Hukuman enam sebatan yang dikenakan ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor yang melakukan kesalahan meneguk arak di sebuah hotel di Cherating telah ditangguhkan atas arahan pihak pejabat Peguam Negara. Penangguhan itu “menaikkan darah” bapa Kartika, Shukarnor Abdul Mutalib. Sebagai natijahnya, bapa wanita itu telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kuala Kangsar.
Agak aneh juga, hukuman telah dijatuhkan dan pesalah serta ahli keluarganya redho dengan hukuman itu. Malah, baik Kartika mahupun ahli keluarganya, langsung tidak membuat rayuan terhadap hukuman itu. Seharusnya kita, malah saya sendiri, berasa bangga dengan pendirian Kartika dan ahli keluarganya itu. Jadi, apakah yang ditakutkan oleh pihak pejabat Peguam Negara sehingga terpaksa bertindak untuk menangguhkan hukuman itu dengan menggunakan alasan “sebagai menghormati bulan puasa”? Tindakan ini memungkinkan badan kehakiman dan pelaksanaan undang-undang di negara ini terdedah untuk dijadikan bahan gelak dalam kalangan rakyat sendiri dan sudah tentunya pihak luar.
Pada masa yang sama pula, DS Mohd. Najib Tun Abdul Razak, berharap agar Kartika membuat rayuan dan tidak sepatutnya “reda semata-mata untuk dihukum”. Tidaklah dapat kita selami tujuan DS Mohd. Najib memberikan perhatian terhadap perkara ini tetapi saya yakin tentulah atas peranannya sebagai PM yang prihatin terhadap nasib rakyatnya.
Di pihak kerajaan negeri Selangor, nazir, imam, bilal, dan siak di lebih 370 buah masjid di negeri itu diberi surat kuasa untuk membantu kerajaan negeri dan Jabatan Agama Islam menguatkuasakan Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995. Mereka (nazir, imam, bilal, dan siak) dibenarkan untuk menahan mana-mana orang Islam yang minum arak dan tidak berpuasa dan tindakan itu “boleh dimulakan pada bila-bila masa” selepas pihak-pihak yang dibenarkan itu menerima kad kuasa daripada Jabatan Agama Islam.
Seksyen 18 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 menyatakan hal berkaitan Minuman yang Memabukkan seperti yang berikut:
- Mana-mana orang yang, di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memudaratkan atau melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3 ribu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya.
- Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak lebih RM5 ribu atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya.
Sebagai negara yang menjunjung Islam sebagai agama rasminya, hukuman yang memperlihatkan unsur Islam dan langkah pencegahan melalui penguatkuasaan undang-undang yang tegas wajar dilaksanakan supaya kita dilihat tegas, serius, dan bersungguh-sungguh untuk memelihara iman dan aqidah umat Islam di negara ini.
No comments:
Post a Comment