Thursday, April 29, 2010

Al-Fatihah, Aminulrasyid; Sabarlah Semua

Aminulrasyid Amzah, 15 tahun, seorang insan biasa. Yang lebih tepatnya, dia budak biasa. Dia anak bongsu daripada lapan orang adik-beradik dan belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 9, Shah Alam.


Sebelum ini, kalau anda menaip namanya di Google atau Yahoo untuk merujuk kepada sosok dirinya, sudah pasti tidak akan anda temukan apa-apa perkhabaran yang berkait dengan dirinya. Akan tetapi sejak 26 April 2010 lalu, apabila namanya anda taip di Google atau Yahoo, akan anda temukan ratusan malah mungkin ribuan sumber (blog, laman web, dan sebagainya) yang menyiarkan namanya.

Malangnya, dia tidak tahu akan perkembangan ini – bahawa dirinya begitu popular pada masa ini. Sangat popular! Beliau dibela oleh banyak orang hingga mendapat perhatian Jemaah Kabinet. Yang menjadikan populariti itu kurang menarik ialah populariti itu diraihnya bukan disebabkan oleh kejayaannya dalam mana-mana program realiti televisyen (seperti Mawi, Tomok, dan lain-lain) atau kerana dia menjadi jagoan sukan yang handal (seperti Azizulhasni Awang, Dato’ Lee Chong Wei, dan lain-lain). Bukan dan bukan!

Namanya popular (sekali lagi saya maklumkan bahawa dia tidak tahu) disebabkan oleh dia telah menjadi mangsa. Bukan menjadi mangsa ragut atau mangsa buli atau mangsa liwat atau mangsa pengedar syabu atau mangsa culik, tetapi dia telah menjadi mangsa pihak berkuasa. Dia ditembak di kepala dari belakang dan mati di tempat kejadian.

“Kesalahan” yang dilakukannya ialah “hendak melanggar pihak berkuasa yang menembak itu” dan “membawa sebilah parang untuk melakukan samun bersenjata”. Untuk memasukkan hal ini ke dalam akal terasa payah sekali. Oleh sebab itulah hal ini diragui oleh kebanyakan orang kerana mereka berandaian bahawa tidak mungkin budak seusia itu berani melakukan samun bersenjata dengan berkereta apatah lagi pihak berkuasa itu sendiri tidak sempat untuk bertanya kepada Allahyarham Aminulrasyid tentang tujuan dia “membawa sebilah parang itu”.

Selalunya, pihak berkuasa akan menghebahkan kejayaan itu — bahawa dengan tertembaknya “penyamun bersenjata” itu, pihak berkuasa telah dapat menyelesaikan beberapa kes samun bersenjata di daerah itu (malah di daerah-daerah lain juga). Hal ini tidak dapat dilakukan demikian pada kali ini, malah mereka terpaksa pula mempertahankan diri daripada tohmahan dan kemarahan orang awam terhadap kejadian itu. Pihak Kementerian Dalam Negeri telah menubuhkan panel khas yang diketuai oleh YB Timbalan Menteri Dalam Negeri sendiri untuk menyiasat insiden itu. Pihak Jemaah Menteri sendiri telah melahirkan rasa sedih dengan insiden itu. Shahrizat Jalil turut melahirkan rasa kesalnya.

Di pihak yang satu lagi, mereka telah membantu mana-mana yang patut. Mereka telah mengusahakan laporan dibuat kepada pihak berkuasa dengan membawa teman Allahyarham Aminulrasyid bersama-sama. Teman mangsa telah melaporkan “hal yang sebenarnya” kepada pihak yang satu lagi itu dan kemudiannya kepada pihak berkuasa.

Saya pernah menegur anak saya yang jauh lebih dewasa daripada arwah Aminulrasyid apabila kadang-kadang anak saya itu keluar malam. “Berbahaya!” kata saya. “Orang-orang sekarang berperangai macam-macam. Mat Rempit bukan sekadar berani merempit tetapi sudah ada yang berani melanggar pihak berkuasa, memeras ugut, dan membunuh. Peragut sendiri sudah berani membunuh,” kata saya lagi. Pada waktu itu, saya tidaklah menyedari bahawa pihak berkuasa juga kadang-kadang menjadi “ancaman” kepada anak-anak.

Memang sifat remaja lebih banyak degil daripada patuh. Anak saya itu masih juga hendak keluar dengan rakan-rakannya walaupun saya berkata demikian. Oleh sebab saya tahu akan tempat lepaknya dan saya kenal akan rakan-rakannya, maka tahap kebimbangan itu tidaklah sampai tahap air didih. Dia pun sangat hormat akan pihak berkuasa (walaupun kadangkala tidak hormat pada undang-undang. Bukti dia hormat akan pihak berkuasa ialah dia akan berhenti apabila ditahan pihak berkuasa selepas dikesan melakukan kesalahan, bukannya melarikan diri).

Cuma, dalam insiden yang menimpa Aminulrasyid, keberanian arwah membawa kereta kakaknya (agaknya secara “mencuri-curi”), pada waktu subuh dan dipandu pula hingga Seksyen 7 (http://www.khalidsamad.com/2010/04/keadilan-untuk-aminulrasyid.html), pada pandangan saya adalah sesuatu yang tidak seharusnya berlaku. Dengan statusnya yang masih di bawah usia, sudah tentulah dia tidak mempunyai lesen memandu (dan saya rasa dia juga tidak mahir memandu). Waktu sedemikian (subuh) juga bukanlah waktu yang sesuai untuk pelajar sepertinya keluar.

Oleh hal yang demikian, disebabkan dia tidak mahir memandu, dia telah menggesel kereta orang lain. Menggesel kenderaan orang lain dapat menimbulkan kemarahan pemilik kereta berkenaan dan hal ini biasanya akan menimbulkan rasa bersalah dan rasa takut kepada diri orang yang menggesel. Oleh sebab takut dan kebetulan dihambat pula oleh sebuah motosikal, dia telah memecut keretanya sehingga kemudiannya dihambat oleh pihak berkuasa pula. Kerana tidak dapat dipastikan yang melarikan diri itu penjenayah atau orang awam, pihak berkuasa mengambil tindakan menembak mangsa.

Siasatan akan dilakukan tetapi Aminulrasyid sudah tiada. Jika dia masih hidup dan berjaya diberkas, saya berpendapat bahawa keluarganya akan berdepan dengan masalah yang bukan kecil. Pada waktu itu, siapakah yang akan tampil membantu?

Saya tidak berniat untuk memihak, tetapi eloklah kita sama-sama melihat hikmah daripada kejadian ini.

Walau apa-apa pun, hati kecil saya tetap merasakan anak itu tidak harus diperlakukan sedemikian rupa oleh pihak berkuasa, apatah lagi mendakwanya sebagai “penyamun bersenjata”. Cukuplah dengan nasib yang menimpa pihak berkuasa lain akibat daripada kematian Altantuya, Kugan, dan Teoh Beng Hock. Janganlah dicalarkan imej kalian.

Al-Fatihah untukmu, Aminulrasyid Amzah. Kami berdoa agar rohmu dalam keadaan tenang dan dihimpunkan bersama-sama dengan orang yang beriman. Sabarlah, wahai abang-kakak, ibu, dan keluarga Aminulrasyid. Kebenaran pasti akan muncul juga.

No comments:

Post a Comment