Wednesday, April 17, 2013

Sabotaj: Dapatkah Dielakkan?

Antara ungkapan yang kerap kali disodorkan oleh para pemuka parti, baik yang pernah menjadi kerajaan ataupun yang ingin menjadi kerajaan (yang kerap kali didengar adalah daripada pihak yang pernah menjadi kerajaan) ialah “Jangan sabotaj parti, jangan sabotaj calon”. Sesetengah pihak menganggap bahawa ungkapan itu diujarkan kerana para pemuka parti bimbang mereka akan mengalami kekalahan yang berpunca daripada unsur sabotaj itu.
 
Di kampung saya, hal seperti ini memang pernah berlaku. Hal ini saya dengar daripada mulut arwah saudara jauh saya (penyokong tegar BN). Beliau berkata bahawa kemenangan calon pembangkang di bandar mereka pada satu PRU dahulu adalah kerana sabotaj. Hal ini berlaku apabila pihak pemuka parti negeri menggugurkan calon kesukaan mereka. Menurut beliau, kononnya, sekitar 800 orang penyokong tegar calon itu telah berpaling tadah dengan memilih (memangkah) calon pembangkang.

Saya tidak tahu sama ada hendak mengkategorikan ungkapan “Jangan sabotaj parti, jangan sabotaj calon” itu sebagai rayuan/permintaan ataupun sebagai nasihat. (Saya, walau bagaimanapun, sama sekali tidak akan mengkategorikannya sebagai amaran kerana pemuka parti politik di negara ini sangat sedar dan arif akan lunas-lunas demokrasi, hingga demikian mereka tidak akan tergamak untuk mengancam dan menakut-nakutkan pengikut mereka.)
 
Suka ataupun tidak, hal berkaitan sabotaj ini TETAP akan berlaku. Hal ini saya katakan demikian kerana walau bagaimana teliti sekalipun diusahakan, para pemuka parti politik tidak akan dapat menyenangkan hati para penyokongnya untuk memilih calon yang berkenan di hati mereka. Si A yang disukai/dipilih oleh pemuka parti belum tentu disukai oleh penyokongnya kerana penyokongnya barangkali menyukai si B, malah mungkin si C, D, E, dan seterusnya.

Tambah memburukkan keadaan, kalau si A yang dipilih oleh pemuka parti memang langsung tidak ada dalam senarai para penyokong, apatah lagi dalam senarai pihak yang berhajat untuk menjadi calon. Di pihak parti yang pernah menjadi kerajaan, barangkali Parlimen Shah Alam adalah antara contohnya; dan di pihak yang ingin menjadi kerajaan, barangkali Parlimen Larut dan DUN Kajang adalah antara contohnya. Suara “menentang” sudah mula berbunyi.

Pada PRU yang lalu, buat pertama kali sejak menjadi pengundi berdaftar pada usia remaja dahulu, saya pulang ke kampung di Sabak Bernam. Saya sebenarnya mengundi di Kajang, tetapi sebaik-baik selesai mengundi tengah hari itu, saya pulang ke kampung, dan pada sebelah malamnya bersama dengan rakan menanti keputusan PRU. Apabila diumumkan bahawa Parlimen Shah Alam dimenangi oleh calon PAS, orang-orang di sebuah kedai kopi di kampung saya (penyokong kerajaan) bersorak.

Mereka suka calon mereka (BN) itu kalah. Hal itu berlaku begitu kerana mereka tidak puas hati terhadap pemuka parti mereka yang telah meletakkan calon yang kalah itu di situ walhal calon yang kalah itu bukan orang tempatan (bukan berasal dari Shah Alam, apatah lagi dari Selangor!) Yang hendak saya gambarkan di sini ialah, jika yang bersorak itu mengundi di Shah Alam, mereka tentu tidak akan memilih calon yang kalah itu. Tindakan ini merupakan suatu sabotaj!

Jadi, persoalannya, wajarkah pemuka parti mengingatkan para pengikutnya supaya “Jangan sabotaj parti, jangan sabotaj calon” bagi memungkinkan mereka menang dalam persaingan untuk berkuasa sedangkan mereka telah tersalah pilih? Saya fikir, yang perlu dilakukan oleh para pemuka parti ialah menanam, memupuk, dan menyiramkan sifat setia atau yang lebih baik redho kepada para pengikut mereka. Pengikut perlu setia, calon yang tidak terpilih harus redho.

Persoalannya, bolehkah...?