Thursday, April 22, 2010

Rahsia Anwar Ibrahim yang Terselak dan Pembunuhan Karakter

Semasa berucap kepada jentera Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor BN di Command Centre BN di Bukit Sentosa, YAB DS Mohd. Najib Tun Abdul Razak berkata bahawa beliau sudah mengetahui semua rahsia YB DS Anwar Ibrahim, Ketua Umum Pakatan Rakyat itu. Semua rahsia itu, menurut beliau, diselak-selak oleh dua orang bekas Wakil Rakyat PKR yang kini menjadi wakil Bebas – YB DS Zahrain Hashim dan YB Zulkifli Noordin. Kedua-dua orang Wakil Rakyat yang tidak berkutub ini adalah antara ahli rombongan YAB Perdana Menteri ke Washington DC baru-baru ini.

Antara hal yang diselak oleh bekas-bekas Wakil Rakyat PKR itu termasuklah perkara-perkara yang berkaitan dengan fitnah dan strategi pembunuhan karakter yang digerakkan oleh DS Anwar selama ini.

“Kita dah tahu semua rahsia PKR. Dalam lawatan ke Washington, dua wakil Bebas ikut sama – YB Zulkifli Noordin dan YB Zahrain. Malam lepas acara rasmi, mereka naik ke bilik saya. Dia buka segala cerita. Sekarang saya dah tahu segala ceritanya – sampai ke seluar dalam pun saya dah tahu.

“Jadi janganlah tipu, janganlah temberang. I know everything. Saya tahu bagaimana fitnah dirancangkan, macam mana character assassination, semua saya dah tahu sebab apa mereka adalah panglimanya.”

Namun, beliau tidak akan menghuraikan apa-apa yang telah didedahkan oleh YB DS Zahrain dan YB Zulkifli itu kepada umum.

Soalan
Kem dalam PKR tidak mahu selak-selak perihal YB DS Zahrain Hashim dan YB Zulkifli Noordin, kalau ada?

Nota
Pembunuhan karakter (character assassination) ialah suatu usaha yang dilakukan oleh pihak tertentu untuk menjejaskan, merosakkan, atau memusnahkan reputasi/nama baik seseorang. Antara usaha yang kerap dilakukan ialah mengada-adakan/memanipulasi/menghebahkan cerita dan dikaitkan dengan karakter/orang yang disasarkan. Usaha lain yang dilakukan termasuklah memutarbelitkan maklumat dan menyebarkan khabar angin dan mengaitkannya dengan karakter yang disasarkan. Cerita, khabar angin, atau maklumat itu disampaikan secara berlebih-lebihan sehingga kelihatan benar dan dipercayai masyarakat sehingga menimbulkan suatu tanggapan buruk dalam kalangan masyarakat terhadap karakter/orang yang disasarkan.

Di negara ini, barangkali usaha mengaitkan YAB DS Mohd. Najib dengan Altantuya yang mati dibunuh itu adalah salah satu usaha pembunuhan karakter. Usaha “memahkamahkan” YB DS Anwar Ibrahim kerana terlibat dalam salah laku moral (homoseks) juga barangkali satu ikhtiar pembunuhan karakter. Karakter yang manakah yang berjaya dimatikan?

Hampir keseluruhan usaha pembunuhan karakter dilakukan demi kuasa dan dengan menggunakan kuasa.

2 comments:

  1. Wah! Selepas keluar parti boleh pergi makan angin ke Washington DC bersama Perdana Menteri. Hebat! Ahahah, ada mata pandang, ada telinga dengar, ada mulut diam, ada jari larikan sepantas mungkin di papan kekunci komputer!

    Pelik tetapi benar, mudah sangat PM kita percaya kepada orang sebegitu. Sejak bila pula agaknya kita boleh percaya kepada pengkhianat musuh kita?

    ReplyDelete
  2. Ha ha ha.

    Penting rupa-rupanya orang tak berkutub ni, sampai dibawa ke hulu ke hilir oleh PM. Tahulah kita tujuan orang tak berkutub itu dibawa sekali oleh PM. Macam tak sedar saja mereka sedang dipergunakan.

    ReplyDelete