaum yg masih blum mendapat hidayah, saya bersyukur tak terungkap kerana di beri rahmat yg amat indah oleh Allahswt. Utk mjadi hambaNya yg faham dan cinta kpd cara hidup Islamiah,
    dan bersyukur kerana walau berseorangan berhdapn dgn ttgn keluarga sehinggalah bernikah bersorangan di perkim,tetapi mampu bertahan iman dan personaliti muslimah.
    Dan begitu bersedih, melihat saudara2 yg d lahirkan dlm institusi islam tetapi cara dan budaya diri tak berlandaskan agama,semoga mereka2 ini dibukakan nur di hati oleh Allahswt. Dan berilmu utk menutup aurat sebagai muslimah dan muslimin sejati. Wallahualam.

    ReplyDelete
  2. As-Salam, Puan Zulninarq,

    Alhamdulillah, tahniah kerana memilih Islam sebagai cara hidup.

    Saya wajib berasa kagum atas kesungguhan dan ketekalan Puan mendepani tantangan unruk terus menjadikan Islam sebagai agama pegangan hinggalah akhir bertemu jodoh dengan suami Puan.

    Saya suka mendengar cerita dan pengalaman para saudara Islam dalam siaran radio di IKIM FM setiap petang Khamis itu. Cerita Siti Mariam dari Belgium itu sangat mengagumkan saya dan "memalukan" saya juga sebagai Islam keturunan.

    Semoga Allah menetapkan terus kita dalam ISLAM.

    ReplyDelete
  3. Waalaikumsalam
    InsyAllah,semoga kita hidup dan mati dlm keadaan beriman dan beramal soleh.
    Saya amat bertuah dan bersyukur keran di pilih oleh DIA yg Maha Agung, walaupun terpaksa melepaskan banyak kesenangan dunia ( kursus perguruan, dan peluang melanjutkan pelajaran ke U) kerana kekangan kewangan,namun kerana cinta dan kasih yg mendalam pd agama saya sanggup berhijrah ke semanjung semata-mata demi menyelamatkan agama akibat tentangan dan pelbagai ugutan (kerana dulu saya Penginjil)
    Allahswt. Maha Besar kerana melalui Jabatan Buruh saya berjaya ke semananjung dan bkerja sbg operator kilang.
    Sehingga akhirnya bertemu suami dan menolong saya utk mendapatkan kad Islam utk mengelakkan keluarga menuntut di kemudian hari.
    Terlalu banyak kisah yg mencabar, namun Allahswt dan Islam amat saya cintai, dan bsyukur jerana kecekalan dan tebalnya cinta saya pada Islam, semakin ramai saudara mara yg mendapat hidayahNya.
    Dan semoga Allahswt mempermudahkan semua hamba2Nya dalam semua urusan dunia akhirat.
    Waalahualam.

    ReplyDelete
  4. Allahumma amin. Peganglah agama Allah itu semata-mata kerana Dia, bukan kerana yang lain.

    ReplyDelete