Thursday, May 19, 2011

Ceritera Harga Barang Naik: Ada Aku Kisah, Kata Sang Pemerintah

Kita tidak boleh mengharapkan kadar harga RON95 dan barangan berasaskan petroleum yang lain kekal pada harganya sekarang, begitulah lebih kurang yang dikhabarkan oleh Menteri di Kementerian yang panjang namanya itu.

Kemudian, ketuanya membayang-bayangkan bahawa subsidi memang sukar ditarik semula setelah diberikan (samalah dengan subsidi IPP yang berbilion-bilion itu, tetapi subsidi IPP ini dia tidak pernah sebut untuk ditarik balik atau dirasionalisasikan).

Saya berpendapat bahawa maksud kenyataan Menteri di Kementerian yang panjang namanya itu tidak menjurus untuk membantu mengekalkan harga RON95 pada harganya sekarang (apatah lagi untuk menurunkannya) walaupun kemungkinan pengekalan harga itu ada.

Saya lebih cenderung untuk menginterpretasikan maksud kenyataannya itu begini: bahawa harga RON95 dan barangan berasaskan petroleum yang lain, mahu atau tidak mahu, wajar atau tidak wajar, sama ada rakyat merungut atau angkat bahu, akan dan mesti dinaikkan!

Hal ini saya katakan demikian kerana harga RON97 telah naik bersendirian hingga mencecah harga sekarang — RM2.90 per liter — meninggalkan jauh RON95 yang kini masih pada tahap harga RM1.90 per liter (berbeza RM1.00 per liter walhal suatu ketika dahulu beza harga kedua-dua RON itu cuma 15 sen atau 20 sen).

Meninggalkan RON95 jauh di belakang dengan harga sekarang sangat tidak wajar. Beza harga antara kedua-duanya perlu diminimumkan semula, setidak-tidaknya pada kadar yang dahulu — 10 sen, 15 sen, atau, 20 sen.

Maksud daripada hal ini ialah, harga ideal untuk RON95 ialah sekitar RM2.70 per liter berbanding dengan RON97 yang berharga RM2.90 per liter. Kalau kerajaan hendak memperlihatkan sikap murah hatinya, harga RM2.30-RM2.60 per liter mungkin dikira okey. Untuk menampakkan mereka seakan-akan bertimbang rasa, mereka pun menurunkan RON97 kepada RM2.80 per liter (yang satu turun 10 sen, yang satu lagi naik 40 sen-70 sen).

Dahulu, kalau harga petrol dan barangan berasaskan petroleum yang lain naik, komen dan suara hati rakyat dapat kita dengar melalui TV, radio, dan akhbar tetapi hal ini tidak dapat kita lihat dan kita dengar lagi. Hal ini dilarang oleh sang pemerintah.

Walaupun dilarang oleh pihak sang pemerintah itu, kita tahu bahawa rakyat merintih kerana kita sendiri merupakan sebahagian daripada rakyat. Adakah rakyat bergundah-gulana? Ya, tetapi mahu tidak mahu, dapat tidak dapat, rakyat terpaksa melaluinya. Sang pemerintah sedar akan hakikat ini — betapa tinggi sekalipun harga barangan dinaikkan, mereka (rakyat) tetap akan membayarnya!

Buktinya? Lihat harga rokok! Berapakah harga sekotak rokok pada hari ini? Kalau saya tidak salah, sekarang harganya berada pada paras RM8.00-RM10.00 sekotak. Untuk berada pada paras itu, sudah berapa kalikah harga bahan itu dinaikkan?

Bisingkah para perokok? Bisinglah juga. Berhentikah mereka merokok? Ya, ada yang berhenti, tetapi sedikit dan banyak yang berhenti sekerat jalan. Mereka terus membeli walaupun semasa harga sekotak rokok berharga RM5 sekotak, mereka membentak-bentak mengatakan harganya mahal.

Jadi, kalau dalam hal boleh membuat pilihan pun (dalam hal rokok itulah), rakyat masih bersedia untuk membazirkan wang dan mereka kemudiannya tidak merungut, apatah lagilah dalam hal petrol ini. Mereka (rakyat) akan ngek-ngok, dung-dang, pring-prang sekejap tapi pada masa yang sama masih memandu bersendirian ke mana-mana dengan menaiki kereta yang berbahanbakarkan RON95/RON97 yang berharga RM2.70 dan RM2.90 per liter.

Ada aku kisah, kata sang pemerintah!

6 comments:

  1. Salam, Tuan Zul.
    Memang sakit hati mendengar berita ini tetapi tidaklah sesakit apabila memikirkan betapa besar dolak-dalih pemimpin kita.Ya, hendak naikkan harga minyak, naikkan sahajalah! Janganlah pula hari ini si A kata harga minyak tidak akan dinaikkan dalam masa terdekat dan esoknya si B kata harga minyak akan dikaji (dibaca : dinaikkan). Berbelit-belit!

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu,
    Hakikat sebenarnya ialah kadar harga petrol itu hendak dinaikkan bukan kerana harga petrol global naik, tetapi kerana bilangan orang yang menggunakan diesel dan petrol meningkat dengan begitu ketara yang diakibatkan oleh peningkatan jumlah pengguna kenderaan.

    Di satu pihak, kerajaan melakukan pelbagai usaha untuk meningkat penjualan kenderaan tetapi apabila penjualannya meningkat, subsidi dikatakan meningkat pula. Hah!

    Kita bukan sahaja sakit hati kerana dolak-dalih mereka tetapi kerana hal yang semacam ini jugalah.

    ReplyDelete
  3. yang kat IPP tuh bukan subsidi tapi insentif haha. kita marhain mana tau memerintah almaklum rakyat didahulukan

    ReplyDelete
  4. Salam, Sdr Azam Rashid,
    Hah, insentif? Mengapa ya mereka diberi insentif tetapi kita tidak?

    ReplyDelete
  5. insentif bagi yang kaya, yang marhain subsidi

    ReplyDelete
  6. Salam, Sdr Azam,
    Dengar khabar, tarif elektrik nak naik lagi bulan depan. Bertambah lagilah insentif yang diperoleh oleh tauke IPP tu.

    Brengsek.

    ReplyDelete