Monday, August 3, 2009

Perihal Kalimat “Insya-Allah” (إن ﺸﺂء ﷲ): Cerita-cerita yang Berkaitan Dengannya

Antara kemuliaan sikap umat Melayu termasuklah sangat berhati-hati untuk berkata “Tidak” kerana khuatir kata “Tidak” itu akan melukai hati dan perasaan orang. Oleh hal yang demikian, selalulah kita mendengar handai taulan dan kaum kerabat kita (malah kita sendiri pun melakukan yang demikian), apabila dipelawa, disuruh, dan sebagainya, akan mengungkapkan kalimat “insya-Allah” (إن ﺸﺂء ﷲ). Kalimat ini dilafazkan dengan senang hati walaupun sedar akan ketidakupayaan masing-masing untuk memenuhi pelawaan, suruhan, dan sebagainya itu. Malah, dalam keadaan tertentu, memang sudah ada keengganan dan penolakan di hati masing-masing untuk memenuhinya.

Leluasanya soal penyalahgunaan kalimat ini oleh sebilangan masyarakat, baik yang muda remaja hinggalah yang tua renta, bukanlah baharu. Dengan kata lain, penyalahgunaan ini sudah membudaya dalam kalangan umat Islam di negara ini. Lafaz ini telah menjadi suatu kaedah untuk sengaja memungkiri janji walhal lafaz itu merupakan suruhan Allah dan Rasul-Nya. (Dalam hal ini, apabila kita melafazkan “insya-Allah”, kita dikehendaki menyertakannya dengan azam untuk menunaikannya, agar kita tidak tergolong sebagai orang munafik.)

Pada satu lagi situasi, dan hal ini ternyata sesuatu yang sangat buruk, banyak orang yang dengan bersewenang-wenang merancang untuk melakukan sesuatu atau berkata tentang sesuatu perkara dengan yakin tanpa menyertakan kalimat ini. Tidak dinafikan bahawa sesetengahnya memang terlupa untuk menyertakannya, namun masih banyak yang sengaja tidak menyebutnya. Tabiat tidak menyertakan kalimat yang mulia ini dalam sesuatu yang dirancangkan atau yang diyakini sebenarnya meletakkan diri kita seolah-olah berkuasa tentang berlaku atau tidak berlakunya sesuatu itu. Dengan kata yang lebih mudah, tabiat itu menunjukkan kita telah mendahului Allah.

Perihal kelebihan kalimat “insya-Allah” ini dapat kita telusuri daripada beberapa banyak cerita yang menimpa orang-orang dan tokoh-tokoh yang tidak menyebut kalimat “insya-Allah” tatkala mereka merancang untuk melakukan sesuatu.

CERITA I (BERDASARKAN TAFSIR AL-QURAN IBN KATHIR)

Pada suatu hari, Nabi Muhammad SAW didatangi oleh An-Nadhar bin Al-Harith dan ‘Uqbah bin Abi Mu‘it yang merupakan wakil kaum Quraisy. Mereka meminta Rasulullah SAW menceritakan perihal Ashabul Kahfi, Zulqarnain, dan roh (sepertimana yang dicadangkan oleh seorang rahib Yahudi). Lantas baginda pun menjawab, “Akan kuceritakan apa-apa yang kalian tanyakan itu esok”. Sewaktu berkata demikian, Baginda tidak mengiringinya dengan kalimat “insya-Allah”. Kedua-duanya pun berlalu. Malangnya, selepas berbelas-belas hari berlalu, Rasulullah SAW tidak menerima sebarang maklumat tentang hal itu daripada Allah SWT. Jibril AS pun tidak mengunjunginya. Dengan yang demikian, tidak dapatlah Baginda menjelaskan hal-hal yang ditanyakan itu. Pada hari yang kelima belas, barulah Jibril mendatanginya dengan membawa ayat daripada Allah bagi menjawab seluruh pertanyaan tersebut berserta teguran Allah SWT:

“Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): ‘Bahawa aku akan melakukan yang demikian itu, kemudian nanti’. Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): ‘Insya-Allah’. Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: ‘Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang daripada ini’.”
(Surah Al-Kahfi, ayat 23-24)

CERITA II (DIRIWAYATKAN OLEH BUKHARI DAN MUSLIM)

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi Sulaiman AS berkata, “Malam ini aku akan menggauli tujuh puluh isteriku (sesetengahnya meriwayatkan enam puluh, sembilan puluh atau seratus) supaya setiap seorang daripada mereka melahirkan seorang anak lelaki yang akan berjihad di jalan Allah”. (Menurut satu riwayat, malaikat berkata kepadanya), “Katakan: ‘insya-Allah’.” Tetapi baginda tidak menyebutnya. Baginda pun menggauli kesemua isterinya itu, tetapi tiada seorang pun (daripada mereka) yang mengandung dan melahirkan anak, kecuali seorang daripada mereka yang melahirkan anak yang cacat. Rasulullah SAW bersabda: “Demi Allah yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, jika beliau berkata ‘Insya-Allah’ nescaya setiap isterinya akan melahirkan seorang anak lelaki yang hebat dalam menunggang kuda untuk berjihad di jalan Allah”.

CERITA III (AL-QURAN, SURAH AL-QALAM)

Sesungguhnya, mereka telah Kami timpakan dengan bala bencana, seperti yang Kami timpakan ke atas tuan-tuan punya kebun (daripada kaum yang telah lalu), ketika orang-orang itu bersumpah (bahawa) mereka akan memetik buah-buah kebun itu pada esok pagi. (17)
Serta mereka tidak menyebut insya-Allah*. (18)
Maka kebun itu didatangi serta diliputi oleh bala bencana daripada Tuhanmu (pada malam hari), tatkala mereka semua tidur. (19)
Lalu menjadilah ia sebagai kebun yang telah binasa semua buahnya. (20)
Kemudian, pada pagi-pagi, mereka panggil-memanggil antara satu dengan yang lain. (21)
(Sesetengahnya berkata): “Pergilah pada pagi-pagi ke kebun kamu, kalau betul kamu mahu memetik buahnya”. (22)
Lalu, berjalanlah mereka sambil berbisik (katanya): “Pada hari ini, janganlah hendaknya seorang miskin pun masuk ke kebun itu mendapatkan kamu”. (23)
Dan pergilah mereka pada pagi-pagi itu, dengan keyakinan (bahawa) mereka berkuasa untuk menghampakan fakir miskin daripada hasil kebun itu. (24)
Sebaik-baik sahaja mereka melihat kebunnya, mereka berkata: “Sebenarnya kita sesat jalan, (ini bukanlah kebun kita)”. (25)
(Setelah diperhatikan oleh mereka dengan teliti, mereka berkata: “Tidak! Kita tidak sesat), bahkan kita orang-orang yang dihampakan (daripada hasil kebun kita, dengan sebab ingatan buruk kita sendiri)”. (26)
Berkatalah orang yang bersikap adil antara mereka: “Bukankah telah aku katakan kepada kamu (semasa kamu hendak menghampakan orang-orang fakir miskin dari habuannya): amatlah elok kiranya kamu mengingati Allah (serta membatalkan rancangan kamu yang jahat itu)?” (27)
Mereka berkata (dengan sesalnya): “Maha Suci Tuhan Kami! Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang berlaku zalim!” (28)
(Surah al-Qalam, ayat 17-28)
[*Disebut dalam Tafsir Ibn Kathir]

CERITA IV

Ya’juj dan Ma’juj ialah makhluk Allah yang berperilaku aneh. Keberadaan mereka di muka ini telah menyebabkan manusia dan makhluk lain hidup sengsara malah banyak yang mati kerananya. Oleh hal yang demikian, makhluk ini telah dikurung dalam suatu kawasan yang dipagari tembok besi yang tinggi dan utuh. (Tembok besi ini dibina oleh Zulqarnain dengan bantuan penduduk di daerah yang berdepan dengan ancaman ya’juj dan ma’juj ini ribuan tahun dahulu.)

Seperti makhluk lain, ya’juj dan ma’juj juga tidak suka dikurung. Oleh hal yang demikian, mereka mencuba untuk membebaskan diri mereka dengan cara melubangi tembok itu supaya mereka dapat lepas bebas di mayapada ini. Usaha mereka itu bukan dilakukan sekali dua tetapi setiap hari dan hanya berhenti setelah hari hampir malam.

“Kita berhenti menggali pada hari ini dan kita sambung semula pada esok hari.” Begitulah yang diungkapkan oleh pemimpin ya’juj dan ma’juj pada setiap hari. Tetapi, pada setiap malam selepas mereka bekerja itu, Allah menambahkan ketebalan tembok itu sekali ganda lagi. Sehinggalah pada suatu hari yang dijanjikan, Allah memang menghendaki mereka ini tersebar di muka bumi. Pada hari itu, setelah selesai melubangi tembok itu, ketua itu menyuruh anak-anak buahnya pulang seraya berkata, “Insya-Allah, kita sambung semula esok”. Berkat berkata “insya-Allah”, tembok itu tidak bertambah dan tetap kekal seperti biasa. Hari-hari yang berikutnya, mereka terus melubangi tembok itu sehingga berjaya meloloskan diri lalu bertebaranlah mereka di muka bumi ini. (Peristiwa bebasnya mereka ini menjadi petunjuk bahawa kiamat sudah sangat hampir untuk berlaku.)

Berdasarkan ketiga-tiga cerita yang pertama itu, dapat kita ketahui bahawa kalimat “insya-Allah” sama sekali tidak boleh kita sisihkan dalam sebarang bentuk ikrar dan azam kita. Hal ini demikian kerana penyisihannya, sama ada kerana terlupa atau sengaja, mendatangkan natijah yang amat buruk.

Berdasarkan cerita keempat, dapat kita ketahui betapa bergunanya kalimat “insya-Allah” dalam setiap usaha kita. Dengan kata lain, kalimat “insya-Allah” dapat merealisasikan impian dan usaha kita.

Perihal kemuliaan kalimat “insya-Allah” ini sengaja saya ketengahkan kerana kita sedang berdepan dengan masalah yang pelbagai – kegawatan ekonomi, masalah sosial dalam kalangan rakyat (merentas usia), kemasukan pendatang asing, dan yang sedang hangat diperkatakan sekarang ialah selesema babi a.k.a. H1N1.

Saya sangat jarang mendengar pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam hal-hal yang berkaitan kegawatan ekonomi, masalah sosial, pendatang asing, dan H1N1 itu (apabila melafazkan ikrar, azam, usaha, dan sebagainya semasa berucap) mengiringinya dengan kalimat “insya-Allah”. Lalu, saya pun berfikir adakah keleluasaan masalah ini berpunca daripada keegoan mereka yang seolah-olah menafikan kewujudan qada dan qadar Allah.

Suatu hakikat yang pasti, kalimat “insya-Allah” dalam pengucapan kita membuktikan ketuanan Allah terhadap diri kita, hamba-Nya, kecualilah kalau kita merasakan sebaliknya. Na’uzu billah.

No comments:

Post a Comment