Beliau bukanlah selebriti tetapi di hati saya, beliau pernah menjadi penghibur. Walaupun bukan nombor satu, tetapi beliau sebahagian daripada hidup saya. Beliau anakanda Dato’ Dr. Mohamed Mansor Abdullah dengan Engku Hamidah Engku Abdullah. Ayahandanya, mantan Timbalan Naib Canselor di UTM, adik ibu saya. Ibunya berketurunan raja, bersepupu dengan Sultan Ahmad Shah, Sultan Pahang sekarang.
Putera Azizul Hakim, nama lengkapnya, baru berusia awal 30-an, tepatnya 32 tahun. Anak yang baik, kebanyakan waktu senantiasa akur akan saranan ayahandanya. Dalam kalangan adik-beradiknya yang berjumlah tiga orang itu, beliau tidaklah secerdik kakak dan abangnya tetapi tidaklah pula tidak cerdik.
Kami mesra sejak saya tinggal dengan keluarganya, lebih tepat ibu bapanya, selama lebih kurang setahun (di Kuantan dan di Kuala Lumpur). Beliau baru berusia lebih sedikit tiga tahun waktu itu. Antara yang masih dapat saya ingat tentang Azizul Hakim semasa kecil ialah, beliau suka digelikan lututnya. Kegelian yang menyeronokkannya itu terlihat pada matanya yang terpejam celik terpejam celik. Tulang dadanya agak menonjol seperti dada burung (tetapi tidak kelihatan lagi apabila dewasa).
Tempoh persekolahannya, beliau pernah bermalam di rumah saya. Dan semasa menjadi mekanik di Kajang, beliau pernah beberapa kali berkunjung ke rumah saya, makan dan minum, berjenaka. Kami memang biasa berjenaka, dan saya memang menyukai tawanya yang unik itu. Dan, seperti almarhumah ibunya, apakala bertemu, dia akan menanyakan khabar orang yang terdekat dengan saya.
“Kak Ita sihat?”, “Lokman mana?” dan pelbagai lagi dan kebanyakan masa diselang-selikan dengan tawa. Tetapi, pada pertemuan terakhir saya dengannya pada bulan Februari lalu bersempena dengan majlis persandingan sepupu kami di Shah Alam, kebiasaan itu tidak ada. Kebiasaan bertanya tentang Kak Ita dan Lokman dan sebagainya yang diiringi dengan tawanya yang unik itu langsung tidak ada. Sekali ini dia hanya bersalam dengan saya. Hanya bersalaman, itu sahaja. Alangkah berbedanya!
Ahad lalu, 2 Ogos 2009, tatkala saya dan adik-adik berjaga hingga jam 3.00 pagi (menjadi kebiasaan kami apabila pulang dan berkumpul di kampung akan berbual atau berkaraoke hingga larut malam), kami menerima khabar sekitar jam 2.45 pagi tentang pemergian Putera Azizul Hakim ke alam baqa. Semua terkedu dan suasana menjadi hening. Keinsafan memenuhi ruang jiwa saya, kami berketawa antara jam 12.00 hingga jam 2.45 pagi itu, sedangkan sekitar jam 1.50 pagi, beliau – Azizul Hakim – sedang menghadapi sakaratul maut. Astaghfirullahal ‘azim, ampunilah kami.
“Sakit apa?” Saya mendengar pertanyaan itu, tidak perasan oleh adik yang mana. Kala itu saya sedang memikirkan kemungkinan beliau terlibat dalam kemalangan di jalan raya (beliau memang pernah terlibat dalam kemalangan di jalan raya – keretanya berpusing dan terbalik tetapi beliau selamat, alhamdulillah). Fikiran jahat itu muncul kerana saya tidak pernah mendengar beliau sakit apa-apa. Tidak ada. Beberapa detik kemudian, selepas adik saya menghubungi ayahanda saudara kami, bapa Azizul Hakim, kami mendapat tahu asbabnya – komplikasi selepas pembedahan membuang apendiksnya yang telah pun pecah sebelum dibedah lagi. Innalillahi wa inna ilaihi roji‘un.
Dari Sabak Bernam, kira-kira jam 5.30 subuh, saya, adik dan ibu serta bapa saudara saya dalam sebuah kereta selain ibu saudara saya dan anak menantunya dalam sebuah kereta yang lain ke JB dan terus ke tanah perkuburan (kerana jenazahnya akan dikebumikan sebelum Zuhur), dan kami tiba sewaktu jenazahnya berada di pinggir liang lahad, kira-kira jam sebelas. Kain yang membungkus wajahnya dibuka dengan kebenaran ayahandanya sendiri. Melihat wajahnya yang muda dan tenang itu, serta selepas mencium jenazahnya, air mata tidak dapat diempang lagi, apatah lagi tatkala melihat isteri beliau yang sedang mengandungkan anak pertama yang ditunggu-tunggu dan diusahakannya melalui pelbagai cara sejak lima tahun hidup bersama (kandungan itu baru berusia tiga bulan). Ah, kasihannya anak itu (insya-Allah, jika sempat dilahirkan) kerana tidak sempat mengenali bapanya! Air mata melaju lagi.
Beliau pergi dengan kalimah la ilaha illallah serta selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Beliau pergi setelah sempat meneguk tiga gelas air yang dalam tempoh selepas dibedah, tidak dibenarkan merasainya melalui tekak oleh doktor. Tetapi beliau pergi sebelum sempat menatap wajah anaknya, sebelum sempat melihat isterinya memakai pakaian yang biasa dipakai ibu-ibu sewaktu mengandung (yang sangat ingin dilihatnya). Ah, saya tidak harus meratap tetapi saya menangis!
Bunga gugur, putik pun gugur. Yang tua akan mati, yang muda pun demikian juga. Terima kasih Allah, kerana meminjamkan Azizul Hakim kepada kami walaupun sekejap. Azizul memang masih muda tatkala nyawanya Engkau ambil, tetapi Engkau berhak ke atas dirinya.
Al-Fatihah untukmu, Azizul. Kami berdoa agar rohmu dilimpahi rahmat Allah yang tidak bertepi itu, dan semoga engkau dikumpulkan di Padang Mahsyar serta ditempatkan di Jannah bersama-sama dengan orang-orang yang beriman. Allahumma amin.

Salam takziah.
ReplyDeleteTumpang bersedih. Alfatihah.
MKRiza,
ReplyDeleteTerima kasih.