Tuesday, May 31, 2011

Kenaikan Tarif Elektrik: Rasionalisasi yang Tidak Rasional

Di Malaysia ini, harga barang tampaknya sama sifatnya dengan umur kita – terus naik dan naik, tidak akan turun-turun! Usaha perasionalisasian harga barang tampaknya lebih menjurus kepada kenaikan bukan penurunan ataupun setidak-tidaknya ketetapan. Tampaknya, tiada kaedah yang rasional untuk menurunkan atau menetapkan harga, tarif, dan sebagainya. Yang ada ialah kenaikan harga barang mengikut rasional mereka.

Seperti selalu, apabila ada sesuatu kenaikan, mereka akan berhujah bahawa kenaikan itu tidak akan menjejaskan pihak yang itu atau yang ini. Atau, kalau mengikut kaedah tidak cerdik mereka, mereka akan membandingkan harga barangan yang dinaikkan dengan harga di negara di seberang sempadan Malaysia. Harga gula di negara ini masih murah berbanding dengan harga di Indonesia yang dijual pada harga RM3.80 sekg, misalnya.

Samalah dengan kenaikan tarif elektrik di bawah selenggaraan TNB yang akan/telah berkuat kuasa sekarang. Pihak yang berkenaan berkata bahawa, kenaikan tarif sebanyak 7.12% (2.23 sen) itu hanya melibatkan 25% pengguna domestik sahaja (1.52 juta). Selebihnya (75% atau 4.4 juta pengguna) tidak terlibat dengan kenaikan itu. Masuk akal ke?

Siapakah yang 25% yang dikatakan terlibat itu? Pak-Pak Menteri bukan kerana mereka dapat bekalan elektrik percuma, rasa saya. Kalau saya tidak salah, kebanyakan pengusaha dalam sektor perindustrian (perkilangan) akan merasai keperitan kenaikan tarif itu. Bedanya ialah, kalau kita rakyat yang menderitai keperitan itu, mahu tidak mahu kita perlu melaluinya. Kalau kita tidak mampu, kita duduklah dalam gelap.

Sebaliknya, pihak pengilang dapat mengalihkan keperitan itu dengan mencari mangsa yang sesuai. Siapakah mangsa itu kalau bukan kita? Kerana kenaikan tarif itu akan meningkatkan kos elektrik mereka (kerana kadar penggunaan elektrik mereka bukan di bawah 300 kilowatt sejam atau di bawah RM20.00 sebulan, atau di bawah RM77 sebulan). Kadar yang digunakan mereka sangat tinggi!

Jadi, dengan kenaikan tarif elektrik yang melibatkan mereka itu, adakah mereka akan bermurah hati untuk tidak menaikkan harga produk mereka walaupun kos operasi mereka meningkat 7.12%? Kerana mereka belum dan tidak gila, mereka pasti akan menaikkan harga apa-apa sahaja produk mereka?

Maka, kalau kenaikan harga produk berlaku, benarkah yang 75% itu tadi tidak terlibat dengan kenaikan tarif itu?

Orang gila pun tahu jawabannya.

CATATAN

Tarif baharu ini akan dikenakan kepada pengguna domestik mulai 1 Jun 2011.

Pengguna elektrik domestik berjumlah 5.92 juta.

Tarif elektrik akan dinaikkan sebanyak 7.12% atau 2.23 sen setiap kWj (dari 31.31 sen setiap kWj kepada 33.54 sen setiap kWj).

Pihak yang berkenaan mendakwa hanya 25% atau 1.52 juta pengguna domestik sahaja yang terlibat, iaitu pengguna yang menggunakan melebihi 300 kilowatt sejam.

Hal ini bermakna bahawa, kata pihak yang berkenaan lagi, 4.4 juta pengguna domestik yang menggunakan elektrik di bawah 300 kilowatt sejam tidak akan terkesan dalam kenaikan itu.

Pengguna domestik yang menggunakan elektrik dengan bil RM20 ke bawah tidak perlu membayar apa-apa.

Pengguna domestik yang dikenakan bil di bawah RM77 tidak mengalami sebarang kenaikan.

Pengguna yang dikenakan bil pada harga RM77 ke atas pula cuma mengalami kenaikan sekitar RM6 sahaja.

Monday, May 30, 2011

Enggan Berkahwin: Apakah Rahsianya?

Kerana kurang sihat, saya ke klinik. Di situ, saya berkenalan dengan seorang lelaki bersama tiga orang kanak-kanak. Melalui perbualan kami (saya banyak sekali bertanya), saya dimaklumkan oleh lelaki itu bahawa beliau pesara TNB, sekarang sudah berusia lebih 60 tahun, berasal dari Perak dan sekarang tinggal berhampiran Semenyih. Beliau tinggal dengan “anak”nya dan membantu “anak”nya menghantar dan mengambil tiga orang anak itu ke dan dari sekolah. Beliau memberitahu saya bahawa anak-anak itu cucu-cucunya.

Pada penghujung perbualan kami, selepas saya dan beliau menemui doktor, saya bertanya kepada beliau tentang jumlah anak yang dimilikinya. Saya terkejut apabila beliau memberitahu saya bahawa beliau tidak pernah berkahwin, malah kemudiannya beliau mengisytiharkan bahawa beliau tidak akan berkahwin.

Beliau seterusnya bercerita bahawa ketiga-tiga anak itu ialah cucu saudara beliau. Salah seorang daripadanya telah berada di bawah jagaannya sejak anak itu berusia tiga bulan. Beliaulah yang berjaga malam untuk membuatkan susu anak itu, menggantikan lampinnya, dan sebagainya.

Saya kagum dan terharu. Beliau tidak punya anak, tidak punya isteri, kemudiannya mengharapkan kasih sayang anak saudara dan mencurahkan kasih sayangnya kepada cucu-cucu saudara. Adakah keengganannya berkahwin itu disebabkan beliau tidak mahu “anak-anaknya” menerima nasib sepertinya yang menurut cerita beliau pada awal perbualan kami bahawa beliau telah kematian bapa ketika usianya baru sembilan bulan?

Walaupun ada secalit rasa hairan kerana beliau enggan berkahwin, tetapi saya mengagumi kesediaan beliau menjaga cucu-cucu saudaranya. Kekaguman itu selari dengan kekaguman saya terhadap almarhum bapa saudara sepupu saya, yang mengharapkan kasih sayang daripada nenek dan datuk saya serta ibu dan adik-beradik ibu saya, dan kemudian almarhum mencurahkan kasih sayangnya kepada kami adik-beradik. Beliau tidak berkahwin hingga akhir hayat (usianya lebih 60 tahun semasa meninggal dunia).

Kepada lelaki pesara TNB itu, semoga saudara terus sihat. Kepada bapa saudara sepupu saya, al-Fatihah untukmu, semoga Allah SWT terus-menerus mencurahkan rahmah-Nya untuk rohmu. Saya memang tidak tahu, mengapakah lelaki enggan berkahwin dan saya tidak mahu tahu akan rahsianya.

Friday, May 27, 2011

Karaoke: Suatu Fenomena yang Menjadi Kegilaan

Karaoke, suatu bentuk hiburan yang popular dalam kalangan rakyat di negara ini. Saya tidak mahu membicarakan perihal pusat-pusat karaoke yang eksklusif di pekan dan bandar, yang selain karaoke itu sendiri, khabarnya turut menyediakan perkhidmatan lain. Berdasarkan berita-berita di media cetak dan media elektronik serta cakap-cakap kawan yang saya dengar, pusat-pusat karaoke yang eksklusif turut menyediakan gadis-gadis GRO yang akan melayan pelanggannya.

Saya dan isteri serta anak pernah dua kali dibawa oleh adik-adik ipar berkaraoke di sebuah pusat karaoke yang agaknya tidaklah eksklusif kerana saya tidak nampak ada gadis yang bersidai melayan pelanggannya (atau mungkin ada, tetapi saya tidak tahu). Yang selalu, saya berkaraoke bersama adik-adik saya di kampung setiap kali kami pulang kerana kebetulan adik saya di kampung memiliki set karaoke. Kerap juga bapa saya melihat kami berkaraoke dan sekali dua mengutuk kami apabila suara kami sumbang-mambang tatkala mengalunkan lagu.

Tentang karaoke di kampung, saya dapati kegilaan masyarakat kampung terhadap hiburan ini bukan perkara main-main lagi (berdasarkan yang berlaku di kampung saya). Saya dapati, banyak restoran atau gerai desa yang memperlegkap perniagaan mereka dengan set karaoke. Sehingga demikian, ada antara pengusaha restoran itu yang membuka restoran mereka hingga larut malam tanpa rasa bersalah kepada jiran yang lain (kebetulan masyarakat di kampung saya seperti sporting kerana saya belum pernah mendengar ada kalangan masyarakat kampung saya yang mengamuk dan memarahi pengusaha restoran yang menyediakan hiburan karaoke ini).

Hampir setiap kali saya pulang ke kampung, saya akan mendapati ada beberapa keping sampul yang berisi undangan perkahwinan di atas rak laluan menuju ke dapur rumah saya. Kalau kebetulan jemputan itu bersamaan dengan tarikh saya balik ke kampung, sebagai anak sulung, saya akan diajak oleh bapa saya untuk menghadiri majlis tersebut. Saya jarang-jarang menolak kerana saya tahu bahawa bapa saya tidak pernah berlama-lama dalam majlis seperti itu walaupun kawannya ternyata sangat banyak.

Perubahan yang paling ketara dalam majlis perkahwinan di kampung saya hari ini (dan di majlis-majlis perkahwinan di beberapa buah kampung di luar Selangor yang pernah saya hadiri), semuanya menyediakan hiburan karaoke (yang disewa, yang khabarnya kadar sewaannya ada yang mencecah RM500/RM600.00, bergantung pada kecanggihan set karaoke tersebut). Tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa karaoke sudah menjadi antara acara sampingan yang “wajib” ada dalam mana-mana majlis perkahwinan di kampung! Malah sebenarnya, kebanyakan majlis perkahwinan di bandar dan pekan (sama ada yang diadakan di taman-taman perumahan ataupun yang diadakan di dewan) yang pernah saya hadiri turut menyediakan hiburan ini.

Hiburan karaoke dalam majlis perkahwinan sudah menjadi suatu fenomena. Salahkah fenomena ini?

Saya mendengar pelbagai pandangan. Yang alim mengatakan bahawa karaoke tidak harus diselitkan dalam majlis perkahwinan – hal ini ada unsur lagho serta melibatkan alunan suara wanita yang tidak harus didengar, kata mereka. Walau bagaimanapun, yang berkata demikian tetap juga menghadiri majlis yang menyediakan hiburan karaoke ini kerana mereka tidak mahu menghampakan tuan rumah yang mengundang mereka kerana tuan rumah itu merupakan jiran, sahabat, dan saudara mereka. Namun begitu, saya pernah mendengar daripada mulut individu tertentu yang mengatakan bahawa mereka berpatah balik apabila mendapati majlis perkahwinan yang hendak dihadiri mereka turut menyediakan hiburan karaoke ini.

Saya berpandangan bahawa hiburan karaoke ini boleh diadakan dalam majlis perkahwinan, tetapi eloklah diadakan selepas majlis perkahwinan itu usai dan dieksklusifkan kepada ahli keluarga terdekat sahaja. Hal ini dilakukan sebagai satu cara untuk berseronok-seronok dalam kalangan mereka dan untuk meraikan para petugas majlis.

Kata beberapa orang kenalan, dahulu ada joget lambak, sekarang ada karaoke. Joget lambak lebih berbahaya, kata mereka, kerana si lelaki dapat melihat benda lain yang “melambak-lambak” semasa berjoget dengan pasangan wanita mereka. Joget lambak selalunya akan melibatkan sentuhan, sama ada secara sedar atau tidak sedar, kata mereka lagi. Karaoke, kata mereka selanjutnya, hanya memperdengarkan suara. Tiada sentuhan yang berlaku dan orang jarang-jarang mempedulikan benda-benda yang “melambak-lambak” itu melainkan suaranya sahajalah.

Kata-kata yang menjadi pandangan dan pendapat inilah yang mendorong saya menulis hal karaoke ini dalam siaran kali ini.

Anda bagaimana? Masuk akalkah?

Wednesday, May 25, 2011

Halal Haram Makanan Kita: Marilah Bertindak

Saya marah sangat. Saudara-saudara pun tentu marah juga apabila soal HALAL HARAM makanan untuk umat Islam diperolok-olokkan oleh pengusaha dan peniaga yang rakus akan kekayaan, yang haloba akan keuntungan. Hal seperti ini memang sering mengejutkan dan menggemparkan kita, bukan baru-baru ini sahaja tetapi dah lama dah....

Pernah suatu ketika dahulu, roti yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat terkenal diisytiharkan tidak halal. (Sampai sekarang saya tidak membeli roti keluaran syarikat itu lagi. Saya tidak mahu tertipu untuk kali kedua, ketiga, dan seterusnya.) Ayam keluaran syarikat yang berpangkalan di utara tanah air pun pernah dikatakan tidak halal dimakan kerana cara penyembelihannya yang melanggar syarat dan syariat.

Malah, kita pernah diberitahu bahawa kebanyakan kopitiam di Selangor juga tidak mendapat pengesahan halal daripada pihak berkuasa agama (mereka sendiri tidak pernah memohonnya). Tetapi, yang mengejutkan saya dan menimbukan kemarahan saya hingga saya menulis di sini ialah apabila kek keluaran sebuah restoran terkenal dikatakan bahawa mengandungi DNA babi!

Saya marah kerana restoran itu adalah antara restoran kegemaran saya dan keknya adalah antara menu pilihan saya. Saya, selama ini, sangat percaya bahawa restoran itu sangat menitikberatkan soal HALAL HARAM kepada pelanggan Islamnya. Tetapi rupa-rupanya saya telah terpedaya. Tanpa saya sedari, saya telah mendarahdagingkan tubuh saya dengan unsur-unsur HARAM.

(Insya-Allah, saya tidak akan menjejakkan kaki saya ke restoran itu lagi walaupun diisytiharkan HALAL pada suatu hari nanti.)

Apakah yang harus kita lakukan untuk mengatasi hal ini? Yang pertama sekali, saya fikir, kita kena kembali kepada budaya kita — Melayu. Adakah kek (seperti yang dijual di restoran itu), biskut, burger, bebola ikan, mihun, mi, laksa, dan lain-lain itu makanan tradisi Melayu? Jawabannya ialah “tidak”. Kesemua makanan itu berasal daripada bangsa lain, sesetengahnya sudah lama berasimilasi dengan kita, sesetegahnya masih baharu.

Makanan yang ada dalam budaya kita ialah makanan yang simpel, antaranya termasuklah ubi rebus (bakar, goreng, dll), pisang goreng (rebus, bakar, dll), pelbagai jenis kerepek pisang dan kerepek ubi serta malinjau, lepat dan pengat (ubi, pisang, dan labu), bubur (kacang, nasi, pulut hitam, dll), keropok lekor, baulu, dodol, bertih, dan lain-lain. Adakah makanan asal kita itu memerlukan DNA babi untuk menyedapkannya? Tidak sama sekali. Jadi, fikir-fikirkanlah sendiri.

Yang kedua, umat Islam harus bersatu. Kita harus membalas perbuatan mereka yang memanipulasi pengesahan HALAL oleh pihak yang berkuasa itu. Kita perlu berada di premis-premis yang terlibat dan memaklumkan perihal penyelewengan dan pemanipulasian oleh pengusaha dan peniaga itu kepada semua umat Islam yang lalu di hadapan prmis mereka, khususnya yang berhasrat untuk makan di situ. Kita perlu memperlihatkan kuasa kita sebagai umat Islam!

Seterusnya, kita wajar menyarankan pihak berkuasa agama di negeri dan Persekutuan supaya memperkenalkan hukuman yang setimpal. Dalam hal ini, kalau pihak berkuasa boleh memberikan sijil pengesahan HALAL kepada mana-mana pengusaha dan peniaga, mereka juga seharusnya boleh memberikan sijil pengesahan HARAM kepada pengusaha dan peniaga yang melanggar syarat pemberian sijil HALAL.

Dalam erti kata yang lain, mana-mana pengusaha dan peniaga yang melanggar syarat pemberian sijil HALAL hendaklah diwajibkan untuk menampal atau menggantung kalimat “HARAM KEPADA UMAT ISLAM” di premis perniagaan mereka atau pada bungkusan produk mereka. Hal ini dilakukan demikian sebagai denda kepada mereka atas perbuatan mereka memperlekeh sijil HALAL itu dan yang lebih penting kerana mereka telah menganiaya umat Islam di negara ini.

Kita bukan menafikan hak mereka, tetapi kita memperjuangkan hak kita.

Tuesday, May 24, 2011

Padan Muka Amerika?

Biasa sangat kita dengar orang mengungkapkan kalimat “Padan muka” kalau sesuatu musibah menimpa Amerika Syarikat dan rakyatnya. Semasa tragedi September 11 (9/11), lebih tepatnya 11 September 2001, kalimat itu pernah saya dengar daripada mulut orang.

Tetapi, kalimat itu lebih kerap terpacul daripada mulut orang selepas insiden September 11 itu. Misalnya, kalau Amerika Syarikat dilanda banjir besar, taufan, dan sebagainya, kalimat itu akan kedengaran. Mengapakah begitu?

Hal ini tidak sukar untuk difahami. Kepada kebanyakan orang, yang Islam terutamanya, Amerika Syarikat yang bertindak sebagai Langlang Buana (Polis Dunia), sangat jahat. Negara itu banyak mencampuri urusan dalaman negara lain, misalnya dengan menjatuhkan pemimpin yang dipilih rakyat, mereka-reka hal yang tidak wujud (seperti rekaan yang dibuat terhadap Saddam Hussein), menjarah negara lain atas alasan untuk mewujudkan keamanan (Afghanistan dan Iraq hingga kini tidak aman), dan seribu satu alasan lain.

Mereka melihat perbuatan Amerika Syarikat itu sebagai suatu bentuk penganiayaan. Hal ini menyebabkan orang yang melihat tingkah laku Amerika Syarikat itu, lebih-lebih lagi orang yang terlibat seperti rakyat Afghanistan dan Iraq, membenci apa-apa sahaja yang bernama Amerika Syarikat. Rakyat Pakistan, khabarnya, sangat benci dan marah akan Amerika Syarikat yang mendakwa telah menghapuskan riwayat Osama Laden. Sebilangannya marah kerana pembunuhan itu, sebilangan yang lain marah kerana cara pembunuhan itu dilakukan.

Sebagai akibat dasar negara Amerika Syarikat itulah rakyat Amerika “dipadankan muka” oleh rakyat negara lain apabila mereka ditimpa musibah. Begitulah beberapa reaksi yang terlihat secara spontan apabila Amerika Syarikat sekali lagi dilanda musibah, kali ini musibah puting beliung yang melanda negeri barat tengah negara itu, Missouri khususnya. Sehingga kini, khabarnya, lebih 116 orang telah terkorban oleh bencana puting beliung yang dikatakan sebagai paling berbahaya sejak enam dekad lalu.

Sebenarnya, kita perlu merasionalkan fikiran kita dalam hal-hal seperti ini. Dalam erti kata yang lain, kita perlu mendahulukan rasa kemanusiaan kita, yakni dengan meletakkan sifat itu di tempat yang paling atas. Emosi yang berbaur kebencian jangan sekali-kali disuburkan kerana kita sendiri tidak suka “dipadankan muka” kalau ditimpa apa-apa musibah.

Sebagai contohnya, bagaimanakah perasaan kita kalau kita “dipadankan muka” oleh pihak lain atas nasib yang menimpa mangsa tanah runtuh yang berlaku di Hulu Langat Sabtu lalu? Tentu kita “naik angin” kalau ada orang yang berkata “Padan muka kalian”.

Jadi, yang sepatutnya kita lakukan ialah berkata “Innalillahi wa innailaihirojiun” dan kemudian bermunajat kepada Allah SWT agar musibah yang sama tidak menimpa kita. Yang lebih baik, jika kita berupaya dan diminta membantu, marilah kita bantu mereka.

Amerika Syarikat memang jahat, tetapi kebaikan tentu masih ada dalam jiwa rakyatnya. Kita harus bersimpati terhadap rakyat Amerika Syarikat atas nasib yang menimpa mereka. Sekali lagi saya ingatkan, musibah itu bukan ujian untuk rakyat Amerika Syarikat sahaja, tetapi ujian untuk kita juga. Percayalah.

Thursday, May 19, 2011

Ceritera Harga Barang Naik: Ada Aku Kisah, Kata Sang Pemerintah

Kita tidak boleh mengharapkan kadar harga RON95 dan barangan berasaskan petroleum yang lain kekal pada harganya sekarang, begitulah lebih kurang yang dikhabarkan oleh Menteri di Kementerian yang panjang namanya itu.

Kemudian, ketuanya membayang-bayangkan bahawa subsidi memang sukar ditarik semula setelah diberikan (samalah dengan subsidi IPP yang berbilion-bilion itu, tetapi subsidi IPP ini dia tidak pernah sebut untuk ditarik balik atau dirasionalisasikan).

Saya berpendapat bahawa maksud kenyataan Menteri di Kementerian yang panjang namanya itu tidak menjurus untuk membantu mengekalkan harga RON95 pada harganya sekarang (apatah lagi untuk menurunkannya) walaupun kemungkinan pengekalan harga itu ada.

Saya lebih cenderung untuk menginterpretasikan maksud kenyataannya itu begini: bahawa harga RON95 dan barangan berasaskan petroleum yang lain, mahu atau tidak mahu, wajar atau tidak wajar, sama ada rakyat merungut atau angkat bahu, akan dan mesti dinaikkan!

Hal ini saya katakan demikian kerana harga RON97 telah naik bersendirian hingga mencecah harga sekarang — RM2.90 per liter — meninggalkan jauh RON95 yang kini masih pada tahap harga RM1.90 per liter (berbeza RM1.00 per liter walhal suatu ketika dahulu beza harga kedua-dua RON itu cuma 15 sen atau 20 sen).

Meninggalkan RON95 jauh di belakang dengan harga sekarang sangat tidak wajar. Beza harga antara kedua-duanya perlu diminimumkan semula, setidak-tidaknya pada kadar yang dahulu — 10 sen, 15 sen, atau, 20 sen.

Maksud daripada hal ini ialah, harga ideal untuk RON95 ialah sekitar RM2.70 per liter berbanding dengan RON97 yang berharga RM2.90 per liter. Kalau kerajaan hendak memperlihatkan sikap murah hatinya, harga RM2.30-RM2.60 per liter mungkin dikira okey. Untuk menampakkan mereka seakan-akan bertimbang rasa, mereka pun menurunkan RON97 kepada RM2.80 per liter (yang satu turun 10 sen, yang satu lagi naik 40 sen-70 sen).

Dahulu, kalau harga petrol dan barangan berasaskan petroleum yang lain naik, komen dan suara hati rakyat dapat kita dengar melalui TV, radio, dan akhbar tetapi hal ini tidak dapat kita lihat dan kita dengar lagi. Hal ini dilarang oleh sang pemerintah.

Walaupun dilarang oleh pihak sang pemerintah itu, kita tahu bahawa rakyat merintih kerana kita sendiri merupakan sebahagian daripada rakyat. Adakah rakyat bergundah-gulana? Ya, tetapi mahu tidak mahu, dapat tidak dapat, rakyat terpaksa melaluinya. Sang pemerintah sedar akan hakikat ini — betapa tinggi sekalipun harga barangan dinaikkan, mereka (rakyat) tetap akan membayarnya!

Buktinya? Lihat harga rokok! Berapakah harga sekotak rokok pada hari ini? Kalau saya tidak salah, sekarang harganya berada pada paras RM8.00-RM10.00 sekotak. Untuk berada pada paras itu, sudah berapa kalikah harga bahan itu dinaikkan?

Bisingkah para perokok? Bisinglah juga. Berhentikah mereka merokok? Ya, ada yang berhenti, tetapi sedikit dan banyak yang berhenti sekerat jalan. Mereka terus membeli walaupun semasa harga sekotak rokok berharga RM5 sekotak, mereka membentak-bentak mengatakan harganya mahal.

Jadi, kalau dalam hal boleh membuat pilihan pun (dalam hal rokok itulah), rakyat masih bersedia untuk membazirkan wang dan mereka kemudiannya tidak merungut, apatah lagilah dalam hal petrol ini. Mereka (rakyat) akan ngek-ngok, dung-dang, pring-prang sekejap tapi pada masa yang sama masih memandu bersendirian ke mana-mana dengan menaiki kereta yang berbahanbakarkan RON95/RON97 yang berharga RM2.70 dan RM2.90 per liter.

Ada aku kisah, kata sang pemerintah!

Wednesday, May 18, 2011

Dialog Matematik

+ Subsidi bahan api ibarat candu, syeikh. Sekali diberikan, sudah hendak ditarik balik.

- Kuasa pun ibarat candu juga, kan syeikh? Sekali dapat, susah nak bagi kat orang lain.

= Eh, mengapakah nampak yang ibarat-ibarat saja? Yang betul-betul candu bagaimana? Mengapakah hal itu tidak disebut? Benda alah itu pun membazir duit juga. Membazir modal insan lagi.

+ Aku tak puas hatilah! Hendak bercakap tentang subsidi bahan api yang kononnya macam candu itu sampai pergi jauh-jauh ke Oxford nuh!

- Sabarlah, Campur!

= Betul kata Tolak tu, Campur. Engkau bersabarlah....

+ Apasal kena sabar?

= Ai, dari zaman Tunku sampai zaman Pak Lah, ada sesiapa yang mendahulukan rakyat? Dia ni seorang sahaja yang buat, tau?

Tuesday, May 17, 2011

Wamakaru WamakaruLlah

Al-Quran diturunkan oleh Allah SWT dalam dua fasa. Fasa pertama melibatkan penurunan keseluruhan kandungan al-Quran dari luh mahfuz ke langit dunia manakala fasa kedua melibatkan penurunan kandungannya yang beransur-ansur, dari langit dunia kepada Nabi Muhammad SAW.

Penyempurnaan penurunan al-Quran dari langit dunia kepada Nabi Muhammad SAW mengambil tempoh 22 tahun 2 bulan dan 22 hari (sekitar 23 tahun). Penurunan yang berlaku di Makkah melibatkan tempoh masa 13 tahun manakala di Madinah pula 10 tahun.

Apakah hikmahnya Allah SWT menurunkan keseluruhan kandungan al-Quran dari luh mahfuz ke langit dunia secara sekali gus, tetapi kemudiannya menurunkannya secara beransur-ansur dari langit dunia kepada Nabi Muhammad SAW?

Dalam al-Quran, kita beroleh pelbagai maklumat. Antaranya, kita mengetahui cerita tentang Laut Merah terbelah, cerita tentang Nabi Yunus ditelan ikan, kejahatan kaum Ad dan Thamud, kecelakaan yang dijanjikan oleh Allah SWT terhadap Abi Lahab dan isterinya dan sebagainya.

Semua itu merupakan perancangan Allah SWT dan perancangan itu telah berada dalam pengetahuan Allah sejak azali, bukan semasa al-Quran berada di langit dunia. Allah SWT yang merancang apakah yang akan ditanyakan oleh sahabat Nabi Muhammad tentang hal-hal silam dan jawaban kepada pertanyaan itu sudah pun menjadi qalam-Nya melalui al-Quran.

Begitulah hebatnya perancangan Allah SWT. Jadi, kalau tuan-tuan dan puan-puan ditimpa musibah dan ujian, janganlah berkeluh-kesah dan bergundah-gulana. Ingatlah akan peristiwa penurunan al-Quran itu.

Apa-apa yang menimpa kita sudah terancang dengan baik, tiada celanya. Yang dan cela ialah kekuatan iman kita. Kalau rapuh iman, dugaan menjadi masalah; kalau teguh iman, masalah tidak ubah seperti rempah – tidak enak dimakan mentah tetapi perisa apabila diadun-gulaikan.

Begitulah yang kita harapkan kepada sahabat kita yang diminta membela diri atas tuduhan yang pendakwaannya kelihatan kelakar dan lucu itu. Tuduhan yang sampai membawa sahabat kita itu ke mahkamah sehingga kemudiannya menghendaki beliau membela diri mungkin benar merupakan suatu perencanaan seterunya seperti yang dirasakan oleh sahabat kita itu.

Tetapi ingatlah akan hakikat yang sebenarnya, iaitu bahawa semua yang dihadapi beliau itu merupakan perencanaan yang telah diaturkan oleh Allah SWT yang tidak dapat dielak-elak lagi. Perencanaan itu tentulah untuk memperteguh imannya serta iman ahli keluarga, para sahabat dan pengikutnya. Perencanaan itu kelak, insya-Allah Taala, akan diikuti oleh perencanaan yang lain pula, yang insya-Allah Taala, akan memihak kepada beliau.

Kepada beliau, kita berharap agar beliau menjadi insan yang baik. Insan yang baik ialah insan yang tidak mendoakan kecelakaan terhadap sang penganiayanya. Tetapi, insan yang mendoakan kecelakaan kepada sang penganiayanya insan yang baik juga. Kalau kebetulan doanya makbul, orang akan takut untuk menjadi penganiaya. Kami pun akan selamat.

Wednesday, May 11, 2011

American Idol, Akademi Fantasia, dan Mentor

“Kamu pun ikut ‘nonton’ American Idol? Bukankah American Idol salah satu unsur hedonisme? Kamu tidak harus mendekatinya apatah lagi mengikutinya. Rancangan itu melalaikan kamu,” kata kawan saya apabila saya bercerita tentang American Idol.

Saya sebenarnya mengikuti American Idol secara kebetulan. Pada waktu itu, pesertanya ada sekitar lapan orang, kalau saya tidak salah. Dan saya bukanlah tahu nama semua pesertanya, kecuali Scotty McCreery dan James Durbin yang “agak lain” itu. Yang lain saya hanya kenal wajahnya.

Sebenarnya, sesiapa pun pemenangnya kelak tidak menarik perhatian saya langsung. Kerana, apabila mereka menjadi ternama kelak, dan kemudian lagu-lagu mereka ke udara, saya tidak akan kenal dan ingat siapakah mereka kecuali barangkali anak saya yang muda itu.

Yang menarik perhatian saya tentang American Idol ini ialah komen para juri yang tiga orang itu — Jennifer Lopez, Randy Jackson, dan Steven Tyler. Saya suka mengikuti buah fikiran dan pandangan mereka sambil mencari-cari kebenaran dan kejujuran komen mereka yang sangat berpengalaman itu.

Apabila mereka memberikan komen, sesekali saya akan berfikir, adakah mereka berkomplot untuk menjatuhkan peserta itu atau peserta ini demi memenangkan peserta yang satu lagi. Melihat mereka dan mendengar komen mereka menjadikan saya jahat kerana memikirkan bahawa mereka jahat.

“Bagaimanakah halnya dengan Akademi Fantasia atau Mentor yang sekarang sedang rancak disiarkan? Kamu tidak menontonnya? Bukankah komen para juri program itu juga seronok diikuti malah lebih mudah difahami?” kawan saya bertanya lagi. Ada sindiran dalam pertanyaan itu.

Saya ada masalah tentang hal ini. Walaupun saya kurang suka melihat peserta yang Melayu-Islam melalak-lalak dan terkangkang-kangkang di pentas, saya lebih tidak suka apabila mendengar jeritan penontonnya yang ala-ala histeria itu. Saya benar-benar rimas kerana saya yakin bahawa kebanyakan penonton yang menjerit-jerit itu Melayu-Islam!

“Jadi, kerana jeritan penonton, kamu langsung tidak mengikuti buah fikiran juri kedua-dua program itu? Penonton American Idol yang kamu tonton itu tidak menjerit dan melalak seperti orang histeriakah?” Dia menyoal, masih dengan nada menyindir.

Jeritan penonton American Idol lebih hebat lagi, tetapi hal itu tidak menjadi kudis kepada saya kerana saya yakin bahawa yang menjerit itu bukan Melayu-Islam. Rasa tidak suka saya bukan pada jeritan itu, tetapi pada siapakah yang melontarkan jeritan itu.

“Apa-apa pun alasan kamu untuk menonton dan tidak menonton sesuatu program, kamu tidak harus menonton ketiga-tiganya kerana semuanya melalaikan kamu. Berapa jamkah American Idol, misalnya bersiaran di kaca televisyen — satu jam, dua jam? Bayangkan, berapa banyak ayat Qurankah yang dapat kamu hafal selama satu dua jam itu?”

Ya, saya sudah dapat membuang kegemaran saya untuk menonton beberapa program, gusti khususnya. Seharusnya juga saya tidak usah melayan nafsu mengikuti komen-komen Jennifer Lopez, Randy Jackson, dan Steven Tyler itu kerana komen mereka tidak dapat membaiki mutu agama saya!

Terima kasih, Ustaz!

Monday, May 9, 2011

Kita Pun Dungu Juga, Rupa-rupanya

Heh, heh, heh! Terlambat rupa-rupanya hendak memberikan respons tentang RON97 = RM2.90 seliter sekarang. Harga ini sedang diguna pakai sekarang walaupun harga minyak mentah sudah turun jauh — sekitar AS99.00 setong. Harga RM2.90 itu dinaikkan semasa harga minyak mentah sekitar AS110.00 setong.

Siapakah yang dungu dalam hal ini? Bukan kita, tentunya kerana kita hanya merupakan pihak yang didungukan. Lagipun, kebanyakan kita bukan pengguna RON97 yang bermutu itu. Kebanyakan kita pengguna RON95! Jadi, apakah yang hendak diributkan dengan kenaikan harga itu?

Okeylah, kita mengakulah bahawa kebanyakan kita bukan pengguna RON97. Yang menggunakan RON97 kebanyakannya orang kaya, orang berstatus, orang berjawatan tinggi. Jadi, mereka inilah yang sedang didungukan oleh kerajaan. Padan muka mereka, ha, ha,ha!

Hei, mereka mungkin didungukan oleh kerajaan tetapi mereka memang tidak terjejas sangat pun. Mereka ini merupakan golongan yang boleh membuat pelbagai tuntutan perbelanjaan melalui syarikat atau jabatan. Mereka memang tidak rasa apa-apa. Oleh sebab itulah mereka tidak begitu bising.

Cuma kalau ikut logik, kalau harga RON97 naik dan bos-bos besar ini (orang kaya) merupakan penggunanya dan mereka ini boleh pula membuat tuntutan perbatuan, sudah tentulah kadar tuntutan perbatuan itu dinaikkan. Yalah, tak kanlah kadarnya masih sama semasa harga RON97 berharga RM2.10 seliter dulu!

Apabila kadar itu dinaikkan, tak kanlah hanya bos-bos sahaja yang akan menikmati kenaikannya. Kakitangan lain tak kan tengok sahaja. Jadi, kenaikan kadar tuntutan perbatuan itu akan melibatkan semua orang di syarikat itu. Maka, belanja syarikat pun meningkatlah!

Kalau belanja syarikat meningkat, apa natijahnya? Ha, kalau kebetulan syarikat itu merupakan pengeluar barang pengguna, harga barangan pun terpaksalah dinaikkan untuk menampung peningkatan belanja syarikat tadi. Siapakah pengguna barangan mereka? Kebanyakannya kitalah sebab kita tidak mampu untuk makan di hotel. Orang kaya mampu berbuat begitu kerana mereka boleh membuat tuntutan elaun keraian pula.

Oleh sebab itu, kalau ada pemimpin yang berkata bahawa kenaikan RON97 tidak menjejaskan rakyat marhaen macam kita, kita buat tak dengar sahajalah sebab kita sedia maklum bahawa mereka memang dungu. Oleh sebab mereka tidak mahu kelihatan dungu, maka mereka selalu mendungukan kita.

Cuma, yang menyebabkan kita kelihatan dungu dalam hal ini ialah kitalah yang memilih mereka!

Tuesday, May 3, 2011

Menanti Bencana: Yang Manakah Bencana?

(Dedikasi untuk MSO dan Dato’ Baha)

Gara-gara kecelaruan yang berlaku dalam dunia politik tanah air – yang menghalalkan fitnah, caci-mencaci, tuduh-menuduh, dsb – telah ada pihak (banyak sebenarnya) yang menyuarakan kebimbangan mereka tentang akan datangnya bencana yang menimpa umat di negara ini. Bencana itu, digambarkan oleh mereka, sangat dekat dan sedang mengelilingi kita. Mereka menggambarkan letusan gunung berapi dan gempa bumi yang berlaku dekat dengan negara ini adalah antara bencana yang bakal menimpa kita. Hujan yang tidak mengikut musim juga adalah antara bencana yang dimaksudkan oleh mereka.

Ada pula yang menggambarkan bahawa bencana yang bakal hadir kelak bukan dalam bentuk bencana alam seperti itu, tetapi bencana dalam bentuk perpecahan dalam kalangan umat Melayu-Islam di negara ini. Mereka seterusnya berkata, bencana perpecahan itu akan mengakibatkan bencana yang lebih besar, iaitu Melayu akan kehilangan tampuk kekuasaan. Sekali ini, kata mereka, kalau kekuasaan yang baru lebih kurang 60 tahun dimiliki mereka semula daripada penjajah itu hilang dari tangan Melayu-Islam, mereka tidak akan dapat memilikinya kembali.

Mari kita kembali kepada peristiwa yang berlaku pada zaman silam. Tahun 1511 menjadi titik mula Melayu-Islam di negara ini hilang kekuasaan. Kekuasaan itu mulanya jatuh ke tangan Portugis, kemudian beralih ke tangan Belanda pada tahun 1641, dan apabila berlaku campur tangan Inggeris di Tanah Melayu, kuasa itu dimonopoli oleh Inggeris. Apabila Jepun mengamuk, kekuasaan kita yang kononnya akan dikembalikan semula oleh pihak Jepun itu kepada kita, berada di tangan tentera Negara Matahari Terbit itu! Berapa lamakah kita kehilangan kekuasaan itu? 466 tahun! Dan kita baru sahaja menikmati kekuasaan itu secara mutlak semula (benarkah?) tidak sampai 60 tahun pun.

Kita harus bersetuju dengan pendapat pihak yang mengatakan bahawa kalau sekali ini kita kehilangan kekuasaan, kita tidak akan dapat merampasnya semula. Hal ini berlaku demikian kerana komposisi rakyat pada zaman ini sudah jauh berbeda daripada zaman sebelum merdeka dahulu (1957-1511). Pada tempoh itu, Melayu-Islam benar-benar tuan di negara ini. Dalam erti kata yang lain, pada waktu itu, mentimun di tangan kita, golok pun di tangan kita juga, jadi semuanya terpulang kepada kita untuk menentukan hala tuju negara ini.

Tetapi sekarang, walaupun kita masih memiliki parang, mentimun tidak lagi berada di tangan kita. Malah, sudahlah kita tidak memiliki mentimun, ulat-ulat yang sentiasa lapar pula melingkari kita. Ulat-ulat itu sedang berhelah dan menanti detik yang sesuai untuk meratah, melahap, dan merelai-relaikan tubuh kita. Kita sekarang bukan berlawan dengan musuh seperti Portugis, Belanda, Inggeris, ataupun Jepun seperti zaman dahulu, tetapi kita sedang berlawan dengan Melayu-Islam sendiri dan bangsa-bangsa lain yang sudah menjadi sebahagian daripada kita!

Berbalik kepada bencana yang dimaksudkan oleh pihak-pihak tersebut, saya berpendapat bahawa perbuatan fitnah-memfitnah, caci-mencaci, tuduh-menuduh, dsb itu bukanlah menjadi punca yang akan menyebabkan negara dan bangsa kita akan ditimpa bencana. Sebaliknya, saya berpendapat bahawa perbuatan fitnah-memfitnah, caci-mencaci, tuduh-menuduh, dsb yang telah membudaya dalam kalangan umat Melayu-Islam itu sendiri merupakan suatu bencana! Gejala buang bayi, seks bebas, penyalahgunaan dadah, dsb juga merupakan suatu bencana. Rasuahisme, penyelewenganisme, hedonisme, dsb pun suatu bencana, Bencana-bencana ini diturunkan oleh Allah SWT berpunca daripada sikap kita (yang berkuasa, khususnya) yang nanar dan gila — menghalalkan yang mungkar dan memperlekeh yang makruf!

Adakah hal serupa ini (menghalalkan yang mungkar dan memperlekeh yang makruf) berlaku di negara Melaka sebelum kerajaan itu jatuh ke tangan Portugis, kemudian Belanda, Inggeris, dan Jepun? Kalau hal yang serupa memang berlaku di negara itu sampai kita terpaksa menunggu 466 tahun untuk mendapat kuasa semula, agaknya kalau sekali ini kita hilang kuasa, kita tidak perlu menunggu apa-apa lagi selain menanti datangnya hari kiamat. Dengan tanda-tanda kecil kiamat sudah pun mengitari kita, usaha kita untuk mendapatkan kuasa semula, pada waktu itu, sudah tidak menjadi hal yang penting lagi. Barangkali, pada waktu itu, matahari sudah pun terbit dari arah barat!

[Kepada pengagung kuasa serta penggila sekularisme dan hedonisme, matahari memang sudah terbit dari Barat pun!]