Wednesday, October 24, 2012

Ibu Saudara Isteri Saya, Suaminya, Kambingnya, dan Si Penzina Pembunuh Bayi

Ibu saudara isteri saya diserang angin ahmar sekitar penghujung tahun 1990-an dahulu. Saya bertiga beranak serta ibu dan bapa mentua saya sempat menziarahinya di sebuah hospital di Pulau Pinang. Keadaannya yang terbaring dalam kepayahan, walhal semasa sihatnya sangat senang tertawa, menerbitkan suatu macam perasaan dalam diri saya — takut, tetapi seperti orang lain, takut itu bersarang pada waktu itu sahaja!

Tetapi ibu saudara isteri saya itu sangat luar biasa kuat azamnya — semasa kami melawatinya, apabila disuruh oleh arwah bapa mentua saya supaya dia menggerakkan jari-jemarinya, beliau berusaha untuk menggerakkan jari-jemarinya. Apabila bapa mentua saya menyuruhnya menggenggam bola span yang diberikan kepadanya, dengan raut yang serba payah, beliau berusaha untuk menggenggamnya.

Tiga atau empat bulan selepas serangan angin ahmar itu, berkat kasih sayang suaminya yang tidak pernah jemu untuk membawanya menemui pelbagai orang yang diyakini bahawa mempunyai kaedah untuk merawatnya, ibu saudara isteri saya itu kemudiannya dapat melakukan banyak perkara — angin ahmarnya dapat dikatakan bahawa hampir pulih, walaupun butir bicaranya pada awalnya pemulihan itu agak sukar untuk difahami.

Berselang bulan dan tahun, beliau akhirnya pulih, butir bicaranya kembali seperti biasa. Yang tidak pulis sepenuhnya ialah daya ingatannya – mungkin merosot 10% atau 20%. Si suami yang penyayang terus melayan kerenah isterinya – “Aku biarkan dia melakukan apa-apa yang disukainya, kuturutkan apa-apa yang diingininya asal dia tidak hypertension lagi.” Demikian kata suami ibu saudara isteri saya kepada saya semasa kami berbual tentang ibu saudara isteri saya itu.

Betul, suami ibu saudara isteri saya itu melakukan yang demikian seikhlasnya. Isterinya hendak membela kucing, dibiarkannya isterinya itu membela kucing; isterinya hendak menternak ayam itik, malah kambing juga, diikutinya sahaja kehendak isterinya itu. Semua itu dilakukannya supaya isterinya itu tidak hypertension. Melalui pemerhatian saya, haiwan-haiwan itu memang menjadi sumber ketenangan kepada ibu saudara isteri saya.

(Dalam tempoh sudah pulih itu, beliau — ibu saudara isteri saya itu — disahkan bahawa menghidap barah payu dara pula hingga kemudiannya terpaksa dibedah. Sekali lagi, beliau memperlihatkan kesungguhan yang tinggi untuk pulih — beliau berani melalui rawatan kemoterapi yang menyakitkan itu dan si suami dengan segala kekurangan dan kepayahan, tidak memperlihatkan keengganan untuk membantu isterinya.)

Dalam kepayahan yang demikian — kadang kala tidak sihat, bukan kesan angin ahmarnya, tetapi kerana pembedahan itu — ibu saudara isteri saya terpaksa menjaga ibunya yang sangat tua dan uzur. Ibu itu, pada awalnya, sekadar uzur tubuh badan sahaja, tetapi kemudiannya hilang pelihatan pula, dan akhir sekali terkedang kerana menghidap barah di wajah. Keluarga beliaulah yang memelihara ibu tua itu hingga ibu tua itu menghadap Ilahi baru-baru ini.

Baru-baru ini, dua ekor kambing betina peliharaannya masing-masing melahirkan dua ekor anak. Hal ini bermaksud bahawa potensi kambing yang dapat dijual oleh ibu saudara isteri saya itu pada masa akan datang bertambah empat ekor lagi (kambingnya dapat dikatakan berkembang biak dengan elok, tetapi penyangak telah beberapa kali “merampok” kambing yang dapat dijual itu).

Pada suatu malam, suami ibu saudara isteri saya mendengar embikan salah seekor anak kambing itu — anak kambing itu hanya mengembik dua kali dan kemudian diam. Pada fikirannya, anak kambing itu kehausan dan diamnya itu adalah kerana “ia” telah dapat menyedut susu ibunya. Si ibu kambing pula tidak hingar, ataupun mungkin “ia” hingar, tetapi suami ibu saudara isteri saya yang lelap.

Keesokan pagi, si ibu kambing mengembik tidak keruan. Apabila disusuli, suami ibu saudara isteri saya mendapati bahawa ibu kambing itu mengembik sampai demikian kerana “ia” telah kehilangan salah seekor anaknya. Berdasarkan kesan yang ada — kaki pagar yang terbongkes — suami ibu saudara isteri saya meyakini bahawa anak kambing itu telah mati dibaham oleh ... babi hutan.

Si ibu kambing yang kehilangan salah seekor anak itu mengembik terus-terusan — sejak pagi anaknya itu hilang hinggalah berhari-hari kemudian, tanpa mahu makan, tanpa mahu minum, hingga kemudiannya sesuatu yang tragis telah menimpa dirinya — “ia” telah kehilangan pelihatannya, maksud saya ibu kambing itu telah buta (barangkali kerana menangisi kehilangan anaknya!)

Kerana tidak mahu makan, tidak mahu minum, tubuh ibu kambing yang subur dan gemuk itu kurus dengan amat ketara. Anaknya tidak beroleh susu daripada ibunya. Kerana si ibu tidak mahu makan dan minum dan kerana si anak tidak beroleh susu daripada ibunya, dengan kasih sayang luar biasa, ibu saudara isteri sayalah yang menjadi “ibu” kepada ibu kambing itu dan “nenek” kepada anak kambing itu.

Ibu kambing disuapinya makanan — daripada yang berbeli kepada yang dicari (rumput dsb — tetapi tiada satu pun yang hendak dimakannya, barangkali hatinya luluh sebagai akibat kehilangan anaknya itu. Si anak kambing yang menjadi anak tunggal itu pula disuapi susu saban waktu oleh ibu saudara isteri saya — memerlihatkan selera yang berbeda daripada ibunya kerana “ia” tidak tahu apa-apa.

Semua ini bukan cerita rekaan, tetapi rentetan realiti yang dilalui ibu saudara isteri saya. Antara ibu saudara isteri saya, suaminya, dan ibu kambing dengan si penzina yang menjadikan bayinya mayat dengan cara yang paling hina dan keji, alangkah jauhnya! Ibu saudara isteri saya, dengan segala kepayahan dan kekurangan, terus menjaga ibunya dengan kasih sayang; selepas ibunya pergi, dia menjaga ibu kambing dan anaknya dengan cinta dan kasih.

Suami ibu saudara isteri saya menjaga isterinya dengan kasih sayang dan dengan keihlasan yang luar biasa, beliau menerima kekurangan isterinya seadanya. Kerana anak-anak mereka melanjutkan pelajaran, dan si isteri yang serba tidak sihat terpaksa menjaga ibu yang uzur pula, beliau (si suami itu) berhenti kerja demi memastikan isteri yang tidak sihat itu selamat semasa menjaga ibu yang tidak sihat itu.

Di manakah hendak kita letakkan taraf diri si penzina yang menjadikan bayi mereka mayat dengan cara paling binatang — menghumban bayi dari tingkat tiga, membenam bayi di dalam lubang najis, mencampakkan bayi ke dalam sungai dan alur, longkang dan timbunan sampah — dengan ibu saudara isteri saya dan suaminya itu, hatta dengan kambing yang kehilangan anak itu? Jawaban saya, mereka tidak ada tempat melainkan dengan bertaubat!

No comments:

Post a Comment