Tuesday, August 11, 2009

Anehkah Melakukan Kebaikan?

MELAKUKAN kebaikan dan kebajikan sangatlah disukai oleh Rasulullah SAW. Baginda menyukainya kerana hal itu sangat dituntut oleh Allah SWT, satu-satunya Tuhan Baginda, satu-satunya Tuhan kita.

Perihal kebaikan Rasulullah SAW yang bitara itu terpancar lewat suatu riwayat yang biasa kita dengar.

Dalam riwayat ini diceritakan bahawa Rasulullah SAW hampir saban pagi menyuapkan makanan kepada seorang pengemis Yahudi yang buta walaupun pengemis ini sering mencerca Rasulullah SAW dan agama Islam. Keceloparan pengemis itu langsung tidak menumbuhkan dendam kesumat di hati Baginda, sebaliknya Baginda terus-menerus menyuapi insan lemah upaya itu. Setelah Rasulullah SAW wafat, barulah pengemis itu tahu bahawa insan berhati mulia yang menyuapinya makanan selama ini ialah Nabi Muhammad SAW, insan yang dituduhnya sebagai “gila”, “pembohong”, dan “ahli sihir” itu. Dia menyesal lalu memeluk agama Islam.

Riwayat itu menggambarkan suatu mesej, iaitu melakukan kebaikan seperti yang dicontohkan oleh Junjungan Besar kita itu langsung TIDAK ANEH. Anehkah melazimkan kebaikan dalam kehidupan? Yang ANEH pada pandangan manusia pada kala itu ialah apabila orang menjauhi amalan yang baik.

Hal ini sangat jauh bedanya dengan manusia zaman ini. Pada zaman ini, biasa kita temukan sekumpulan orang yang berasa ANEH terhadap kebaikan. Kumpulan orang ini dapat kita kategorikan kepada beberapa kelompok:

1 Kelompok orang yang beranggapan bahawa melakukan kebaikan itu suatu kebodohan – dua orang lelaki anak-beranak menebas rumput dan lalang yang tumbuh meliar dan menutupi kiri dan kanan jalan awam. Kerajinan kedua-dua orang anak-beranak itu menimbulkan rasa maha ANEH di dalam hati sekumpulan orang. Kedua-dua orang anak-beranak itu, pada pandangan kumpulan orang itu, BODOH kerana melakukan kerja yang sepatutnya dilakukan oleh pihak yang dipertanggungjawabkan seperti JKR, JPS, atau PBT.

2 Kelompok orang yang beranggapan bahawa melakukan kebaikan itu akan memiskinkan kita – beberapa orang pekerja mengamalkan konsep BCA – Bersih, Cekap, Amanah. Slogan Antirasuah lekat di hati bukan di dada baju semata-mata. Sekelompok orang berasa ANEH oleh kejujuran dan keikhlasan beberapa orang pekerja itu kerana kejujuran dan keikhlasan mereka tidak akan mengayakan mereka.

3 Kelompok yang beranggapan bahawa melakukan kebaikan akan menyebabkan kebuluran – sebuah badan pengguna Islam dan badan pengguna negeri menyenaraikan beberapa jenis makanan yang disahkan haram dan diragui halalnya. Sekelompok orang berasa ANEH lalu mengherdik dengan berkata, “Kalau semuanya tidak boleh, kita mahu makan apa? (Kelompok orang ini lupa, ubi kayu rebus pun mengenyangkan juga!)

4 Kelompok yang beranggapan bahawa melakukan kebaikan itu tanggungjawab pihak lain – sekumpulan agamawan dan orang awam berlepas tangan untuk menjalankan peranan sebagai pendakwah untuk mendekatkan agama Islam kepada manusia bukan Islam kerana beranggapan bahawa kerja itu bukan tanggungjawab mereka tetapi tanggungjawab JAKIM, Pusat Islam, PERKIM, dan sebagainya. Dengan itu, usaha berdakwah kepada orang-orang seperti Presiden MCA, MIC, PPP, Gerakan, dan segala macam orang yang belum menerima Islam, bagi mereka, tersangatlah ANEH. (Oleh sebab berasa ANEH untuk mentarbiahi mereka, maka orang-orang seperti Karpal Singh, Lim Kit Siang, Ronnie Liu, Ketua Pemuda DAP, dan konco-konconya pun jahillah tentang Islam. Maka beranilah mereka menempelak Islam. Kelompok yang beranggapan bahawa melakukan kebaikan itu tanggungjawab pihak lain pun marahlah akan Karpal Singh, Lim Kit Siang, Ronnie Liu, Ketua Pemuda DAP, dan konco-konconya tanpa sedar Allah SWT murka akan mereka kerana tidak mendekatkan Islam kepada Karpal Singh, Lim Kit Siang, Ronnie Liu, Ketua Pemuda DAP, dan konco-konconya.)

Kalau melazimkan kebaikan dalam kehidupan menjadi ANEH kepada manusia kini, apakah tandanya?

6 comments:

  1. bro, gua kat KK lagi. sekarang pukul 1.50 pagi. gua tak dapat tidur. gua jengok kat bawah, gua nampak ada cc. jadi, gua pun lepak kat cc ni sambil jeling-jeling kupu-kupu malam yg tengah bersidai kat tepi tangga pub sebelah.

    *gua metal, so bahasa gua, bahasa metal.... ahakkks!!!

    ReplyDelete
  2. Salam.
    Dalam satu ceramah agama yang diadakan ketika saya bergelar pelajar sekolah dahulu, penceramah itu ada berkata, "Di akhir zaman nanti, hampir semua orang akan melakukan kesalahan sehingga kita akan berasa bersalah apabila tidak ikut sama melakukan kesalahan." Aneh, tetapi itulah hakikat yang berlaku pada hari ini.

    ReplyDelete
  3. Kita dikatakan aneh apabila menyatakan yang benar.
    Yang salah kini sudah menjadi kebiasaan, bukannya suatu yang aneh lagi.

    ReplyDelete
  4. Cikgu Metal,
    Bercakap memang pelbagai variasinya, pelbagai konsepnya, daripada bahasa kreol, slanga, pijin, bahasa pasar, bahasa kutu hinggalah bahasa standard. Idea tetap akan sampai tetapi jangan sampai tidak yakin pada bahasa sendiri seperti orang tua kita, pelopor PPSMI itu. Dapat melakukan kebaikan kepada sang kupu-kupu malam itu?

    Cikgu Marni,
    Ya, Ustaz Taib Azamuddin semasa menjadi Imam Besar Masjid Negara pernah berceramah di surau kami dan mengatakan hal yang sama dengan yang cikgu katakan. Yang buruk sudah tidak menjadi aneh lagi.

    MK Riza,
    Sdr carilah pelbagai contoh keanehan yang lain, kemudian sama-sama kita tanyai diri kita - berupayakah kita untuk menegah mereka supaya menghindari kesongsangan yang dilakukan mereka?

    ReplyDelete
  5. salam tuan, tulis ini sangat bertepatan dengan suasana hari ini.

    ReplyDelete
  6. Sdr Azli,

    Terima kasih kerana sudi berkunjung dan memberikan komen dalam blog ini.

    Pada pandangan saya, perbuatan orang-orang ini, khususnya dalam kelompok 4, seperti mengherdik beruk di seberang sungai: beruk tak lari, suara kita serak.

    ReplyDelete