Monday, May 30, 2011

Enggan Berkahwin: Apakah Rahsianya?

Kerana kurang sihat, saya ke klinik. Di situ, saya berkenalan dengan seorang lelaki bersama tiga orang kanak-kanak. Melalui perbualan kami (saya banyak sekali bertanya), saya dimaklumkan oleh lelaki itu bahawa beliau pesara TNB, sekarang sudah berusia lebih 60 tahun, berasal dari Perak dan sekarang tinggal berhampiran Semenyih. Beliau tinggal dengan “anak”nya dan membantu “anak”nya menghantar dan mengambil tiga orang anak itu ke dan dari sekolah. Beliau memberitahu saya bahawa anak-anak itu cucu-cucunya.

Pada penghujung perbualan kami, selepas saya dan beliau menemui doktor, saya bertanya kepada beliau tentang jumlah anak yang dimilikinya. Saya terkejut apabila beliau memberitahu saya bahawa beliau tidak pernah berkahwin, malah kemudiannya beliau mengisytiharkan bahawa beliau tidak akan berkahwin.

Beliau seterusnya bercerita bahawa ketiga-tiga anak itu ialah cucu saudara beliau. Salah seorang daripadanya telah berada di bawah jagaannya sejak anak itu berusia tiga bulan. Beliaulah yang berjaga malam untuk membuatkan susu anak itu, menggantikan lampinnya, dan sebagainya.

Saya kagum dan terharu. Beliau tidak punya anak, tidak punya isteri, kemudiannya mengharapkan kasih sayang anak saudara dan mencurahkan kasih sayangnya kepada cucu-cucu saudara. Adakah keengganannya berkahwin itu disebabkan beliau tidak mahu “anak-anaknya” menerima nasib sepertinya yang menurut cerita beliau pada awal perbualan kami bahawa beliau telah kematian bapa ketika usianya baru sembilan bulan?

Walaupun ada secalit rasa hairan kerana beliau enggan berkahwin, tetapi saya mengagumi kesediaan beliau menjaga cucu-cucu saudaranya. Kekaguman itu selari dengan kekaguman saya terhadap almarhum bapa saudara sepupu saya, yang mengharapkan kasih sayang daripada nenek dan datuk saya serta ibu dan adik-beradik ibu saya, dan kemudian almarhum mencurahkan kasih sayangnya kepada kami adik-beradik. Beliau tidak berkahwin hingga akhir hayat (usianya lebih 60 tahun semasa meninggal dunia).

Kepada lelaki pesara TNB itu, semoga saudara terus sihat. Kepada bapa saudara sepupu saya, al-Fatihah untukmu, semoga Allah SWT terus-menerus mencurahkan rahmah-Nya untuk rohmu. Saya memang tidak tahu, mengapakah lelaki enggan berkahwin dan saya tidak mahu tahu akan rahsianya.

No comments:

Post a Comment