Friday, April 30, 2010

Memahami Gerak Politik Bangsa Lain

Dato’ Ibrahim Ali, dalam suatu kenyataannya menyarankan pihak kerajaan supaya menangguhkan kelulusan peruntukan dan projek kepada kaum Cina yang dianggap sebagai “tidak berterima kasih” dan “tidak menghargai” segala jasa Kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap kaum itu. Hal ini disarankan beliau selepas pengundi Cina di Hulu Selangor jelas memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat. Khabarnya, sokongan yang diberikan oleh orang-orang Cina kepada BN di situ tidak sampai 30% pun.

Saranan Ibrahim Ali yang berbau dendam dan sedikit rasis itu menyentuh hati pemuka parti-parti majoriti Cina. Ada kalangan pemuka parti Gerakan yang marah dengan saranan itu. Chua Soi Lek dari parti MCA marah juga malah menuduh Ibrahim gila publisiti. Cina-Cina di pihak lain pun marah juga.

Kita faham akan tujuan Ibrahim Ali memberikan saranan yang sedemikian, iaitu untuk “mengajar” orang-orang Cina di Hulu Selangor. Tetapi politik dendam bukan ciri-ciri yang ada dalam amalan demokrasi. Hal itu, barangkali, tidak disedari oleh beliau.

Yang sangat signifikan tentang saranan Ibrahim Ali itu ialah bagaimana pemuka-pemuka Cina melayan saranan itu. Baik yang di dalam kerajaan, iaitu MCA dan Gerakan, mahupun yang di luar kerajaan, emosi mereka sama. Mereka sama-sama mempertahankan bangsa mereka.

Adakah hal ini wujud dalam masyarakat Melayu? Kerajaan Kelantan yang dianaktirikan adakah dilayan dengan saksama oleh para pemuka Melayu daripada semua jenis parti, khususnya yang berada di dalam kerajaan? Adakah emosi mereka sama seperti Chua Soi Lek yang jelas hendak mempertahankan kebajikan bangsanya?

Kalaulah ditakdirkan parti yang menguasai Pulau Pinang dan sedang memerintah negeri itu sekarang menganaktirikan orang Melayu, kita tidak harus menyalahkan mereka kerana parti Melayu yang menguasai kerajaan Persekutuan telah lebih awal mempraktikkannya terhadap orang Melayu sendiri! Dalam erti kata lain, mereka sedang mencontoh apa-apa yang telah dilakukan oleh “mentor” mereka.

Saranan Ibrahim Melayu seharusnya menyedarkan orang Melayu tentang pendirian bangsa lain terhadap bangsa mereka walaupun mereka berbeda fahaman politik.

Thursday, April 29, 2010

Al-Fatihah, Aminulrasyid; Sabarlah Semua

Aminulrasyid Amzah, 15 tahun, seorang insan biasa. Yang lebih tepatnya, dia budak biasa. Dia anak bongsu daripada lapan orang adik-beradik dan belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 9, Shah Alam.


Sebelum ini, kalau anda menaip namanya di Google atau Yahoo untuk merujuk kepada sosok dirinya, sudah pasti tidak akan anda temukan apa-apa perkhabaran yang berkait dengan dirinya. Akan tetapi sejak 26 April 2010 lalu, apabila namanya anda taip di Google atau Yahoo, akan anda temukan ratusan malah mungkin ribuan sumber (blog, laman web, dan sebagainya) yang menyiarkan namanya.

Malangnya, dia tidak tahu akan perkembangan ini – bahawa dirinya begitu popular pada masa ini. Sangat popular! Beliau dibela oleh banyak orang hingga mendapat perhatian Jemaah Kabinet. Yang menjadikan populariti itu kurang menarik ialah populariti itu diraihnya bukan disebabkan oleh kejayaannya dalam mana-mana program realiti televisyen (seperti Mawi, Tomok, dan lain-lain) atau kerana dia menjadi jagoan sukan yang handal (seperti Azizulhasni Awang, Dato’ Lee Chong Wei, dan lain-lain). Bukan dan bukan!

Namanya popular (sekali lagi saya maklumkan bahawa dia tidak tahu) disebabkan oleh dia telah menjadi mangsa. Bukan menjadi mangsa ragut atau mangsa buli atau mangsa liwat atau mangsa pengedar syabu atau mangsa culik, tetapi dia telah menjadi mangsa pihak berkuasa. Dia ditembak di kepala dari belakang dan mati di tempat kejadian.

“Kesalahan” yang dilakukannya ialah “hendak melanggar pihak berkuasa yang menembak itu” dan “membawa sebilah parang untuk melakukan samun bersenjata”. Untuk memasukkan hal ini ke dalam akal terasa payah sekali. Oleh sebab itulah hal ini diragui oleh kebanyakan orang kerana mereka berandaian bahawa tidak mungkin budak seusia itu berani melakukan samun bersenjata dengan berkereta apatah lagi pihak berkuasa itu sendiri tidak sempat untuk bertanya kepada Allahyarham Aminulrasyid tentang tujuan dia “membawa sebilah parang itu”.

Selalunya, pihak berkuasa akan menghebahkan kejayaan itu — bahawa dengan tertembaknya “penyamun bersenjata” itu, pihak berkuasa telah dapat menyelesaikan beberapa kes samun bersenjata di daerah itu (malah di daerah-daerah lain juga). Hal ini tidak dapat dilakukan demikian pada kali ini, malah mereka terpaksa pula mempertahankan diri daripada tohmahan dan kemarahan orang awam terhadap kejadian itu. Pihak Kementerian Dalam Negeri telah menubuhkan panel khas yang diketuai oleh YB Timbalan Menteri Dalam Negeri sendiri untuk menyiasat insiden itu. Pihak Jemaah Menteri sendiri telah melahirkan rasa sedih dengan insiden itu. Shahrizat Jalil turut melahirkan rasa kesalnya.

Di pihak yang satu lagi, mereka telah membantu mana-mana yang patut. Mereka telah mengusahakan laporan dibuat kepada pihak berkuasa dengan membawa teman Allahyarham Aminulrasyid bersama-sama. Teman mangsa telah melaporkan “hal yang sebenarnya” kepada pihak yang satu lagi itu dan kemudiannya kepada pihak berkuasa.

Saya pernah menegur anak saya yang jauh lebih dewasa daripada arwah Aminulrasyid apabila kadang-kadang anak saya itu keluar malam. “Berbahaya!” kata saya. “Orang-orang sekarang berperangai macam-macam. Mat Rempit bukan sekadar berani merempit tetapi sudah ada yang berani melanggar pihak berkuasa, memeras ugut, dan membunuh. Peragut sendiri sudah berani membunuh,” kata saya lagi. Pada waktu itu, saya tidaklah menyedari bahawa pihak berkuasa juga kadang-kadang menjadi “ancaman” kepada anak-anak.

Memang sifat remaja lebih banyak degil daripada patuh. Anak saya itu masih juga hendak keluar dengan rakan-rakannya walaupun saya berkata demikian. Oleh sebab saya tahu akan tempat lepaknya dan saya kenal akan rakan-rakannya, maka tahap kebimbangan itu tidaklah sampai tahap air didih. Dia pun sangat hormat akan pihak berkuasa (walaupun kadangkala tidak hormat pada undang-undang. Bukti dia hormat akan pihak berkuasa ialah dia akan berhenti apabila ditahan pihak berkuasa selepas dikesan melakukan kesalahan, bukannya melarikan diri).

Cuma, dalam insiden yang menimpa Aminulrasyid, keberanian arwah membawa kereta kakaknya (agaknya secara “mencuri-curi”), pada waktu subuh dan dipandu pula hingga Seksyen 7 (http://www.khalidsamad.com/2010/04/keadilan-untuk-aminulrasyid.html), pada pandangan saya adalah sesuatu yang tidak seharusnya berlaku. Dengan statusnya yang masih di bawah usia, sudah tentulah dia tidak mempunyai lesen memandu (dan saya rasa dia juga tidak mahir memandu). Waktu sedemikian (subuh) juga bukanlah waktu yang sesuai untuk pelajar sepertinya keluar.

Oleh hal yang demikian, disebabkan dia tidak mahir memandu, dia telah menggesel kereta orang lain. Menggesel kenderaan orang lain dapat menimbulkan kemarahan pemilik kereta berkenaan dan hal ini biasanya akan menimbulkan rasa bersalah dan rasa takut kepada diri orang yang menggesel. Oleh sebab takut dan kebetulan dihambat pula oleh sebuah motosikal, dia telah memecut keretanya sehingga kemudiannya dihambat oleh pihak berkuasa pula. Kerana tidak dapat dipastikan yang melarikan diri itu penjenayah atau orang awam, pihak berkuasa mengambil tindakan menembak mangsa.

Siasatan akan dilakukan tetapi Aminulrasyid sudah tiada. Jika dia masih hidup dan berjaya diberkas, saya berpendapat bahawa keluarganya akan berdepan dengan masalah yang bukan kecil. Pada waktu itu, siapakah yang akan tampil membantu?

Saya tidak berniat untuk memihak, tetapi eloklah kita sama-sama melihat hikmah daripada kejadian ini.

Walau apa-apa pun, hati kecil saya tetap merasakan anak itu tidak harus diperlakukan sedemikian rupa oleh pihak berkuasa, apatah lagi mendakwanya sebagai “penyamun bersenjata”. Cukuplah dengan nasib yang menimpa pihak berkuasa lain akibat daripada kematian Altantuya, Kugan, dan Teoh Beng Hock. Janganlah dicalarkan imej kalian.

Al-Fatihah untukmu, Aminulrasyid Amzah. Kami berdoa agar rohmu dalam keadaan tenang dan dihimpunkan bersama-sama dengan orang yang beriman. Sabarlah, wahai abang-kakak, ibu, dan keluarga Aminulrasyid. Kebenaran pasti akan muncul juga.

Tuesday, April 27, 2010

Mujur Kita Tidak Hidup pada Zaman Raja-raja Dahulukala

Senator Tan Sri Dr. Jins Shamsuddin telah membuat cadangan kepada kerajaan supaya menggugurkan kerakyatan individu yang menentang dan menghina sultan-sultan atau raja-raja Melayu. Hal ini demikian kerana beliau berpendapat bahawa perbuatan itu bertentangan dengan undang-undang dan Perlembagaan negara.

“Kalau zaman dahulu, sebelum ada mahkamah dan polis, kalau ada orang yang menghina dan menentang raja akan dihukum pancung, tapi sekarang ini kita tidaklah melaksanakan (hukuman) pancung kerana kita ada undang-undang, mahkamah, dan polis.

“Oleh itu, saya cadangkan kerajaan menggugurkan kerakyatan mereka yang menghina dan menentang sultan dan raja-raja Melayu kerana tidak ada gunanya rakyat yang tidak menghormati pemerintah negara,” kata beliau lagi.

Mujur kita tidak hidup pada zaman raja-raja dahulukala. Dan, bagaimanakah agaknya kalau Tan Sri Dr. Jins Shamsuddin ini menjadi Perdana Menteri atau Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri! Barangkali banyak rakyat negara ini yang akan bernegarakan negara lain.

Tidak mahukah beliau memberikan cadangan agar polis-polis, tentera-tentera, dan kastam-kastam yang menyalahgunakan kuasa dilucutkan kewarganegaraan mereka kerana polis-polis, tentera-tentera, dan kastam-kastam seperti ini telah mencemari nama raja seperti yang terpakai pada nama institusi-institusi itu – Polis Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia (dll), dan Kastam Diraja Malaysia? Erghhh!

Monday, April 26, 2010

BN Masih Belum Boleh Mendabik Dada

Daripada sembilan daerah yang terdapat di negeri Selangor Darul Ehsan – Sabak Bernam, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Klang, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat, Gombak, dan Sepang – SPR telah memperuntukkan 22 buah kawasan Parlimen kepada negeri itu. 22 buah kawasan yang dimaksudkan itu ialah Sabak Bernam (P092), Sungai Besar (P093), Hulu Selangor (P094), Tanjong Karang (P095), Kuala Selangor (P096), Selayang (P097), Gombak (P098), Ampang (P099), Pandan (P100), Hulu Langat (P101), Serdang (P102), Puchong (P103), Kelana Jaya (P104), Petaling Jaya Selatan (P105), Petaling Jaya Utara (P106), Subang (P107), Shah Alam (P108), Kapar (P109), Klang (P110), Kota Raja (P111), Kuala Langat (P112), Sepang (P113).

Daripada 22 buah kawasan itu, kawasan Parlimen yang dimiliki oleh BN melalui Pilihan Raya Umum ke-12 (2008) yang lalu ialah Sabak Bernam (Abdul Rahman Bakri), Sungai Besar (Noriah Kasmon), Tanjong Karang (Noh Omar), Pandan (Ong Tee Kiat), dan Sepang (Mohd Zin Mohamed). Kini, BN telah berjaya menambah satu lagi kawasan Parlimennya setelah berjaya merampas P094 Hulu Selangor melalui Pilihan Raya Kecil 25 April 2010 lalu (P. Kamalanathan). Hal ini bermakna bahawa kini terdapat enam orang Ahli Parlimen BN dari Selangor di Dewan Rakyat. Syabas, BN!

Menyentuh perihal Pilihan Raya Kecil P094 Hulu Selangor yang baru lalu, BN memang wajar berasa bangga kerana telah berjaya merampas kawasan itu semula daripada tangan PR khususnya PKR. Walau bagaimanapun, jika disorot kepada sejarah pilihan-pilihan raya sebelum PRU ke-12 2008 yang lalu, BN perlu mengkaji dan menganalisis hakikat yang sebenarnya. Hal ini demikian kerana sebelum PRU ke-12, Hulu Selangor jelas merupakan kubu keramat BN.

Mari kita buktikan hal ini melalui sejarah Pilihan Raya Umum ke-9 (1995), ke-10 (1999), dan ke-11 (2004). (Sebelum Pilihan Raya 2004, kod kawasan Parlimen Hulu Selangor ialah P088.)

PILIHAN RAYA KE-9 (Tarikh pengundian: 25 April 1995)

Terdapat sebanyak 51,256 orang pemilih berdaftar pada tahun itu, tetapi yang turun mengundi hanya sebanyak 27,505 orang (53.66%) sahaja. BN, melalui G. Palanivel, memenangi PRU itu dengan majoriti 15,952 undi (60.71%). Beliau mengumpulkan 20,546 undi berbanding dengan wakil S46 (Adnan Din) yang mendapat 4,594 undi dan wakil DAP (Peng Kim Sing) yang beroleh 1,137 undi sahaja.

PILIHAN RAYA KE-10 (Tarikh pengundian: 29 November 1999)

Terdapat sebanyak 52,346 orang pemilih berdaftar pada tahun itu (bertambah sebanyak 1090 orang pemilih). Sebanyak 37,195 (71.06%) orang pemilih turun mengundi. BN, sekali lagi melalui G. Palanivel, memenangi PRU itu dengan majoriti 8,595 undi (23.93%). Beliau mengalahkan wakil Keadilan, Halili Rahmat, yang beroleh 13,548 undi. (Pilihan raya ke-10 ini masih hangat dengan isu pemecatan DS Anwar Ibrahim dan reformasi.)

PILIHAN RAYA KE-11 (Tarikh pengundian: 21 Mac 2004)

Terdapat sebanyak 58,533 orang pemilih berdaftar pada tahun itu (bertambah sebanyak 6187 pemilih). Sebanyak 42,592 (72.77%) orang pemilih turun mengundi. BN, sekali lagi melalui G. Palanivel, memenangi PRU itu dengan majoriti 14,483 undi (35.16%). Beliau mengalahkan wakil PAS, Dato’ Ismail Kamus, yang beroleh 13,324 undi.

Oleh sebab Hulu Selangor kubu keramat BN sejak sekian lama, kemenangan dengan majoriti 1,725 undi dalam PRK 25 April 2010 lalu sangat tidak memadai. Hal ini demikian kerana BN hanya dapat “mencuri” 1,527 undi daripada PKR (dengan berdasarkan majoriti 198 undi yang dimenangi PKR pada tahun 2008). Jika didasarkan pada majoriti terendah yang diperoleh BN dalam tempoh yang diberikan di atas (8,595 – 1999), BN masih kehilangan sekitar 7,000 undi. Malah, pencapaian itu jauh tersasar daripada sasaran Pengarah Pilihan Raya P094 BN merangkap Timbalan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyasarkan BN akan memperoleh majoriti sekitar 6,000 undi.

BN perlu melakukan sesuatu untuk meningkatkan sokongan pengundi di Hulu Selangor semula. Walaupun agak sukar, jika momentum menunaikan janji segera dilaksanakan di kawasan itu, harapan untuk menawan hati rakyat kembali cerah.

Jangan diendahkan jerit pekik Dato’ Ibrahim Ali yang mencadangkan orang Cina di Hulu Selangor disisihkan daripada mendapat bantuan kerajaan Persekutuan. Politik dendam akan menambahparahkan BN. Ingat, kerajaan Selangor diperintah oleh Pakatan Rakyat. Jika BN tidak membantu, PR akan membantu. Seandainya hal ini berlaku, PR akan terus dekat dan lekat di hati pengundi Cina, bukan sahaja di Hulu Selangor tetapi di seluruh Selangor. Natijah daripada keadaan ini ialah keinginan tinggi BN untuk merampas Selangor semula hanya menjadi seperti keinginan kelekatu yang hendak terbang tinggi seperti burung.

Sunday, April 25, 2010

Beruntunglah Hendaknya Rakyat Hulu Selangor

Dengan dijanjikan bahawa mereka akan mendapat pelbagai imbalan, pengundi Hulu Selangor dapatlah dianggap sebagai bijak. Janji-janji yang tinggi melangit daripada pihak BN, khususnya oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor merangkap Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional serta pemuka BN yang lain, haruslah dituntut dengan cara apa-apa sekalipun.

Rasa-rasanya sekali ini Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor merangkap Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional itu akan menunaikan janjinya. Beliau mahu dilihat sebagai bersungguh-sungguh untuk membantu rakyat Selangor. Hal ini demikian kerana beliau beriltizam untuk merampas Selangor semula di samping mencuba untuk memenangi hati seluruh rakyat Malaysia semula. Malah, semasa memberikan ulasan terhadap kemenangan BN tidak lama selepas pengumuman kemenangan itu, beliau sendiri memahukan semua yang telah dijanjikan sama ada oleh beliau sendiri mahupun oleh Timbalan-timbalannya (Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor serta pemuka-pemuka BN yang lain) segera disenaraikan supaya dapat dilaksanakan dengan segera.

Saya tidak kecewa PKR kalah kerana saya bukan ahlinya tetapi saya kecewa kerana orang bukan Islam menang. Bekas peminum arak tegar yang bertaubat ditolak, tetapi orang yang tidak pernah meminta arak diharamkan dipilih mewakili mereka.

Tidak mengapalah orang Hulu Selangor. Berdoalah agar Wakil Rakyat baharu itu dapat dijinakkan oleh rakan-rakan Islamnya di dalam BN selain berdoa agar pemuka-pemuka BN tidak memungkiri janji mereka.

Kepada pihak PR yang menerajui Selangor, tidak salah kalau janji-janji yang ditaburkan kepada penduduk di Hulu Selangor ditunaikan juga.

Keputusan Rasmi PRK P094 Hulu Selangor (25 Aprill 2010)

Keputusan rasmi diumumkan pada jam 9:17. Pegawai Pengurus PRK P094 Hulu Selangor, Encik Norisham Ahmad Dahalan mengumumkan P. Kamalanathan memenangi PRK itu dengan memperoleh 24 997 dengan mengalahkan Dato’ Zaid Ibrahim yang memperoleh undi sebanyak 23 272. Sebanyak 731 undi ditolak. Dengan itu, P. Kamalanathan menang dengan majoriti 1 725 undi. Kemenangan itu turut diraikan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor Dato’ Seri Mohd. Najib dan Timbalannya, Dato’ Noh Omar serta Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengarah Pilihan Raya.

Majoriti BN Semakin Besar

Sehingga jam 9:05 minit, selepas 132 saluran peti undi dikira, BN beroleh 23 978 undi manakala PKR beroleh 22 591. BN mendahului dengan majoriti sebanyak 1 387.

Penyokong PKR sudah makin banyak yang pulang.

BN Menjarakkan Diri

Sehingga jam 8:48, selepas 121 saluran peti undi dikira, BN memperoleh 21 617 undi manakala PKR memperoleh 20 582 undi (BN memperoleh majoriti sebanyak 1 035 undi. Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Seri Hisamuddin Hussein sudah berada di dewan.

Kedudukan Terkini

Sehingga jam 8:41 malam, selepas 101 saluran peti undi dikira, BN memperoleh 17 454 undi manakala PKR memperoleh 17 335 undi (BN mendahului dengan majoriti 119).

Dato' Zaid Ibrahim Kalah

BN menang. Itulah yang dapat dilihat sekarang. Majoriti mungkin menghampiri atau melebihi 2 000. Jika hal ini benar, PR kalah buat pertama kali di negeri yang diperintahnya. Telahan DS Khir Toyo mungkin benar. BN akan menang agak mudah kalau Dato’ Zaid dipilih jadi calon PKR tetapi akan mendepani kesukaran kalau Dr. Halili dipilih mewakili PKR.

Andaian dan Hakikat

Pihak BN melalui SPR mengharapkan 85% pengundi keluar mengundi pada PRK di Hulu Selangor tetapi peratusan rasmi yang keluar sehingga pengundian ditutup pada jam 5:00 petang ialah 75.87%. Hal ini bermakna bahawa sebanyak 48 935 orang keluar mengundi pada kali ini. Angka ini bertambah berbanding dengan PRU12 lalu. Dalam PRU12 itu, 75.24% atau 46 156 orang keluar mengundi.

Hal ini menguatkan keyakinan pihak Pakatan Rakyat bahawa calon mereka akan menang dalam PRK094 itu. Ada yang mendakwa bahawa mereka akan menang dengan majoriti sekitar 1 000 undi. Sebaliknya, beberapa orang penganalisis berkata bahawa kedua-dua pihak berpotensi untuk menang tetapi tetap menjangkakan angka 1 000 menjadi angka majoriti yang bakal diperoleh oleh mana-mana pihak yang menang.

Beberapa orang penganalisis yang menemui pengundi Cina mendakwa bahawa mereka (pengundi Cina) memahukan calon PKR memenangi PRK ini. Hal ini demikian kerana BN sudahpun mempunyai tiga orang wakil pada peringkat Dewan Undangan Negeri. Biarlah pada peringkat Parlimen diwakili oleh PR pula. Pemikiran sedemikian hanya berlaku dalam kalangan pengundi Cina, bukan pengundi Melayu dan India.

Keputusan tidak rasmi setelah kira-kira 30% undi dikira, PKR mendahului lebih daripada 1 800 undi. Walau bagaimanapun undi kawasan majoriti Melayu belum dikira. Undi pos dimenangi oleh BN dengan majoriti lebih 600 undi.

Tidak Banyak tetapi Adalah Juga

Sudah dua tahun PR memerintah Selangor. Yang telah dilakukan oleh Kerajaan PR di Selangor demi kebajikan rakyat yang diperintahnya banyak. Yang berikut ini adalah antara program kebajikan yang telah dilaksanakannya:

  1. pemberian 20 meter padu pertama air secara percuma;
  2. Skim Mesra Usia Emas;
  3. Tabung Warisan Anak Selangor;
  4. hadiah dermasiswa kepada anak-anak Selangor yang masuk IPT;
  5. Tabung Pendidikan Anak Pekerja Ladang;
  6. kemasukan pelaburan sebanyak RM6.76 bilion pada tahun 2009 (kedua tertinggi di Malaysia);
  7. menaikkan elaun guru-guru KAFA kepada RM1000 sebulan;
  8. berjaya menyiapkan dan menyerahkan 5 655 unit rumah yang terbengkalai semasa pemerintahan BN;
  9. menamatkan sistem kontrak runding terus untuk projek-projek kerajaan negeri;
  10. melarang ADUN dan Eksko menganggotai jawatankuasa tender untuk kontrak majlis tempatan;
  11. membenarkan mana-mana pihak tanpa mengira fahaman parti, bangsa, dan agama menggunakan balai raya dan dewan;
  12. memberikan hak milik tanah kepada 10 000 penduduk di Kuala Selangor dan melanjutkan pajakan 99 tahun kepada 183 keluarga di Sekinchan dengan bayaran hanya RM1 sekaki persegi;
  13. memperuntukkan dana RM50 juta untuk skim mikrokredit (al-Qardhu Hasan) bagi mengatasi masalah ceti haram;
  14. memperuntukkan RM20 bilion untuk tempoh 10 tahun bagi menaiktarafkan sungai-sungai di Selangor;
  15. menggazetkan 321.7 hektar hutan Kota Damansara sebagai Hutan Simpan Kekal;
  16. melantik Ahli-ahli Majlis Tempatan daripada kalangan mereka yang berkelayakan dan profesional;
  17. mewujudkan pendengaran Awam SELCAT bagi membuat siasatan terhadap tingkah laku pentadbiran terdahulu yang menyalahgunakan harta rakyat untuk kepentingan tertentu; dan sebagainya.

Tidaklah banyak, tetapi adalah juga. Semua itu diusahakan PR bukan BN. Janganlah mencuba untuk mendapat nama daripada usaha pihak lain.

Saturday, April 24, 2010

Menanti Kemenangan

I

Makna kemenangan BN di Hulu Selangor sangat besar kepada YAB DS Mohd. Najib. Beliau Perdana Menteri, Pengerusi BN, dan yang lebih penting belia Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor. Beliau Perdana Menteri Malaysia dan peneraju BN yang tidak memiliki majoriti dua pertiga di Parlimen. Kemenangan akan menambah bilangan ahli Parlimen BN.

Soal kemenangan BN di Hulu Selangor bukan soal kejayaan merampas kerusi itu semula tetapi lebih besar daripada itu. Kejayaan itu kelak akan menjadi petunjuk penerimaan rakyat terhadap dasar-dasar yang diperkenalkannya. Dalam erti kata yang lain, kemenangan di situ menjadi titik mula untuk beliau memperkenalkan dasar yang lebih berjaya menurut pandangan beliau.

Kemenangan di situ juga sangat besar ertinya kepada DS Mohd. Najib dalam persaingan personaliti/populariti. Kemenangan BN sedikit banyak akan menampakkan bahawa beliau disukai rakyat. Setidak-tidaknya beliau berpeluang untuk mengatasi DS Anwar Ibrahim dari segi populariti. Malah, dengan kesungguhan yang diperlihatkannya pada saat ini, ada pihak yang menggambarkan beliau seolah-olah tidak mahu populariti daripada kemenangan itu kelak hanya diperoleh oleh Pengarah Pilihan Raya BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dalam erti kata lain, beliau mahu nama beliau juga disebut sebagai orang yang turut berusaha untuk memenangkan calon BN kalau menang kelak.

II

Kepada rakyat Hulu Selangor, kemenangan BN membawa erti yang besar dari segi habuan kerana BN telah menjanjikan pelbagai ganjaran kepada kalian. Daripada universiti hinggalah pampasan kepada peneroka di Sungai Buaya. Saya merasakan bahawa sekali ini BN akan menunaikan janjinya.

Tetapi, sebagai parti yang memerintah kerajaan negeri, PR juga mampu untuk menunaikan janjinya. Sekarang pun sedikit banyak janji dalam manifesto yang dilaungkan mereka pada PRU12 yang lalu (kerajaan berkebajikan) telah ditunaikan mereka.

Sebagai penyokong, masing-masing hendak orang yang disokong menang. Tetapi, seperti penyokong pasukan bola sepak, kemenangan lebih memberikan makna yang besar kepada pemain – jika memenangi Piala Malaysia, misalnya, mereka beroleh pelbagai ganjaran. Penyokong hanya beroleh kepuasan kerana pemain dan pasukan yang disokong telah mengharumkan nama negeri mereka. Pilihan raya, rasa saya, lebih kurang begitu. Dua tiga bulan selepas menang, calon yang menang itu kelihatan bergaya dan kita hanya dapat melihat mereka bergaya.

Jadi, perlukah kita menyokong mereka? Jawabannya, ya, demi kelangsungan hidup bernegara. Rasionalkan fikiran.

Selamat mengundi sahabat-sahabatku di Hulu Selangor. Sekali lagi, berlagalah sekarang tetapi selepas itu bertautlah. Perbezaan parti bukan untuk kita bermusuh tetapi untuk kita menegakkan demokrasi.

Friday, April 23, 2010

kilabreT, likbaTer: Semuanya Terbalik

  • Janganlah kamu memuji-muji kawan kamu kerana esok mungkin dia akan menjadi musuh kamu. Janganlah kamu mencela musuh kamu kerana esok dia mungkin akan menjadi kawan kamu.
  • Rasulullah SAW memulakan perkembangan siasah Islam di masjid dan kita melarang masjid digunakan untuk tujuan itu.
  • Kita menubuhkan Institut Integriti Negara dan merangka Pelan Integriti Nasional tetapi umpan dan imbuhan bertaburan di sini.
  • Orang bebas keluar masuk organisasi kesukaannya bila-bila masa, tetapi kita memilih untuk membesar-besarkannya pada waktu ini.
  • Kita mencela orang yang minum arak, tetapi di pinggir Lebuh Raya Persekutuan terdiri kilang arak.
  • Islam menganjurkan umatnya memilih orang yang seagamanya sebagai pemimpin, kita sibuk menonjolkan pemimpin yang bukan seagama dengan kita di kawasan kita.

Semuanya menjadi Halal demi KUASA.

Thursday, April 22, 2010

Rahsia Anwar Ibrahim yang Terselak dan Pembunuhan Karakter

Semasa berucap kepada jentera Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor BN di Command Centre BN di Bukit Sentosa, YAB DS Mohd. Najib Tun Abdul Razak berkata bahawa beliau sudah mengetahui semua rahsia YB DS Anwar Ibrahim, Ketua Umum Pakatan Rakyat itu. Semua rahsia itu, menurut beliau, diselak-selak oleh dua orang bekas Wakil Rakyat PKR yang kini menjadi wakil Bebas – YB DS Zahrain Hashim dan YB Zulkifli Noordin. Kedua-dua orang Wakil Rakyat yang tidak berkutub ini adalah antara ahli rombongan YAB Perdana Menteri ke Washington DC baru-baru ini.

Antara hal yang diselak oleh bekas-bekas Wakil Rakyat PKR itu termasuklah perkara-perkara yang berkaitan dengan fitnah dan strategi pembunuhan karakter yang digerakkan oleh DS Anwar selama ini.

“Kita dah tahu semua rahsia PKR. Dalam lawatan ke Washington, dua wakil Bebas ikut sama – YB Zulkifli Noordin dan YB Zahrain. Malam lepas acara rasmi, mereka naik ke bilik saya. Dia buka segala cerita. Sekarang saya dah tahu segala ceritanya – sampai ke seluar dalam pun saya dah tahu.

“Jadi janganlah tipu, janganlah temberang. I know everything. Saya tahu bagaimana fitnah dirancangkan, macam mana character assassination, semua saya dah tahu sebab apa mereka adalah panglimanya.”

Namun, beliau tidak akan menghuraikan apa-apa yang telah didedahkan oleh YB DS Zahrain dan YB Zulkifli itu kepada umum.

Soalan
Kem dalam PKR tidak mahu selak-selak perihal YB DS Zahrain Hashim dan YB Zulkifli Noordin, kalau ada?

Nota
Pembunuhan karakter (character assassination) ialah suatu usaha yang dilakukan oleh pihak tertentu untuk menjejaskan, merosakkan, atau memusnahkan reputasi/nama baik seseorang. Antara usaha yang kerap dilakukan ialah mengada-adakan/memanipulasi/menghebahkan cerita dan dikaitkan dengan karakter/orang yang disasarkan. Usaha lain yang dilakukan termasuklah memutarbelitkan maklumat dan menyebarkan khabar angin dan mengaitkannya dengan karakter yang disasarkan. Cerita, khabar angin, atau maklumat itu disampaikan secara berlebih-lebihan sehingga kelihatan benar dan dipercayai masyarakat sehingga menimbulkan suatu tanggapan buruk dalam kalangan masyarakat terhadap karakter/orang yang disasarkan.

Di negara ini, barangkali usaha mengaitkan YAB DS Mohd. Najib dengan Altantuya yang mati dibunuh itu adalah salah satu usaha pembunuhan karakter. Usaha “memahkamahkan” YB DS Anwar Ibrahim kerana terlibat dalam salah laku moral (homoseks) juga barangkali satu ikhtiar pembunuhan karakter. Karakter yang manakah yang berjaya dimatikan?

Hampir keseluruhan usaha pembunuhan karakter dilakukan demi kuasa dan dengan menggunakan kuasa.

Tuesday, April 20, 2010

Aib Orang Jangan Dibuka Dijaja



Gambar di atas digunakan oleh penyokong PR untuk mempertahankan calon mereka yang bertanding di P094 – Dato’ Zaid Ibrahim. Penyiaran gambar ini menggambarkan sosok yang memakai nama Zaid itu sudah berubah, daripada seorang yang “menyukai” arak kepada seorang yang menjauhi satu daripada tujuh perkara yang membawa kebinasaan itu. (Orang yang di hadapan sekali, yang duduk sebaris dengan Dato’ Zaid itu, Ustaz Zahzan Muhamad.)

Gambaran “taubat” daripada gambar itu semakin jelas apabila yang empunya diri dengan jujurnya mengakui perihal keterlanjurannya semasa muda dahulu – bahawa beliau memang pernah menyukai arak. Yang dulu, dululah, katanya, sekarang buka bab baharu – begitulah maksud daripada kata-kata beliau.

Alhamdulillah, kita berharap agar perubahan itu benar-benar ikhlas, bukan sekadar hendak mengelabui mata pengundi di Hulu Selangor dan penyokong-penyokong PR. Tuduhan terbaharu yang mengatakan beliau juga kaki judi kita harap hanya tuduhan-tuduhan longgar kerana perbuatan itu dilakukan semasa zaman mudanya. Dengan kata lain, sekarang beliau merupakan insan yang benar-benar bertaubat.

Yang menarik daripada pendedahan itu ialah, di Malaysia (mungkin semua negara di dunia ini mempraktikkan hal yang sama), orang tidak dapat lari daripada mendedahkan aib orang lain, terutamanya dalam pilihan-pilihan raya. Dalam PRK Permatang Pasir tahun lalu, peribadi calon BN diselongkar dan didedahkan dan kebetulan beliau tewas di situ. Dalam PRK Kuala Terengganu dahulu juga demikian, peribadi calon didedah-dedahkan.

Yang terbaharu, saya agak terkejut apabila orang kanan PAS mendedahkan perihal peribadi empat orang mantan PM (sebahagian besarnya telah dijemput oleh Allah SWT untuk menghadap-Nya) yang menurut beliau turut meminum arak. Betul, hal ini salah satu game dalam politik – apabila diserang, kita perlu mempertahankannya dan apabila berpeluang, kita menyerang semula – tetapi hakikat dalam Islam bagaimana?

Kita hendak menang dalam PRK ini – di dunia, tetapi jangan sampai kita kalah di PM – di akhirat kelak. Baik di pihak sebelah sana (BN), mahupun yang di sebelah sini (PR), janganlah didedahkan aib orang. Janganlah hanya setelah selesai solat jenazah, orang yang telah menjadi jenazah itu baru hendak kita katakan sebagai “Baik” dan “Baik” dan “Baik” sedang sebelumnya dia kita aibkan dan kita cela. Seperti Dato' Zaid, kita juga wajib bertaubat!

Monday, April 19, 2010

Orang PKR Menyeberang Lagi

Dr Halili Rahmat, antara calon yang disebut-sebut akan mewakili PKR dalam PRK P094, telah berkerat rotan, berpatah arang dengan PKR. Beliau hari ini telah mengumumkan perhijrahannya dari PKR ke UMNO.

Menurut Bendahari PKR Hulu Selangor itu, tujuan beliau mengisytiharkan perhijrahannya itu semasa kehangatan kempen PRK P094 sedang berlangsung adalah kerana tidak mahu namanya dimanipulasi oleh PKR untuk memancing undi seolah-olah pendiriannya masih sama seperti pada zaman Deklarasi Permatang Pauh dahulu.

Perhijrahan itu juga, kata beliau, dilakukan kerana beliau berasa sukar untuk mempertahankan kredibiliti PKR. Hal ini demikian kerana dalam masa dua tahun Parlimen ini dikuasai oleh PKR dan Pakatan Rakyat, tidak ada apa-apa pun yang telah dilakukan oleh PKR untuk kesejahteraan pengundi Hulu Selangor.

“Saya mengetahui dan faham bahawa Allahyarham Wakil Rakyat sebelum ini uzur, tetapi (yang) menghairankan saya kenapa PKR tidak berbuat sesuatu bagi membantu pejabat beliau untuk memberi khimdat kepada pengundi di Hulu Selangor.

“PKR bukan lagi sebuah wadah parti politik perjuangan tetapi lebih condong kepada parti yang pentingkan kuasa, hingga tidak mempedulikan kesejahteraan rakyat walaupun diberi mandat untuk mentadbir di beberapa buah negeri,” tambahnya lagi.
(Sumber: Malaysiakini)

Hak untuk berpersatuan milik semua rakyat Malaysia. Hak untuk mengubah sokongan juga hak semua rakyat Malaysia. Dr Halili telah menggunakan haknya walaupun agak lambat. Beliau sepatutnya memilih sebelum pencalonan dibuat oleh pihak PKR.

Mujur jugalah PKR tidak memilih beliau sebagai calon di P094 kerana kelak kalau kebetulan beliau menang, dikhuatiri akan berlaku lagi Ahli Parlimen PKR yang menyeberang parti.

Kezaliman Bukan tentang Tidak Dapat Makan dan Minum Sahaja

Perkataan zalim berasal daripada kata dalam bahasa Arab. Dalam bahasa itu, kata zalim disebut sebagai zolim. Kata zalim bermaksud “tidak berperikemanusiaan, tidak adil, bengis, kejam”. Kata zalim menerbitkan juga kata menzalimi yang bermaksud “menindas; menganiaya; berbuat sewenang-wenang”.

Kata zalim dan menzalimi perlu difahami apabila pemimpin yang kita harap-harapkan menyempitkan maksudnya seperti yang berikut:

“Kalau ada pihak yang mengatakan kerajaan BN menzalimi rakyat seperti yang disebut Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkata kita tak beri perhatian kepada nasib rakyat, adakah penduduk di Hulu Selangor ini mati tak makan?”

Kemudian beliau berkata,

“Kalau kita sudah zalimi rakyat, sudah banyak rakyat keluar beramai-ramai berarak seperti di negara jiran, mereka akan sengsara, tidak makan, tidak minum. Siapa rakyat yang ada di Hulu Selangor ini mati kebuluran kerana dizalimi oleh kerajaan BN? Kalau ada beritahu saya, saya akan bantu.”

Demikianlah ucapan YAB TPM kita seperti yang dilaporkan oleh Bernama yang turut disiarkan dalam akhbar-akhbar arus perdana dan juga Malaysian Insider. Saya berasa agak dukacita dengan ucapan beliau itu. Jika hendak beretorik, janganlah sampai menjadikan rakyat kelihatan tidak cerdik.

Kata menzalimi yang diguna pakai oleh YAB TPM itu, seperti yang saya jelaskan, bermaksud “menindas; menganiaya; berbuat sewenang-wenang”. Hendak membuktikan kerajaan menindas, menganiaya; berbuat sewenang-wenang (menzalimi) rakyat, bukanlah sukar sangat.

Deretan plaza tol yang tegak berdiri hampir di seluruh negara adalah antara contoh penindasan. Mengapa? Kerana pengguna (rakyat) masih perlu mengeluarkan bayaran di plaza tol walaupun sebelum membuat bayaran tol, jem sudah menanti di hadapan!

Rakyat juga terpaksa membayar harga petrol yang tinggi walaupun kita pengeluar sumber tenaga itu. Bukankah hal ini suatu bentuk kezaliman?

Kita juga terpaksa mengeluarkan harga yang lebih tinggi untuk sesuatu barangan kerana berlaku kenaikan harga barangan yang berterusan. Kenaikan ini lambat-laun akan menyebabkan orang tidak mampu untuk membeli barangan lalu seperti yang digambarkan beliau, akan berlaku kebuluran. (Ingat, walau hanya ada seorang sahaja rakyat yang hidup menderita – kais pagi, makan petang; kais petang, makan malam – kerajaan sudah dikira sebagai zalim!) Tontonlah rancangan Bersamamu di TV3! Kita pasti dapat melihat kezaliman seperti yang didefinisikan oleh YAB TPM.

Selain itu, banyak anak kita yang tidak memperoleh keputusan yang cemerlang dalam subjek Sains dan Matematik. Malah, bukan sedikit jumlahnya yang tidak memahami sesuatu konsep dalam subjek-subjek itu. Mengapakah hal ini berlaku? Kerana kerajaan bertindak mengajarkan subjek itu dalam bahasa Inggeris. Menafikan rakyat untuk belajar sesuatu dalam bahasa mereka, menyekat rakyat untuk mencapai kejayaan, bukankah suatu bentuk kezaliman?

Banyak lagi “tingkah laku” kerajaan yang menggambarkan kezaliman. Oleh hal yang demikian, beliau harus memahami maksud kezaliman dalam skop yang sebenar-benarnya kerana kezaliman bukan berkait hal-hal tidak cukup makan dan tidak cukup minum sahaja.

Friday, April 16, 2010

Kompromi untuk Kuasa

Sesetengah orang bersedia untuk berkompromi bagi menyelesaikan kebuntuan. Hal ini berlaku demikian kerana orang itu berfikiran waras dan senantiasa sedar bahawa kebuntuan dapat mencelakakan keadaan, menghuru-harakan jemaah. Kompromi akan meredakan ketegangan.

Namun, dalam sesetengah keadaan, orang yang bersedia untuk berkompromi itu belum dapat dianggap sebagai waras kalau kesediaan untuk berkompromi itu disertai dengan ganjaran. Sebagai contohnya, dalam suatu kebuntuan, seseorang berkata kepada seseorang yang lain, “Kalau engkau bersedia untuk menarik diri daripada menandingi aku dalam perebutan kuasa itu, engkau akan aku ganjari dengan tanah dusun di Hulu Bernam sebanyak dua puluh hektar”.

Orang yang berkompromi untuk menyelesaikan kebuntuan dengan cara ini – sama ada yang ditawari ganjaran apatah lagi yang menawarkan ganjaran – tergolong sebagai orang tidak waras. Orang yang tidak waras seperti ini tidak semestinya terkategori sebagai gila atau sewel sehingga bercakap sendirian di tepi jalan atau memekik-mekik memarahi orang yang lalu-lalang. Sebaliknya, orang tidak waras ini terkategori sebagai orang yang tidak berprinsip. Orang ini tidak waras kerana mengamalkan rasuah. Pengamal-penagamal rasuah orang yang tidak waras.

Saya menyentuh hal ini kerana berasa agak terkejut dengan kompromi yang wujud dalam pemilihan calon BN untuk bertanding di P094 (Parlimen Hulu Selangor). Pada peringkat akhir penentuan calon, BN berdepan dengan masalah sehingga khabarnya ada ugut-mengugut. (Jangan lupa, pada peringkat awal, masalah sudah pun tercetus – UMNO memahukan kerusi P094 yang kosong itu diberikan kepada mereka.)

Pada peringkat akhir itu, pucuk pimpinan MIC tidak mahu bertolak ansur – mereka memahukan Timbalan Presidennya diletakkan sebagai calon P094 itu. Sebaliknya, BN dan UMNO khabarnya cenderung untuk memilih Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan, sebagai calon di situ. MIC berkeras, Timbalan Pengerusi BN bertegas. MIC memahukan G. Palanivel, Timbalan Pengerusi BN menolak G. Palanivel. Akhirnya, P. Kamalanathan yang bertuah kerana dia yang ditunjuk sebagai calon di situ.

Bagaimanakah persetujuan itu dapat direalisasikan? Jawabannya, ganjaran. Khabarnya (tidaklah diketahui sama ada khabar angin atau khabar ribut), G. Palanivel ditawari dengan jawatan Senator dan Timbalan Menteri jika bersetuju untuk menarik diri. Dan, seperti yang diberitakan, beliau bersetuju dengan kompromi yang demikian. Jika benar khabar itu, saya pun segera menyimpulkan, pemburu dan pencinta kuasa memang selalu begitu. Kompromi yang tulus ikhlas tidak ada dalam kamus hidup mereka – dulu, kini, dan selamanya.

Kalau benar khabar ini, G. Palanivel memang cerdik, lebih cerdik daripada ketuanya. Bertanding di P094 belum tentu menang. Kalau tidak menang, beliau tidak akan dapat jawatan apa-apa pun dalam kabinet. Sekarang, tanpa bertanding dia bakal mendapat durian runtuh.

Ataupun mungkin beliau tidak minta, tetapi diberi tawaran itu. Terima sajalah.

Cuma yang tidak seronok kalau kelak beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia.

Wednesday, April 14, 2010

Me“redho”kan Datuk Zaid Ibrahim sebagai Calon Pakatan Rakyat

Teka-teki yang bermain dalam kepala sebahagian besar penyokong Pakatan Rakyat tentang calon yang akan mewakili parti dukungan mereka dalam PRK P094 (Parlimen Hulu Selangor) pada 25 April ini terjawab sudah.

Datuk Zaid Ibrahim secara rasmi telah ditunjuk oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Umum KEADILAN), sebagai calon Pakatan Rakyat pada pilihan raya tersebut. Hal itu diumumkan DS Anwar pada pukul 10.58 malam di Dewan Komuniti Serendah di hadapan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden KEADILAN, Dr Syed Husin Ali; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; dan Naib Presiden DAP, Dr Tan Seng Giaw sambil disaksikan oleh lebih 5 000 orang penyokong Pakatan Rakyat yang “berkampung” di dewan itu sejak pukul 8.00 malam.

Dalam ucapannya, DS Anwar berkata bahawa keputusan untuk memilih Datuk Zaid dibuat melalui musyawarah serta proses saringan yang teliti. DS Anwar turut mengagumi pendirian Datuk Zaid yang sanggup untuk meletakkan jawatan sebagai menteri demi mempertahankan hak rakyat. Hal ini berbeza dengan kebanyakan pemimpin UMNO yang katanya bersedia untuk “merangkak untuk mencium tangan pemimpin sebab hendak menjadi menteri”.

“Zaid ini (seorang yang) degil (dalam) mempertahankan prinsip, beliau tidak boleh terima bila kerajaan guna undang-undang rakus (untuk) menindas rakyat. Dia kata, ‘enough is enough, here’s my resignation letter’. Hari dia letak jawatan, hari yang sama juga saya adakan pertemuan sulit dengan dia. Saya kagum (kerana) dia tunjukkan semangat berkorban untuk rakyat.

“Dia menjelajah ke seluruh negara, dia beritahu saya sama ada dia dipilih atau tidak dipilih sebagai calon beliau tetap berkempen untuk parti. Beliau, sebagai peguam, (telah) tinggal di Selangor selama lebih 30 tahun dan rekod beliau sebagai Ahli Parlimen Kota Bharu dia jaga kawasan dengan baik. Saya pasti beliau akan memberikan khidmat (yang) jauh lebih baik kepada rakyat dan saya minta sokongan dan mandat kepada dia.”

DS Anwar Ibrahim juga berkata bahawa pihak UMNO telah mengadakan satu mesyuarat tergempar pada petang sebelum pengumuman itu dibuat apabila mendapat tahu bahawa Datuk Zaid Ibrahim dipilih sebagai calon PR dalam PRK itu nanti.

Sementara itu, dalam ucapan sulungnya sebagai calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid berkata bahawa beliau amat memahami masalah rakyat di negeri Selangor.

“Saya bersyukur diberi kepercayaan menjadi calon bagi Pakatan Rakyat dan saya terharu kerana saya tahu saya ahli parti yang baru tetapi inilah pengorbanan kawan-kawan di Hulu Selangor, kepimpinan Pakatan Rakyat Selangor, dan pucuk pimpinan KEADILAN yang beri peluang kepada saya. Saya rakamkan penghargaaan kepada mereka dan saya terima amanah ini dengan penuh kesedaran dan keinsafan. Beban yang dipikul oleh pimpinan adalah berat. Saya mahu sama-sama pikul beban itu supaya kerajaan yang zalim ini kita atasi.

“Saya bukan orang luar, saya sudah bermastautin lama di Selangor dan saya tahu masalah orang Selangor dan Hulu Selangor, orang miskin, dan nasib peneroka FELDA. Negara kita kaya tapi kerana tamak, (semuanya) tidak cukup untuk rakyat. Dengan sokongan rakyat, saya boleh jadi suara di Hulu Selangor,” kata Zaid dalam ucapan ringkas beliau.

Apakah strategi yang akan digunakan BN untuk mendepani Datuk Zaid Ibrahim? Hal-hal berkaitan pembangunan telah pun dijadikan suatu strategi ampuh oleh pihak BN. Adakah menghentam hal-hal peribadi Datuk Zaid serta DS Anwar Ibrahim sendiri akan dijadikan sebagai strategi oleh pihak BN selepas ini?

Bagaimanakah pula penerimaan akar umbi PKR terhadap pemilihan ini dan bagaimanakah pula reaksi penyokong PR (ahli PAS dan DAP terutamanya) terhadap sosok yang bernama Datuk Zaid Ibrahim ini? Redakah calon-calon lain (khususnya anak tempatan) yang tidak dipilih oleh PKR pada peringkat saringan itu terhadap keputusan pucuk pimpinan parti?

Ada suara-suara sumbang yang mengatakan bahawa pemilihan Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon PRK di Hulu Selangor itu akan memberikan kelebihan kepada BN. Mengapakah mereka berkata demikian?

Allah Maha Mengetahui. Dia telah pun menentukan calon yang akan menang. Bersedialah untuk meredai apa-apa juga keputusan yang muncul pada 25 April nanti.

Tuesday, April 13, 2010

Dialog Hari Ahad Malam Senin

AZMAN : Lan, Wi, jom kita minum kat kedai mamak tu!
ROSLAN : Kedai ke restoran?
NAWI : (Memandang kedua-duanya.)
AZMAN : Restoran, restoran. Maksud aku restoran dekat depan taman kita nilah.
NAWI : San Cafe tu ke?
AZMAN : Ha ah, mana lagi?
ROSLAN : Ah, tak kuasa aku! Sejak aku tahu bahawa pengendalinya bukan Islam dan pekerjanya juga banyak yang bukan Islam, aku dah tak jejakkan kaki aku ke situ lagi.
NAWI : (Senyum sahaja.)
AZMAN : Alah, minum je apa salahnya? Aku memang ajak minum je pun sambil lepak-lepak tengok MU lawan Blackburn.
ROSLAN : Engkau nak minum, nak tengok MU rentap dengan Blackburn, meh lepak kat rumah aku.
NAWI : (Diam.)
AZMAN : Ah, kalau macam itu, kat rumah aku pun boleh! Aku cuma nak larikan diri dari suasana dalam rumah.
ROSLAN : Cari restoran yang betul-betul Islam, baru aku pergi.
NAWI : (Mula mengerutkan dahi.)
AZMAN : Kuat betul semangat Islam engkau, ya Lan. Kagum aku. Ya tak, Wi?
NAWI : Kuat? Dah aku beritahukan perihal rokok ada unsur babi, dah aku tunjukkan keratan beritanya, tapi mulut dan hidung engkau orang tetap jugak berasap! Islamik apanya kalau yang satu engkau orang buang, yang satu engkau orang terus menjadi penagihnya?

Sunday, April 11, 2010

Hentikanlah Ungkit-Mengungkit tatkala Berkempen

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata bahawa pembangunan yang dilaksanakan di negeri-negeri yang kini dikuasai pakatan PAS-DAP-PKR termasuk di Selangor hanya diwarisi daripada usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu. Malah, pakatan pembangkang di negeri-negeri Kedah, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor belum melaksanakan sebarang pembangunan walaupun sudah dua tahun mentadbir di khususnya di Hulu Selangor. (Adakah beliau tidak faham bahawa PAS-DAP-PKR ialah pemerintah di keempat-empat buah negeri itu? BNlah pembangkang yang sebenarnya).

“Semua pembangunan lama BN yang bina. Sebagai contohnya, kita (BN) bina 50 (buah) sekolah rendah dan 16 (buah) sekolah menengah (di Hulu Selangor),” katanya lagi. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Motivasi Keibubapaan dan Anugerah Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan Kerling di sini semalam.

Sehubungan dengan hal itu, Timbalan Menteri itu meminta pengundi di kawasan Parlimen Hulu Selangor menolak “Kumpulan Penumpang” untuk membolehkan kerajaan pusat pimpinan BN meneruskan pembangunan di kawasan itu.

“Jadi, saya harap kawasan ini putih untuk sokongan BN supaya kita boleh terus membangunkan kawasan ini sebagaimana yang telah terbukti,” katanya.

Saya adalah antara pengagum Ketua Penerangan UMNO ini. Beliau pernah bersampan ke Pulau Pisang bersama dengan penduduk Pontian dan memacakkan bendera Malaysia di pulau itu selepas Pulau Batu Putih jatuh ke tangan Singapura.

Tetapi, apabila beliau mengungkit perihal pembangunan yang diberikan oleh kerajaan BN selama ini kepada rakyat di keempat-empat buah negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, saya berasa sedikt kecewa.

Membangunkan rakyat menjadi tanggungjawab mana-mana kerajaan. Pembangunan itu pula sama sekali tidak menggunakan duit pihak lain tetapi duit rakyat. Kerajaan yang memerintah hanya menjadi pelaksana. Mereka diberi gaji untuk menjalankan tanggungjawab itu, yang sesetengahnya dilaksanakan dengan jujur dan sesetengahnya ada yang diselewengkan.

Jadi, tidak timbul soal “Kumpulan Penumpang” dan sebagainya kerana kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah sekarang turut mewarisi daerah yang tidak membangun yang dipinggirkan kerajaan terdahulu. Kerajaan sekarang terpaksa juga menangani isu kemiskinan yang diwariskan oleh kerajaan BN yang terdahulu. Daerah Hulu Bernam adalah antara daerah yang banyak dihuni oleh rakyat termiskin, seperti halnya di Sabak Bernam.

Datuk Ahmad Maslan perlu berkempen dengan cara yang lebih pintar. Simbolisme yang digunakan beliau dalam isu Pulau Pisang mungkin perlu digunakan dalam hal ini. Ada unsur kurang cerdik apabila perihal pembangunan untuk rakyat diungkit-ungkit. Beliau perlu memahami erti tanggungjawab.

Thursday, April 8, 2010

Hormatilah Hak-hak Orang yang Tersalah Pilih

Yang sering berlaku dalam pilihan raya, sama ada PR Umum atau PR Kecil ialah kita memilih (memangkah) orang yang tidak kita kenal sangat sebagai wakil rakyat kita. Yang kita kenal betul ialah parti yang diwakilinya, sama ada BARISAN NASIONAL (di dalamnya ada UMNO, MCA, MIC, GERAKAN, PPP, dll) atau “penentang”nya seperti PAS, PKR, DAP, dll (sekarang bersatu dalam PAKATAN RAKYAT).

Lalu, oleh sebab kita tidak kenal sangat akan calon pilihan raya itu, maka sudah banyak kalilah kita tersalah pilih. Kita menyangkakan orang yang kita pilih itu benar-benar akan merubah hidup kita, setidak-tidaknya dapat memberi kita duit pendahuluan untuk membeli motosikal sekenhen bagi menggantikan basikal buruk kita. Rupa-rupanya tidak begitu. Yang berganti ialah kenderaan calon yang kita pilih itu – daripada hanya memandu Proton Wira, setelah dia kita pilih menjadi wakil kita, dia memandu Mercedes Benz, Toyota Alphard, Toyota Harrier, dan sebagainya pula. Kita memang tersalah pilih. Tidak banyak calon yang kita pilih sebagai wakil kita di Dewan Undangan Negeri atau di Dewan Rakyat (Parlimen) yang kelihatan lebih miskin daripada kita seperti Khulafa ar-Rasyidin dahulu.

Baru-baru ini lagi banyak rakyat yang telah tersalah pilih – ada beberapa orang yang kita pilih sebagai wakil rakyat telah mengkhianati pilihan kita. Mereka meninggalkan parti yang diwakilinya sedangkan parti yang diwakilinya itu tidak dapat tidak perlu diakui sebagai salah satu faktor yang memenangkannya. Mereka telah mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil rakyat BEBAS. Sebelum itu, ada seorang wakil rakyat di utara Semenanjung yang menyeberang ke gabungan yang menerajui negeri pada waktu itu. Sebenarnya, wakil-wakil rakyat seperti ini akan terus dekat dan lekat di hati kita sebagai PENGKHIANAT.

Malah, ada pemimpin yang terang-terangan mendakwa puluhan wakil rakyat akan menyeberang ke partinya bagi membolehkan gabungan yang diterajuinya membentuk kerajaan. Sebagai akibat dakwaan itu, banyak orang yang memang sudah lama muak dan mual dengan penyelewengan kerajaan sedia ada, mengalu-alukannya. Mereka, baik orang yang memilih apatah lagi orang yang dipilih, terlupa akan nilai moral yang sepatutnya dipegang oleh para wakil rakyat yang bergelar sebagai “Yang Berhormat” itu.

Para pelajar di sekolah rendah dan menengah diajar perihal moral melalui mata pelajaran Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan/Pengetahuan Moral. Kini sudah ada Sivik dan Kewarganegaraan pula. Nilai amanah dan kejujuran adalah antara aspek yang diberi penekanan dalam mata-mata pelajaran itu.

Tetapi, adakah wakil-wakil rakyat yang kita pilih dalam PRU dan PRK itu, yang kemudiannya menjadi perdana menteri, menteri-menteri, menteri-menteri besar atau ketua-ketua menteri, dan eksko-eksko atau sekadar bergelar YB biasa sahaja, memahami dan kemudiannya melaksanakan nilai yang diajarkan di sekolah itu? Jawabannya, mereka tidak melaksanakannya walaupun mereka memahaminya.

Hal ini tidak sukar untuk dibuktikan. Seperti yang kita ketahui, selepas PRU12, beberapa orang wakil rakyat telah menukar status diri mereka – daripada wakil rakyat yang berparti menjadi wakil rakyat bebas (tanpa memikirkan bahawa mereka sama sekali tidak akan menang jika mengisytiharkan diri mereka sebagai BEBAS semasa bertanding dahulu). Sudah tentulah orang seperti ini mengesampingkan amanah yang diberikan oleh pemilih kepadanya. Sudah tentulah orang seperti ini tergolong sebagai orang yang tidak jujur. Orang yang tidak jujur ialah PENGKHIANAT. Rasulullah SAW bersabda:

“Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia (tergolong sebagai) munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik hinggalah dia meninggalkannya. (Empat sifat itu ialah) apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir, dan apabila bertengkar ia mengetepikan kebenaran (menegakkan benang basah)”.

Berdasarkan sabda itu, PENGKHIANAT itu turut tergolong sebagai seorang MUNAFIK. Na‘uzubillahi min zalik.

Hal yang lebih menyedihkan ialah, jika ada wakil rakyat yang menyeberang ke parti lain seperti yang berlaku di utara Semenanjung dahulu. Sepatutnya, peneraju parti yang menjadi destinasi penyeberangan wakil rakyat itu tidak usah menerimanya sebaliknya mentarbiahnya. Ingatkan diri wakil rakyat itu tentang kejujuran, tentang amanah, tentang kemurkaan Allah SWT terhadap orang yang khianat. Begitu juga kepada diri wakil rakyat yang tiba-tiba bergelar sebagai Bebas. Ketua-ketua agama yang menggelarkan dirinya sebagai Sultan atau apa-apa sahaja harus memanggil wakil rakyat itu, mengingatkan wakil rakyat itu tentang kejujuran, amanah, khianat, dan munafik. Begitu jugalah kepada pemancing-pemancing yang menginginkan wakil rakyat tertentu beralih arah ke parti mereka pula. Buka-bukalah al-Quran dan kitab-kitab hadis.

Tidak jujur, tidak amanah, khianat, dan munafik ialah pintu kejahatan. Pintu kejahatan perlu ditutup dan untuk menutupnya, ciptalah suatu undang-undang yang melarang wakil rakyat yang dipilih rakyat menyeberang parti atau mem“BEBAS”kan dirinya. Oleh sebab orang yang dipilih dalam pilihan raya akan bergelar sebagai wakil rakyat, maka peliharalah, jagalah, hormatilah HAK rakyat supaya rakyat tidak tersalah pilih.

Monday, April 5, 2010

Protokol

Semalam, saya menghadiri majlis perkahwinan (kata perkahwinan lebih sesuai dalam konteks ini kerana hendak digunakan kata majlis pernikahan, pernikahan sudah selamat berlangsung sebelumnya; hendak dikatakan majlis persandingan, persandingan berlangsung lebih sekejap daripada jamuan makan).

Acara kemuncak majlis perkahwinan itu ialah majlis persandingan kedua-dua mempelai. Saya dapati, upacara persandingan itu sangat mengikut protokol – waktu bersanding yang dijadualkan berlangsung tepat jam 1:30 petang dipatuhi. Jemputan kehormat duduk di baris hadapan. Ada meja yang sangat khas, tentulah untuk upacara makan beradab/beradat/ berhadap. Secara jujurnya, saya jarang-jarang menghadiri majlis perkahwinan yang berprotokol.

Saya pergi ke majlis itu berempat. Kami tiba awal – sekitar jam 11:45 pagi. Kami masuk ke dalam dewan, dan disuruh makan. Oleh sebab hanya sempat bersarapan dengan sepotong kek buah, majlis perkahwinan itu menjadi majlis makan tengah hari untuk saya. Saya mengambil nasi agak banyak daripada biasa. Licin-licau nasi itu saya makan, apatah lagi lauk-pauk yang dihidangkan memang lazat!

Kami usai makan sekitar jam 12:30 tengah hari. Oleh sebab ada yang hendak melihat majlis persandingan, kami menunggu hingga jam 1:30 petang. Seperti yang saya katakan awal tadi, majlis itu berlangsung tepat pada waktunya. Kehadiran kedua-dua mempelai diiringi dengan tiupan serunai (ala-ala nobat tiupannya – jahilnya saya tentang muzik) yang dijayakan oleh pemuzik jemputan (live band). Ada bacaan doa dan doa itu sesungguhnya menyentuh perasaan saya.

Sebaik-baik sahaja usai doa, pengacara majlis mempersilakan penari-penari jemputan daripada sebuah institusi seni menarikan tarian yang saya lupa akan namanya – yang pasti memang tarian tradisional. (Hm, doa dan tarian, keliru saya.)

Usai tarian, berlangsunglah majlis merenjis-renjis pengantin. Di sinilah ketidakbiasaan saya tentang protokol begitu terserlah. Hal ini berlaku demikian kerana saya menyangkakan yang akan memulai upacara itu ialah ibu bapa kedua-dua mempelai. Sangkaan saya meleset kerana yang memulai upacara itu ialah Tan Sri-Tan Sri dan Puan Sri-Puan Sri, kemudian Dato’-Dato’ dan Datin-Datin. Selepas tiada lagi orang-orang yang bergelar seperti itu (agaknya), barulah tiba giliran ibu-ibu bapa pengantin. (Barangkali memang diatur begitu oleh pihak keluarga pengantin.)

Saya tidak tahu tentang protokol tetapi saya berpendirian majlis renjis-renjisan itu haruslah dimulai oleh ibu-ibu bapa pengantin. Saya biasa melihatnya begitu – di kampung. Di kampung, mendahulukan ibu bapa itulah yang selalunya menjadi protokol.

Friday, April 2, 2010

Din Beramboi Hanya Pinjaman: Terima Kasih, ALLAH

Apabila ALLAH menghendaki hamba-Nya kembali kepada-Nya sebagai Pencipta, tidak ada satu apa-apa pun yang dapat menyekatnya. Lakukanlah, buatlah, dan usahakanlah apa-apa pun, ALLAH – melalui malaikat Izrail – tetap akan memisahkan nyawa daripada jasad hamba-Nya betapapun hamba itu sangat dikasihi oleh hamba-hamba-Nya yang lain. Sebagai Pemilik, Dia berhak ke atas apa-apa yang dimiliki-Nya.

Begitulah halnya dengan diri hamba-Nya yang bernama Mior Ahmad Fuad Mior Badri @ Din Beramboi. Betapapun kita berusaha dengan pelbagai cara – dirawat, didoakan, disembahyanghajatkan, dan sebagainya supaya dia kembali pulih daripada komanya – Dia, ALLAH, tetap mengambil hamba yang menjadi milik-Nya itu kerana sesungguhnya, kasih-Nya kepada hamba-Nya itu melampaui kasih sayang semua mahkluk yang dicipta-Nya.

Din Beramboi, kehadiranmu menceriakan kami; ketiadaanmu kami rindui. Kami panjatkan doa kepada ALLAH yang ESA, supaya engkau dibebaskan daripada azab kubur dan rohmu dihimpunkan di Padang Mahsyar kelak bersama-sama dengan insan-insan yang beriman dan ditempatkan di dalam syurga bersama-sama dengan insan yang beriman.

Al-Fatihah....

[Kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Mior Ahmad Fuad Mior Badri @ Din Beramboi, kami hanya dapat meminta kalian bersabar dan tabah menghadapi ujian ALLAH. Janganlah diratapi pemergiannya. Ingatlah, setiap apa-apa pun yang kita sayangi hanyalah pinjaman daripada-Nya. Innalillahi wa inna ilaihirroji‘un....]

Hayat,
seperti ayat,
bertitik.

Kedua-duanya,
ayat dan hayat,
bertitik
di sini.
Sementara.

Kedua-duanya,
ayat dan hayat ,
tidak bertitik
di sana.
Kekal.

Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa (akan ditempatkan) di tempat tinggal yang aman sentosa. Iaitu di dalam beberapa taman Syurga, dengan mata air-mata air yang terpancar padanya. Mereka memakai pakaian daripada kain sutera yang halus dan kain sutera tebal yang bersulam; (mereka duduk di tempat perhimpunan) sentiasa berhadap-hadapan (di atas pelamin masing-masing). Demikianlah keadaannya; dan Kami jadikan kawan (sebagai) teman mereka bidadari-bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik matanya. Mereka meminta – di dalam Syurga itu – setiap jenis buah-buahan (yang diingini mereka), dalam keadaan aman sentosa. Mereka tidak merasai kematian di dalam Syurga itu selain daripada mati yang dirasai mereka (di dunia) dahulu; dan Allah selamatkan mereka daripada azab neraka; (Mereka diberi semuanya itu) sebagai limpah kurnia daripada Tuhanmu (wahai Muhammad); yang demikian itulah kemenangan yang besar.
(Ad-Dukhan, ayat 51-57)

Thursday, April 1, 2010

Babi Sah Haramnya. Rokok Masih Diragui. Kalau Babi dalam Rokok?

AWAS kepada para perokok. Anda bukan sahaja menyedut ribuan unsur kimia semasa anda merokok tetapi anda turut menyedut unsur-unsur yang diharamkan dalam agama kita – BABI.

Hal ini didedahkan oleh Profesor Kesihatan Awam di Universiti Sydney, Australia. Pendedahan itu dilakukan beliau dengan berdasarkan satu kajian di Belanda yang mendapati bahawa 185 industri yang berbeza menggunakan babi dalam produk yang dihasilkan mereka – termasuklah penggunaan hemoglobin babi dalam filter (penapis) rokok.

Menurut Profesor Chapman, kajian itu telah mendedahkan perkara yang selama ini menjadi rahsia dalam industri rokok. Hal ini pasti akan menimbulkan kebimbangan penganut agama Islam dan Yahudi kerana kedua-dua agama ini mengharamkan pengambilan (penggunaan) babi.

Kajian yang dilakukan di Belanda itu mendapati bahawa penggunaan hemoglobin babi (sejenis protein yang terdapat dalam sel darah merah) pada penapis rokok dapat meningkatkan keberkesanan penapis itu dalam memerangkap bahan-bahan kimia berbahaya daripada memasuki peparu.

Oleh itu, saya dengan rendah hati menasihati para pembaca yang merokok, hentikanlah tabiat itu. Berhijrahlah ke arah yang lebih baik, arah yang menjamin keislaman anda.

Untuk mendapatkan laporan penuh tentang hal ini, rujukilah http://www.dailytelegraph.com.au/news/breaking-news/cigarettes-may-contain-pigs-blood/story-e6freuyi-1225847538778