Pada 31 Ogos 1957, teriakan keramat “Merdeka” telah dilaungkan oleh YTM PM kita yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. Teriakan itu dituruti oleh puluhan ribu rakyat Malaysia yang berada di Stadium Merdeka pada saat tersebut. Malah, tatkala YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj melafazkan perisytiharan kemerdekaan pun, laungan itu telah dilaungkan rakyat Malaysia sehingga menenggelamkan perisytiharan itu.
Tahun lalu, laungan itu diulang oleh PM Malaysia ke-5, YAB Datuk Seri (Tun) Haji Abdullah bin Haji Ahmad Badawi. Tidaklah diketahui sama ada laungan itu akan ada ulangannya lagi pada tahun ini. Yang pasti, sambutan ulang tahun kemerdekaan negara Malaysia ke-52 yang bertemakan “1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” tetap akan dilangsungkan. Lokasi sambutan ialah di Stadium Nasional, Bukit Jalil Kuala Lumpur. Oleh sebab sambutan pada tahun ini jatuh dalam bulan Ramadan, perarakan besar-besaran seperti kereta berhias dan sebagainya akan digantikan dengan sambutan berunsurkan kemanusiaan yang menggambarkan keunikan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama ini. Sambutan ambang kemerdekaan juga tidak akan diadakan. Hal ini bermakna, kita tidak dapat melihat pertunjukan bunga api seperti selalunya (kecuali jika ada pihak swasta yang berhajat untuk melakukannya).
Khabarnya, 23 000 orang murid dan pelajar akan terlibat dalam sambutan pada tahun ini. Jumlah itu sangat besar dan akan menjadi bertambah besar apabila pihak-pihak yang lain dalam sektor awam dan swasta turut menyertai upacara sambutan itu. Rakyat yang berminat untuk hadir ke sambutan itu juga akan membanyakkan jumlah orang yang akan berada dalam sambutan itu kelak.
Orang-orang yang berfikiran rasional, yang patuh akan saranan pemimpin mereka, saya pasti, akan membatalkan keinginan mereka untuk memeriahkan sambutan itu. Mengapakah demikian? Kerana penyakit selesema babi sedang mewabak di negara kita. Keseriusan penyakit ini diakui oleh YAB PM kita sendiri sehingga demikian beliau telah mengingatkan seluruh rakyat Malaysia bahawa:
“Kalau perhimpunan itu tidak perlu, tidak perlulah (pergi) melainkan ada sesuatu mendesak. Tapi, bila ada perhimpunan, kita akan tambah risiko kita kerana penyakit ini akan merebak”.
Persoalannya ialah, adakah menghadiri sambutan ulang tahun kemerdekaan itu terkategori sebagai MENDESAK? Dalam hal ini, kita tidak pasti, apakah yang sedang difikirkan oleh pihak yang menganjurkan sambutan itu, tetapi dengan kadar kematian yang sudah menghampiri angka 20 orang dan mangsa yang positif pula sudah mencecah angka 1 600, seharusnyalah hal ini difikirkan dengan sewajar-wajarnya. Anak-anak yang 23 000 orang itu perlu kita lindungi. Kalau membatalkan sambutan itu dianggap sebagai langkah pencegahan, sesuai benarlah langkah ini diambil kerana “Mencegah Lebih Baik daripada Mengubati”.
Memang benar, YAB DS Najib ada mengingatkan kita supaya menjaga kebersihan diri dengan cara membasuh tangan dan memakai topeng, khususnya tatkala berada atau menhadiri majlis terbuka.
“Kalau kita perlu memakai topeng, pakailah. Tidak ada apa-apa kerugian,” kata beliau lagi selepas merasmikan Konvensyen Industri Sukan Malaysia di Pusat Konvensyen Berjaya Times Square, di sini 7 Ogos lalu.
Tetapi, adakah dengan memakai topeng kita akan betul-betul terselamat daripada jangkitan H1N1 itu?
Saya bukan menghasut sesiapa pun supaya mengelakkan diri daripada menghadiri upacara sambutan yang memang sangat bermakna itu, jauh sekali menghasut ibu bapa pelajar dan murid supaya menegah anak-anak mereka daripada menyertai upacara itu. Hal ini demikian kerana telah banyak wang dan masa yang dibelanjakan sebagai persediaan untuk sambutan itu. Tetapi, saya fikir, pihak kerajaan perlu memikirkan hal ini dengan serius. Jika perlu dibatalkan, batalkan sajalah!
Laungan “Merdeka” tidak membawa makna apa-apa kalau yang H1N1 “melaung-laung” mencari mangsanya.
Salam.
ReplyDeleteBukankah kerajaan sendiri meminta agar rakyat tidak panik dengan penularan wabak H1N1. Jangan panik. Bertenang. Sebab itulah kita 'tenang-tenang' sahaja sehingga terlupa hendak memakai topeng dan terus menghadiri acara-acara yang melibatkan ramai orang. Sudah terbukti, penganjur sambutan kemerdekaan telah menyahut seruan kerajaan. Mereka tidak panik. Hehehee..
Sdr Marni,
ReplyDeleteSesungguhnya benarlah kata Sdr itu. Tahap tidak panik mereka itu seakan-akan memaksa PM sendiri bercakap hal ini. Khabarnya, antara yang telah menjadi mangsa korban H1N1 itu Ketua Pemuda UMNO di Melaka, tak pasti pula cawangan ke bahagian. Innalillahi wa inna ilaihi roji'un.
Sama-samalah kita berwaspada.