Wednesday, August 26, 2009

Sepintas Lalu tentang Permatang Pasir

Saya menjadi berminat untuk mengikuti mana-mana pilihan raya kecil kerana kerap membaca pelbagai ulasan berbentuk “kempen” lewat akhbar arus perdana dan blog-blog di Internet. Di Internet, saya membaca pelbagai blog politik, sama ada yang ditulis oleh orang-orang yang propemerintah (baca UMNO-BN) ataupun yang propembangkang (baca PAS-PR). Pelbagai ramalan, andaian, analisis, dan ulasan dilontarkan mereka. Sebagai orang yang sekadar menjadi pemerhati (kerana tidak menyertai mana-mana parti), saya dapat mengikutinya dengan fikiran yang waras (rasional), bukan dengan perasaan yang melulu (emosional).

Tentang PRK di Permatang Pauh, saya ingin membandingkannya dengan PRK di Manek Urai yang baru sahaja berlalu. Tatkala orang menjangkakan PAS akan menang mudah di Manek Urai, keputusan yang sebaliknya berlaku (dalam PRK itu, PAS menang dengan majoriti yang sangat sedikit, iaitu 65 undi sahaja). Sebaliknya, tatkala orang (khususnya penyokong PAS dan “penganalisis” politik yang pro-PAS) menjangkakan PAS akan menang tipis di Permatang Pauh (dengan majoriti di bawah 1 000 undi), PAS menang besar pula (dengan majoriti 4 551 undi).

Walaupun majoriti itu merosot berbanding dengan PRU 12 yang lalu (majoriti yang diperoleh pada PRU 12 ialah 5 433 undi), namun mendapat majoriti yang sebanyak itu daripada 73.1% orang yang layak mengundi pada PRK kali ini sebenarnya adalah sangat banyak. Secara keseluruhannya, jumlah orang yang keluar mengundi pada PRK kali ini ialah sebanyak 14 768 orang (daripada 20 290 orang yang layak mengundi). 9 618 orang memilih PAS dan 5 067 lagi mengundi UMNO. Semasa PRU 12 lalu, 11 004 orang mengundi PAS manakala 5 571 mengundi UMNO.

Berdasarkan angka itu, UMNO dapat mengurangkan bilangan orang yang menyokong PAS sebanyak 1 386 orang. Malangnya, UMNO sendiri tidak dapat menambah bilangan orang yang menyokongnya kerana mereka turut mengalami kemerosotan daripada segi bilangan sokongan, iaitu sebanyak 504 orang. Maknanya, bukan PAS sahaja yang mengalami kemerosotan daripada segi sokongan tetapi UMNO juga demikian!

Saya, seperti dalam blog yang lalu, menjangkakan PAS akan menang, malah dengan yakin (bukan hendak mendahului Allah SWT) bahawa PAS akan menang dengan majoriti lebih daripada 1 000 undi. Saya berpendirian demikian kerana merasakan faktor ANWAR IBRAHIM memainkan peranan yang sangat besar dalam PRK di Permatang Pasir itu.

UMNO-BN, seperti biasa (PAS-PR pun kalau kalah akan melakukan perkara yang sama), akan membuat bedah siasat (“post-mortem”) bagi mengetahui punca kekalahan mereka. Pada pandangan saya, bukanlah sukar untuk membedah siasat bagi mengetahui punca kekalahan mereka. Seperti yang ditegaskan, faktor Anwar Ibrahim (bukan PKR atau PR) merupakan punca utama kekalahan UMNO-BN di situ. Sebagai buktinya, sejak Anwar menceburi politik dan bertanding di Parlimen Permatang Pauh (Permatang Pasir berada di dalamnya) sama ada sebagai penyokong kerajaan ataupun sebagai pembangkang, PAS menerima tempiasnya (semasa Anwar menjadi penyokong kerajaan, PAS telah kalah tetapi semasa Anwar menjadi pembangkang walaupun hanya diwakili isterinya, PAS menang di situ). Faktor kedua sudah tentulah “kesilapan” di pihak UMNO-BN dalam memilih calon untuk menyaingi PAS dalam PRK itu. “Kesilapan” itu tidak sepatutnya berlaku. Memilih orang yang “tampak seperti” pernah melakukan penyelewengan jelas sangat tidak bijak kerana tindakan itu telah membuka ruang kepada pihak PAS-PR untuk menembak, membedil, dan mengebom UMNO-BN dari segenap sudut sehingga memaksa UMNO-BN “bertahan” dan “berkubu” dengan “peralatan” yang tempang.

Faktor yang tidak kurang pentingnya yang menyebabkan kekalahan UMNO ialah “serangan” yang dilakukan oleh UMNO-BN kepada susuk yang sangat penting kepada PAS, iaitu TG Dato’ Nik Aziz Nik Mat (dalam hal ini Tuan Guru itu telah dituduh “luar biasa” kerana “tahu” siapa yang akan ke syurga atau ke neraka). Penggunaan kaedah yang “keras” dengan matlamat untuk mengalih sokongan ahli PAS kepada UMNO itu sangat tidak sesuai. Sepatutnya kaedah yang lebih “waras” dan lembut digunakan kerana batu yang keras air pelekuknya; hati yang keras lidah pelembutnya. Faktor-faktor sampingan (yang mempengaruhi pengundi Cina) termasuklah perihal kematian Sdr. Teoh Beng Hock dan isu PKFZ.

Saya sangat bersetuju dengan kenyataan TS Muhyiddin Yassin tentang keputusan PRK N11 Permatang Pasir ini, iaitu “hal ini merupakan suatu proses demokrasi”. Janganlah ada dalam kalangan UMNO-BN yang membuat kenyataan yang lain seperti “Walaupun gagal, UMNO-BN berjaya mengurangkan majoriti yang diperoleh PAS-PR”, “Kita sudah menjangkakan kita akan kalah”, dan sebagainya. Baik PR mahupun BN, kalau kalian menganggap mengurangkan majoriti sebagai suatu kejayaan, saya rasa ada yang tidak betul!

Hingga sekarang, saya tidak pernah menyalahkan DS Mohd. Najib yang enggan meletakkan calon BN bertanding dalam PRK di Penanti dahulu. Malah, pada pandangan saya, tindakan itu sangat bijak. Malah, saya mencadangkan kepada pihak BN supaya membuat suatu ketetapan, iaitu:

  • bahawa BN tidak akan bertanding dalam mana-mana PRK di kawasan yang sebahagian besar pemilih/pengundinya (katakanlah 70%) menyokong pembangkang (dalam hal ini, jadikanlah PRU dan keadaan semasa sebagai panduan);
  • bahawa BN tidak akan bertanding dalam mana-mana PRK jika kemenangan itu tidak membantu BN dapat mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri atau dapat mengurangkan majoriti 2/3 parti yang memerintah (dalam kes semasa, kemenangan BN di satu kerusi seperti di Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, dan Selangor tidak akan mengurangkan majoriti parti yang memerintah negeri itu sekarang. Berbeda dengan kes di Perak).

Sepatutnya, BN tidak perlu bertanding setelah kerusi N11 Permatang Pasir itu kosong selepas kematian Dato’ Mohd Hamdan Abdul Rahman dahulu. Alasan untuk tidak bertanding sangat kuat – H1N1 sedang menular dan BN tidak mahu mendedahkan rakyat Permatang Pasir kepada penyakit berbahaya itu. Keselamatan rakyat perlu didahulukan.

Sekarang Dato’ Dr. Mohd. Zahid Hamidi perlu menjawab perihal “kekalahan besar” ini. Beliau Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.

4 comments:

  1. Salam tuan. Keputusan dah diketahui. Parti pemerintah tewas lagi. Ini bukan sekali.....dah acap kali. Apa sebenarnya yg tidak kena dengan parti pemerintah ni? Apa saja alasan boleh dikemukakan tapi hakikatnya ia sudah acap kali dibom dan dibedil..... kenapa ia jadi begitu. Kalau dulu berlaku PR kecil jangan haraplah pembangkang nak menang. Kenapa ya? kenapa!!!!Apakah parti itu sudah lanjut usianya,sudah hilang seksinya,sudah berkedut dan berkerut wajahnya?

    ReplyDelete
  2. Salam jua,
    Parti pemerintah sejak sekian lama tidak mempraktikkan tuntutan demokrasi yang sebenarnya. Mereka mengamalkan politik dendam, iaitu mengesampingkan rakyat yang tidak menyokongnya dalam PRU/PRK (kita biasa melihat perdesaan yang tidak dilengkapi prasarana moden kerana penduduknya tidak menyokong mereka) tetapi pada waktu yang sama melayan segala tuntutan/memberikan kesenangan kepada rakyat yang menyokongnya. Ketidakadilan ini menganiaya rakyat sekali gus menimbulkan kemurkaan Allah.

    Jadi, kesimpulannya, rentetan kekalahan parti pemerintah ini berpunca daripada mustajabnya doa insan yang teraniaya dan pembalasan Allah.

    ReplyDelete
  3. Salam.
    Saya sangat bersetuju dengan catatan Encik Zulkifli ini. Hakikatnya, selagi rakyat tidak diutamakan (atau hanya menjadi keutamaan ketika ada pilihan raya) selagi itulah skrip yang sama akan terus berulang.

    ReplyDelete
  4. Salam jua,
    Dosa-dosa pihak pemerintah dalam bidang politik sedang dibalas oleh rakyat. Apa-apa juga yang dilakukan pemerintah tidak kelihatan betul pada mata rakyat walaupun ada yang betul. (Misalnya, dahulu hanya bangsa selain Melayu sahaja yang banyak menyanggah polisi kerajaan tetapi kini Melayu sendiri menentang.) Dosa-dosa pemerintah dalam bidang kebahasaan masih belum tampak jelas dibalas. Hingga kini mereka masih lagi melakukannya dengan angkuh. Nak dibalas dengan kertas undi jugakah?

    ReplyDelete