Saya mengikuti drama bersiri True Blood yang disiarkan oleh pihak Astro menerusi saluran 412 (bukan hendak mempromosikan drama itu). Drama ini diadaptasi daripada novel The Southern Vampire Mysteries karya Charlaine Harris. Sebagai sebuah drama, karya ini dihasilkan dan diterbitkan oleh Alan Ball dengan dibarisi pelakon seperti Anna Paquin dan Stephen Moyer (kedua-duanya bertunang kini sebagai hasil daripada berlakunya cinta lokasi). Drama ini mengisahkan suatu bentuk kehidupan “baharu” di Amerika Syarikat (khususnya di Bon Temps, Louisiana). Kehidupan yang dimaksudkan ialah manusia dan vampire (puntianak?) dapat hidup bersama sehingga boleh saling mencintai dan melakukan hubungan seks antara mereka. Sudah tentulah kewujudan vampire dalam persekitaran kehidupan manusia di Amerika Syarikat dalam drama itu tidak disenangi manusia dan ada organisasi tertentu yang ingin menghapuskan mereka (vampire) ini.
Kewujudan vampire dalam kehidupan manusia dalam drama True Blood itu rupa-rupanya ada kebersamaannya dengan kehidupan kita di Malaysia. Kita, rupa-rupanya, turut dikelilingi oleh vampire-vampire yang bukan sahaja mengacau-bilaukan kehidupan kita tetapi sangat menakutkan kita.
Vampire terbaharu yang menakutkan kita atas kekejaman yang dilakukannya ialah yang merogol, menikam, dan menyimbahi anak tirinya dengan asid. Anak tirinya itu kini terkedang di hospital. Anda tidak takutkah apabila orang yang anda percayai selama ini berubah menjadi vampire seperti itu? Vampire yang berperangai sama atau yang sejenis dengan vampire yang merogol, menikam, dan menyimbahi anak tirinya dengan asid itu banyak terdapat di sekeliling kita. Ada yang menyamar sebagai bomoh dan kemudian mencabul kehormatan pelanggannya, ada yang terkategori sebagai “haruan makan anak”, ada yang memperdagangkan isteri sendiri, dan sebagainya.
Vampire yang muda-muda pun banyak dan mereka ini perangainya lebih buruk daripada vampire Arab zaman Jahiliah kerana vampire Arab zaman Jahiliah hanya membunuh bayi-bayi perempuan sahaja. Sebaliknya, vampire muda di Malaysia membunuh tidak kira bayi itu lelaki ataupun perempuan dengan cara membuang bayi mereka ke pelbagai tempat, dari dalam longkang hinggalah ke dalam sungai dan tempat pembuangan sampah. Anda tidak takut? Saya takut kerana kezaliman dan kejahatan mereka mengundang kemurkaan dan pembalasan Allah SWT dan kalau Allah SWT menurunkan pembalasannya, semua umat yang berada di sekeliling vampire muda ini juga akan menerima bala daripada pembalasan Allah SWT itu. Na‘uzubilah.
Tidak cukup dengan perbuatan seumpama itu, ada vampire muda yang melakukan buli ekstrem selain gengsterisme dan lain-lain. Masihkah anda ingat akan peristiwa seorang pelajar melibas rakannya dengan lawi ayam di Kelantan dahulu? Atau masihkah anda ingat akan nama Mohd. Hadzrin Mohamad? Hanya kerana berebut kekasih, sekumpulan vampire muda (memang vampire sifatnya tiada belas kasihan) telah membelasah Hadzrin sehingga budak itu koma selama lapan hari dan akhirnya meninggal dunia pada 21 Februari 2009. Di sekolah, guru-guru pula dilarang oleh pihak Kementerian Pelajaran menyentuh murid, ibu bapa pula sering campur tangan dan mengambil tindakan terhadap guru (sehingga pelajar yang didenda kerana tidak membawa buku ke sekolah telah disergah, dimarahi, direndah-rendahkan martabatnya dan diugut untuk ditukarkan sekolah!) Hasilnya, naik minyaklah vampire muda ini.
Vampire di Malaysia ada juga yang berkhidmat dalam sektor swasta dan perkhidmatan awam. Vampire jenis ini tidak sampai membunuh jasad orang tetapi sekadar menyalahgunakan kuasa dan tanggungjawab yang diberikan. Sehingga demikian, ada kalangan vampire ini yang memusnahkan dan menghilangkan bukti yang diperlukan oleh pihak tertentu dalam pertuduhan tertentu. Sebagai hasil daripada tindakan vampire ini, vampire yang disabitkan atas tuduhan pengedaran dadah najis dan sebagainya terlepas daripada tuduhan yang disabitkan. Vampire ini tidak membunuh jasad kita tetapi mereka telah membunuh keyakinan kita. Anda tidak bimbangkah akan vampire seperti ini? Saya bimbang kerana kalau banyak vampire seperti ini dalam masyarakat kita, undang-undang akan tergadai.
Vampire yang berstatus pendatang asing pun menakutkan kita juga. Vampire yang memegang status ini khabarnya sudah berjumlah juta-jutaan. Ada yang berkulit hitam tetapi banyak yang kulit, rambut, tinggi, dan sebagainya yang sama seperti kita juga. Mereka juga kejam kerana telah merampas puluhan ribu peluang kerja yang sepatutnya disandang oleh rakyat negara ini (tidak dinafikan rakyat negara kita memang memilih kerjapun). Tetapi namanya pun vampire apatah lagi vampire pendatang ini. Mereka ini lasak dalam mendepani kerja-kerja yang bercirikan 3D – Danger, Dirty, Difficult sedangkan anak-anak kita lasaknya merempit! Hari Ahad dan pada waktu malam vampire pendatang ini berlibur di beberapa tempat yang menjadi port istimewa mereka. Sehingga demikian, kita menjadi tidak berani bersiar-siar di tempat itu. Anda berani ke Sinar Kota atau Kota Raya berdekatan Puduraya itu pada hari Ahad?
Yang membawa vampire pendatang ini masuk lebih terserlah ciri-ciri vampirenya. Dengan mengambil vampire pendatang, kos penggajian lebih rendah, tuntutan Kesatuan Sekerja boleh disisihkan. Di pihak vampire yang mendapat permit untuk membawa vampire pendatang ini masuk ke negara ini lagilah banyak mengaut keuntungan. Anda tidak pelik dengan suatu kenyataan tidak lama dahulu yang mengatakan 70 000 vampire dari salah sebuah negara Asia Selatan sedang bersedia untuk masuk ke negara ini walhal yang datang dari negara yang sama dan sudahpun berada di negara ini terpaksa bersidai di kolong dan di bawah jambatan sambil merayu supaya dihantar pulang? Kerja siapa ini, vampire pengusaha atau vampire pemegang permit?
Marilah kita berdoa agar kita dan orang-orang yang kita pilih dan kita angkat menjadi pemimpin tidak bertukar menjadi vampire juga. Kalau mereka menjadi vampire, kita kelak akan menjadi lebih vampire. (Janganlah anda mencuba-cuba untuk membayangkan bahawa memang sudah ada pun kalangan pemimpin kita yang menjadi vampire!)
Seperti di Bon Temps, Louisiana itu, kita memang sedang dikelilingi vampires!
Tentu ada ubat untuk menghapuskan Vampires ini.
ReplyDeleteDi Malaysia, selain Vampires wujud juga bermacam-macam jenis hantu. Tapi yang menyerlah sekarang ialah Hantu Politik atau Hanpo(mereka menerkam dan menghisap darah tanpa kira masa dan ketika)
MKriza
Salam.
ReplyDeleteBetulkah di kalangan pemimpin kita tidak ada vampires? Sangat sukar dipercayai. Bukankah vampire suka membunuh? Kalau membunuh masa hadapan pelajar, boleh dikira sebagai vampire juga, kan kan kan?
Kita ni bukan saja membunuh masa depan pelajar tetapi semua yg kita lakukan sekarang adalah pembunuhan beramai-ramai terhadap bangsa sendiri.
ReplyDeleteTanah kita senang-senang diambil dan dijual
Pulau kita senang-senang diserah
Kampung kita dirobek atas nama pembangunan
Negara kita pun sedang dirunding untuk dijual....
Bro, masa gua cikgu dulu, banyak pelajar gua yang kena gigit vampire kat batang tengkuk durang...seram bro, wa cakap lu!
ReplyDeleteSalam semua,
ReplyDeleteRiza..., hanpo memang hampeh! Yang elok kata tak elok, yang tak elok kata elok. Alasan, political survival.
Cikgu Marni..., kalau kita kata ada, nanti lain pula ceritanya. Fahamlah, kan! Jenis-jenis yang macam itu tak cari leher, dia orang cari puncanya - anak-anak kita.
Sdr Muaz..., dan kita hanya mampu melihat dan memangkah, sama ada pembangkang atau pemerintah yang ada sekarang pada pilihan raya nanti. Kita tak mampu menolak kedua-duanya.
Bro Metal..., itulah vampire sejati. Mula-mula dok bagi kat leher dan tengkuk. Darah tak keluar, takat lebam je. Tak puas, mereka bagi dara, apabila ter**********, campak bayi macam campak bangkai kucing! Dasar vampire.