Thursday, August 27, 2009

Sah-Batal Puasa Orang Sakit: Senarai Semak

Bukan sedikit jumlah orang yang salah faham, keliru, dan ragu-ragu tentang sah atau batalnya puasa orang yang sedang sakit yang mendapat rawatan tertentu untuk merawat sakitnya itu. Sehingga demikian, orang yang berpenyakit asma/lelah yang menggunakan inhaler untuk melegakan penyakitnya itu sering tidak pasti sama ada menyedut gas daripada inhaler itu membatalkan puasanya ataupun tidak. Begitu juga halnya dengan pesakit diabetes, mereka tidak pasti adakah memasukkan insulin ke dalam badan melalui jarum suntikan membatalkan puasa mereka ataupun sebaliknya. Kekeliruan ini tidak boleh dibiarkan melingkari dan membelit diri mereka serta sesiapa sahaja yang menjalani ibadah puasa dalam bulan Ramadan dan dalam bulan-bulan lain juga.

Oleh hal yang demikian, rumusan yang terhasil secara sebulat suara daripada “Seminar Fiqah Perubatan Ke-9” yang bertemakan “An Islamic View of Certain Contemporary Medical Issues” (diadakan di Casablanca, Maghribi, pada 14-17 Jun 1997) tentang Perkara yang Tidak Membatalkan Puasa dapat kita jadikan sebagai pegangan. Keputusan sebulat suara ini disokong oleh ulama-ulama kontemporari dan lama termasuklah Syekh Dr. Yusuf Al-Qardhawi, Syekh Atiyah Saqr, Syekh Mohammad Salih Al-Munajjid, Syekh Ibn Utsaimin, Syekh Abdul Aziz bin Baaz, dan lain-lain. Malah, perkara berkaitan suntikan ini pernah difatwakan sebagai tidak membatalkan puasa oleh Syekh Mohammad Bakhiet Al-Mutiei pada tahun 1919.

RUMUSAN DARIPADA SEMINAR ITU TENTANG PERKARA-PERKARA YANG TIDAK MEMBATALKAN PUASA PESAKIT
  1. Penggunaan ubat titis mata, titis telinga, dan ubat pencuci telinga
  2. Penggunaan ubat nitrogliserin (sejenis tablet yang diletakkan di bawah lidah) yang digunakan oleh pesakit angina (jantung)
  3. Memasukkan pesari (ubat atau alat pencegah kehamilan), alat perubatan, pencuci faraj, spekulum, dan jari doktor atau bidan semasa pemeriksaan vagina (sebelum bersalin)
  4. Memasukkan uretroskop (sejenis skop yang dimasukkan ke salur kencing lelaki atau perempuan) sebagai penyediaan x-ray
  5. Menampal, mencabut, mengorek, dan mencuci gigi atau menggunakan peralatan dan berus gigi, dengan syarat tiada sebarang bahan yang memasuki perut melalui prosedur tersebut
  6. Penggunaan suntikan melalui kulit, otot, sendi, atau pembuluh darah, kecuali sebagai suatu cara pemberian makanan melalui pembuluh darah
  7. Mendermakan darah atau menerima pemindahan darah
  8. Menyedut gas oksigen dan gas anaestetik (bius)
  9. Semua jenis bahan yang dapat meresap ke dalam badan melalui kulit seperti krim, jeli, atau plaster berubat
  10. Pengambilan sampel darah untuk ujian makmal
  11. Memasukkan kateter (tiub kecil) dan bahan perantara untuk tujuan arteriografi (pemeriksaan x-ray khas jantung) atau organ lain
  12. Memasukkan endoskopi (sejenis skop yang dimasukkan ke dalam perut) untuk mendiagnosis penyakit atau untuk tujuan intervensi
  13. Menggunakan pencuci mulut, cecair kumur, atau semburan mulut, dengan syarat tiada bahan yang masuk ke dalam perut
  14. Memasukkan histeroskopi (sejenis skop) atau alat UICD ke dalam rahim/salur peranakan
  15. Mengambil tisu (biopsi) hati atau organ-organ lain.

Perkara-perkara yang berikut turut ditambah oleh kebanyakan peserta sebagai tidak membatalkan puasa:

  1. Penggunaan ubat titis hidung, penyembur hidung, dan ubat sedut
  2. Membuat suntikan ke dalam dubur, memasukkan anoskop (sejenis skop untuk memeriksa bahagian dubur), dan pemeriksaan digital ke dalam dubur
  3. Pembedahan yang melibatkan anaestetik (bius sepenuhnya) jika pesakit memutuskan hendak berpuasa
  4. Mesin atau dialisis buah pinggang melalui perut
  5. Penggunaan gastroskop (sejenis skop perut) dengan syarat tidak melibatkan pemasukan apa-apa bahan cecair atau bahan seumpamanya ke dalam perut

Semua perkara ini ada diulas oleh Uztaz Wan Sohor Bani Leman dalam rancangan “Tazkirah” di radio KLFM pada 26-30 Ogos 2009. Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sendiri baru-baru ini ada menerbitkan sebuah buku yang berjudul Panduan Berpuasa bagi Pesakit (dilancarkan pada 18 Ogos 2009). Selain rumusan ini, kita wajar mendapatkan buku tersebut untuk dijadikan sebagai panduan.

(Sumber rujukan: Fekah Perubatan, Al-Ahkam.net, Berita Harian)

Wednesday, August 26, 2009

Sepintas Lalu tentang Permatang Pasir

Saya menjadi berminat untuk mengikuti mana-mana pilihan raya kecil kerana kerap membaca pelbagai ulasan berbentuk “kempen” lewat akhbar arus perdana dan blog-blog di Internet. Di Internet, saya membaca pelbagai blog politik, sama ada yang ditulis oleh orang-orang yang propemerintah (baca UMNO-BN) ataupun yang propembangkang (baca PAS-PR). Pelbagai ramalan, andaian, analisis, dan ulasan dilontarkan mereka. Sebagai orang yang sekadar menjadi pemerhati (kerana tidak menyertai mana-mana parti), saya dapat mengikutinya dengan fikiran yang waras (rasional), bukan dengan perasaan yang melulu (emosional).

Tentang PRK di Permatang Pauh, saya ingin membandingkannya dengan PRK di Manek Urai yang baru sahaja berlalu. Tatkala orang menjangkakan PAS akan menang mudah di Manek Urai, keputusan yang sebaliknya berlaku (dalam PRK itu, PAS menang dengan majoriti yang sangat sedikit, iaitu 65 undi sahaja). Sebaliknya, tatkala orang (khususnya penyokong PAS dan “penganalisis” politik yang pro-PAS) menjangkakan PAS akan menang tipis di Permatang Pauh (dengan majoriti di bawah 1 000 undi), PAS menang besar pula (dengan majoriti 4 551 undi).

Walaupun majoriti itu merosot berbanding dengan PRU 12 yang lalu (majoriti yang diperoleh pada PRU 12 ialah 5 433 undi), namun mendapat majoriti yang sebanyak itu daripada 73.1% orang yang layak mengundi pada PRK kali ini sebenarnya adalah sangat banyak. Secara keseluruhannya, jumlah orang yang keluar mengundi pada PRK kali ini ialah sebanyak 14 768 orang (daripada 20 290 orang yang layak mengundi). 9 618 orang memilih PAS dan 5 067 lagi mengundi UMNO. Semasa PRU 12 lalu, 11 004 orang mengundi PAS manakala 5 571 mengundi UMNO.

Berdasarkan angka itu, UMNO dapat mengurangkan bilangan orang yang menyokong PAS sebanyak 1 386 orang. Malangnya, UMNO sendiri tidak dapat menambah bilangan orang yang menyokongnya kerana mereka turut mengalami kemerosotan daripada segi bilangan sokongan, iaitu sebanyak 504 orang. Maknanya, bukan PAS sahaja yang mengalami kemerosotan daripada segi sokongan tetapi UMNO juga demikian!

Saya, seperti dalam blog yang lalu, menjangkakan PAS akan menang, malah dengan yakin (bukan hendak mendahului Allah SWT) bahawa PAS akan menang dengan majoriti lebih daripada 1 000 undi. Saya berpendirian demikian kerana merasakan faktor ANWAR IBRAHIM memainkan peranan yang sangat besar dalam PRK di Permatang Pasir itu.

UMNO-BN, seperti biasa (PAS-PR pun kalau kalah akan melakukan perkara yang sama), akan membuat bedah siasat (“post-mortem”) bagi mengetahui punca kekalahan mereka. Pada pandangan saya, bukanlah sukar untuk membedah siasat bagi mengetahui punca kekalahan mereka. Seperti yang ditegaskan, faktor Anwar Ibrahim (bukan PKR atau PR) merupakan punca utama kekalahan UMNO-BN di situ. Sebagai buktinya, sejak Anwar menceburi politik dan bertanding di Parlimen Permatang Pauh (Permatang Pasir berada di dalamnya) sama ada sebagai penyokong kerajaan ataupun sebagai pembangkang, PAS menerima tempiasnya (semasa Anwar menjadi penyokong kerajaan, PAS telah kalah tetapi semasa Anwar menjadi pembangkang walaupun hanya diwakili isterinya, PAS menang di situ). Faktor kedua sudah tentulah “kesilapan” di pihak UMNO-BN dalam memilih calon untuk menyaingi PAS dalam PRK itu. “Kesilapan” itu tidak sepatutnya berlaku. Memilih orang yang “tampak seperti” pernah melakukan penyelewengan jelas sangat tidak bijak kerana tindakan itu telah membuka ruang kepada pihak PAS-PR untuk menembak, membedil, dan mengebom UMNO-BN dari segenap sudut sehingga memaksa UMNO-BN “bertahan” dan “berkubu” dengan “peralatan” yang tempang.

Faktor yang tidak kurang pentingnya yang menyebabkan kekalahan UMNO ialah “serangan” yang dilakukan oleh UMNO-BN kepada susuk yang sangat penting kepada PAS, iaitu TG Dato’ Nik Aziz Nik Mat (dalam hal ini Tuan Guru itu telah dituduh “luar biasa” kerana “tahu” siapa yang akan ke syurga atau ke neraka). Penggunaan kaedah yang “keras” dengan matlamat untuk mengalih sokongan ahli PAS kepada UMNO itu sangat tidak sesuai. Sepatutnya kaedah yang lebih “waras” dan lembut digunakan kerana batu yang keras air pelekuknya; hati yang keras lidah pelembutnya. Faktor-faktor sampingan (yang mempengaruhi pengundi Cina) termasuklah perihal kematian Sdr. Teoh Beng Hock dan isu PKFZ.

Saya sangat bersetuju dengan kenyataan TS Muhyiddin Yassin tentang keputusan PRK N11 Permatang Pasir ini, iaitu “hal ini merupakan suatu proses demokrasi”. Janganlah ada dalam kalangan UMNO-BN yang membuat kenyataan yang lain seperti “Walaupun gagal, UMNO-BN berjaya mengurangkan majoriti yang diperoleh PAS-PR”, “Kita sudah menjangkakan kita akan kalah”, dan sebagainya. Baik PR mahupun BN, kalau kalian menganggap mengurangkan majoriti sebagai suatu kejayaan, saya rasa ada yang tidak betul!

Hingga sekarang, saya tidak pernah menyalahkan DS Mohd. Najib yang enggan meletakkan calon BN bertanding dalam PRK di Penanti dahulu. Malah, pada pandangan saya, tindakan itu sangat bijak. Malah, saya mencadangkan kepada pihak BN supaya membuat suatu ketetapan, iaitu:

  • bahawa BN tidak akan bertanding dalam mana-mana PRK di kawasan yang sebahagian besar pemilih/pengundinya (katakanlah 70%) menyokong pembangkang (dalam hal ini, jadikanlah PRU dan keadaan semasa sebagai panduan);
  • bahawa BN tidak akan bertanding dalam mana-mana PRK jika kemenangan itu tidak membantu BN dapat mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri atau dapat mengurangkan majoriti 2/3 parti yang memerintah (dalam kes semasa, kemenangan BN di satu kerusi seperti di Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, dan Selangor tidak akan mengurangkan majoriti parti yang memerintah negeri itu sekarang. Berbeda dengan kes di Perak).

Sepatutnya, BN tidak perlu bertanding setelah kerusi N11 Permatang Pasir itu kosong selepas kematian Dato’ Mohd Hamdan Abdul Rahman dahulu. Alasan untuk tidak bertanding sangat kuat – H1N1 sedang menular dan BN tidak mahu mendedahkan rakyat Permatang Pasir kepada penyakit berbahaya itu. Keselamatan rakyat perlu didahulukan.

Sekarang Dato’ Dr. Mohd. Zahid Hamidi perlu menjawab perihal “kekalahan besar” ini. Beliau Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Tuesday, August 25, 2009

Hukuman dan Penguatkuasaan Berkaitan Arak

Hukuman enam sebatan yang dikenakan ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor yang melakukan kesalahan meneguk arak di sebuah hotel di Cherating telah ditangguhkan atas arahan pihak pejabat Peguam Negara. Penangguhan itu “menaikkan darah” bapa Kartika, Shukarnor Abdul Mutalib. Sebagai natijahnya, bapa wanita itu telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kuala Kangsar.

Agak aneh juga, hukuman telah dijatuhkan dan pesalah serta ahli keluarganya redho dengan hukuman itu. Malah, baik Kartika mahupun ahli keluarganya, langsung tidak membuat rayuan terhadap hukuman itu. Seharusnya kita, malah saya sendiri, berasa bangga dengan pendirian Kartika dan ahli keluarganya itu. Jadi, apakah yang ditakutkan oleh pihak pejabat Peguam Negara sehingga terpaksa bertindak untuk menangguhkan hukuman itu dengan menggunakan alasan “sebagai menghormati bulan puasa”? Tindakan ini memungkinkan badan kehakiman dan pelaksanaan undang-undang di negara ini terdedah untuk dijadikan bahan gelak dalam kalangan rakyat sendiri dan sudah tentunya pihak luar.

Pada masa yang sama pula, DS Mohd. Najib Tun Abdul Razak, berharap agar Kartika membuat rayuan dan tidak sepatutnya “reda semata-mata untuk dihukum”. Tidaklah dapat kita selami tujuan DS Mohd. Najib memberikan perhatian terhadap perkara ini tetapi saya yakin tentulah atas peranannya sebagai PM yang prihatin terhadap nasib rakyatnya.

Di pihak kerajaan negeri Selangor, nazir, imam, bilal, dan siak di lebih 370 buah masjid di negeri itu diberi surat kuasa untuk membantu kerajaan negeri dan Jabatan Agama Islam menguatkuasakan Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995. Mereka (nazir, imam, bilal, dan siak) dibenarkan untuk menahan mana-mana orang Islam yang minum arak dan tidak berpuasa dan tindakan itu “boleh dimulakan pada bila-bila masa” selepas pihak-pihak yang dibenarkan itu menerima kad kuasa daripada Jabatan Agama Islam.

Seksyen 18 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 menyatakan hal berkaitan Minuman yang Memabukkan seperti yang berikut:

  1. Mana-mana orang yang, di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memudaratkan atau melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3 ribu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya.
  2. Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak lebih RM5 ribu atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya.

Sebagai negara yang menjunjung Islam sebagai agama rasminya, hukuman yang memperlihatkan unsur Islam dan langkah pencegahan melalui penguatkuasaan undang-undang yang tegas wajar dilaksanakan supaya kita dilihat tegas, serius, dan bersungguh-sungguh untuk memelihara iman dan aqidah umat Islam di negara ini.

Minit-minit Terakhir Permatang Pasir

Hari ini, bermula jam 8:00 pagi, para pengundi di DUN N11 Permatang Pasir berarak ke pusat-pusat pembuangan undi untuk menunaikan tanggungjawab memilih calon baharu bagi mewakili mereka bagi tempoh mungkin sehingga tahun 2012 (insya-Allah).

DUN N11 Permatang Pasir terletak dalam Parlimen P044 Permatang Pauh yang merupakan kubu tradisi Ketua Umum Pakatan Rakyat dan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. DUN itu telah masuk penggal yang ketiga dikuasai oleh PAS yang dalam politik Persekutuan, masih berperanan sebagai pembangkang.

Dalam konteks ini, diperintah oleh PAS bermakna menurut pemahaman UMNO-BN, kawasan itu ketinggalan daripada segi pembangunan. Hal ini diakui sendiri oleh calon UMNO-BN, Rohaizat Othman. Menurut beliau, BN memang berhasrat untuk membantu rakyat kawasan itu menikmati pembangunan. Jika memang, mereka akan menyediakan pelbagai kemudahan asas dan infrastruktur serta keperluan lain yang diperlukan.

Jika pemahaman ini (pemilih/pengundi ketinggalan daripada segi pembangunan) benar, bersediakah pemilih/pengundi di kawasan itu mengalihkan sokongan mereka kepada UMNO-BN supaya pembangunan dapat dinikmati mereka? Beralih untuk menikmati pembangunan bermakna sebahagian daripada 11 004 (65.5%) orang penyokong PR yang menyokong PAS pada PRU 12 lalu perlu mengorbankan pegangan dan keyakinan mereka yang selama hampir tiga penggal berturut-turut sangat setia menyokong PAS.

Saya tidak fikir hal ini (penyokong PR-PAS mengalihkan sokongan mereka demi pembangunan) akan memenangkan UMNO-BN. Hal ini demikian kerana, dengan alasan yang sama, Manek Urai di Kelantan (99.9% pemilih/pengundinya ialah Melayu) masih gagal dirampas oleh UMNO-BN.

Jumlah pemilih/pengundi di Permatang Pasir ialah 20 290 orang. 72.36 % daripada mereka Melayu, 25.86% Cina, 1.63% India, dan 0.16% bangsa lain. Mungkin UMNO-BN dapat menarik 50% daripada pemilih/pengundi Melayu untuk menyokong mereka, tetapi UMNO-BN tidak mungkin akan mendapat peratusan yang sama daripada kalangan pemilih/pengundi Cina. Diyakini 60%-70% pemilih/pengundi Cina akan menyokong PAS-PR. Isu Ong Tee Kiat (MCA-BN) dalam masalah PKFTZ ada peranannya dalam mempengaruhi hati mereka.

Yang mungkin akan menyebabkan PAS-PR kalah ialah sikap ambil mudah penyokong mereka. Seperti alasan yang digunakan orang kuat program realiti terkenal tanah air, Akademi Fantasia. Apabila ada pelajar favourite yang tersingkir, alasan yang diberikan ialah pengundi tidak mengundi pelajar itu kerana mereka terlalu yakin dengan tingginya peratusan undi yang diperoleh oleh pelajar terbabit. Nasib yang sama mungkin boleh menimpa calon PAS-PR jika pemilih/pengundi memiliki sikap yang sama dengan pengundi dalam program realiti itu – tidak perlu keluar mengundi kerana calon PAS-PR pasti akan menang!

Ada pihak yang meramalkan PAS-PR akan menang dengan majoriti di bawah 1 000. Saya meramalkan PAS-PR akan menang dengan majoriti lebih daripada 1 000. Tetapi, dengan kaedah yang “halimunan” sifatnya (seperti di Manek Urai menurut dakwaan sesetengah orang), UMNO-BN mungkin akan menang.

Sebagai bacaan, mari kita lihat beberapa fakta tentang PRK DUN N11 Permatang Pasir ini:

  • Rohaizat Othman (UMNO-BN) ialah Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh. Beliau berkelulusan undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
  • Salleh Man (PAS-PR) ialah Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang. Beliau berkelulusan Pengajian Islam dari Universiti Malaya.
  • Kedua-dua calon yang bertanding tidak akan membuang undi pada hari ini kerana mereka bukan pemilih berdaftar di kawasan itu.
  • Pengundian bermula dari jam 8:00 pagi dan berakhir pada jam 5:00 petang.
  • Keputusan akan diketahui selepas jam 8:00 malam.
  • PRK berlangsung dalam bulan puasa dan semasa H1N1 sedang menggila.

Nasihat saya kepada pengundi, orang Melayu yang majoriti di kawasan itu mesti pandai “membaca” hakikat politik dan mesti pandai berpolitik. Nasihat saya kepada kedua-dua parti yang bertanding, fahamilah erti demokrasi yang sebenarnya – berbalahlah semasa berkempen tetapi bersatulah selepas itu.

Saturday, August 22, 2009

Ramadan al-Mubarak: Ada yang Janggal

RAMADAN bulan mulia, Ramadan bulan barokah, Ramadan bulan rohmah, Ramadan bulan ‘ibadah, Ramadan menyediakan laba berlipat ganda kepada manusia mukminin”. Itulah ungkapan yang lazim dipasakkan ke telinga kita. Kebenaran ungkapan itu tidak dapat kita sangkal dan dengan yang demikian memang wajarlah ungkapan itu dipasakkan ke telinga kita. Dengan benarnya ungkapan itu, menjadi tanggungjawab kitalah untuk mendapatkan kemuliaan, keberkatan, rahmat, laba, dan sebagainya itu. Allah SWT telah menyediakannya dan Dia tidak akan mencurahkannya dengan begitu sahaja tanpa ada usaha daripada pihak kita untuk mencari, mengejar, dan mendapatkannya.

Dalam bulan ini, seperti yang kita ketahui, Allah Yang Maha Mengetahui segala perkara, dengan kasih sayang-Nya yang Maha Luas, telah “membelenggu” dan melemahkan seteru besar umat Islam, iaitu SYAITAN laknatulLah. Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

Apabila datangnya Ramadan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai/dibelenggu para syaitan.”

(HR al-Bukhari dan Muslim)

Oleh hal yang demikian, segala aksi umat Islam dalam bulan Ramadan ini “bebas” daripada “pengaruh” makhluk yang dilaknat Allah SWT itu. Dengan kata lain, segala aksi umat Islam dalam bulan yang mulia ini dicetuskan oleh sikap mereka sendiri, bukan oleh hasutan dan bisikan syaitan. Sikap mereka itu pula dicetuskan oleh suatu unsur yang selalunya begitu dominan dalam diri masing-masing, iaitu NAFSU. Dalam bulan inilah kewarasan dan kekuatan setiap umat Islam teruji — adakah mereka yang mengawal nafsu atau sebaliknya mereka yang menjadi tunggangan nafsu.

(Pandangan ulama tentang maksud syaitandibelenggu” berdasarkan hadis Rasulullah SAW itu berbagai-bagai. Saudara Saudari dapat merujuknya daripada pelbagai sumber.)

Daripada sisi lain, Ramadan turut membuka peluang untuk kita melihat “belang” umat Islam yang sebenar-benarnya. (Melihat “belang” umat Islam yang sebenar-benarnya suatu kebaikan juga kepada kita, terutamanya jika kita mempunyai kekuatan dan keberanian untuk menegur dan membetulkan ciri-ciri janggal yang wujud dalam diri seseorang umat Islam itu.) Antara “belang” tersebut termasuklah:

  1. kita akan dapat melihat betapa “hangat-hangat tahi ayam”nya umat Islam sekiranya kita ke masjid atau ke surau untuk bertarawih;
  2. kita akan dapat melihat betapa boros dan lahapnya manusia Islam apabila kita ke bazar-bazar Ramadan;
  3. jika kita ke bazar Ramadan juga, kita akan dapat melihat dalam bulan yang datangnya sekali dalam setahun ini, yang di dalamnya mengandung segala bentuk bonus, ribuan umat Islam asyik dan leka dengan dagangan mereka sehingga lupa untuk bermaghrib, sehingga lupa untuk berisyak, sehingga lupa untuk bertarawih, sehingga lupa untuk bertadarus;
  4. kita juga akan dapat melihat betapa taasubnya umat Islam terhadap sesuatu yang baharu, daripada langsir dan pakaian hinggalah perabot dan kenderaan.

Patutlah syaitan pun merungut dan berasa aneh. “Wahai manusia!” kata syaitan, “Aku hairan akan sikap kalian. Aku menderhakai perintah Allah sekali, iaitu tatkala aku diperintah oleh Allah supaya sujud kepada Adam. Aku ingkar. Tetapi, wahai manusia, kalian mengingkari perintah Allah berkali-kali. Kalian meninggalkan solat berkali-kali dalam sehari, melupakan puasa, melupakan zakat, dan segala perintahnya yang lain.”

Sementelahan kita bebas daripada godaan syaitan, maka tunggangilah nafsu mengikut acuan yang ditetapkan Islam. Kalau tidak, kita akan menjadi lebih teruk daripada syaitan, tentunya.

Wednesday, August 19, 2009

Vampire Sudah Ada Di Sini

Saya mengikuti drama bersiri True Blood yang disiarkan oleh pihak Astro menerusi saluran 412 (bukan hendak mempromosikan drama itu). Drama ini diadaptasi daripada novel The Southern Vampire Mysteries karya Charlaine Harris. Sebagai sebuah drama, karya ini dihasilkan dan diterbitkan oleh Alan Ball dengan dibarisi pelakon seperti Anna Paquin dan Stephen Moyer (kedua-duanya bertunang kini sebagai hasil daripada berlakunya cinta lokasi). Drama ini mengisahkan suatu bentuk kehidupan “baharu” di Amerika Syarikat (khususnya di Bon Temps, Louisiana). Kehidupan yang dimaksudkan ialah manusia dan vampire (puntianak?) dapat hidup bersama sehingga boleh saling mencintai dan melakukan hubungan seks antara mereka. Sudah tentulah kewujudan vampire dalam persekitaran kehidupan manusia di Amerika Syarikat dalam drama itu tidak disenangi manusia dan ada organisasi tertentu yang ingin menghapuskan mereka (vampire) ini.

Kewujudan vampire dalam kehidupan manusia dalam drama True Blood itu rupa-rupanya ada kebersamaannya dengan kehidupan kita di Malaysia. Kita, rupa-rupanya, turut dikelilingi oleh vampire-vampire yang bukan sahaja mengacau-bilaukan kehidupan kita tetapi sangat menakutkan kita.

Vampire terbaharu yang menakutkan kita atas kekejaman yang dilakukannya ialah yang merogol, menikam, dan menyimbahi anak tirinya dengan asid. Anak tirinya itu kini terkedang di hospital. Anda tidak takutkah apabila orang yang anda percayai selama ini berubah menjadi vampire seperti itu? Vampire yang berperangai sama atau yang sejenis dengan vampire yang merogol, menikam, dan menyimbahi anak tirinya dengan asid itu banyak terdapat di sekeliling kita. Ada yang menyamar sebagai bomoh dan kemudian mencabul kehormatan pelanggannya, ada yang terkategori sebagai “haruan makan anak”, ada yang memperdagangkan isteri sendiri, dan sebagainya.

Vampire yang muda-muda pun banyak dan mereka ini perangainya lebih buruk daripada vampire Arab zaman Jahiliah kerana vampire Arab zaman Jahiliah hanya membunuh bayi-bayi perempuan sahaja. Sebaliknya, vampire muda di Malaysia membunuh tidak kira bayi itu lelaki ataupun perempuan dengan cara membuang bayi mereka ke pelbagai tempat, dari dalam longkang hinggalah ke dalam sungai dan tempat pembuangan sampah. Anda tidak takut? Saya takut kerana kezaliman dan kejahatan mereka mengundang kemurkaan dan pembalasan Allah SWT dan kalau Allah SWT menurunkan pembalasannya, semua umat yang berada di sekeliling vampire muda ini juga akan menerima bala daripada pembalasan Allah SWT itu. Nauzubilah.

Tidak cukup dengan perbuatan seumpama itu, ada vampire muda yang melakukan buli ekstrem selain gengsterisme dan lain-lain. Masihkah anda ingat akan peristiwa seorang pelajar melibas rakannya dengan lawi ayam di Kelantan dahulu? Atau masihkah anda ingat akan nama Mohd. Hadzrin Mohamad? Hanya kerana berebut kekasih, sekumpulan vampire muda (memang vampire sifatnya tiada belas kasihan) telah membelasah Hadzrin sehingga budak itu koma selama lapan hari dan akhirnya meninggal dunia pada 21 Februari 2009. Di sekolah, guru-guru pula dilarang oleh pihak Kementerian Pelajaran menyentuh murid, ibu bapa pula sering campur tangan dan mengambil tindakan terhadap guru (sehingga pelajar yang didenda kerana tidak membawa buku ke sekolah telah disergah, dimarahi, direndah-rendahkan martabatnya dan diugut untuk ditukarkan sekolah!) Hasilnya, naik minyaklah vampire muda ini.

Vampire di Malaysia ada juga yang berkhidmat dalam sektor swasta dan perkhidmatan awam. Vampire jenis ini tidak sampai membunuh jasad orang tetapi sekadar menyalahgunakan kuasa dan tanggungjawab yang diberikan. Sehingga demikian, ada kalangan vampire ini yang memusnahkan dan menghilangkan bukti yang diperlukan oleh pihak tertentu dalam pertuduhan tertentu. Sebagai hasil daripada tindakan vampire ini, vampire yang disabitkan atas tuduhan pengedaran dadah najis dan sebagainya terlepas daripada tuduhan yang disabitkan. Vampire ini tidak membunuh jasad kita tetapi mereka telah membunuh keyakinan kita. Anda tidak bimbangkah akan vampire seperti ini? Saya bimbang kerana kalau banyak vampire seperti ini dalam masyarakat kita, undang-undang akan tergadai.

Vampire yang berstatus pendatang asing pun menakutkan kita juga. Vampire yang memegang status ini khabarnya sudah berjumlah juta-jutaan. Ada yang berkulit hitam tetapi banyak yang kulit, rambut, tinggi, dan sebagainya yang sama seperti kita juga. Mereka juga kejam kerana telah merampas puluhan ribu peluang kerja yang sepatutnya disandang oleh rakyat negara ini (tidak dinafikan rakyat negara kita memang memilih kerjapun). Tetapi namanya pun vampire apatah lagi vampire pendatang ini. Mereka ini lasak dalam mendepani kerja-kerja yang bercirikan 3D – Danger, Dirty, Difficult sedangkan anak-anak kita lasaknya merempit! Hari Ahad dan pada waktu malam vampire pendatang ini berlibur di beberapa tempat yang menjadi port istimewa mereka. Sehingga demikian, kita menjadi tidak berani bersiar-siar di tempat itu. Anda berani ke Sinar Kota atau Kota Raya berdekatan Puduraya itu pada hari Ahad?

Yang membawa vampire pendatang ini masuk lebih terserlah ciri-ciri vampirenya. Dengan mengambil vampire pendatang, kos penggajian lebih rendah, tuntutan Kesatuan Sekerja boleh disisihkan. Di pihak vampire yang mendapat permit untuk membawa vampire pendatang ini masuk ke negara ini lagilah banyak mengaut keuntungan. Anda tidak pelik dengan suatu kenyataan tidak lama dahulu yang mengatakan 70 000 vampire dari salah sebuah negara Asia Selatan sedang bersedia untuk masuk ke negara ini walhal yang datang dari negara yang sama dan sudahpun berada di negara ini terpaksa bersidai di kolong dan di bawah jambatan sambil merayu supaya dihantar pulang? Kerja siapa ini, vampire pengusaha atau vampire pemegang permit?

Marilah kita berdoa agar kita dan orang-orang yang kita pilih dan kita angkat menjadi pemimpin tidak bertukar menjadi vampire juga. Kalau mereka menjadi vampire, kita kelak akan menjadi lebih vampire. (Janganlah anda mencuba-cuba untuk membayangkan bahawa memang sudah ada pun kalangan pemimpin kita yang menjadi vampire!)

Seperti di Bon Temps, Louisiana itu, kita memang sedang dikelilingi vampires!

Tuesday, August 18, 2009

Jamuan Jem: Bilakah Akan Usainya?

Di bandar-bandar raya seperti KL, JB, dan Pulau Pinang, setiap pagi, kalau kita lewat keluar dari rumah, potensi untuk menikmati jamuan jem sangat besar. Tuan-tuan pasti tahu akan hal ini, bukan? Cuma, tidak seperti jamuan-jamuan lain yang sering dihurung orang, jamuan jem yang terhidang hampir pada setiap pagi itu tidak dialu-alukan oleh sesiapa pun. Hal ini demikian kerana jamuan itu memakan masa yang lama untuk dihabiskan, kadangkala berjam-jam sehingga menimbulkan kemarahan orang. Kadang-kadang jamuan jem itu berbayar, tuan!

Kepada yang tidak kedekut duit (simpulan bahasanya “tangkai jering”), mereka akan mencari ikhtiar lain dengan menghindari jamuan jem itu dengan menghalakan kenaikan mereka ke laluan-laluan yang tidak menghidangkan jamuan jem. Tetapi tuan-tuan, kebanyakan laluan itu menyediakan plaza dan pondok yang dinamai sebagai TOL. Tuan-tuan jangan silap, “benda alah” yang namanya TOL itu tidak boleh dimakan. Tuan-tuan boleh bayar saja. Kadang-kadang, selepas membuat bayaran di TOL, jamuan jem disediakan juga!

Laluan yang ada plaza dan pondok TOL ini legasi tokoh terbilang yang apabila ada kenaikan kadar TOL ini, beliau akan membanding-bandingkannya dengan negara-negara lain. Tuan-tuan pasti tahu akan alasan lazimnya. “Kadar TOL kita masih murah berbanding dengan kadar TOL di negara-negara lain!” Hai, macamlah kita ini turut menggunakan TOL di negara lain itu. Beliau ini popular dengan tagline “Di mana ada gula, di situ ada semut; di mana ada jalan, di situ ada TOL”. Rasa saya, tuan-tuan tahu gerangan empunya diri. (Saya berasa kasihan juga kepada tokoh itu, malah tuan-tuan, ada rasa terkilan di dalam hati saya ini kerana sampai sekarang beliau tidak dianugerahi bintang Seri Maharaja Mangku Negara itu. Kalau dianugerahi bintang itu, bolehlah saya dan tuan-tuan memanggilnya “Tun”!)

Tentang jamuan jem itu, cara yang paling mudah untuk menghindarinya ialah keluar awal subuh dari rumah – pukul 5:00 pagi tersangatlah eloknya. Kalau saya yang tinggal di Kajang dijadikan contoh, insya-Allah jam 5:30 saya sudah terpacak di depan pejabat saya di Petaling Jaya. Jamuan jem hanya bermula sekitar jam 7:00 pagi. Cuma kadang-kadang jamuan itu bermula awal, kalau ada adegan cium-mencium buntut. Tapi, terfikir pula dalam kepala otak saya ini, jadah apa saya keluar dari rumah pada jam 5:00 pagi untuk perjalanan sejauh 38 km? Isy!

Itulah, kalau semasa menjadi “setiausaha” ranting parti teraju negara dulu saya aktif macam Ketua Pemudanya, agaknya dapatlah saya menjadi ahli politik. Kalau ada rezeki, dapatlah saya menjadi wakil rakyat, kemudian menjadi menteri. Tuan-tuan pun tahu, bukan, menjadi menteri ini banyak senangnya! Sebabnya? Yalah, walau macam mana banyak sekalipun jamuan jem muncul, tidak kiralah jam 8:00 pagi ke, 12:00 tengah hari ke, 6:00 petang ke, wira-wira berbaju putih akan menyuraikan keadaan. Ngiong, ngiong siren berbunyi; lip lap, lip lap lampu biru berputar-putar di bumbung kereta. Kita meminggir, mereka mencilok-cilok je. Kalau kita yang mencuba untuk mencilok, tahulah nasib badan!

Tetapi saya tidak boleh aktif macam Ketua Pemuda itu. Memang tidak boleh, tuan. Saya (dengan dua orang rakan saya dari ranting taman saya) pernah dibawa ke pemilihan, untuk memilih Ketua Pemuda Bahagian dan jawatan-jawatan yang “sewaktu dengannya”. Selepas itu, ada pula sesi memilih perwakilan ke perhimpunan pemuda peringkat negeri. Saya tidak ikut memilih dalam sesi ini. Saya dan dua orang rakan saya tadi memerhatikan sahaja. Dalam masa orang sibuk mencadangkan si polan si polan sebagai wakil dan yang seorang lagi menyokong cadangan itu, tiba-tiba ada seorang ahli dengan tergesa-gesa mengusulkan cadangan ditutup dan dengan tergesa-gesa juga seorang ahli lain menyokong cadangannya. Sebabnya, wakil-wakil pilihan mereka sudah ada dalam senarai, sedangkan wakil-wakil puak yang sebelah lagi ada sedikit sahaja dalam senarai. Cadangan dan sokongan yang tergesa-gesa itu hampir diterima pengerusi. Berlakulah peristiwa hentak-hentak kerusi ke lantai oleh puak yang sebelah lagi itu. Eh, kata saya dalam hati! Macam ini ke? Kata bersatu! Sejak peristiwa “kecil” itu, saya tidak percaya pada parti-parti lagi. Sekarang saya tidak ada parti waima parti tupperware sekalipun.

Tentang jamuan jem yang kerap berlangsung itu, dulu ada rancangan untuk mewajibkan konsep perkongsian kenaikan yang menjadi "tunggangan" harian kita. Dalam rancangan itu, setiap kenaikan akan berisi dengan empat orang penumpang. Kalaulah rancangan itu menjadi realiti, tuan-tuan tentu dapat membayangkannya. Jamuan jem tidak akan berlaku, insya-Allah! Mengapa? Begini, cuba tuan-tuan bayangkan, kalau sebelum rancangan itu dilaksanakan ada empat buah kenaikan yang setiap satu hanya dinaiki oleh seorang, iaitu pemandunya sahaja. Tetapi, apabila rancangan itu menjadi realiti, akan ada sebuah kenaikan sahaja kerana seorang pemandu akan berkongsi dengan pemandu dari tiga buah kenaikan yang lain. Maknanya, daripada 40 000 buah kenaikan, tinggal 10 000 buah kenaikan sahaja yang berada di jalan raya. Dengan pengurangan sebanyak 30 000 buah kenaikan, tuan-tuan boleh membentang tikar dan permaidani di atas jalan raya! Tetapi, tuan-tuan pun sedia maklum, rancangan itu tidak menjadi realiti.

Alasannya apa? Apa lagi? Tidak praktikallah! Tapi, betulkah tidak praktikal? Sukar untuk saya mempercayainya. Pada hemat saya, rancangan itu dibatalkan kerana pengusaha laluan berTOL tidak akan mendapat kutipan yang menggalakkan. Betulkah demikian? Betul! Bayangkan, daripada 40 000 orang pengguna jalan raya yang berpotensi untuk menghasilkan sesuatu kepada mereka, dengan penguatkuasaan perkongsian kenaikan (empat orang dalam sebuah kenaikan), mereka hanya dapat membuat kutipan daripada 10 000 buah kenaikan sahaja. Kalau sekarang dipraktikkan demikian, daripada RM40 000.00 sepagi yang dapat dikutip di Plaza Tol Lebuh Raya Saga di Batu 9, Cheras, misalnya (kadar tol di situ RM1.00 sehala), mereka hanya dapat mengutip RM10 000.00 sahaja sepagi! Maknanya, dalam satu pagi, pendapatan mereka susut RM30 000.00 di Batu 9 sahaja! Sebulan? Tuan-tuan anggar-anggarkanlah sendiri.

Hakikatnya, perkongsian kenaikan perlu dipraktikkan. Hal ini lebih baik daripada membelanjakan puluhan atau jutaan ringgit untuk membina lebuh raya baharu. Saya yakin, kalau rancangan ini dipraktikkan dahulu, di Lembah Klang ini tidak akan ada Lebuh Raya DUKE, NPE, Kerinci Link, dan lain-lain yang menelan belanja ratusan juta ringgit itu. Wang itu dapat digunakan untuk tujuan lain. Dengan berkongsi kenaikan, rakyat dapat menjimatkan belanja petrol dan tol, kadar penggunaan kenaikan awam akan meningkat (tidak perlulah tambang bas dan teksi dinaikkan selalu), dan yang lebih penting matlamat 1Malaysia yang berslogankan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” dapat direalisasikan. Hal ini demikian kerana orang-orang yang tinggal setaman, sekawasan, atau sebandar dapat merapatkan hubungan mereka kerana hendak berkongsi kenaikan.

Atau, jika benar konsep perkongsian kenaikan itu tidak praktikal, fikirkanlah kaedah lain. Salah satu kaedah yang wajar difikirkan adalah dengan memperkenalkan konsep penggiliran kenaikan yang boleh memasuki bandar-bandar raya mengikut hari-hari tertentu. Setiap kenaikan persendirian diasingkan mengikut nombor plat masing-masing. Sebagai contohnya, kenaikan persendirian yang berakhir dengan nombor genap hanya dibenarkan memasuki bandar-bandar raya pada hari Isnin, Rabu, dan Jumaat. Kenaikan yang berakhir dengan nombor ganjil pula hanya dibenarkan memasuki bandar-bandar raya pada hari Selasa, Khamis, dan Sabtu. Hari Ahad hari bebas kenderaan! Untuk mengelakkan ada pihak yang memalsukan nombor plat kenaikan masing-masing, wajibkan setiap kenaikan “mencetak” nombor kenaikan pada cermin kenaikan masing-masing (dengan kaedah sand blasting). Saya yakin bahawa konsep ini, jika diperkenalkan, akan mengurangkan jamuan jem, memungkinkan setiap individu memiliki lebih daripada satu kenaikan (mungkin menjadikan motosikal sebagai kenaikan kedua), meningkatkan penggunaan kenaikan awam, dan menggalakkan perkongsian kenaikan.

Pengusaha tol akan merungut! Hai, tak kanlah rungutan mereka sahaja yang hendak diambil kira! Kami, rakyat marhaen, sudah lama menderita kerana dijamu jem yang tidak dapat dimakan! Kalian sedap-sedap sahaja mengutip duit kami sedangkan selepas beberapa depa kami kalian paksa makan jem!

Monday, August 17, 2009

Matang Pasiak: Sudah Ada yang Menang

Sebagai sebuah parti besar yang berpengalaman dan sudah mendominasi negara ini sejak sebelum merdeka serta arif akan sepak terajang politik, UMNO-BN tidak seharusnya membuat kesilapan mudah di Matang Pasiak (Permatang Pasir). Memilih calon yang tidak dilihat atau kelihatan “bebas masalah” seperti Rohaizat Othman yang tercalit oleh kontroversi berikutan pembatalan lesen peguam sivilnya, telah menjadi bonus kepada parti seterunya – PAS-PR – untuk menyerang. Dalam hal ini, sekali lagi UMNO menjadi pihak yang bertahan kerana memilih orang yang dikatakan oleh pihak Majlis Peguam telah dibatalkan kelayakan guamannya pada 7 Mac 2008 kerana kesalahan yang “berkaitan dengan akaun klien”.

Sebagai akibat ketidaktelitian daripada pemilihan Rohaizat itu, TS Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO, terpaksa membuat penjelasan tentang isu tersebut – bahawa kes pelucutan kelayakan Rohaizat Othman sebagai peguam bukan satu isu kontroversi. Di pihak PR, khususnya PAS, pemilihan Rohaizat itu memberikan kelebihan kepada mereka untuk membuktikan bahawa calon mereka lebih layak dipilih oleh sebahagian besar daripada 20 290 orang pengundi di DUN kawasan itu.

Perlu diingat, dalam pilihan raya kecil ini, UMNO-BN sekali lagi memainkan peranan sebagai perampas kerana DUN Permatang Pasir itu telah berada di bawah kuasa PAS sejak tiga penggal yang lalu (Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman memenanginya tiga penggal berturut-turut).

Masih kurang jelas, adakah label ANWAR PENGKHIANAT MELAYU yang diutarakan oleh TS Muhyiddin Yassin yang kemudiannya diikuti dengan beberapa perhimpunan dan keakuran di media-media arus perdana itu mampu untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu. Secara peribadi, saya rasa tidak berkesan sangat. Apatah lagi isu PPSMI yang pada awalnya sudah tampak akan selesai kini memperlihatkan hal yang sebaliknya. Saya yakin, hal ini turut menjadi isu penting dalam kempen PAS-PR.

Selamat maju jaya kepada kedua-dua orang calon dan parti yang bertanding. Tetapi, ada hal yang lebih penting yang perlu diberi perhatian, iaitu ancaman virus kerbau pendek. Alangkah eloknya kalau PAS dan UMNO dalam kempen mereka sama-sama menasihati pengundi dan pemerhati di Permatang Pauh supaya mengawasi ancaman H1N1 itu dan kemudiannya sama-sama bersolat hajat di mana-mana musolla dengan matlamat yang sama – keselamatan umat daripada ancaman wabak itu.

Tentang Si Virus Kerbau Pendek H1N1 Itu Lagi

Di negara kita yang tercinta ini, sehingga kini (17 Ogos 2009), daripada 4 225 orang yang dijangkiti H1N1, 64 orang daripadanya telah tewas. Kita sudah hampir memintas negara Kanada dari segi bilangan mangsa yang mati. (Sehingga 14 Ogos 2009, Kanada berada di tangga ke-9 dari segi jumlah orang yang mati. Di negara itu, daripada 10 449 yang dijangkiti virus kerbau pendek itu, 66 orang daripadanya telah tewas.)

Di negara kita, angka yang dijangkiti baru 4 225 orang, tetapi yang berangkat ke alam baqa sudah berjumlah 64 orang! Adakah kita akan mengikut jejak negara Argentina yang sehingga 7 Ogos 2009 telah mencatatkan 337 kematian daripada hanya 5 710 orang yang dijangkiti virus itu?

Sebagai perbandingan, sehingga tempoh 14 Ogos 2009, bilangan orang yang dijangkiti virus H1N1 di Jerman ialah 11 493 manakala di Jepun ialah 5 022. Tetapi daripada jumlah yang agak besar itu, tiada satu nyawa pun yang melayang di kedua-dua buah negara itu. Apakah rahsia mereka? Tentulah, pada pandangan saya, tahap kesedaran mereka terhadap usaha untuk melawan pandemik ini dari peringkat awal lagi sangat tinggi dan tahap kesedaran dan kesungguhan itu bermula di peringkat kerajaan tentunya. Sebagai buktinya, negara Jepun sanggup untuk menyewa hotel di sekitar lapangan-lapangan terbang mereka untuk mengkuarantin semua pengunjung asing. Kita?

Sekarang TPM bercadang untuk menjadikan topeng muka dan mulut sebagai barang kawalan buat sementara ini (bukannya mewajibkan setiap orang memakainya). Kita seperti tidak tahu yang mana lebih penting.

Di restoran-restoran, kita masih belum menemukan pengusaha-pengusahanya meletakkan tanda arahan atau nasihat kepada para pelanggannya supaya membasuh tangan sebelum makan, memakai topeng, dan sebagainya (ah, jika diletakkan peringatan-peringatan seperti itu pun, banyak orang yang memilih untuk memejamkan mata, memekakkan telinga – sama seperti arahan larangan merokok di restoran-restoran yang dengan wewenang dilanggar orang!)

Kita sedang berdepan dengan krisis. Rasa saya, tidak ada sesiapa pun yang dapat membetulkan krisis ini selain daripada diri kita sendiri, baik sebagai pemimpin, rakyat, ketua keluarga, dan anak-anak. Ada tokoh agama yang berkata wabak ini sebagai bala. Betullah itu. Ada sesiapa hendak menafikannya?

Saturday, August 15, 2009

H1N1: Masihkah Hendak Berpeluk Tubuh Kita Ini?

Perkhabaran ini mengejutkan amat, menakutkan amat. Perkhabaran itu tidak lain tidak bukan tentang H1N1 dan yang menyampaikannya bukan pembicara di warung kopi tetapi pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau (WHO). Khabarnya ialah bahawa:

  1. 20% atau lima juta orang warga negara ini akan berdepan dengan risiko dijangkiti virus H1N1 sekiranya usaha pencegahan tidak diambil oleh rakyat negara ini dengan serius;
  2. penularan wabak berkategori pandemik ini mungkin akan berlanjutan enam bulan hingga setahun lagi;
  3. wabak itu akan merebak dengan lebih pantas pada musim tengkujuh kerana pada musim itu kita lebih terdedah kepada selesema, batuk, dan demam;
  4. jumlah penduduk yang dijangkiti H1N1 sebenarnya 20 kali ganda lebih banyak daripada jumlah pesakit yang menerima rawatan daripada jangkitan virus itu (maknanya daripada 3,574 kes jangkitan H1N1 pada 15 Ogos 2009, jumlah yang dijangkiti sebenarnya adalah sekitar 70 000 orang).

Sekarang bagaimana? Elokkah kita berpeluk tubuh sambil berfikir bahawa wabak itu mengamalkan dasar terpilih, iaitu hanya memilih orang lain, bukan kita atau kaum keluarga kita? Atau perlukah kita mengkategorikan orang yang memakai topeng itu sebagai penakut dan dengan itu mereka perlu ditertawakan beramai-ramai?

Tidak wajar kita meletakkan motosikal di tempat awam dan membiarkannya tanpa dikunci hendal dan rodanya dengan alasan bertawakal kepada Allah. Ikhtiar dan berusahalah dahulu, kemudian baru bertawakal!

Atau kita lebih suka melihat anggaran itu menjadi realiti?

Friday, August 14, 2009

Gula Sudah Tidak Manis Lagi


Bapa saya peniaga. Beliau memulakan perniagaannya dengan membuka warung kopi di Kampung Bagan Terap, kampung kami, pada awal tahun 1960-an dahulu. Apabila saya bersekolah, khususnya semasa di sekolah menengah, saya menjadi tangan kanannya dalam perniagaan itu. Saya boleh membancuh kopi dan minuman lain dengan baik dan disukai oleh pelanggan, tetapi saya tidak dapat membancuh air teh dengan baik dan dengan itu air teh buatan saya tidak digemari pelanggan kerana rasanya tidak konsisten. Sebabnya, saya tidak menggemari air teh, khususnya teh susu, dan saya tidak tahu bagaimanakah rasa teh susu yang dikategorikan sebagai sedap.

Pada suatu ketika, atas sebab-sebab yang tidak saya fahami, pada tahun 1975-1976, bapa saya menyewakan kedai minumannya dan beliau menjalankan perniagaan kain lelong (sekarang diistilahkan sebagai kain bundle). Saya juga menjadi tangan kanannya dalam perniagaan itu.

Beliau kembali mengambil alih kedai minuman yang disewanya pada tahun 1977 di samping menjadi peraih hasil tangkapan hidupan air tawar dari Sungai Bernam, khususnya udang galah dan ikan baung. Beliau sangat berjaya dalam perniagaan sampingannya itu dan dengan demikian, peranan saya sebagai tangan kanannya dalam mengendalikan kedai minumannya semakin penting. Tidak dapat saya ingat dengan baik bilakah kerjayanya sebagai peraih udang galah dan yang lainnya dihentikan tetapi yang pasti, kerjayanya itu berhenti terus apabila udang galah, baung, tapah di Sungai Bernam seakan-akan pupus!

Beliau kini kembali dengan perniagaannya asalnya, membuka kedai minuman tetapi bukan menjual air kopi dan minuman panas yang lain, sebaliknya menjual ais (air batu, kata orang kampung saya), air tebu, cendol, dan ABC. Pendapatannya? Bolehlah tahan. Air batu sangat laris pada musim perkahwinan dan bulan puasa!

Awal Ogos yang lalu, beliau menghubungi saya, meminta saya membelikannya gula! Beliau, rupa-rupanya bukan meminta bantuan saya seorang, tetapi turut meminta bantuan adik-beradik saya yang lain yang berada di Lembah Klang ini juga. Beliau meminta kami yang berjumlah lima orang kesemuanya supaya membelikannya 10 kg gula setiap seorang. Saya tanya mengapa, dia kata gula sukar diperoleh di kampung. Saya dapat membeli 14 kg, adik-adik saya dapat membelikannya 10 kg setiap seorang! Puh, sudah ada 54 kg!

Baru-baru ini, ibu saya meminta saya dan adik bongsu saya membelikannya 10 kg lagi setiap seorang. Saya hairan. Tak kan dua minggu dah habis, fikir saya.

“Dekat sini mahal,” kata ibu saya. “Dua ringgit sekilo!” Saya terkejut. Memang saya terkejut. Harga yang asalnya RM1.45 sekilo sudah jadi RM2.00! Cekik darah, memang cekik darah!!!

Pagi itu, kerana saya sudah berjanji untuk pergi ke kebun di Kuala Selangor dan bertemu dengan ibu dan bapa saya di sana, saya terpaksa juga mencari 10 kg gula yang dikehendakinya di serata kedai di tempat tinggal saya. Tetapi, setiap kedai hanya membenarkan saya membeli 1 kg sahaja malah ada kedai yang tidak mempunyai stok langsung! Dapatlah saya 2 kg. Adik saya langsung tidak dapat membelinya walau 1 kilo sekalipun.

Saya berfikir-fikir, apakah puncanya semua ini? YB Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, dan Kepenggunaan – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob – semasa menutup Bengkel mengenai Penambahbaikan Tadbir Urus Korporat dan Etika-etika Strategi dalam Pengukuhan Sistem Integriti Institusi Menentang Rasuah menyatakan, “Kekurangan bekalan gula bukan semuanya berpunca daripada pemborong...” tetapi disebabkan juga oleh (1) permintaan luar jangkaan di sesetengah tempat; (2) sikap pengguna yang mengamalkan pembelian serentak (sebagai persediaan untuk membuat kuih bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri); dan (3) perbuatan menyeludup gula ke negara jiran oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Punca itu, rasa saya, memang benar (pemborong memang dalang utamanya). Tetapi, saya masih tidak puas hati. Rasa saya, tentu ada sebab-sebab lain.

Ramadan sudah hampir. Bagi orang Melayu-Islam, secara amnya, kemuncak bulan Ramadan ialah bulan Syawal. Yang difikirkan mereka ialah membeli pakaian baharu, menukar langsir, menukar sofa, membeli kuih raya, dan sebagainya. Pada zaman yang mementingkan masa, rasanya, tidak banyak yang rajin membuat kuih raya sendiri. Semuanya membeli “kuih tunjuk” (istilah yang digunakan untuk kuih raya yang dibeli).

Hal ini berbeda dengan peniaga Melayu-Islam, bulan Ramadan merupakan bulan pesta mengumpulkan wang! Pelbagai jenis perniagaan diceburi mereka, antaranya menjual makanan dan minuman dan dalam hal ini, merekalah yang paling banyak menggunakan gula. Mereka ini beroleh ribuan ringgit sepanjang bulan Ramadan hanya dengan menjual pelbagai jenis makanan dan minuman yang kebanyakannya manis kerana bersumberkan gula (hatta rendang tok, kuah ayam percik pun menggunakan gula) di bazar-bazar Ramadan yang disediakan oleh PBT.

Jumlah mereka yang berniaga di bazar Ramadan sangat banyak. Di Kuala Lumpur sahaja, lebih daripada 10 000 tapak niaga disediakan (DBKL menyediakan lebih daripada 6 000 tapak niaga manakala badan NGO dan persatuan-persatuan tertentu menyediakan lebih daripada 4 000 tapak niaga. Jika separuh daripada mereka menjalankan perniagaan yang ada kaitannya dengan gula, dan pendapatan bersih purata mereka sekitar RM2 500 sepanjang Ramadan, mereka telah mengumpulkan RM12.5 juta sebulan! Jumlah ini baru di KL sahaja. Bagaimanakah pula dengan di Shah Alam, Ipoh, Bangi, Johor Bahru, dan lain-lain? Jika dicampurkan semuanya, saya yakin, jumlah yang dikumpulkan oleh peniaga Melayu-Islam ini mencecah hampir ratusan juta ringgit. Jumlah ini sangat banyak dan jumlah ini belum dicampur dengan peniaga Melayu-Islam yang mengambil tempahan untuk membuat kuih raya di seluruh negara!

Jadi barangkali (maksudnya “mungkin”), ada sesetengah pihak yang “kurang senang” dengan perkembangan ini. Ekonomi orang Melayu-Islam di Tanah Melayu ini tidak boleh dibiarkan berkembang seperti itu. Lalu, mereka bertindak mensabotaj dengan membiarkan peniaga Melayu-Islam seperti bapa saya, terkapai-kapai mencari gula.

Anda fikir bagaimana? Ah, andaian saja! Hah?

Thursday, August 13, 2009

Chef Wan dalam “Oprah Winfrey Show”

Berdasarkan laporan oleh pihak Mstar, selebriti chef paling popular di Asia, Redzuawan Ismail, atau lebih tersohor dengan panggilan Chef Wan, telah mendapat undangan untuk menjadi tetamu istimewa pengacara bicarawara (“talk show”) terkenal, Oprah Winfrey. Undangan itu telah disampaikan kepada beliau oleh Ketua Pegawai Asian Food Channel, Maria Brown, yang bertindak sebagai orang tengah.

Jika hal ini menjadi realiti, Chef Wan akan menjadi rakyat Malaysia pertama yang muncul dalam rancangan “Oprah Winfrey Show” yang sangat terkenal itu. Sudah sewajarnyalah warga chef di negara ini, amnya, dan seluruh rakyat Malaysia, khususnya, berasa bangga dengan perkembangan ini dan kita berharap agar hal ini akan menjadi realiti.

Chef Wan baru sahaja menikmati kejayaan sebagai “The Best Celebrity Chef in The World” di anugerah “World Gourmand Cookbook and Media Awards 2009”. Dalam anugerah itu, beliau telah berjaya menewaskan selebriti chef popular dari seluruh dunia. Kemenangan beliau turut dilaporkan oleh New York Times dan beliau juga kemudiannya telah ditemu ramah oleh pihak majalah Le Prestige.

Chef Wan dilahirkan di Singapura pada tahun 1958 tetapi keluarganya telah berpindah ke Sungai Koyan di Pahang pada awal tahun 1970-an. Sebelum terkenal sebagai chef, beliau merupakan seorang akauntan. Lapangan masak-memasak ini didalaminya di California dan Perancis. Beliau adalah antara chef yang mendapat anugerah fellowship daripada Universiti Thames Valley selain Gary Rhodes.

Sisi lain Chef ini banyak yang tidak diketahui orang. Beliau sangat dermawan. Kerana menyedari harta berjuta-juta yang dimilikinya tidak dapat dibawa pergi, beliau menghabiskan sebahagian besar daripadanya untuk adik-beradik, bekas isteri, anak-anak yatim, orang-orang cacat, dan orang-orang kampung yang miskin.

Dalam satu program bicarawara yang dihoskan oleh beliau sendiri, beliau meluahkan rasa terkilan dan rasa anehnya kerana ada kalangan masyarakat yang membenci dan mengutuk selebriti itu dan selebriti ini dan dalam hal ini beliau menyebut nama Mawi.

“Tetapi, walau apa-apa pun yang dikata orang, dia (Mawi) tetap juga menggendong wang pulang,” begitulah lebih kurang katanya.

Daripada kata-katanya itu, kita dapat membayangkan betapa beliau tidak gemar akan sikap segelintir masyarakat kita yang iri hati dan membenci pihak lain.

Marilah kita sama-sama berdoa agar undangan itu menjadi realiti. Jika hal itu menjadi realiti, kita berharap agar beliau tidak lupa untuk memperkenalkan kepelbagaian masakan tradisional kita kepada dunia di samping merealisasikan impiannya untuk mendedahkan kehebatan dan keindahan agama Islam melalui cara penganutnya makan.

Syabas, Chef Wan!

Wednesday, August 12, 2009

Cebisan Silam: Ada yang Telah Pergi

Seperti yang saya titipkan dalam profil saya di dalam Blog ini, saya sangat “gila” akan badminton. Minat terhadapnya wujud sejak sekian lama tetapi tidaklah sampai berlatih dan dilatih seperti Misbun Brothers. (Saya mula bermain badminton di sekolah rendah dan mewakili sekolah dalam permainan ini dalam permainan beregu – selalunya kalah. Saya tidak aktif bersukan semasa bersekolah menengah tetapi dalam tempoh itu saya ada bermain bola sepak dan badminton dengan rakan-rakan sekampung.)

Peluang bermain badminton terbuka luas semasa saya mula menyertai Penerbit Fajar Bakti (PFB, sekarang Oxford Fajar). Hampir setiap petang kami akan “bergasak” di gelanggang badminton (dibuat di dalam gudang dengan bantuan cahaya lampu yang samar dan tidak sesuai untuk bermain badminton). Kemudian, kami beroleh tempat yang sesuai untuk “bergasak” di Catholic High School di Petaling Jaya, dari jam 1:00 tengah hari-3:00 petang, hari Sabtu. Yang selalu bermain pada waktu itu hanyalah teman sepejabat, iaitu saya sendiri, Salleh Rozan, Zali Saidin, dan Misnan Jamal. Sesekali, sifu kami – Lim Shin Fook – akan turun bermain dengan disertai Mohd. Noor Jalil dan Kamil Azahar Othman (Lim Shin Fook dan Mohd. Noor Jalil handal dalam permainan ini dan biasanya merekalah yang akan menjadi juara dan naib juara apabila diadakan kejohanan). Kemudian, Zakaria Harun (kakitangan baharu di PFB) menyertai kami.

Selepas tempoh enam bulan tamat, dan kami tidak dapat menyambung tempahan di sekolah itu, kami bermain di dewan baharu di Sekolah Menengah Bukit Bintang di Petaling Jaya pula. Masa bermain tetap sama. Waktu itu, bekas teman sepejabat, Hashim Md. Isa (yang kemudiannya menjadi kapten) mula menyertai kami. Dan pada waktu itu juga, kami sudah mula mengenakan yuran untuk membiayai kos sewa gelanggang dan pembelian bulu tangkis. Hal ini bermakna, kami telah mula menubuhkan grup badminton sendiri.

Oleh sebab sewa di Sekolah Bukit Bintang itu agak mahal, kami mula berkelana untuk mencari lokasi baharu dan disebabkan kebanyakan ahli grup tinggal di sekitar Kampung Dato’ Keramat (Kampung Baru, Jalan Gurney, dan Dato’ Keramat sendiri), maka Dewan Serba Guna Dato’ Keramat telah dipilih menjadi lokasi permainan.

November 1987, saya berkahwin. Selepas berkahwin, saya tinggal di Semenyih di rumah bapa mentua yang belum pernah dihuni. Pada waktu itu, saya tidak memiliki apa-apa kenderaan sehinggalah selepas tiga bulan berkahwin. Kerana didorong oleh minat yang terlalu mendalam (sebenarnya daripada segi permainan, saya ini tidaklah sehandal mana pun), dan saya tidak dapat mengorbankan minat itu demi suatu perkahwinan, maka saya tetap akan turun untuk bermain pada setiap hari Sabtu, dari jam 1:00 tengah hari-3:00 petang. Untuk ke sana, saya akan menaiki bas Foh Hup hingga ke Puduraya dan kemudiannya menunggu rakan-rakan di Kompleks Kota Raya untuk ke Keramat. Setelah memiliki kenderaan sendiri (milik isteri), pergerakan saya menjadi mudah sedikit dan dapatlah kawan-kawan menumpang kereta buruk itu (selepas permainan tamat).

Dalam tempoh kami ligat “bergasak” itu, sifu kami – Lim Shin Fook yang kami panggil Mr. Lim – diserang strok dan lumpuh seluruh badan. Sewaktu melihatnya datang ke pejabat (sambil dipapah isteri dan anak gadisnya) untuk menerima sumbangan daripada pihak syarikat, saya hampir tidak percaya kerana orang yang sukar ditewaskan itu kini sudah tidak dapat bermain lagi, malah tutur katanya pun sudah tidak jelas. (Dalam puluhan kali bertarung dengannya, saya hanya pernah menewaskannya sekali dalam permainan perseorangan).

Setelah beberapa lama, tiga orang ahli tetap grup kami – Salleh, Zali, dan Kamil – mula tidak menunjukkan minat (Misnan memang tidak bermain dengan kami lagi kerana Dato’ Keramat terlalu jauh baginya yang tinggal di Kampung Dato’ Harun di Jalan Klang Lama!). Kami mendapat beberapa orang ahli baharu, iaitu Hasim dan Jamali, teman sepejabat dan kenalan kapten kami dan tidak lama kemudian, Hamdan, teman saya dan Zakaria. Sejak itu, kami bermain di Kompleks Sukan Bangsar sahaja, pada setiap hari Rabu, dari jam 9:00-11:00 malam. Lokasi itu kekal dari waktu saya masih menetap di Semenyih sehinggalah kemudiannya berpindah ke Kajang (daripada bekerja di PFB, Eastview, Sasbadi hinggalah ke tempat kerja sekarang).

Di penghujung perkhidmatan saya di Penerbit Fajar Bakti (1993), bulan Sukan telah dianjurkan oleh Badan Sukan dan Kebajikan Kakitangan PFB (BADAN). Semua jenis sukan diadakan, daripada dart, catur, dan dam hinggalah kepada pingpong, sepak takraw, bola sepak, dan badminton. Lokasi Bulan Sukan itu bermula di pejabat (untuk permainan dart, catur, dan dam), diikuti Padang Astaka Petaling Jaya (untuk perlawanan bola sepak), Stadium Negara (untuk permainan badminton), dan Dewan Serbaguna Cheras (untuk permainan pingpong, sepak takraw, dan badminton [yang tidak selesai semasa di Stadium Negara]). Saya beroleh gelaran juara dalam permainan bola sepak, sepak takraw, dan pingpong (beregu) dan naib juara dalam sukan pingpong (perseorangan) dan badminton (beregu dan perseorangan). Hal ini membolehkan saya menjadi Olahragawan PFB!

Saya sangat mengingati perlawanan akhir badminton dalam acara beregu. Pasangan saya pada waktu ialah Kamil Azahar Othman dan lawan yang kami tentang ialah Salleh Rozan yang berpasangan dengan Pengarah Urusan kami, Mr. M. Sockalingam (panggilan mesranya MS atau Mr. Socka). MS memang seorang ahli sukan yang hebat. Selain handal bermain badminton, beliau juga handal dalam permainan hoki.

Masih saya ingat, semasa dipelawa oleh Encik Abdul Majid Baharom (Cik Majid) dan Encik Mohamad Bahadon (Cik Mat) untuk menyertai Bulan Sukan ini, MS memilih untuk bermain badminton dalam acara beregu (sebagai sokongan moral kepada BADAN dan semua kakitangan PFB agaknya). Beliau kemudiannya bertanya kepada mereka, “Who is the best badminton player in our company?” Encik Majid menyebut nama saya dan nama Salleh. Dia terus memilih Salleh!

Perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Negara itu (pihak BADAN menyewanya dari jam 10:00 pagi-2:00 petang) sangat hebat. Walaupun salah seorang yang kami tentang itu ialah Pengarah Urusan kami sendiri, kami tidak memberikan peluang langsung kepadanya. Kami boleh bermain sambalewa sebagai tanda menghormati kedudukannya, tetapi semangat kesukanan tidak memerlukan sikap itu. Salleh sendiri bermain bukan untuk mengampu bodeknya. Dengan kata lain, dia bermain mengikut keupayaan tenaganya, iaitu dia bermain mati-matian tetapi tidaklah sampai memaksa diri. Sebagai buktinya (Salleh sendiri mengakuinya), di hujung permainan, keletihannya sangat ketara. Beberapa hantaran kami tidak dapat dikembalikannya dengan baik dan dia sudah jarang-jarang melakukan smash.

Pertembungan itu berlangsung sehingga set penentuan (“rubber game”) dan hingga ke mata dius. Kemenangan pada mata dius (17-16) yang diperoleh oleh Salleh dan MS itu adalah kerana kesilapan Kamil yang gagal membuat “netting” dengan kemas. (Saya tidak ingat skor pada set pertama dan set kedua tetapi kami tewas dalam set pertama tetapi menang dalam set kedua.)

“Balik dari Stadium, malam tu aku tak boleh nak lelap!” Itulah yang diluahkan oleh Kamil semasa kami bertemu di pejabat pada pagi Isnin, yakni selang sehari selepas kekalahan itu. Dia betul-betul menginginkan kemenangan dan berasa kesal atas kegagalannya membuat “netting” dengan baik. Hal ini demikian kerana kedudukan mata pada waktu itu ialah 16-16 dan pihak lawan sedang memegang servis kedua. Jika “netting”nya berjaya, kami akan merampas servis (mempunyai dua servis) dan peluang untuk menang memang sangat besar). Itulah andaian beliau tetapi saya tidak menyesalinya langsung kerana masing-masing telah menunjukkan permainan yang baik!

Pada tahun 2004 (pada waktu itu ahli grup yang tertubuh sekitar tahun 1984 itu hanya tinggal Hashim, Zakaria, Hamdan, Mokhtar, dan saya sendiri dan untuk meramaikan ahli, saya membawa adik-adik saya – Noordin, Azli, dan Sharul), kami tidak lagi bermain bersama. Maka, hasrat kami untuk bermain bersama sehingga berusia 60-an seperti kumpulan “jiran” kami di gelanggang bersebelahan, tidak menjadi kenyataan. Kira-kira setahun selepas kumpulan kami bubar, Zakaria, teman regu saya, telah kembali menghadap Tuhannya, Tuhan saya, Allah SWT. Kini, kami bermain dengan kumpulan masing-masing di tempat tinggal kami (saya di Kajang, Hamdan di Hulu Klang, Hashim di Sungai Buloh, Sahrul di Taman Medan).

Di Kajang, saya mula menyertai grup yang saya sertai sekarang sejak tahun 2005. Jika dibuat perbandingan, pemain-pemain dalam grup baharu saya ini lebih hebat daripada grup lama saya. Pemain-pemainnya banyak yang muda dan sesetengahnya memang pernah mendapat latihan formal. Tetapi, kenangan bersama dengan teman-teman dalam grup lama saya, khususnya Hashim, Hamdan, dan Allahyarham Zakaria lebih hebat, lebih sentimental, dan lebih berbekas di hati saya. Kenangan minum bersama selepas permainan tidak dapat diulang semula. Kenangan kami (saya, Hashim, dan Hamdan) makan tengah hari di Restoran A&W di Petaling Jaya bersama dengan Allahyarham Zakaria tatkala beliau keluar dari hospital pada kali pertama, tidak dapat diulang semula. Kini, Zakaria telah tiada dan saya sendiri terasa tidak mampu untuk bermain di Kompleks Sukan Bangsar lagi kerana di situ saya dapat melihat Allahyarham berlari dan tertawa di dalam gelanggang.

Al-Fatihah untukmu, Zakaria.

Tuesday, August 11, 2009

Anehkah Melakukan Kebaikan?

MELAKUKAN kebaikan dan kebajikan sangatlah disukai oleh Rasulullah SAW. Baginda menyukainya kerana hal itu sangat dituntut oleh Allah SWT, satu-satunya Tuhan Baginda, satu-satunya Tuhan kita.

Perihal kebaikan Rasulullah SAW yang bitara itu terpancar lewat suatu riwayat yang biasa kita dengar.

Dalam riwayat ini diceritakan bahawa Rasulullah SAW hampir saban pagi menyuapkan makanan kepada seorang pengemis Yahudi yang buta walaupun pengemis ini sering mencerca Rasulullah SAW dan agama Islam. Keceloparan pengemis itu langsung tidak menumbuhkan dendam kesumat di hati Baginda, sebaliknya Baginda terus-menerus menyuapi insan lemah upaya itu. Setelah Rasulullah SAW wafat, barulah pengemis itu tahu bahawa insan berhati mulia yang menyuapinya makanan selama ini ialah Nabi Muhammad SAW, insan yang dituduhnya sebagai “gila”, “pembohong”, dan “ahli sihir” itu. Dia menyesal lalu memeluk agama Islam.

Riwayat itu menggambarkan suatu mesej, iaitu melakukan kebaikan seperti yang dicontohkan oleh Junjungan Besar kita itu langsung TIDAK ANEH. Anehkah melazimkan kebaikan dalam kehidupan? Yang ANEH pada pandangan manusia pada kala itu ialah apabila orang menjauhi amalan yang baik.

Hal ini sangat jauh bedanya dengan manusia zaman ini. Pada zaman ini, biasa kita temukan sekumpulan orang yang berasa ANEH terhadap kebaikan. Kumpulan orang ini dapat kita kategorikan kepada beberapa kelompok:

1 Kelompok orang yang beranggapan bahawa melakukan kebaikan itu suatu kebodohan – dua orang lelaki anak-beranak menebas rumput dan lalang yang tumbuh meliar dan menutupi kiri dan kanan jalan awam. Kerajinan kedua-dua orang anak-beranak itu menimbulkan rasa maha ANEH di dalam hati sekumpulan orang. Kedua-dua orang anak-beranak itu, pada pandangan kumpulan orang itu, BODOH kerana melakukan kerja yang sepatutnya dilakukan oleh pihak yang dipertanggungjawabkan seperti JKR, JPS, atau PBT.

2 Kelompok orang yang beranggapan bahawa melakukan kebaikan itu akan memiskinkan kita – beberapa orang pekerja mengamalkan konsep BCA – Bersih, Cekap, Amanah. Slogan Antirasuah lekat di hati bukan di dada baju semata-mata. Sekelompok orang berasa ANEH oleh kejujuran dan keikhlasan beberapa orang pekerja itu kerana kejujuran dan keikhlasan mereka tidak akan mengayakan mereka.

3 Kelompok yang beranggapan bahawa melakukan kebaikan akan menyebabkan kebuluran – sebuah badan pengguna Islam dan badan pengguna negeri menyenaraikan beberapa jenis makanan yang disahkan haram dan diragui halalnya. Sekelompok orang berasa ANEH lalu mengherdik dengan berkata, “Kalau semuanya tidak boleh, kita mahu makan apa? (Kelompok orang ini lupa, ubi kayu rebus pun mengenyangkan juga!)

4 Kelompok yang beranggapan bahawa melakukan kebaikan itu tanggungjawab pihak lain – sekumpulan agamawan dan orang awam berlepas tangan untuk menjalankan peranan sebagai pendakwah untuk mendekatkan agama Islam kepada manusia bukan Islam kerana beranggapan bahawa kerja itu bukan tanggungjawab mereka tetapi tanggungjawab JAKIM, Pusat Islam, PERKIM, dan sebagainya. Dengan itu, usaha berdakwah kepada orang-orang seperti Presiden MCA, MIC, PPP, Gerakan, dan segala macam orang yang belum menerima Islam, bagi mereka, tersangatlah ANEH. (Oleh sebab berasa ANEH untuk mentarbiahi mereka, maka orang-orang seperti Karpal Singh, Lim Kit Siang, Ronnie Liu, Ketua Pemuda DAP, dan konco-konconya pun jahillah tentang Islam. Maka beranilah mereka menempelak Islam. Kelompok yang beranggapan bahawa melakukan kebaikan itu tanggungjawab pihak lain pun marahlah akan Karpal Singh, Lim Kit Siang, Ronnie Liu, Ketua Pemuda DAP, dan konco-konconya tanpa sedar Allah SWT murka akan mereka kerana tidak mendekatkan Islam kepada Karpal Singh, Lim Kit Siang, Ronnie Liu, Ketua Pemuda DAP, dan konco-konconya.)

Kalau melazimkan kebaikan dalam kehidupan menjadi ANEH kepada manusia kini, apakah tandanya?

Saturday, August 8, 2009

Sambutan Kemerdekaan dan H1N1

Pada 31 Ogos 1957, teriakan keramat “Merdeka” telah dilaungkan oleh YTM PM kita yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. Teriakan itu dituruti oleh puluhan ribu rakyat Malaysia yang berada di Stadium Merdeka pada saat tersebut. Malah, tatkala YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj melafazkan perisytiharan kemerdekaan pun, laungan itu telah dilaungkan rakyat Malaysia sehingga menenggelamkan perisytiharan itu.

Tahun lalu, laungan itu diulang oleh PM Malaysia ke-5, YAB Datuk Seri (Tun) Haji Abdullah bin Haji Ahmad Badawi. Tidaklah diketahui sama ada laungan itu akan ada ulangannya lagi pada tahun ini. Yang pasti, sambutan ulang tahun kemerdekaan negara Malaysia ke-52 yang bertemakan “1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” tetap akan dilangsungkan. Lokasi sambutan ialah di Stadium Nasional, Bukit Jalil Kuala Lumpur. Oleh sebab sambutan pada tahun ini jatuh dalam bulan Ramadan, perarakan besar-besaran seperti kereta berhias dan sebagainya akan digantikan dengan sambutan berunsurkan kemanusiaan yang menggambarkan keunikan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama ini. Sambutan ambang kemerdekaan juga tidak akan diadakan. Hal ini bermakna, kita tidak dapat melihat pertunjukan bunga api seperti selalunya (kecuali jika ada pihak swasta yang berhajat untuk melakukannya).

Khabarnya, 23 000 orang murid dan pelajar akan terlibat dalam sambutan pada tahun ini. Jumlah itu sangat besar dan akan menjadi bertambah besar apabila pihak-pihak yang lain dalam sektor awam dan swasta turut menyertai upacara sambutan itu. Rakyat yang berminat untuk hadir ke sambutan itu juga akan membanyakkan jumlah orang yang akan berada dalam sambutan itu kelak.

Orang-orang yang berfikiran rasional, yang patuh akan saranan pemimpin mereka, saya pasti, akan membatalkan keinginan mereka untuk memeriahkan sambutan itu. Mengapakah demikian? Kerana penyakit selesema babi sedang mewabak di negara kita. Keseriusan penyakit ini diakui oleh YAB PM kita sendiri sehingga demikian beliau telah mengingatkan seluruh rakyat Malaysia bahawa:

“Kalau perhimpunan itu tidak perlu, tidak perlulah (pergi) melainkan ada sesuatu mendesak. Tapi, bila ada perhimpunan, kita akan tambah risiko kita kerana penyakit ini akan merebak”.

Persoalannya ialah, adakah menghadiri sambutan ulang tahun kemerdekaan itu terkategori sebagai MENDESAK? Dalam hal ini, kita tidak pasti, apakah yang sedang difikirkan oleh pihak yang menganjurkan sambutan itu, tetapi dengan kadar kematian yang sudah menghampiri angka 20 orang dan mangsa yang positif pula sudah mencecah angka 1 600, seharusnyalah hal ini difikirkan dengan sewajar-wajarnya. Anak-anak yang 23 000 orang itu perlu kita lindungi. Kalau membatalkan sambutan itu dianggap sebagai langkah pencegahan, sesuai benarlah langkah ini diambil kerana “Mencegah Lebih Baik daripada Mengubati”.

Memang benar, YAB DS Najib ada mengingatkan kita supaya menjaga kebersihan diri dengan cara membasuh tangan dan memakai topeng, khususnya tatkala berada atau menhadiri majlis terbuka.

“Kalau kita perlu memakai topeng, pakailah. Tidak ada apa-apa kerugian,” kata beliau lagi selepas merasmikan Konvensyen Industri Sukan Malaysia di Pusat Konvensyen Berjaya Times Square, di sini 7 Ogos lalu.

Tetapi, adakah dengan memakai topeng kita akan betul-betul terselamat daripada jangkitan H1N1 itu?

Saya bukan menghasut sesiapa pun supaya mengelakkan diri daripada menghadiri upacara sambutan yang memang sangat bermakna itu, jauh sekali menghasut ibu bapa pelajar dan murid supaya menegah anak-anak mereka daripada menyertai upacara itu. Hal ini demikian kerana telah banyak wang dan masa yang dibelanjakan sebagai persediaan untuk sambutan itu. Tetapi, saya fikir, pihak kerajaan perlu memikirkan hal ini dengan serius. Jika perlu dibatalkan, batalkan sajalah!

Laungan “Merdeka” tidak membawa makna apa-apa kalau yang H1N1 “melaung-laung” mencari mangsanya.

Friday, August 7, 2009

Cerita Kedai Kopi

Sekarang, saya terpesona oleh lagu terbaharu nyanyian Malique yang turut menampilkan Salam – “Cerita Kedai Kopi”. Lagu itu, kini, sering berkumandang di radio. Saya pertama kali mendengarnya menerusi HOT FM pada hari Sabtu yang lalu (1 Ogos) sewaktu dalam perjalanan pulang ke Sabak Bernam. Bermula dari saat itu, lagu itu sering menghiburkan saya. Walaupun agak susah untuk mengikuti keseluruhan isi lagunya, namun dapat juga saya ikat dalam kotak fikir ini. Antara lain, liriknya tersusun begini:

Terlalu banyak kena kopi aku menyanyi
Ditemani teko berasap dan bau wangi
Ditemani cahaya malap dan lagu raggae
Hayati … salam …


Masing-masing ada masalah sendiri
Masalah dunia, masalah peribadi
Luahkan jangan simpan dalam hati
Boleh cerita di kedai kopi.


Cerita kedai kopi
Cerita kedai kopi
Tiada hakim tiada saksi
Cerita sensasi di kedai kopi.

Ada satu hero Melayu
Namanya rahsia
Dulu lepak tepi parit kampung
Sekarang lepak media massa.

Asal boleh masuk TV
Dia mesti buat
Awek tengok jambu
Laki tengok meluat
Cita rasa makin besar otak makin ketat
Baru angkat berat sikit baju pun dah sendat
Hei, jalan berkepak dengan awek romantis
Biasalah budak baru nak naik jadi artis.
(dan seterusnya...)

Hakikat lagu sebagai suatu bentuk hiburan memang tidak dapat dinafikan (walaupun kadang-kadang penyanyinya sendiri belum tentu terhibur kerana terpaksa melayan pelbagai bentuk fitnah dan gosip). Tentang lagu ini, yang membuatkan hati saya tertarik ialah tajuknya, “Cerita Kedai Kopi” di samping alunan muziknya yang saya kira bercorak raggae.

Berkebetulan dengan lagu itu, pada suatu malam, saya minum di sebuah restoran (sudah tentulah restoran ini bukan setakat menjual kopi sahaja tetapi restoran ini dapat dikategorikan sebagai kedai kopi juga). Restoran itu dipenuhi oleh pelanggan. Pelanggan yang baru sampai terpaksa meninjau-ninjau ke semua meja untuk memastikan jika ada meja-meja kosong untuk dijadikan tempat lepak bagi memenuhi keperluan tekak dan perut. Tiba-tiba, seorang lelaki datang ke meja saya seraya meminta kebenaran untuk duduk bersama dengan saya.

“Silakan...,” saya berkata kepadanya, memandang wajahnya sekilas dan kemudian menyuap roti nan ke dalam mulut saya.

“Bagi saya Kopi Jantan dengan tosai bawang,” saya mendengar dia berkata demikian kepada pelayan yang mengambil pesanan.

Lelaki itu biasa sahaja orangnya. Dia memakai kemeja-T tanpa kolar, tidak ingat saya warnanya. Tubuhnya lebih kurus daripada saya. Oleh sebab dia duduk, tidak dapatlah saya pastikan sama ada dia lebih tinggi daripada saya atau saya yang lebih tinggi daripada dia. Orangnya berkulit lebih putih daripada saya, bibirnya merah macam bibir DS Najib. Itu sahaja yang saya perasan tentang dirinya. (Sekarang, saya mencuba untuk mengingati wajahnya dan suaranya, tetapi kedua-duanya datang hilang, datang hilang. Dan rasanya sekarang macam tak datang-datang lagi. Hal ini memang kelemahan saya akhir-akhir ini. Sebagai contohnya, awal bulan Julai yang lalu, saya menghadiri Hari Mawaddah di sekolah anak saudara saya. Semasa ibu-ibu bapa pelajar dijemput makan tengah hari di dom pelajar, saya terpandang akan seorang gadis yang sangat cantik di sisi ibunya dan adiknya yang merupakan pelajar di sekolah berasrama penuh itu. Sambil makan, saya memandangnya beberapa kali – membayangkan dia menjadi menantu saya, isteri anak saya. Tetapi, selepas dua tiga hari, wajah yang cantik itu tidak dapat saya ingati lagi.)

Apabila Kopi Jantan yang dipesan “rakan semeja” saya diletakkan di hadapannya, dia tiba-tiba berkata kepada saya, “H1N1 ini berbahaya, dik”.

Saya mendongak, memerhatikan wajahnya, sekadar gitu-gitu sahaja. Saya, pada awalnya tidak pasti, sama ada dia memanggil saya “dik” ataupun “cik”. Walau bagaimanapun, hal H1N1 yang disebutnya menarik perhatian saya.

“Memang bahaya pun. Sekarang dah ada yang mati,” saya menyetujui kata-katanya.

“Saya rasalah, Encik...,” sekarang baru jelas dia memanggil saya ‘encik’ bukan ‘dik’, “... virus H1N1 ini dicipta, bukan muncul secara semula jadi”.

Saya terkejut, terasa seperti roti nan saya yang terakhir tersengkak di tekak. “Maksud Encik...,” oleh sebab dia ber‘encik’ dengan saya, saya pun ber‘encik’lah dengan dia, “... dicipta oleh manusia macam anthrax itu?”

“Ha ah!” katanya dan kemudian menambah, “H1N1 ini, sebenarnya Encik, sangat berbahaya kepada kita yang tidak makan babi. Orang yang makan babi sudah ada antibodi dalam tubuh mereka. Mereka turut terjejas apabila diserang virus H1N1 ini, tapi hanya demam dua tiga hari dan kemudian pulih semula. Orang yang tidak makan babi macam kita, tidak ada antibodi sedemikian. Oleh itu, apabila diserang virus ini, pembentukan antibodi akan memakan masa dan jika kita lemah, penyakit ini akan melarat dan dapat membawa maut.”

Saya memandangnya dengan pandangan separuh percaya. Tosai yang dipesannya tiba dan dia segera “melahap” tosai itu. Saya melihat dia makan laju sekali, tosai itu seperti tidak dikunyahnya sebaliknya terus ditelan begitu sahaja. Dia seperti tergesa-gesa.

Kata-katanya itu mengingatkan saya tentang diri saya sendiri sewaktu hendak mengambil suntikan Hepatitis-B semasa penyakit itu heboh dahulu. Saya tidak diberi suntikan itu seperti rakan-rakan saya yang lain kerana menurut wanita yang mengambil sampel darah saya (saya tidak ingat, adakah dia doktor atau jururawat), saya sudah mempunyai antibodi Hepatitis-B sendiri. Agaknya, hal yang sama juga berlaku dalam kes H1N1 ini, fikir saya walaupun saya kurang yakin akan ceritanya itu.

“Encik tahu tak, kebanyakan yang mati sekarang adalah orang yang tak makan babi, Melayu, orang Islam?” katanya sambil mengelap mulutnya dengan tisu yang disertakan oleh pelayan tadi dengan tosai tersebut.

“Betul ke?” Sekali ini saya meluahkan rasa tidak yakin saya. Saya mengikuti laporan Kementerian Kesihatan tentang H1N1 di Internet hampir saban hari, tetapi saya tidak menemukan ada senarai nama orang yang mati, kecuali mangsa pertama yang saya syaki seorang Islam kerana dia menuntut di International Center for Education in Islamic Finance. Selebihnya saya kurang pasti. Hal ini demikian kerana di negara-negara yang mencatatkan kes kematian yang banyak seperti di US dan Mexico itu, saya rasa kebanyakan yang mati itu bukan Islam, tetapi sama ada mereka pemakan babi atau bukan, tidaklah dapat diketahui.

“Betul, Encik.” Itu sahaja jawabannya tanpa memberitahukan sumber dia memperoleh maklumat itu. Saya ragu-ragu. Saya betul ragu-ragu. Dia kemudian menghirup Kopi Jantannya hingga habis dan kemudian memanggil pelayan untuk mengira harga makanan kami.

“Eh, tak payah bayar saya punya!” kata saya dengan sungguh-sungguh tetapi dia telah pun menghulurkan wang RM50 kepada pelayan itu dan selepas berkata “Ambillah langkah berjaga-jaga" dan “Jumpa lagi” dan saya membalasnya dengan ucapan “Insya-Allah” dan “Terima kasih”, dia membuntuti pelayan itu ke kaunter bayaran di dalam restoran. Barulah saya nampak akan susuk tubuhnya yang mungkin sedikit tinggi daripada saya. Walaupun dia sudah masuk ke dalam restoran itu, saya tetap duduk di meja di luar restoran sambil menunggu dia keluar untuk bersalaman dengannya. Tetapi selepas 10 minit menunggu, dia tidak muncul-muncul, saya angkat buntut dan berlalu.

Cerita “rakan semeja” saya tentang H1N1 itu samalah seperti “Cerita Kedai Kopi” dalam lagu Malique itu – tiada hakim tiada saksi, cerita sensasi di kedai kopi. Tetapi, saya tidak membuang ceritanya itu terus dari dalam fikiran saya. Mungkin ceritanya itu ada benarnya.

Yang menjadi persoalan di dalam benak saya sekarang ialah, kalau benar virus itu dicipta, apakah tujuannya?

Ah, “rakan semeja” saya itu benar-benar menimbulkan tanda soal, sama seperti tanda soal yang bercambah dalam diri saya sekarang – siapakah dia?

Tuesday, August 4, 2009

Warkah kepada Tuk Menteri

Ke hadapan Tuk Menteri yang saya hormati,
Adapun saya ini hanyalah anak negeri yang keluar tak mengganjilkan, masuk tidak menggenapkan. Oleh itu, saya faham benarlah kalau pandangan dan luahan hati saya ini tidaklah akan diambil peduli oleh Pak Menteri dan anak-anak buah Tuk Menteri.

Tuk Menteri yang saya sanjung,
Tergoncang hati kami, anak-anak negeri ini, apabila penyakit yang ada kaitannya dengan babi itu kini sudah meragut nyawa demi nyawa. Tidaklah kami duga, rupa-rupanya penyakit pandemik yang diturunkan Allah ini sebenarnya amatlah berbahaya. Di negara yang serba Boleh! ini, memang penyakit yang ada sangkut-paut dengan babi ini sudah lama wujudnya. Tuk Menteri tentu pernah mendengar penyakit sawan babi? Penyakit itu, Tuk Menteri, bukanlah berasal usul daripada babi, tetapi agaknya ada persamaan dengan penyakit yang ditanggung babi.

Sesungguhnya, Tuk Menteri, tentang selesema babi ini, kami memanglah tidak menggelabah pun pada awal-awal dahulu kerana Tuk Menteri menggambarkan pihak pemerintah yang Tuk Menteri juga berada di dalamnya, akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mengawal penyakit itu. Tatkala Tuk Menteri berkata yang demikian itu, yang tergambar pada fikiran kami pada waktu itu ialah langkah pertama yang akan diambil oleh pihak pemerintah samalah seperti yang dilakukan terhadap sang unggas yang menyebabkan selesema burung dahulu, iaitu babi-babi akan dihapuskan dengan pelbagai cara. Bukankah dahulu unggas-unggas (burung-burung) dimusnahkan dengan pelbagai cara? (Nasib baiklah burung saya yang selesema semasa bersama dengan isteri saya tidak mengalami nasib seperti sang unggas itu.)

Untuk pengetahuan Tuk Menteri, pada awal penyakit itu diuar-uarkan kepada kami seluruh isi negeri, tidaklah kami berasa begitu takut walaupun pada waktu itu di negara-negara yang banyak mempunyai babi seperti di negara kita ini memang banyak orang yang mati. Apatah lagi pada waktu awal kehadiran ujian Allah itu dahulu, hanya anak negeri yang berkelana ke negeri orang sahaja yang disinggahi penyakit itu.

Tetapi Tuk Menteri, sewaktu warkah ini saya titipkan, anak negeri yang mati kerana penyakit yang berasal usul daripada babi ini sudah lapan orang, Tuk dan kebanyakannya tewas kerana jangkitan tempatan. Lapan orang bukanlah sedikit, Tuk. Kini, yang sudah terjangkit hampir melewati 1 500 kes, dan 60% daripadanya jangkitan tempatan. Haruskah kami tidak berasa takut, Tuk?

Kelmarin, kami mendapat khabar daripada Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA). Tahukah Tuk Menteri hal yang dikhabarkannya kepada kami? Menurut beliau, Tuk, selesema babi ini dapat membunuh 5 500 hingga 28 000 orang rakyat Malaysia jika virus H1N1 itu menjangkiti 20% (5.5 juta orang) daripada 27.7 juta orang penduduk negara ini. Tidakkah Tuk Menteri mendengar perkhabaran itu yang asalnya diunjurkan oleh Pengarah Penyakit Berjangkit WHO, Dr Tee Ah Sian itu? Sekarang pun, Tuk Menteri, khabarnya di seluruh dunia, kadar kematian yang disebabkan oleh H1N1 ini sudah meningkat daripada 0.4% kepada 0.66%.

Tuk Menteri,
Bukanlah kami hendak menyalahkan Tuk Menteri dalam hal ini. Cuma Tuk Menteri, kami sangatlah berharap agar Tuk Menteri dan anak-anak buah Tuk tidak berselindung tentang selesema babi ini kerana sebagai salah seorang pendukung konsep 1Malaysia yang unggul itu, bukankah rakyat perlu didahulukan?

Saya juga agak hairan, Tuk Menteri, penyakit yang berstatus pandemik ini tidak pula menimbulkan rasa perlu dalam kalangan orang-orang agama untuk mengadakan solat hajat. Alangkah moleknya kalau orang di jabatan-jabatan agama mengarahkan semua pihak berkuasa masjid supaya mengadakan solat hajat untuk mengenyahkan penyakit ini daripada negara tercinta ini! Mungkin mereka hendak menunggu mereka sendiri dijangkiti baru hendak bersolat hajat.

Sekianlah, Tuk Menteri. Saya berharap agar warkah ini dapat dibaca bersama-sama untuk menyedarkan bahaya selesema babi ini. Kalau ada tersilap kata, terlanjur bicara, janganlah disimpan di dalam hati.