“RAMADAN bulan mulia, Ramadan bulan barokah, Ramadan bulan rohmah, Ramadan bulan ‘ibadah, Ramadan menyediakan laba berlipat ganda kepada manusia mukminin”. Itulah ungkapan yang lazim dipasakkan ke telinga kita. Kebenaran ungkapan itu tidak dapat kita sangkal dan dengan yang demikian memang wajarlah ungkapan itu dipasakkan ke telinga kita. Dengan benarnya ungkapan itu, menjadi tanggungjawab kitalah untuk mendapatkan kemuliaan, keberkatan, rahmat, laba, dan sebagainya itu. Allah SWT telah menyediakannya dan Dia tidak akan mencurahkannya dengan begitu sahaja tanpa ada usaha daripada pihak kita untuk mencari, mengejar, dan mendapatkannya.
Dalam bulan ini, seperti yang kita ketahui, Allah Yang Maha Mengetahui segala perkara, dengan kasih sayang-Nya yang Maha Luas, telah “membelenggu” dan melemahkan seteru besar umat Islam, iaitu SYAITAN laknatulLah. Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
“Apabila datangnya Ramadan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai/dibelenggu para syaitan.”
(HR al-Bukhari dan Muslim)
Oleh hal yang demikian, segala aksi umat Islam dalam bulan Ramadan ini “bebas” daripada “pengaruh” makhluk yang dilaknat Allah SWT itu. Dengan kata lain, segala aksi umat Islam dalam bulan yang mulia ini dicetuskan oleh sikap mereka sendiri, bukan oleh hasutan dan bisikan syaitan. Sikap mereka itu pula dicetuskan oleh suatu unsur yang selalunya begitu dominan dalam diri masing-masing, iaitu NAFSU. Dalam bulan inilah kewarasan dan kekuatan setiap umat Islam teruji — adakah mereka yang mengawal nafsu atau sebaliknya mereka yang menjadi tunggangan nafsu.
(Pandangan ulama tentang maksud syaitan “dibelenggu” berdasarkan hadis Rasulullah SAW itu berbagai-bagai. Saudara Saudari dapat merujuknya daripada pelbagai sumber.)
Daripada sisi lain, Ramadan turut membuka peluang untuk kita melihat “belang” umat Islam yang sebenar-benarnya. (Melihat “belang” umat Islam yang sebenar-benarnya suatu kebaikan juga kepada kita, terutamanya jika kita mempunyai kekuatan dan keberanian untuk menegur dan membetulkan ciri-ciri janggal yang wujud dalam diri seseorang umat Islam itu.) Antara “belang” tersebut termasuklah:
- kita akan dapat melihat betapa “hangat-hangat tahi ayam”nya umat Islam sekiranya kita ke masjid atau ke surau untuk bertarawih;
- kita akan dapat melihat betapa boros dan lahapnya manusia Islam apabila kita ke bazar-bazar Ramadan;
- jika kita ke bazar Ramadan juga, kita akan dapat melihat dalam bulan yang datangnya sekali dalam setahun ini, yang di dalamnya mengandung segala bentuk bonus, ribuan umat Islam asyik dan leka dengan dagangan mereka sehingga lupa untuk bermaghrib, sehingga lupa untuk berisyak, sehingga lupa untuk bertarawih, sehingga lupa untuk bertadarus;
- kita juga akan dapat melihat betapa taasubnya umat Islam terhadap sesuatu yang baharu, daripada langsir dan pakaian hinggalah perabot dan kenderaan.
Patutlah syaitan pun merungut dan berasa aneh. “Wahai manusia!” kata syaitan, “Aku hairan akan sikap kalian. Aku menderhakai perintah Allah sekali, iaitu tatkala aku diperintah oleh Allah supaya sujud kepada Adam. Aku ingkar. Tetapi, wahai manusia, kalian mengingkari perintah Allah berkali-kali. Kalian meninggalkan solat berkali-kali dalam sehari, melupakan puasa, melupakan zakat, dan segala perintahnya yang lain.”
Sementelahan kita bebas daripada godaan syaitan, maka tunggangilah nafsu mengikut acuan yang ditetapkan Islam. Kalau tidak, kita akan menjadi lebih teruk daripada syaitan, tentunya.
No comments:
Post a Comment