Monday, January 25, 2010

Berkatalah dengan Otak dan Hati yang Dingin

Terlajak perahu dapat diundur, terlajak kata badan menanggung;
Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar;
Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa.


Demikianlah antara kalimat yang tersisip dalam peribahasa Melayu yang isi dan maksudnya menyarankan kita supaya berhati-hati apabila berkata-kata. Hal ini demikian kerana kata-kata itu, jika diungkapkan secara serampangan dan maksudnya buruk pula, akan melukakan hati dan perasaan orang yang mendengarnya, malah akan mendatangkan musibah dan padah kepada orang yang berkata-kata itu sendiri.

Hal ini sudah banyak kali terbukti dan dibuktikan. Belajarlah untuk menjadi orang yang beradab. Belajarlah untuk menjadi orang yang berfikir sebelum berkata-kata. Belajarlah menghormati orang lain. Belajarlah berkata-kata dengan baik kerana perkataan yang kita ungkapkan menjadi cermin kepada sahsiah kita.

Mencela insan bukanlah amalan yang mulia apatah lagi insan yang dicela itu telah meninggal dunia. Hal ini demikian kerana kita telah mencela insan yang tidak dapat menjawab celaan yang dilemparkan kepadanya. Lebih buruk lagi, jika insan yang meninggal dunia itu mempuyai sanak-saudara, celaan yang dilemparkan akan melukakan hati mereka. Tidak mengapalah kalau orang yang mencela itu memang suka melihat sanak-saudara orang yang meninggal dunia itu menangis dan berdukacita dan kebetulan pula mereka tidak bertindak balas. Tetapi, bagaimanakah kalau sanak-saudaranya bukan daripada jenis yang sedemikian? Katakanlah mereka itu tidak akan berdiam diri dan akan bertindak balas kepada si pencela! Apakah yang akan terjadi kepada si pencela?

Begitulah jadinya kepada sahabat yang menyentuh perihal kemangkatan DYMM Sultan Johor dengan cara yang membelakangkan kewarasan akal dan kewajaran adab. Beliau sendiri telah dicela dan tidak cukup dengan itu puluhan laporan polis telah dibuat terhadapnya. Yang paling malang, permohonan maaf beliau diperlekeh orang. Terbukti bahawa pegangan ideologi untuk mempertahankan yang benar dan menyanggah yang salah akan memakan diri kalau dilampiaskan dengan cara yang salah.

Yang baik jadikan teladan, yang tidak baik jadikan sempadan!

Penggunaan Laungan Azan sebagai Nada Dering Haram

Mufti Besar Mesir, Syeikh Ali Jumaah mencela penggunaan ayat-ayat Al-Quran, azan, dan doa sebagai nada dering telefon bimbit. Menurut beliau, penggunaan ayat-ayat Al-Quran, azan, atau doa sebagai nada dering panggilan telefon bimbit dalam kalangan umat Islam tidak sesuai, mengelirukan, dan mencemari kata-kata Tuhan dan dengan yang demikian, perlu dihentikan. Menurut beliau lagi, masyarakat Islam perlu menjawab azan yang dilaungkan di masjid, bukan yang berdering (secara serampangan) menerusi telefon bimbit.

Oleh itu, sebagai menghormati kesucian Al-Quran, beliau meminta umat Islam menggantikan nada dering Al-Quran, azan, atau doa dengan nada dering lain, atau dengan lagu-lagu yang bernuansa keagamaan.

Sebenarnya, dalam hal ini, sejumlah ulama Al-Azhar yang bergabung dengan Badan Kajian Islam (Majmaul Buhuts Islamiyah) juga telah mengeluarkan fatwa tentang penggunaan ayat-ayat suci Al-Quran sebagai nada dering. Badan itu telah mengharamkan penggunaan nada dering yang sedemikian kerana mengesampingkan kemuliaan Al-Quran. Selain itu, sekumpulan ulama Saudi baru-baru ini turut merayu rakyat negara mereka supaya tidak menggunakan ayat-ayat suci sebagai nada dering.

Dalam hal laungan azan sebagai nada dering, pada pandangan saya, yang diharamkan dan ditegah ialah yang dijadikan nada dering bukannya yang betul-betul dijadikan sebagai peringatan masuknya waktu solat lima waktu. Wallahu a‘lam.

Kita berharap agar Majlis Fatwa Kebangsaan segera memutuskan hal ini.

Sunday, January 24, 2010

Al-Fatihah untuk Roh Tuanku Sultan Johor

Al-Fatihah. Almutawakkil Al-Allah Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail ­­– Sultan kesayangan rakyat Johor, khususnya, dan rakyat Malaysia, amnya, telah mangkat pada 22 Januari 2009 yang lalu. Jenazah baginda telah selamat disemadikan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru, pada 23 Januari 2009. Jenazah baginda disempurnakan mengikut istiadat pemakaman diraja kira-kira pada jam 3.30 petang ini. Bacaan talkin dan doa disempurnakan oleh penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Noh Gadut.

Sekitar waktu yang sama, banyak rakyat Malaysia yang sedang bersorak-sorai menyokong para pemain Malaysia yang sedang berjuang di Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia. Kejohanan itu berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil di Kuala Lumpur.

Ya, yang pergi telah pergi, yang hidup perlu meneruskan kehidupan – dengan pelbagai cara. Cuma, kepada yang menonton, yang Islam khususnya, jangan lupa menyedekahkan Al-Fatihah kepada roh Almarhum baginda Sultan Iskandar kerana baginda umat Islam, pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong, “payung” kita.

Marilah kita memanjatkan doa agar Allah SWT menerima segala amalan baik baginda selama hayat baginda, mengampunkan segala dosa baginda, jika ada, menghimpunkan baginda di padang Mahsyar bersama-sama dengan orang yang beriman dan seterusnya menempatkan baginda di dalam syurga bersama-sama dengan orang yang beriman. Amin.

Wednesday, January 13, 2010

Hindarilah Perbuatan yang Kita Sendiri Tidak Suka Dilakukan terhadap Kita

Jangan lakukan sesuatu perbuatan yang kita sendiri tidak suka dilakukan terhadap kita. Itulah antara aspek yang seharusnya menjadi pegangan semua umat manusia di dunia ini. Sebagai contohnya, jika kita tidak suka para pemandu di jalan raya memotong barisan semasa kita sedang berbaris dalam kesesakan jalan raya, janganlah pula kita melakukan perbuatan yang sama terhadap orang lain.

Dalam skop yang lebih besar, yang memungkinkan berlakunya suasana permusuhan, pergaduhan, kekacauan, dan sebagainya, amalan ini tidak harus sama sekali dilakukan, sama ada dengan sengaja ataupun sebagai suatu bentuk provokasi. Menyentuh hal-hal berkaitan sensitiviti sesuatu bangsa dan agama lain, misalnya, haruslah dihindari kalau kita tidak mahu bangsa dan agama kita disentuh dan digesel oleh orang atau pihak lain. Mengatakan orang Melayu bukan penduduk asal negeri ini, misalnya, jangan sekali-kali dilakukan kalau sesuatu kelompok itu tidak mahu orang Melayu mengatakan mereka sebagai pendatang. Mempersendakan hak eksklusif sesuatu agama tidak juga harus dilakukan kalau sesuatu kelompok itu tidak mahu agama mereka dipersendakan. Merosakkan rumah ibadat pihak lain juga tidak harus dilakukan kalau kita tidak suka atau tidak mahu rumah ibadat kita dirosakkan. Dengan kata yang lebih kurang sopan – jangan mengajar orang kurang ajar melalui perbuatan kurang ajar kita!

Seperti yang saya tegaskan, hal ini demikian kerana perbuatan itu dapat mencetuskan permusuhan, pergaduhan, kekacauan, dan sebagainya yang akan mewujudkan ketidakharmonian kehidupan bermasyarakat sehingga akhirnya menimbulkan keadaan tidak aman di dalam sesebuah negara. Dalam agama Islam, perbuatan seperti itu sebenarnya akan merosakkan usaha dakwah yang sebenanrnya bukan sekadar dilakukan melalui perkataan dan penyampaian tetapi juga melalui tingkah laku serta sikap dan pemikiran kita.

Dalam suatu cerita yang lazim kita dengar, Nabi Muhammad SAW apabila melalui suatu kawasan, telah dilempari dengan pelbagai objek oleh seorang lelaki. Keadaan itu berlaku setiap kali baginda SAW melalui kawasan itu. Pada fikiran anda, sukakah baginda terhadap perbuatan yang dilakukan oleh lelaki itu terhadap dirinya? Tentu tidak suka, bukan! Tetapi, adakah baginda bertindak balas terhadap perbuatan kurang ajar oleh lelaki yang samseng itu? Sesungguhnya, baginda langsung tidak bertindak balas walau sedikit pun sehinggalah tiba pada suatu hari yang menimbulkan kehairanan besar kepada baginda Rasulullah SAW.

Pada hari itu, baginda tidak dilempari dengan apa-apa objek pun oleh lelaki samseng itu. Baginda berasa sangat ingin tahu akan sebab-musababnya lalu hal itu ditanyakan oleh baginda kepada jiran lelaki samseng itu. Baginda telah dimaklumkan bahawa lelaki yang sering melemparinya dengan pelbagai objek itu sakit. Apakah reaksi baginda? Sesungguhnya, baginda langsung tidak berkata, misalnya, “Padan dengan muka engkau” atau “Itulah padahnya kalau Rasul Allah dizalimi”, dan sebagainya. Sebaliknya, baginda telah menziarahi lelaki itu, membawakannya makanan, serta menyuapi lelaki samseng itu makanan sehingga akhirnya lelaki itu mengucap dua kalimah syahadat.

Dalam hal ini, adakah baginda menjadi orang yang tewas? Tidak, malah baginda telah menjadikan perbuatan itu sebagai salah satu usaha untuk mendakwahi lelaki itu. Terbukti bahawa, dalam jangka masa panjang, sikap tidak bertindak balas terhadap perbuatan ala samseng itu telah memberikan kemenangan besar kepada baginda.

Memanglah kita tidak boleh berdiam diri kalau hal-hal yang berkaitan dengan kesucian agama kita disentuh tetapi membalas perbuatan mereka itu dengan perbuatan yang sama biadabnya bukan tuntutan agama kita, bukan amalan Rasulullah SAW. Dengan kata yang lebih diplomasi, kita perlu berhemah dalam menangani kebiadaban pihak lain.

Sekali lagi, janganlah dilakukan perbuatan yang kita sendiri tidak suka dilakukan terhadap diri kita! Janganlah kita merosakkan rumah ibadat penganut lain kalau kita tidak mahu rumah ibadat kita dirosakkan.

Tuesday, January 12, 2010

Akhirnya Kita Berasa Dilindungi

Alhamdulillah, Sultan negeri saya yang tercinta ini – DYMM Sultan Idris Sharafuddin Shah – bertitah juga akhirnya, iaitu bahawa semua pihak di negeri Selangor hendaklah berpegang teguh pada pendirian mengharamkan pengunaan kalimah Allah oleh agama-agama lain selain agama Islam. Hal itu, menurut Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa, telah dititahkan oleh baginda semasa beliau bertemu dengan baginda di Istana Mestika pada 5 Januari lalu.

Baginda berpendirian demikian bagi memelihara akidah umat Islam serta menjaga keharmonian beragama setiap rakyat di Selangor. Baginda juga menghendaki isu penggunaan kalimah Allah oleh pihak bukan Islam dibincangkan dengan teliti oleh ahli-ahli MAIS di samping berharap agar semua peringkat berpegang teguh dengan pendirian mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain.

DYMM Sultan Selangor juga turut meminta MAIS memaklumkan wujudnya undang-undang yang menghalang pengunaan kalimah Allah dalam agama bukan Islam.

Walaupun ada pihak yang berkata bahawa titah baginda itu agak lewat, tetapi harapan yang saya cetuskan dalam posting bertarikh 4 Januari lalu supaya DYMM Sultan-sultan agresif dan menyatakan pendirian tentang hal ini akhirnya tertunai juga. Sesungguhnya, saya berasa bangga dengan titah DYMM Sultan Selangor itu dan sedikit banyak berasa benar-benar terlindung di bawah payung pemerintahan baginda.

DAULAT TUANKU!

Friday, January 8, 2010

Akhbar Arus Perdana Semakin Kekurangan Pembaca

Malaysiakini.com melaporkan suatu berita yang memang menjadi hakikat semasa, iaitu rakyat semakin kurang minat untuk membaca akhbar arus perdana, sebaliknya memilih untuk membaca media alternatif (portal berita dan blog).

Hal ini telah menimbulkan kebimbangan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) sehingga mereka meminta pemilik media cetak menilai operasi mereka semula ekoran edaran akhbar yang semakin merosot yang berakibat daripada kehilangan pembaca yang beralih kepada media alternatif.

Keadaan ini sebenarnya sudah lama dialami oleh RTM. Stesen TV RTM sudah lama tidak mendapat tempat di hati penonton dan pihak-pihak lain. Hal ini tidak sukar untuk dibuktikan. Kalau anda biasa menonton TV1 atau TV2, berapa banyak iklankah yang terselit dalam sesuatu program yang disiarkan? Mengapakah berlaku demikian?

Jawabannya tidak lain kerana stesen-stesen TV itu, termasuklah akhbar-akhbar arus perdana yang dimaksudkan oleh NUJ itu, terlalu berperanan sebagai pemproganda kerajaan. Mereka tidak memperlihatkan sikap kritis terhadap kerajaan. Akhbar-akhbar arus perdana, misalnya, sering memaparkan berita yang selari dengan kehendak kerajaan kerana para pengarangnya merupakan orang-orang yang ada kaitannya dengan kerajaan (lazimnya dipilih oleh kerajaan. Dalam hal ini, Ketua Pengarang di Berita Harian dan Utusan Malaysia, misalnya, dipilih oleh UMNO).

Kecenderungan untuk menutup atau mencantas berita yang sebenarnya daripada pengetahuan umum menjadikan akhbar arus perdana dianggap sebagai “pembohong” oleh orang ramai. Hal ini sangat besar dampaknya kepada media tersebut. Contoh yang paling mudah adalah apabila ada sesuatu tunjuk perasaan yang matlamatnya adalah untuk menentang kerajaan (perhimpunan menentang PPSMI, misalnya). Dalam hal ini, akhbar arus perdana tidak akan menyatakan jumlah (rakyat yang terlibat) yang sebenarnya – kalau rakyat yang terlibat berjumlah puluhan ribu, akhbar arus perdana lebih cenderung untuk menyatakan jumlahnya sebagai beberapa ribu atau ratus sahaja sedangkan media alternatif mendedahkan hal yang sebenarnya, lengkap dengan gambar serta kronologi peristiwa.

Pada hemat saya, untuk menarik minat pembaca supaya membaca akhbar arus perdana semula, pihak yang berkaitan di media-media cetak itu tidak perlulah “mengikut lenggok” media alternatif dalam mengetengahkan berita. Rasa saya, cukuplah kalau pihak mereka bersedia untuk melaporkan sesuatu berita itu dengan benar, jujur, penuh tanggungjawab dan yang paling penting bersikap kritislah terhadap kerajaan.

Ada pihak yang mengatakan bahawa yang benar dan betul dalam surat khabar arus perdana ialah keputusan 4 nombor ekor (Magnum dan Sports TOTO). Malangnya, kaki-kaki tikam ekor pun sudah tidak membeli akhbar lagi untuk mengetahui keputusan tersebut kerana mereka kini khabarnya boleh berSMS, menggunakan Internet, atau membeli keputusan itu daripada penjual keputusan nombor ekor di simpang-simpang jalan. Hal ini pun mengurangkan jumlah pembeli akhbar arus perdana juga!

Laporan lengkap di malaysiakini.com.

Wednesday, January 6, 2010

Usaha KDN Berjaya

Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang memberikan keizinan kepada mingguan Katholik – Herald – untuk menggunakan kalimah “Allah”.

Hakim Mahkamah Tinggi, Lau Bee Lan – hakim yang sama dalam pemberian keizinan itu – membenarkan permohonan tersebut sementara menunggu perbicaraan rayuan oleh pihak KDN terhadap keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Khamis lalu.

Peguam bagi pihak mingguan berkenaan – Derek Fernandez dan Benjamin Dawson – tidak membantah permohonan itu dengan alasan yang sangat muluk – atas kepentingan nasional. (Ulasan tempelan – Hakim Lau Be Lan, semasa memberikan keizinanan tempoh hari, tampaknya, tidak menjadikan kepentingan nasional sebagai asas penghakimannya!)

Derek Fernandez berkata bahawa orang ramai hendaklah berhenti daripada terus membuat komen mengenai keputusan berkenaan.

Beliau berkata bahawa pihak mereka (Roman Katolik) merupakan golongan yang mencintai keamanan, dan dengan yang demikian komen (yang tidak baik) tidak wajar (dikeluarkan).

“Kami mahu Peguam Negara mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Editor Herald, Father Lawrence Andrew, turut hadir dan bertemu dengan Abdul Gani di dalam bilik saksi sebelum permohonan itu didengar.

Dalam masa yang sama, Hakim Lau Be Lan menolak permohonan enam Majlis Agama Islam (Wilayah Persekutuan, Selangor, Kedah, Terengganu, Melaka, dan Johor) dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Magma) untuk berhujah dalam permohonan KDN itu. Dalam perbicaraan sebelum ini, Hakim Lau Be Lan juga telah menolak permohonan mereka untuk menjadi pencelah dalam kes berkenaan.

Hal ini telah menyebabkan keenam-enam majlis tersebut berserta dengan Magma memfailkan rayuan terhadap keputusan Hakim Lau Be Lan menolak permohonan mereka menjadi pencelah serta keputusannya yang memihak kepada Herald.

(Sumber: MalaysiaKini)

Kebenaran Penggunaan Kalimat “ALLAH” oleh Majalah Herald Ditangguhkan

BERNAMA sebentar tadi melaporkan berita bahawa Mahkamah Tinggi telah menangguhkan pelaksanaan perintah untuk membenarkan majalah Katolik, Herald, menggunakan kalimat “Allah” berikutan persetujuan pihak-pihak terlibat demi kepentingan negara.
Kita tunggulah khabar selanjutnya.

Tuesday, January 5, 2010

Tidak Terima Sifat ALLAH tetapi Hendak Gunakan Kalimat ALLAH

Segala macam hujah telah dilepaskan oleh pelbagai pihak apabila pihak Kristian Katolik di Malaysia berjaya dalam tuntutannya untuk menggunakan kalimat ALLAH dalam majalah mereka. Ada hujah yang seperti mengatakan boleh, ada pula hujah yang mengatakan boleh dan tidak boleh, dan ada yang mengatakan tidak boleh langsung. Yang berhujah itu bukan calang-calang orang – mantan PM, mantan Mufti, Presiden parti, Mursyidul parti, Ahli Parlimen, agamawan, dan sebagainya.

Dalam sesetengah kejadian, ada pula Ahli Parlimen yang “berperang” sesama sendiri. Sesetengahnya pula memesyuaratkan isu itu, dibincangkan dan kemudiannya dinyatakan keputusannya. PM dan TPM sudah menyatakan pendirian mereka dan sebagai pemimpin negara yang beragama Islam, mereka telah menjelaskan pendirian umat Islam tentang hal ini. Pihak KDN, khabarnya, telah membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu. Para Sultan masih belum “bersuara” apatah lagi “bergerak” untuk menyatakan pendirian mereka. Ketua agama kita itu masih “diam”.

Saya berpendirian bahawa pihak Kristian Katolik itu harus dibenarkan untuk menggunakan perkataan ALLAH kalau mereka percaya pada sifat ALLAH yang paling fundamental, iaitu ALLAH itu SATU, TIDAK BERANAK, dan TIDAK DIPERANAKKAN. ALLAH, yang namanya hendak digunakan oleh mereka di dalam majalah mereka itu, telah mengiktiraf ISLAM sebagai agama untuk semua umat, AL-QURAN sebagai satu-satunya kitab yang harus dijadikan sebagai pegangan oleh semua orang, dan NABI MUHAMMAD SAW merupakan Rasul penyudah kepada semua umat. Sebaliknya, jika mereka masih percaya pada konsep triniti, iaitu ALLAH itu ada bapa dan anaknya; ISLAM ialah musuh mereka; INJIL yang telah “dirobek-robekkan” oleh agamawan mereka itu masih dijadikan sebagai kitab pegangan; NABI MUHAMMAD SAW direndah-rendahkan dan dinafikan kerasulannya – kalimat ALLAH tidak sesuai untuk mereka.

Persoalannya ialah, mahukah mereka – Kristian Katolik itu – menerima hakikat tersebut? Tidak mahu, bukan? Jadi, betapa tidak mahunya mereka menerima hakikat itu, begitu jugalah betapa tidak mahunya umat Islam di negara ini menerima hakikat bahawa ALLAH yang memiliki sifat asas yang saya nyatakan itu dikongsi oleh Kristian Katolik itu. ALLAH yang hendak digunakan mereka bukan sekadar kalimat tetapi lebih luas, maha luas daripada itu.

Sehubungan dengan hal itu, menjadi benarlah keraguan dan syak wasangka umat Islam di negara ini terhadap niat buruk Kristian Katolik itu hendak menggunakan kalimat ALLAH dalam majalah mereka, iaitu ada niat lain di balik penggunaan tersebut.

Monday, January 4, 2010

Demi Masa Sesungguhnya Manusia Itu Dalam Kerugian

Tidak mungkin saya seorang sahaja yang merasakan bahawa cuti persekolahan pada tahun ini terlalu pantas geraknya. Benar, pada tahun ini, cuti persekolahan sangat cepat berlalunya. Mungkin ada yang berkata, memang hampir setiap tahun musim persekolahan terasa cepat berlalunya sehingga sesetengah orang mendakwa bahawa mereka “tidak sempat” melakukan apa-apa! Pelik.

Cepatnya cuti persekolahan berlalu menjadi tanda tentang kewujudan suatu fenomena yang memang telah sejak sekian lama kita lalui, iaitu masa secara keseluruhannya begitu cepat berlalu. Tirmidzi meriwayatkan suatu hadis daripada Anas bin Malik RA. Anas berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Tidak terjadi kiamat, sehingga waktu terasa saling berdekatan. Satu tahun seperti satu bulan dan satu bulan laksana satu minggu. Satu minggu bagaikan satu hari dan satu hari ibarat satu jam, serta satu jam laksana kobaran api.”

Hal ini bermakna, pantasnya waktu berlalu menandakan kejadian kiamat semakin mendekati kita. Jadi, sudah sewajarnya kita bertanya kepada diri kita, “Jika demikian halnya, adakah kita ini sebahagian daripada manusia yang akan melalui kiamat?”

Dalam pada waktu begitu cepat berlalunya, sempat juga pelbagai kejadian yang mencalar hati kita sebagai umat Islam berlaku di sana sini. Di negara kita, pada penghujung tahun 2009 yang lalu (awal tahun Hijrah 1431), kita dikejutkan dengan keputusan Mahkamah Tinggi untuk membenarkan majalah mingguan Katolik, Herald Catholic, menggunakan kalimat ALLAH di dalam majalah mereka itu. Hakim Mahkamah Tinggi yang membuat keputusan itu ialah Hakim Datuk Lau Bee Lan. Hmm, Datuk! Siapakah yang memberikan gelaran “Datuk” itu kepadanya?

Dalam pada begitu cepatnya waktu berlalu, kita masih megah untuk merayakan sambutan Hari Velantine, Hari Ibu, Hari Bapa, dan sebagainya. Kerajaan, termasuklah raja-raja, tidak agresif dan tidak menyatakan pendirian yang tegas dalam hal ini – sama ada “Hari-hari” itu wajar diraikan oleh umat Islam ataupun sebaliknya. (Mungkin JAKIM dan Jabatan Agama Islam tertentu ada menyatakan hal ini tetapi melalui pengalaman saya, banyak orang yang mengesampingkan penegasan pihak-pihak terbabit.) Ketidakagresifan kedua-dua institusi itu samalah dengan “tidak agresif”nya mereka dalam menyekat cubaan untuk membenarkan penggunaan kalimat ALLAH itu oleh pihak yang tidak layak dan tidak sepatutnya menggunakan kalimat agung dalam agama Islam itu.

Saya tidak perasan, adakah Penasihat PKR memberikan apa-apa komen tentang keputusan Mahkamah Tinggi itu? Kalau ada, saya harap beliau tidak memberikan hujah yang sama dengan MP Shah Alam.

Ingat, masa sangat cepat berlalu. Sedetik kita terlewat dalam membetulkan keputusan Mahkamah Tinggi itu, banyak kehancuran yang akan berlaku kepada penganut agama Islam di negara ini.