Saturday, August 15, 2009

H1N1: Masihkah Hendak Berpeluk Tubuh Kita Ini?

Perkhabaran ini mengejutkan amat, menakutkan amat. Perkhabaran itu tidak lain tidak bukan tentang H1N1 dan yang menyampaikannya bukan pembicara di warung kopi tetapi pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau (WHO). Khabarnya ialah bahawa:

  1. 20% atau lima juta orang warga negara ini akan berdepan dengan risiko dijangkiti virus H1N1 sekiranya usaha pencegahan tidak diambil oleh rakyat negara ini dengan serius;
  2. penularan wabak berkategori pandemik ini mungkin akan berlanjutan enam bulan hingga setahun lagi;
  3. wabak itu akan merebak dengan lebih pantas pada musim tengkujuh kerana pada musim itu kita lebih terdedah kepada selesema, batuk, dan demam;
  4. jumlah penduduk yang dijangkiti H1N1 sebenarnya 20 kali ganda lebih banyak daripada jumlah pesakit yang menerima rawatan daripada jangkitan virus itu (maknanya daripada 3,574 kes jangkitan H1N1 pada 15 Ogos 2009, jumlah yang dijangkiti sebenarnya adalah sekitar 70 000 orang).

Sekarang bagaimana? Elokkah kita berpeluk tubuh sambil berfikir bahawa wabak itu mengamalkan dasar terpilih, iaitu hanya memilih orang lain, bukan kita atau kaum keluarga kita? Atau perlukah kita mengkategorikan orang yang memakai topeng itu sebagai penakut dan dengan itu mereka perlu ditertawakan beramai-ramai?

Tidak wajar kita meletakkan motosikal di tempat awam dan membiarkannya tanpa dikunci hendal dan rodanya dengan alasan bertawakal kepada Allah. Ikhtiar dan berusahalah dahulu, kemudian baru bertawakal!

Atau kita lebih suka melihat anggaran itu menjadi realiti?

2 comments:

  1. Salam.

    Kenyataan yang sememangnya sangat menakutkan kita (tetapi belum cukup menakutkan pemimpin kita). Pemimpin kita masih lagi mempertahankan pendirian mereka - rakyat tidak perlu bimbang dan panik, kawasan panas dengan kes H1N1 tidak boleh diumumkan kerana akan menjejaskan kawasan tersebut, sekolah masih tidak perlu ditutup selagi pelajar sekolah belum ramai yang mati.

    Sungguh mengecewakan!

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu Marni,

    Di Mumbai, India yang baru dilanda wabak ini, sekolah telah segera ditutup. Di negara kita, kawasan yan teruk dan berisiko dilanda H1N1 tidak boleh diisytiharkan sebagai kawasan hitam kerana saya rasa kebanyakan kawasan panas itu ialah sekolah, kolej, dan universiti. Silap haribulan, kawasan hospital juga. Wallahu a'lam. Percayalah, jika anggaran WHO itu menjadi realiti, rakyat yang akan disalahkan.

    ReplyDelete