Antara ungkapan yang kerap kali disodorkan oleh para pemuka parti,
baik yang pernah menjadi kerajaan ataupun yang ingin menjadi kerajaan (yang
kerap kali didengar adalah daripada pihak yang pernah menjadi kerajaan) ialah “Jangan
sabotaj parti, jangan sabotaj calon”. Sesetengah
pihak menganggap bahawa ungkapan itu diujarkan kerana para pemuka parti bimbang
mereka akan mengalami kekalahan yang berpunca daripada unsur sabotaj
itu.
Di kampung saya, hal seperti ini memang pernah berlaku. Hal ini
saya dengar daripada mulut arwah saudara jauh saya (penyokong tegar BN). Beliau berkata bahawa
kemenangan calon pembangkang di bandar mereka pada satu PRU dahulu adalah
kerana sabotaj. Hal ini berlaku apabila pihak pemuka parti negeri menggugurkan calon
kesukaan mereka. Menurut beliau, kononnya, sekitar 800 orang penyokong tegar calon itu
telah berpaling tadah dengan memilih (memangkah) calon pembangkang.
Saya tidak tahu sama ada hendak mengkategorikan ungkapan “Jangan
sabotaj parti, jangan sabotaj calon” itu sebagai rayuan/permintaan
ataupun sebagai nasihat. (Saya, walau bagaimanapun, sama sekali tidak akan
mengkategorikannya sebagai amaran kerana pemuka parti politik di negara ini sangat
sedar dan arif akan lunas-lunas demokrasi, hingga demikian mereka tidak akan tergamak
untuk mengancam dan menakut-nakutkan pengikut mereka.)
Suka ataupun tidak, hal berkaitan sabotaj ini TETAP akan berlaku. Hal ini saya
katakan demikian kerana walau bagaimana teliti sekalipun diusahakan, para
pemuka parti politik tidak akan dapat menyenangkan hati para penyokongnya untuk
memilih calon yang berkenan di hati mereka. Si A yang disukai/dipilih oleh pemuka
parti belum tentu disukai oleh penyokongnya kerana penyokongnya barangkali menyukai
si B, malah mungkin si C, D, E, dan seterusnya.
Tambah memburukkan keadaan, kalau si A yang dipilih oleh pemuka
parti memang langsung tidak ada dalam senarai para penyokong, apatah lagi dalam
senarai pihak yang berhajat untuk menjadi calon. Di pihak parti yang pernah
menjadi kerajaan, barangkali Parlimen Shah Alam adalah antara contohnya; dan di
pihak yang ingin menjadi kerajaan, barangkali Parlimen Larut dan DUN Kajang
adalah antara contohnya. Suara “menentang” sudah mula berbunyi.
Pada PRU yang lalu, buat pertama kali sejak menjadi pengundi
berdaftar pada usia remaja dahulu, saya pulang ke kampung di Sabak Bernam. Saya sebenarnya mengundi di
Kajang, tetapi sebaik-baik selesai mengundi tengah hari itu, saya pulang ke
kampung, dan pada sebelah malamnya bersama dengan rakan menanti keputusan PRU. Apabila
diumumkan bahawa Parlimen Shah Alam dimenangi oleh calon PAS, orang-orang di sebuah
kedai kopi di kampung saya (penyokong kerajaan) bersorak.
Mereka suka calon mereka (BN) itu kalah. Hal itu berlaku begitu
kerana mereka tidak puas hati terhadap pemuka parti mereka yang telah meletakkan
calon yang kalah itu di situ walhal calon yang kalah itu bukan orang tempatan
(bukan berasal dari Shah Alam, apatah lagi dari Selangor!) Yang hendak saya gambarkan
di sini ialah, jika yang bersorak itu mengundi di Shah Alam, mereka tentu tidak
akan memilih calon yang kalah itu. Tindakan ini merupakan suatu sabotaj!
Jadi, persoalannya, wajarkah pemuka parti mengingatkan para
pengikutnya supaya “Jangan sabotaj parti, jangan sabotaj calon” bagi
memungkinkan mereka menang dalam persaingan untuk berkuasa sedangkan mereka telah tersalah pilih? Saya fikir, yang
perlu dilakukan oleh para pemuka parti ialah menanam, memupuk, dan menyiramkan sifat setia atau yang lebih baik redho kepada para pengikut mereka. Pengikut perlu
setia, calon yang tidak terpilih harus redho.
Persoalannya, bolehkah...?
This comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDelete