Monday, January 25, 2010

Penggunaan Laungan Azan sebagai Nada Dering Haram

Mufti Besar Mesir, Syeikh Ali Jumaah mencela penggunaan ayat-ayat Al-Quran, azan, dan doa sebagai nada dering telefon bimbit. Menurut beliau, penggunaan ayat-ayat Al-Quran, azan, atau doa sebagai nada dering panggilan telefon bimbit dalam kalangan umat Islam tidak sesuai, mengelirukan, dan mencemari kata-kata Tuhan dan dengan yang demikian, perlu dihentikan. Menurut beliau lagi, masyarakat Islam perlu menjawab azan yang dilaungkan di masjid, bukan yang berdering (secara serampangan) menerusi telefon bimbit.

Oleh itu, sebagai menghormati kesucian Al-Quran, beliau meminta umat Islam menggantikan nada dering Al-Quran, azan, atau doa dengan nada dering lain, atau dengan lagu-lagu yang bernuansa keagamaan.

Sebenarnya, dalam hal ini, sejumlah ulama Al-Azhar yang bergabung dengan Badan Kajian Islam (Majmaul Buhuts Islamiyah) juga telah mengeluarkan fatwa tentang penggunaan ayat-ayat suci Al-Quran sebagai nada dering. Badan itu telah mengharamkan penggunaan nada dering yang sedemikian kerana mengesampingkan kemuliaan Al-Quran. Selain itu, sekumpulan ulama Saudi baru-baru ini turut merayu rakyat negara mereka supaya tidak menggunakan ayat-ayat suci sebagai nada dering.

Dalam hal laungan azan sebagai nada dering, pada pandangan saya, yang diharamkan dan ditegah ialah yang dijadikan nada dering bukannya yang betul-betul dijadikan sebagai peringatan masuknya waktu solat lima waktu. Wallahu a‘lam.

Kita berharap agar Majlis Fatwa Kebangsaan segera memutuskan hal ini.

2 comments:

  1. Salam, tuan.
    Saya tertarik dengan ayat tuan yang terakhir, "Kita berharap agar Majlis Fatwa Kebangsaan segera memutuskan hal ini". Sudah banyak isu berkaitan telefon bimbit yang difatwakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Satu daripadanya adalah pengharaman kuiz sms kerana ada unsur-unsur judi. Namun sehingga ke hari ini, ia tidak diendahkan. Menyedihkan, bukan? Apa pun, saya setuju jika Majlis Fatwa mengikut keputusan yang dibuat oleh Mesir. Azan dan ayat suci Al-Quran wajib dihormati sesuai dengan tempatnya, bukan dijaja secara murahan begitu.

    ReplyDelete
  2. Cikgu Marni;
    Sangat benar dan betul, pelaksanaan dan pematuhan terhadap apa-apa yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) jarang-jarang dipedulikan orang. Soal rokok yang telah difatwakan itu adalah antara contohnya. Jadi, apabila soal penggunaan kalimat "ALLAH" itu "diusik" oleh orang yang tidak berkenaan, banyak yang "mengambil kesempatan" untuk marah sedangkan mereka sendiri tidak pernah ambil hirau akan hal-hal lain yang telah diputuskan oleh MFK itu.

    ReplyDelete