Tuesday, May 24, 2011

Padan Muka Amerika?

Biasa sangat kita dengar orang mengungkapkan kalimat “Padan muka” kalau sesuatu musibah menimpa Amerika Syarikat dan rakyatnya. Semasa tragedi September 11 (9/11), lebih tepatnya 11 September 2001, kalimat itu pernah saya dengar daripada mulut orang.

Tetapi, kalimat itu lebih kerap terpacul daripada mulut orang selepas insiden September 11 itu. Misalnya, kalau Amerika Syarikat dilanda banjir besar, taufan, dan sebagainya, kalimat itu akan kedengaran. Mengapakah begitu?

Hal ini tidak sukar untuk difahami. Kepada kebanyakan orang, yang Islam terutamanya, Amerika Syarikat yang bertindak sebagai Langlang Buana (Polis Dunia), sangat jahat. Negara itu banyak mencampuri urusan dalaman negara lain, misalnya dengan menjatuhkan pemimpin yang dipilih rakyat, mereka-reka hal yang tidak wujud (seperti rekaan yang dibuat terhadap Saddam Hussein), menjarah negara lain atas alasan untuk mewujudkan keamanan (Afghanistan dan Iraq hingga kini tidak aman), dan seribu satu alasan lain.

Mereka melihat perbuatan Amerika Syarikat itu sebagai suatu bentuk penganiayaan. Hal ini menyebabkan orang yang melihat tingkah laku Amerika Syarikat itu, lebih-lebih lagi orang yang terlibat seperti rakyat Afghanistan dan Iraq, membenci apa-apa sahaja yang bernama Amerika Syarikat. Rakyat Pakistan, khabarnya, sangat benci dan marah akan Amerika Syarikat yang mendakwa telah menghapuskan riwayat Osama Laden. Sebilangannya marah kerana pembunuhan itu, sebilangan yang lain marah kerana cara pembunuhan itu dilakukan.

Sebagai akibat dasar negara Amerika Syarikat itulah rakyat Amerika “dipadankan muka” oleh rakyat negara lain apabila mereka ditimpa musibah. Begitulah beberapa reaksi yang terlihat secara spontan apabila Amerika Syarikat sekali lagi dilanda musibah, kali ini musibah puting beliung yang melanda negeri barat tengah negara itu, Missouri khususnya. Sehingga kini, khabarnya, lebih 116 orang telah terkorban oleh bencana puting beliung yang dikatakan sebagai paling berbahaya sejak enam dekad lalu.

Sebenarnya, kita perlu merasionalkan fikiran kita dalam hal-hal seperti ini. Dalam erti kata yang lain, kita perlu mendahulukan rasa kemanusiaan kita, yakni dengan meletakkan sifat itu di tempat yang paling atas. Emosi yang berbaur kebencian jangan sekali-kali disuburkan kerana kita sendiri tidak suka “dipadankan muka” kalau ditimpa apa-apa musibah.

Sebagai contohnya, bagaimanakah perasaan kita kalau kita “dipadankan muka” oleh pihak lain atas nasib yang menimpa mangsa tanah runtuh yang berlaku di Hulu Langat Sabtu lalu? Tentu kita “naik angin” kalau ada orang yang berkata “Padan muka kalian”.

Jadi, yang sepatutnya kita lakukan ialah berkata “Innalillahi wa innailaihirojiun” dan kemudian bermunajat kepada Allah SWT agar musibah yang sama tidak menimpa kita. Yang lebih baik, jika kita berupaya dan diminta membantu, marilah kita bantu mereka.

Amerika Syarikat memang jahat, tetapi kebaikan tentu masih ada dalam jiwa rakyatnya. Kita harus bersimpati terhadap rakyat Amerika Syarikat atas nasib yang menimpa mereka. Sekali lagi saya ingatkan, musibah itu bukan ujian untuk rakyat Amerika Syarikat sahaja, tetapi ujian untuk kita juga. Percayalah.

2 comments:

  1. Salam Adinda Zul,

    Well said Bro . . . Itulah ungkapan utama yang terloncat keluar daripada mulut teman setelah membaca apa yang mika perkatakan.

    Beno sesangat tu weh . . . Kemanusiaan kita harus menonjol daripada segala-galanya dalam apa pun tragedi atau kecelakaan {'catastrophe' kata jiran omputih teman tu}yang menimpa sesiapa pun.

    Teman juga bukan ardent fan of the States (negara yang suka mengaku sendiri menjadi mata-mata dunia) tu . . .


    Teman cuma teringat akan kisah tersohor pada zaman nabi-nabi dahulu . . . Bagi anjing minum air pun dapat pahala . . . yeop!

    Begitu le pandangan teman.

    Moga masih ramai jua yang ada pegangan seperti adinda.

    ReplyDelete
  2. Satu contoh cerita yang baik (yang Uda ketengahkan) yang dapat dikaitkan dengan kemanusiaan - seekor anjing, yang kalau tidak diberi minum oleh wanita itu, mungkin akan mati kehausan. Apakah ganjaran yang diperoleh oleh wanita itu kalau bukan pahala dan rahmat Allah SWT yang membawanya ke syurga.

    SubhanaLlah....

    ReplyDelete