Monday, November 30, 2009

Mengapakah Harga Rumah Dimahalkan?

Saya berasa agak hairan dengan senario ini. Lot-lot rumah kediaman dan lot-lot rumah kedai dijual dengan harga “potong kepala” oleh pihak pemaju. Rumah tiga tingkat di bandar-bandar pinggir KL sudah mencecah angka RM700,000-RM800,000 seunit (di kawasan Subang dan Damansara mungkin lebih tinggi daripada itu). Rumah itu dapat disiapkan sepenuhnya mengikut jadual. Tidak ada pula rumah (projek) yang terbengkalai walaupun sehingga siap dibina, masih ada rumah yang belum terjual. Bagaimanakah boleh berlaku demikian?

Lalu saya pun berandaian, jika satu projek perumahan tiga tingkat itu menyediakan 200 unit rumah, dan dijual pada harga RM750,000 seunit, sedangkan kos pembinaan mungkin sekitar 30%-40% daripada harga rumah, mereka tidak perlu bimbang sekiranya masih ada 20 atau 30 unit rumah yang masih belum terjual. 170-180 buah unit yang terjual sudah lebih daripada untung. Oleh sebab itulah pembinaan rumah tersebut tidak terbengkalai. Itulah fikiran saya.

Kemudian saya berandaian, mengapakah harganya sedemikian tinggi? RM700,000-RM800,000 untuk seunit rumah tiga tingkat di Kajang, misalnya, pada pandangan saya sangat mahal. Saya kemudian berprasangka, adakah peletakan harga yang sedemikian mahal merupakan salah satu cara untuk menafikan orang Bumiputera daripada menempati kawasan “elit” itu (berbanding kaum lain, kaum Cina terutamanya, kaum Bumiputera rata-rata tidak berkemampuan untuk memiliki rumah dengan harga yang sebegitu tinggi). Dengan itu, dengan mudah orang bukan Bumiputera menjadi majoriti di kawasan strategik. Saya berandaian.

Ada kawan mengkhabarkan bahawa dalam suatu kes, brosur, leaflet, dan apa-apa yang berkaitan dengan sesuatu projek perumahan di kawasan strategik diedarkan kepada penduduk di kawasan-kawasan tertentu (majoriti Melayu) selepas beberapa hari atau minggu rumah dan kedai baharu dilancarkan dan pada waktu itu kebanyakan unit sudah habis ditempah. Sebagai contohnya, pelancaran rumah kediaman atau rumah kedai berlangsung pada 22 Disember 2009 tetapi brosur, leaflet, dan apa-apa yang berkaitan dengan sesuatu projek perumahan baharu hanya diedarkan kepada penduduk sebulan selepas pelancaran tersebut. Sebagai hasil daripada “kerja” ini, banyak orang yang berkemampuan tidak sempat membeli unit idaman mereka. Menurut kata rakan saya itu lagi, ada pemaju yang menjual lot Bumiputera kepada bukan Bumiputera kerana kononnya tidak ada Bumiputera yang hendak membeli lot-lot yang dikhaskan untuk mereka.

Jika semua keadaan ini benar, kita perlu memikirkan mengapakah hal itu dilakukan demikian? Disengajakankah atau memang kos pembinaan rumah terlalu mahal?

Thursday, November 26, 2009

Ibadah Qurban dan Kita: Orang Sering Beralasan

Ibadah qurban suatu tuntutan yang “disunatmuakkadkan” dalam agama kita yang benar dan suci ini – ISLAM. Amalan ini telah berlangsung zaman-berzaman, setelah berlakunya peristiwa “penyembelihan” Nabi Ismail AS oleh ayahandanya Nabi Ibrahim AS sebagai menunaikan titah perintah Allah SWT.

Peristiwa “simbolik” itu merupakan suatu bentuk ujian daripada Allah SWT kepada hamba-Nya – Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS – yang jelas sukar untuk dilaksanakan oleh mana-mana insan di muka bumi ini sekiranya tidak dibaluti iman di dalam jiwa dan raganya. Kesediaan kedua-dua insan itu mengorbankan kasih sayang masing-masing telah dibalas dengan limpahan kasih sayang yang Maha Luas oleh Allah SWT melalui keajaiban dan kebesaran-Nya – Nabi Ismail yang hendak disembelih itu telah ditukar oleh Allah SWT dengan sejenis haiwan.

Demikianlah kita mendengar kisah qurban ini semenjak kita kecil sehinggalah saat ini. Alhamdulillah, kita tidak pernah jemu dan jelak mendengarnya apatah lagi hendak menidakkan kebenaran dan keajaiban yang diperlihatkan Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang terpilih itu.

Tetapi, adakah kita sebahagian daripada insan yang mencontoh pengorbanan kedua-dua Nabi Allah itu walaupun tanpa perlu mengorbankan anak kita bagi melaksanakan ibadah sunat itu. Kita hanya disarankan mengorbankan haiwan-haiwan seperti unta, lembu, kerbau, kambing, biri-biri, dan yang seumpa dengannya. Itu sahaja!

Walaupun itu sahaja yang diperintahkan kepada kita, namun masih banyak insan yang masih menabur 1001 alasan untuk mengelakkan diri masing-masing daripada melaksanakannya. Alasan yang paling lazim diberikan oleh insan-insan ini ialah ibadah ini hanya ibadah sunat, maka tidak perlulah kita mengutamakan dan mendahulukannya. Alasan kedua yang paling lazim dikumandangkan ialah ketidakmampuan daripada segi kewangan.

Banyak insan yang menerima alasan ini. Walau bagaimanapun, perihal sunat dan tidak mampu itu perlu difikir-fikirkan dengan wajar dan waras. Sunat muakkad bermaksud kita diberatkan untuk melaksanakannya. Tidak mampu alasan yang sangat nipis!

Banyak kalangan orang Islam yang merokok walaupun harga rokok sudah melebihi RM5.00 sekotak. Merokok langsung tidak disunatkan dalam Islam, malah makruh dan ada yang menggolongkannya sebagai haram. Oleh itu, kalau yang tidak sunat (makruh dan haram) dapat kita lakukan, seharusnya yang sunat muakkad lebih-lebih lagi dapat kita dahulukan. Dan, kalau sehari perokok menghabiskan sekotak rokok, hal ini bermakna mereka telah menghabiskan RM150.00 sebulan yang kalau dicampurkan untuk tempoh setahun, mereka telah menghabiskan RM1800.00! Fikirkan dengan wajar dan waras, kalau RM1800.00 mampu dibelanjakan untuk yang bukan sunat, bermakna kita mampu untuk melaksanakan ibadah qurban. Jadi, perihal sunat dan tidak mampu bukan alasan untuk kita meninggalkan ibadah qurban ini.

Kebanyakan kita juga memiliki kenderaan. Alasan yang mewajarkan kita untuk memiliki kenderaan ialah kenderaan suatu keperluan. Hal ini memang benar. Tetapi, anehnya, banyak insan yang sanggup berhabis demi kenderaan mereka. Ada yang menukar rim sport, menukar sistem hi-fi radio, menambah aksesori, dan sebagainya lagi. Sesetengahnya menempah pula nombor plat khas, sama ada satu digit, dua digit, nombor berkembar, dan sebagainya yang kesemuanya memerlukan wang. Yang lain pula memiliki lebih daripada satu kenderaan, satu untuk ke tempat kerja dan satu lagi untuk ke pasar. Jadi, fikirkanlah dengan wajar dan waras, menukar sport rim, sistem hi-fi, aksesori dan sebagainya untuk kenderaan bukan sunat. Memiliki nombor kenderaan yang “cantik” juga bukan sunat. Memiliki lebih daripada satu kenderaan juga bukan sunat. Dengan yang demikian juga, alasan tidak mampu tidak dapat diguna pakai untuk meninggalkan ibadah qurban ini kerana hakikatnya, banyak yang mampu untuk melakukannya.

Tidak cukup dengan hal itu, banyak orang yang memiliki telefon bimbit yang canggih-manggih, sesetengahnya ada yang menjadikannya sebagai koleksi. Dan, bukan sedikit jumlahnya insan yang bergaji RM750.00-1000.00 sebulan memiliki telefon bimbit canggih yang mencecah harga RM1500.00! Sunatkah memiliki telefon bimbit sedemikian sedangkan kegunaan utamanya hanyalah untuk berbual dan berSMS? Kalau dengan gaji RM1000.00 kita mampu untuk memiliki telefon berharga RM1500.00, seharusnya kita mampu untuk mengenyampingkan RM380.00 untuk satu bahagian dalam ibadah qurban sekurang-kurangnya.

Begitu juga, banyak orang yang melengkapkan kehidupan mereka dengan televisyen berbayar. Kalau di negara ini, televisyen berbayar ini dikendalikan oleh pihak ASTRO. Oleh sebab namanya pun televisyen berbayar, maka orang yang melanggani kemudahan ini akan dikenakan bayaran tertentu, antara RM37.95-RM131.95 sebulan. Melanggan ASTRO bukan sunat, apatah lagi sunat muakkad. Oleh sebab bukan sunat, kita tidak perlu melangganinya. Tanpa melanggan ASTRO, kita sekurang-kurangnya dapat menyimpan RM455.40 setahun! Jumlah itu, pada pandangan saya, cukup untuk kita membeli seekor kambing untuk dijadikan haiwan qurban.

Allah SWT akan bertanya kepada kita tentang amalan kita. Antara lain, Dia akan bertanya, ke manakah kita salurkan rezeki yang diberikan-Nya. Tidak mengapalah kalau kita menjawab bahawa rezeki itu antara lainnya kita salurkan kepada kereta, telefon bimbit, ASTRO, dan sebagainya setelah kita menyalurkan sebahagian besar rezeki itu dengan berjihad di jalan Allah, termasuklah melaksanakan ibadah qurban! Tetapi, kalau kita menjawab sebahagian besar rezeki itu kita gunakan untuk rokok, kereta, telefon bimbit, ASTRO, dan sebagainya dan mengenyampingkan ibadah sunat dan wajib, kita telah tergolong sebagai orang yang menzalimi diri kita sendiri.

Sebagai tambahan, sama-samalah kita hayati ancaman yang disuarakan oleh Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad SAW terhadap orang yang mampu untuk melakukan qurban tetapi mengabaikannya:

Daripada Abu Hurairah RA katanya, Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang ada kemampuan untuk berqurban tetapi tidak melakukannya, janganlah dia hadir bersama kami di tempat solat kami”.

Sebagai tambahan, hayatilah dalili-dalil ini:
  1. Firman Allah SWT dalam surah Al-Kautsar, ayat 2 yang bermaksud:
    Maka kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah qurban sebagai bersyukur.
  2. Firman Allah SWT dalam surah surah Al-Haj, ayat 37 yang bermaksud:
    Daging dan darah binatang qurban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan taqwa daripada kamu.
  3. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Tirmidzi, maksudnya:
    Aku diperintahkan dengan menyembelih qurban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu.
  4. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Tobrani, maksudnya:
    Wahai manusia, sembelihlah qurban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah qurban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla.
  5. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Tirmidzi, maksudnya:
    Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai oleh Allah Taala daripada menumpahkan darah (menyembelih qurban). Bahawa qurban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya, dan kuku-kukunya. Sesungguhnya, darah qurban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat qurban itu dengan hati yang bersih.

(Posting ini sebenarnya untuk menasihati diri dan keluarga saya sendiri serta orang-orang yang berfikiran terbuka. Sebahagian isinya saya olah semula daripada ceramah yang tersiar dalam rancangan “Suara Mimbar” di radio FM100.9. Dalil-dalil al-Quran dan Hadis diperoleh daripada Al-Azim.com. Sama-samalah kita mengambil manfaatnya.)

Tuesday, November 24, 2009

Tua Sebelum Waktunya

Kemiskinan menyebabkan seseorang itu menjadi tua sebelum waktunya. Perlukah hal ini dibuktikan melalui kajian ilmiah? Rasanya tidak perlu kerana hakikat ini pernah kita lihat, malah masih dapat kita lihat hingga sekarang, di sekeliling kita.

Dalam memperkatakan hal ini, seorang insan yang ada hubungan kekeluargaan dengan saya ingin saya jadikan contoh terbaik. Semasa zaman kanak-kanak, insan yang saya maksudkan itu jauh lebih mewah daripada saya. Dia dapat menunggang basikal Raleigh sedangkan saya sekadar berjalan kaki. Dia memakai baju yang berseterika, sedang saya cukup puas hati kalau dapat memakai baju putih berkedut yang tidak bertampal. Dengan kata yang lebih mudah, perbedaan kami seperti langit dengan bumi. (Insan yang saya maksudkan itu dipelihara oleh saudara angkatnya, yang juga ada bau-bau bacang dengan kami.)

Saya, khususnya adik kedua saya, agak nakal dan ligat berbanding dengan insan yang saya maksudkan itu. Insan itu berada berada di bawah ketiak saudara angkatnya sehingga pada satu ketika kami seperti ditegah bergaul tetapi demikian ditegah, kami tetap bergaul kerana hubungan persaudaraan tidak mungkin dapat dipisahkan.

Selepas melewati alam persekolahan pada peringkat menengah, kami terpisah, betul-betul terpisah. (Dia berkahwin awal, seawal usia sembilan belas tahun kalau tidak silap saya). Khabar tentang dirinya, selepas itu, hanya saya dengar daripada abangnya. Setiap kali saya mendengar khabartentang dirinya, saya cukup puas hati dan bersyukur – kerana tahu bahawa dia masih bernyawa.

Sehinggalah tiga atau empat tahun lalu, saya kembali bertemu dengannya apabila dia kembali ke daerah saya. Selepas lebih dua puluh tahun terpisah, saya mendapati dia kelihatan amat tua daripada usianya (dia lebih muda dua tahun daripada saya). Giginya hampir keseluruhannya sudah luruh, kepalanya dapat dikatakan botak, jambangnya memutih. Saya tidak tergamak untuk bertanya akan nasib yang menimpa dirinya pada waktu pertama kali bertemu dengannya itu. Yang pasti, saya sangat insaf pada waktu itu! Kehidupan ini betul-betul seperti roda.

Melalui bapa saya, saya mendapat tahu bahawa dia sekarang bekerja sebagai tukang kebun dan menumpang tinggal di tanah orang (sekarang sudah memiliki rumah sendiri daripada PPRT). Hidupnya dikatakan sangat miskin.

Perihal dirinya terlihat terlalu tua daripada usianya itu dapat saya buktikan melalui cerita insan yang saya maksudkan itu sendiri (cerita ini agak lucu, tetapi itulah hakikat yang terpaksa ditelannya).

Pada suatu hari, dia pergi ke Hari Terbuka sekolah menengah anaknya. Tanpa diduganya, guru kelas yang akan menerangkan perihal pencapaian anaknya (guru kelas anaknya) ialah bekas gurunya semasa dia bersekolah menengah dahulu (dia tidak dapat mengingat subjek yang diajarkan oleh guru itu dahulu).

Apabila tiba giliran dia dan anaknya, kedua-dua beranak itu pergi ke meja guru tersebut. Dia menghadap guru itu tanpa memperkenalkan dirinya (kerana menginsafi dirinya, saya rasa). Menurut ceritanya lagi, sepanjang sesi penjelasan itu, guru yang ternyata lebih tua daripadanya sekitar tiga atau empat tahun itu dengan konsisten memanggilnya dengan panggilan “pak cik” walhal insan yang dipanggilnya “pak cik” itu ialah anak muridnya dahulu. Dan insan itu tidak sedikit pun hendak membetulkan keadaan itu, malah terasa lucu apabila dipanggil demikian. Memang pun, kata insan yang saya maksudkan itu, guru itu kelihatan jauh lebih muda daripada dirinya.

Daripada peristiwa itu, jelas bahawa kemiskinan memang menyebabkan seseorang itu menjadi tua sebelum waktunya – kerana orang miskin perlu memaksa fizikalnya untuk mencari rezeki bagi menyara keluarganya sehingga terpaksa pula melupakan nikmat rehat; kerana otak orang miskin terlalu memikirkan masalah sepanjang tidurnya – tentang rumah yang tidak sempurna, tentang keluarga yang perlu diberi makan, tentang persekolahan anak-anak, tentang keperluan isteri yang tidak tertunai, dan sebagainya lagi.

Tetapi, sebagai bandingan, guru pengajian al-Quran saya dahulu (yang sudah melewati usia 70 tahun) tergolong sebagai “miskin” juga, tetapi ketuaan wajahnya sepadan dengan usianya, malah wajahnya kelihatan berseri!

Apakah yang dapat disimpulkan daripada dua hakikat ini? Anda pasti dapat menjawabnya.

Setiap Sesuatu Itu Ada Baik dan Buruknya tetapi yang Baiknya Rakyat Harus Diutamakan

Saya tidak pasti adakah pengalaman ini dipercayai ataupun sebaliknya, tetapi inilah pengalaman saya. Saya bukan hendak mencerca atau mempromosikan produk ini tetapi saya hanya hendak berkongsi pengalaman.

Sejak kerajaan memperkenalkan petrol RON95 untuk kenderaan, itulah pilihan saya kerana hanya RON95lah yang murah untuk saya. Semasa mula-mula menggunakannya, ada rasa sangsi dalam hati saya. Kesangsian itu bertambah apabila pihak kerajaan telah “mempersendakan” rakyat dengan menetapkan harga RON95 pada harga RM1.80 seliter walhal sebelumnya dikatakan akan dijual di bawah harga tersebut.

Jelas, kesangsian itu berasas. Kini, bunyi enjin kereta saya agak kasar. Saya bertanya kepada rakan saya yang bekerja di sebuah syarikat petroleum ternama tentang hal ini. Beliau mengakui hal ini disebabkan oleh petrol RON95 yang saya gunakan. Saya kurang jelas akan hal ini kerana tidak tahu bagaimanakah proses pembakaran bahan api ini (RON95) dalam kenderaan berlaku berbanding dengan RON97 yang menjadi pujaan saya dahulu.

Walau bagaimanapun, sejak saya menggunakan RON95 daripada stesen yang sama, saya dapati jarak perbatuan kenderaan saya meningkat. Jika dahulu, satu tangki penuh RON97 yang saya gunakan hanya dapat mencapai jarak sekitar 480-500 km, kini jarak tersebut boleh mencecah sehingga 530 km! Saya tidak percaya pada mulanya tetapi setelah dua tiga kali saya membuat setting jarak perbatuan pada speedometer saya, sah jarak baharu yang saya dapati adalah sekitar 520-530 km! (Biasanya, satu tangki penuh bermuat sekitar 34 liter. Hal ini bermakna, seliter petrol mencapai jarak kira-kira 15 km.) Bolehlah!

Benarlah, setiap sesuatu itu ada buruk dan baiknya. Tetapi, kalau rakyat betul-betul hendak diutamakan, harga petrol itu wajar diturunkan. Harga yang mahal menganiaya rakyat. Rakyat sekarang sentiasa berasa teraniaya, dan mereka sudah pandai bertindak. Kerajaan sekarang tidak mahu majoriti dua pertigakah?

Wednesday, November 18, 2009

Inilah yang Kita Ada: Sabar Sajalah...

Dalam kalangan pengguna, khususnya para editor buku-buku pelajaran seperti kami yang dahaga akan maklumat daripada kerajaan, hal ini sudah lama kami sungutkan. Saya yakin bahawa bukan para editor seperti kami sahaja yang “merungut”, tetapi para pengguna daripada sektor lain juga. Hal ini demikian kerana banyak maklumat, data, fakta, dan input yang kami inginkan tidak kami peroleh atau jika diperoleh pun sesetengahnya bukanlah yang terkini sedangkan semua itu sangat kami perlukan untuk mengetahui data yang tepat dan benar.

Sungutan kami itu akhirnya “terdedah” juga ke muka umum apabila oleh Y.Bhg Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan sendiri mendedahkannya. Menurut beliau, hanya 7 laman web atau 0.65% daripada 1 192 portal dan laman web kendalian kementerian serta agensi kerajaan yang disenaraikan memperoleh penilaian lima bintang oleh pihak Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDEC). Angka ini sangat kecil berbanding dengan jumlah keseluruhan portal dan laman web kerajaan yang ada.

Laman-laman web yang mendapat pengiktirafan lima bintang itu ialah laman web kendalian Kementerian Kewangan, Pejabat Perdana Menteri, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pejabat Kerajaan Negeri Selangor, dan portal myGovernment.

Oleh itu, Y. Bhg KSU meminta semua ketua jabatan “melakukan sesuatu” bagi memulihkan imej mereka dan seterusnya mendapatkan keyakinan rakyat semula.

“Saya harap hasil laporan MDEC ini diambil serius oleh mereka yang berkenaan dan saya tidak mahu mengeluarkan apa-apa arahan memandangkan mereka ini bukannya golongan tidak cerdik, jadi sepatutnya mereka faham sendiri tentang tanggungjawab mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar “Perubahan 1Pengurusan Perkhidmatan Kerajaan dalam Talian: Amalan Utama untuk Berubah” di Kuala Lumpur.

“Hasil laporan itu juga sebenarnya satu cabaran kepada mereka (kerana) jika tujuh laman web ini boleh mendapat penilaian lima bintang, jadi kenapa selebihnya tidak boleh mendapatkan pengiktirafan sama,” katanya.

Tan Sri Mohd. Sidek berharap agar kementerian dan agensi yang belum mencapai tahap yang membanggakan itu mencari jalan untuk menambah baik kandungan laman web kendalian mereka.

ULASAN SAYA
  • Teknologi maklumat dan komunikasi sangat pesat perkembangannya. Namun, apabila kita menjengah sesetengah portal dan laman web kementerian dan agensi kerajaan tertentu, “kemeriahan” yang terhasil daripada perkembangan ini hampir tidak wujud langsung. Kesimpulan yang dapat dibuat daripada keadaan ini ialah pihak-pihak yang terbabit tidak peka dan sambil lewa terhadap perkembangan ini. Mungkin memikirkan teman dan tempat untuk bermain golf bagi mendapat kepuasan yang palsu itu lebih penting daripada memikirkan kepuasan yang dapat diperoleh rakyat daripada usaha mereka memeriahkan laman web dan portal kementerian dan agensi yang dipimpin mereka.
  • Kurangnya portal dan laman web kementerian dan agensi kerajaan yang tersenarai sebagai bertaral lima bintang “menggambarkan” bahawa kementerian-kementerian dan agensi-agensi terbabit tidak menyalurkan peruntukan yang sewajarnya untuk memeriahkan portal dan laman web mereka. Jadi, ke manakah perginya peruntukan itu?
  • Kurangnya portal dan laman web kementerian dan agensi kerajaan tertentu yang tersenarai sebagai bertaral lima bintang juga “menggambarkan” bahawa para petugas yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan portal dan laman web tertentu telah tidak melaksanakan tanggungjawab mereka, tidak kreatif, tidak inovatif, dan tidak informatif. Dengan kata yang lebih tepat, mereka malas, cuai, dan culas.

Inilah yang kita ada. Kalau tidak, tak kanlah Y. Bhg Tan Sri KSU sampai berkata, “Saya harap hasil laporan MDEC ini diambil serius oleh mereka yang berkenaan dan saya tidak mahu mengeluarkan apa-apa arahan memandangkan mereka ini bukannya golongan tidak cerdik, jadi sepatutnya mereka faham sendiri tentang tanggungjawab mereka.”

Tuesday, November 17, 2009

Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin: Tamparan kepada SPR

DUN Kota Siputeh kosong. Itulah keputusan yang dibuat oleh Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin. Keputusan itu dibuat setelah Datuk Abu Hassan Sarif, wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat kawasan itu, tidak menghadiri dua persidangan DUN pada tahun ini (19 April 2009 dan 16 Ogos 2009).

Dalam keputusannya itu, Hakim Alizatul menegaskan bahawa SPR telah bertindak di luar batas kuasanya apabila menolak permohonan Speaker DUN Kedah (Datuk Dr. Abdul Isa Ismail) agar diadakan pilihan raya semula di situ – SPR mengisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh tidak kosong dan Datuk Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi kawasan itu.

[Kepada yang kurang arif di manakah letaknya Kota Siputeh ini, janganlah terkeliru dengan Seputeh yang terletak di Kuala Lumpur itu. Kota Seputeh letaknya di Kedah Darul Aman. Seputeh di Kuala Lumpur merupakan kawasan Parlimen. Wakilnya sekarang ialah Teressa Kok Suh Kim daripada parti DAP. Kota Siputeh pula merupakan Dewan Undangan Negeri. Wakilnya ialah orang dari Barisan Nasional yang ponteng dua persidangan itulah.]

Natijah daripada keputusan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seperti yang dikatakan oleh Timbalan Pengerusinya – Datuk Wan Ahmad Wan Omar – akan meminta nasihat Peguam Negara.

“Kita mahu lihat sama ada SPR mempunyai ruang untuk merayu kes itu kepada pihak yang lebih tinggi (Mahkamah Rayuan),” kata Datuk Wan Ahmad.

[Untuk pengetahuan semua, kes seperti ini merupakan yang pertama berlaku dalam sejarah negara!]

Kita lihatlah hasil rayuan yang khabarnya akan diketahui pada 20 November ini nanti. Jika keputusan Mahkamah Tinggi itu diterima dan dianggap sebagai sah, ada beberapa ketempangan yang mencolok mata dapat kita lihat daripada kes ini.

Yang pertama, adanya unsur “keangkuhan” dalam diri wakil rakyat tersebut sehingga dia berasa tidak perlu untuk memaklumkan ketidakhadirannya kepada Speaker DUN. Daripada aspek lain, perbuatannya itu juga menampakkan “ketidakcerdikan”nya dalam memahami peruntukan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah.

Ketempangan yang kedua ialah ketidakcerdikan SPR dalam memahami undang-undang yang melibatkan hal-hal seperti ini – Artikel 51 Undang Undang Tubuh Kerajaan Kedah menyebut bahawa “sekiranya mana-mana anggota Dewan Undangan Negeri tidak menghadiri dua sidang berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, kerusi mereka seharusnya dianggap kosong. Daripada aspek lain, keputusan itu menampakkan SPR tidak telus kerana mempertahankan calon BN dalam kes ini sehingga Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin berkata SPR telah melanggar sempadan kuasanya apabila menolak permohonan Speaker DUN Kedah agar diadakan pilihan raya semula di situ.

Ketempangan yang paling mengaibkan ialah kegagalan Tan Sri Muhyiddin memahami kuasa Speaker yang berhak melarang mana-mana wakil rakyat yang melangar Undang-undang Tubuh Negeri Kedah daripada menghadiri persidangan.

Dalam hal ini, Tan Sri Muhyiddin mengarahkan Abu Hasan terus menghadiri sidang DUN negeri itu. Menurut beliau, walaupun Speaker menganggap wakil rakyat itu hilang kelayakan sebagai ADUN, namun BN memegang prinsip apa-apa yang diputuskan oleh SPR bahawa tiada berlaku kekosongan kerusi DUN Kota Seputeh dan Abu Hasan adalah wakil rakyat BN yang sah.

“Abu Hasan masih Ahli Yang Berhormat secara sah dan Speaker (DUN) tidak boleh menghalang beliau daripada menghadiri sidang dewan itu. SPR umum tiada kekosongan dan tidak ada pilihan raya kecil, jadi apa kuasa Speaker itu saya tak tahu.”

Kita tunggulah keputusan yang sahih tentang kes ini (sudah sahih pun sebenarnya tetapi undang-undang negara membenarkan rayuan dibuat terhadap sesuatu keputusan). Kalau keputusan yang dibuat oleh Yang Arif Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin ini diterima, sekali lagi akan ada pilihan raya kecil.

[INFORMASI TAMBAHAN: Datuk Abu Hassan Sarif sudah dua penggal menjadi wakil rakyat di DUN Kota Siputeh ini (sejak 2004). Pada PRU 2008 yang lalu, dia berjaya menjadi wakil rayat setelah mengalahkan calon PAS, Ismail Wan Teh dengan majoriti 495 undi (8 160 – 7 665). Pada PRU 2004 pula, dia menang dengan majoriti 1 573 setelah menewaskan calon PAS, iaitu Abdul Wahab Rahman (8 614 – 7 041).]

Friday, November 13, 2009

Ular Sawa Albino Jangan Disangka Tidak Membelit

Cerita ini cerita benar (berdasarkan yang tersiarlah). Saya membacanya di dalam akhbar, mungkin sepuluh tahun atau lebih lama daripada itu – 15-20 tahun dulu agaknya. Walaupun lama, namun cerita yang saya baca itu masih saya ingat benar kerana saya pada waktu itu memang meminati ruangan yang berkaitan dengan kemusykilan agama dan yang berkaitan dengan luahan hati pembaca akhbar itu.

Cerita ini perihal diri seorang gadis (pada waktu itulah; semoga kini dia sudahpun bergelar isteri dan ibu serta berjaya dalam hidupnya). Dia pelajar universiti. Dalam tulisannya lewat akhbar itu, dia menceritakan suatu peristiwa yang menimpa dirinya (yang ini saya kurang ingat, sama ada peristiwa itu menimpa dirinya semasa dia bergelar pelajar sekolah menengah atau sudah bergelar mahasiswi atau mungkin juga di dalam ceritanya itu dia tidak menyebut hal ini). Peristiwa yang menimpa dirinya itu menimbulkan trauma yang bukan kecil kesannya kepada dirinya. Dan, dia meminta pembaca menjadikan ceritanya itu sebagai iktibar.

Gadis itu tinggal dengan neneknya (maaf, sekali lagi saya kurang ingat sama ada bapa saudaranya tinggal di rumah yang sama atau mungkin di dalam ceritanya itu gadis itu tidak menyebut hal ini). Pada suatu hari, dia ditinggalkan bersendirian oleh neneknya yang pergi ke kedai runcit di kampungnya untuk membeli barangan keperluan. Kebetulan pada waktu itu cuaca mendung dan kemudiannya hujan turun mencurah-curah.

Dalam keadaan hujan lebat itu, bapa saudaranya pulang (datang?). Bapa saudaranya menyapanya lalu segera naik ke rumah.

“Eh, mengapa kaubiarkan tingkap rumah terbuka? Hujan lebat ni, tempias masuk nanti habis basah lantai dan tikar!” Begitu lebih kurang dia berkata kepada gadis itu. Gadis itu tidak berkata apa-apa dan membiarkan bapa saudaranya menutup tingkap-tingkap rumah itu. Rasa curiga tidak timbul dalam hati gadis itu kerana lelaki itu bapa saudaranya sendiri di samping bapa saudaranya itu memiliki ciri-ciri yang tidak memungkinkan dia untuk mencurigainya.

Tetapi ketidakcurigaan itu jelas tidak berasas. Apabila semua tingkap serta pintu ditutup, bapa saudaranya merapatinya dan kemudian melakukan perbuatan yang selama ini ditakuti oleh kebanyakan gadis. Dia diperkosa dan pemerkosanya ialah bapa saudaranya sendiri!

Bapa saudaranya dapat melampiaskan nafsunya dengan mudah kerana gadis itu hanya berkain batik dan t-shirt tanpa memakai pakaian dalam (maaf!) kerana dia memang biasa tidak memakainya semasa sedang berada di rumah. Jeritan tidak memberikan makna apa-apa di tengah-tengah hujan lebat itu dan neneknya pasti tidak dapat pulang untuk membantunya kerana terperangkap dalam hujan lebat di kedai.

Biasalah, selepas melakukan perbuatan terkutuk seperti itu, ugutan akan diungkapkan dan seperti biasa gadis yang menjadi mangsa akan merahsiakannya, bukan kerana ugutan itu sebenarnya tetapi kerana hendak menutup aib diri – mereka telah ditebuk tupai! (bagi diri gadis itu, ada sebab lain yang tidak memungkinkan dia untuk menceritakannya kepada orang lain, termasuk kepada neneknya sendiri.)

Yang hendak diketengahkan oleh gadis itu dalam ceritanya bukanlah perihal nasib malang yang menimpa dirinya semata-mata tetapi tentang diri si pemerkosa itu juga – kebetulan bapa saudaranya sendiri. Di kampung itu, bapa saudaranya yang belum berkahwin itu dikenali sebagai lelaki lembut, di kampung orang biasanya akan memanggil lelaki seperti ini sebagai pondan (maaf!). Bapa saudaranya itu serba-serbinya lembut – dari gerak-gerinya hinggalah kepada tutur katanya, malah dia lebih cenderung untuk melakukan kerja-kerja yang lazimnya dilakukan oleh wanita!

Jadi, apabila tragedi hitam itu menimpanya, dia keliru! Bapa saudara tergamak untuk merosakkan masa depan anak saudara sendiri dan yang lebih mengelirukan gadis itu ialah rupa-rupanya lelaki yang lembut ini hanya lembut pada zahirnya tetapi nafsu buas mereka tetap sama dengan lelaki sejati. Gadis itu kemudiannya mengungkapkan kata-kata yang lebih kurang bermaksud bahawa dia tidak mempercayai semua jenis lelaki!

Hal kelembutan dan kepondanan itulah yang tidak memungkinkan gadis itu untuk menceritakan kejahatan bapa saudaranya itu – kerana tidak akan ada sesiapa pun yang akan mempercayainya, termasuk neneknya sendiri!

(Sesungguhnya, saya tidak mengada-adakan cerita ini. Cerita ini saya ketengahkan bukan untuk mengaibkan sesiapa, baik kepada yang empunya diri ataupun kepada orang-orang seperti bapa saudara gadis itu. Cerita ini saya ketengahkan sebagai peringatan kepada para wanita, perempuan, perawan, dan gadis – berawaslah dengan setiap lelaki, tidak kira dia datuk, bapa, abang, atau adik anda; bapa mentua, abang ipar, atau adik ipar anda sendiri apatah lagi yang bukan daripada kalangan mereka! Anda senantiasa terdedah kepada kedurjanaan manusia yang bergelar lelaki yang ditunggangi nafsu. Anda tahu akan hal itu, bukan? Ingat, ular sawa albino jangan disangka tidak membelit!)

Bilakah Keadaan Ini Dapat Dibetulkan?

Sangat biasa kita lihat suatu keadaan yang kadangkala menjengkelkan hati dan perasaan kita. Hal ini demikian kerana keadaan yang menjengkelkan hati dan perasaan kita itu akhirnya mendatangkan kerugian yang bukan sedikit kepada bangsa kita. Keadaan ini melibatkan kedudukan kita dalam hierarki sesebuah organisasi, khususnya swasta.

Keadaan yang berlaku ini dicetuskan oleh sikap kita sendiri – sikap orang Melayu, maksud saya. Dalam beberapa kes, saya mendapati orang Melayu akan berasa sangat selesa setelah ia berada di atas, iaitu di kedudukan yang tinggi dalam carta organisasi tempat ia berkhidmat. Sehingga demikian, mereka jarang-jarang hendak mengambil peduli akan kedudukan orang-orang Melayu di bawahnya.

Kita andaikanlah keadaan seperti ini – seorang editor kanan telah dinaikkan pangkat sebagai pengurus penerbitan di sebuah syarikat. Banyak orang yang mengandaikan bahawa dengan kenaikan pangkatnya itu, dia akan mengangkat editor-editor lain ke jawatan yang lebih baik. Kebajikan editor-editor lain itu akan diusahakannya kerana dia sendiri pernah berada di bawah dan tahu akan kepayahan yang dihadapi editor-editor lain itu.

Rupa-rupanya hal ini tidak berlaku. Pengurus penerbitan itu tidak membentuk dan mencipta potensi dalam diri editor lain daripada kalangan orang Melayu, supaya apabila berlaku sesuatu kepada dirinya, pihak majikannya tidak akan mencari orang di luar organisasi untuk menggantikannya sebaliknya akan memilih potensi yang telah dibentuknya. Keadaan ini dibiarkannya berlanjutan setelah 10 tahun dia bergelar sebagai pengurus penerbitan hanya kerana dia bimbang usaha membentuk potensi ini akan mengancam kedudukannya!

Hal seumpama ini pernah berlaku di sebuah syarikat antarabangsa (Jepun). Seorang tokoh Melayu berada di kedudukan hierarki yang sangat tinggi – asalnya dia memegang jawatan pengurus biasa sahaja. Beliau “naik” ke kedudukan itu setapak demi setapak, tetapi malangnya dia mencipta suatu keadaan kebersendirian dalam kenaikannya itu. Tidak ada langsung usaha beliau untuk menonjolkan potensi-potensi Melayu yang lain dalam kenaikannya itu. Yang ada ialah para pembodek daripada kalangan bangsa lain yang matlamat mereka satu, iaitu untuk menggantikan dia dengan bangsa mereka.

Hal ini menjadi kenyataan akhirnya. Apakala dia sakit dan akhirnya meninggal dunia, kedudukannya digantikan oleh bangsa Malaysia yang bukan Melayu. Tokoh yang menggantikannya kemudiannya telah merekrut potensi-potensi daripada kalangan bangsanya sehingga bangsa Melayu tidak lagi berada di hierarki yang tinggi di syarikat itu sehingga kini.

Banyak lagi bukti yang dapat kita berikan tentang senario ini – iaitu suatu senario yang lahir daripada sikap orang Melayu yang mementingkan diri sendiri. Apakah yang dapat kita simpulkan daripada sikap ini?

Monday, November 9, 2009

Final Piala Malaysia: Masih Lagi Pahat Berbunyi

Pelbagai objek dibaling, mercun berdentum-dentam, kain rentang serta kerusi dibakar, petugas dicederakan – demikianlah antara insiden yang berlaku dalam perlawanan akhir bola sepak antara pasukan Negeri Sembilan dengan Kelantan baru-baru ini. Kesemua insiden dikatakan melibatkan penyokong pasukan Kelantan. Sehingga demikian, berkatalah Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad:

“FAM sering memberi nasihat kepada penyokong-penyokong Kelantan tetapi sudah tidak dapat dibendung kerana ia (seperti) sudah menjadi satu budaya kepada mereka. Sudah tentu kehadiran 1 400 anggota pasukan keselamatan ataupun sehingga 10 000 tidak mampu untuk mengawal mereka dalam masa serentak,” katanya kepada pihak Bernama.

Pada mulanya, saya rasa cukuplah sudah hal tentang perlawanan akhir Piala Malaysia itu diceritakan. Tetapi apabila mengingatkan kenyataan Setiausaha Agung FAM yang mengatakan sikap liar penyokong Kelantan sebagai suatu budaya, saya berasa terpanggil untuk bercerita semula. Saya berpendapat, beliau tidak harus berkata demikian sehingga menggores hati dan perasaan penyokong pasukan Kelantan yang lain.

Pada pandangan saya, sikap liar yang diperlihatkan oleh penyokong Kelantan itu bukanlah suatu budaya tetapi merupakan suatu bentuk “kejahilan” dalam memahami erti sukan. Sukan sangat menuntut kerasionalan – menang berseronoklah, kalah redholah. Kalah bukan bermakna lemah, menang bukan bererti kuat. Kalau hendak beremosi, cukuplah dengan menangis seperti penyokong kelab-kelab Inggeris yang menangis apabila kelab yang disokong mereka tergelincir dari Liga Perdana. Ketakrasionalan orang Barat yang mengamuk dan merusuh atas sesuatu kekalahan jangan diikut dan diteladan. Apakah faedahnya perbuatan itu kepada diri dan pasukan kita?

Cuma yang mencetuskan tanda tanya, bagaimanakah para penyokong dapat membawa masuk mercun dan bunga api ke dalam stadium walhal sesetengah bunga api yang dibawa masuk bersaiz hampir sebesar botol air mineral 1.5 liter! Bagaimanakah mereka menyorokkan objek sebesar itu hingga tidak terlihat oleh pihak yang bertugas?

Memiliki bunga api secara haram, di tempat awam seperti itu, sangat berbahaya kepada semua orang. Kalaulah ada sekerat dua “orang gila” dalam kalangan penonton yang tidak menghalakan muncung bunga api itu ke udara sebaliknya menghalakannya ke sisi atau ke seberang padang hingga barangkali sampai ke tempat duduk VVIP, bagaimana? Kalau FAM hendak mengenakan tindakan kepada Kelantan atas sikap penontonnya itu, FAM juga wajar dikenakan tindakan kerana “membenarkan” mercun dan bunga api dibawa masuk ke dalam stadium!

Macam kuali mengatakan buntut belanga hitam pulak!

Sunday, November 8, 2009

Tidak Seperti yang Diharapkan

Dalam posting yang lalu, saya meminta para pembaca supaya sama-sama berdoa agar “kita dapat menyaksikan perlawanan terhebat, paling bermutu, dan rancak sepanjang sejarah Piala Malaysia” di samping meminta pembaca berdoa juga agar semua pemain tidak gugup berdepan dengan situasi final yang sangat berbeda itu.

Namun, mungkin kerana kita tidak berdoa, harapan itu tidak menjadi realiti. Perlawanan bermutu dan rancak yang kita harap-harapkan tidak dapat kita saksikan. Para pemain Kelantan yang kita harapkan tidak gugup menjadi sebaliknya. Permainan kemas pasukan itu yang dapat kita saksikan semasa bermain pada peringkat separuh akhir hampir tidak kelihatan langsung. Mereka hilang fokus! Haruskah kita menyalahkan hujan?

Yang kelihatan, pasukan Negeri Sembilan lebih menonjol, walaupun sebenarnya permainannya tidaklah begitu baik. Yang jelas, malam tadi, pasukan Negeri Sembilan lebih baik daripada pasukan Kelantan. Dengan itu, tertunailah sudah harapan dan hasrat mereka yang terpendam sejak 61 tahun dahulu untuk mendakap Piala Malaysia yang menjadi buruan setiap pasukan dalam Liga Malaysia. Wira mereka malam tadi bukanlah penjaring-penjaring gol mereka sahaja – Shahurain, Hairuddin, ataupun Zaquan Adha sahaja – tetapi juga semua pemain, jurulatih, pegawai dan penyokong mereka. Hasrat untuk menjadikan kemenangan mendakap Piala Malaysia sebagai hadiah pertabalan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah menjadi kenyataan.

(Semasa menghadiri kenduri doa selamat bersempena dengan pemergian kenalan saya ke untuk menunaikan ibadah haji di Makkah tadi, seorang tetamu secara bergurau berkata, “Kuat juga daulat tuanku Yang di-Pertuan Besar. Saya tersenyum.)

Kekecohan yang diharapkan tidak berlaku tampaknya seperti tidak mahu dielakkan. Ada kepala petugas yang terpaksa dijahit kerana dibaling dengan objek keras, kerusi penonton dibakar, bunga api berdentum-dentam, dan sebagainya. Mengapa ya harus demikian sikap kita? Janganlah sampai suatu hari nanti pasukan yang bertanding terpaksa bermain di stadium kosong.

Kepada pasukan Negeri Sembilan, janganlah sejarah silam berulang lagi kerana terpaksa menunggu sehingga lebih setengah abad untuk mengulang pencapaian menjulang Piala Malaysia lagi. Pastikan Piala Malaysia itu dapat terus dijulang tiga empat tahun berturut-turut. Kepada pasukan Kelantan, perjuangan kalian belum berakhir. Memasuki final pada tahun ini jangan dijadikan kemuncak kejayaan sehingga pada tahun-tahun mendatang sukar pula hendak mendaki kejayaan seperti pasukan Brunei dahulu. Jadikanlah kejayaan ini sebagai permulaan.

Tahniah, Negeri Sembilan; Syabas, Kelantan!

Saturday, November 7, 2009

Cerita Membawa ke Mimpi: Mimpi Mainan Tidur?

Tatkala membaca cerita tentang insan itu lewat akhbar popular baru-baru ini, saya segera teringat akan mimpi saya, juga baru-baru ini. Saya tidak tahu mengapa mimpi itu muncul dalam tidur saya tetapi yang pasti mimpi itu muncul selepas saya berurusan dengan seorang pemuda yang mengaku dirinya sebagai sepupu insan itu. Dan saya mendengar cerita yang kurang menarik tentang insan itu daripada bibir pemuda yang mengaku sepupunya itu.

Dalam mimpi itu, saya bertemu dengan insan itu di rumahnya dan tatkala saya sampai dia sedang rancak berbual dengan adiknya tanpa mempedulikan saya walaupun saya menganggukkan kepala dan tersenyum kepadanya. Saya tidak dapat mengingat isi bualannya tetapi berkisar tentang pengalamannya setelah tidak muncul sekian lama. Yang kurang menarik dalam mimpi itu ialah dia tidak berbaju dan kulitnya agak gelap sedang dia yang saya kenal berkulit gebu.

Itu cerita tentang dirinya dalam mimpi saya. Tetapi tentang realitinya, saya dengan dia tidak mesra. Saya bertemu dengannya beberapa kali, mungkin tidak lebih daripada tiga kali dan beberapa kali juga berbual dengannya menerusi telefon atas urusan kerja. Saya terlibat secara langsung dalam menerbitkan antologi mini beliau bersama-sama dengan 29 antologi mini yang lain. Saya juga pernah mengedit beberapa buah cerpennya untuk dimuatkan di dalam beberapa buah antologi bersama. Malah, beliau pernah mengundang saya untuk menjadi panel penceramah untuk suatu program kesusasteraan tetapi saya menolaknya kerana seperti yang saya tegaskan, saya tidak petah berkata secara lisan.

Begitulah seimbas lalu tentang kaitan antara saya dengan insan yang kini telah “pergi tak kembali” itu. “Pemergiannya” telah menyebabkan peminatnya tidak lagi dapat untuk berlibur dengan karyanya yang hidup dan segar itu. Namanya juga tidak lagi tercatat sebagai pemenang dalam mana-mana sayembara penulisan yang sebelum ini kerap dimenanginya. Tetapi dampak paling besar daripada “pemergiannya” ialah derita batin yang ditanggung keluarganya. Sehingga kini, mereka tidak dapat menaburi pusaranya dengan bunga dan air kerana pusaranya tidak diketahui duduknya.

Kelip-kelip kusangka api,

Kalau api mana puntungnya;

Hilang ghaib kusangka mati,

Kalau mati mana kuburnya?

Thursday, November 5, 2009

Menanti Sang Juara

Kejayaan memang wajar diraikan, apatah lagi kejayaan itu jarang-jarang dikecapi. Tetapi meraikannya haruslah dengan hati dan otak yang dingin.

Menyokong juga harus begitu. Pihak yang setia kepada pihak yang disokong haruslah mengikut tatasusila. Mengetepikan tatasusila kelak akan merosakkan diri dan orang lain.

Begitulah nanti hendaknya penyokong pasukan bola sepak Negeri Sembilan dan Kelantan apabila kedua-duanya – pasukan itu sendiri dan penyokongnya – bertembung di Stadium Bukit Jalil kelak. Pertembungan pasukan bola sepak itu melibatkan kudrat di dalam padang manakala pertembungan para penyokongnya melibatkan sorakan dan jerit pekik, gendang dan kibaran bendera dari di tempat duduk.

Pernah beberapa kali, di negara ini sendiri, keghairahan penyokong menyebabkan keadaan huru-hara dan kacau-bilau hingga perlawanan terpaksa ditangguhkan. Maka, pada hari Sabtu ini, janganlah hendaknya kejadian itu berlaku. Kelantan dan Negeri Sembilan ada “sejarah tidak elok” dalam hal yang melibatkan bola sepak ini dan kita berharap agar peristiwa itu tidak berulang. Saya yakin kesemua penyokong sangat profesional malam itu.

Teman Kelantan saya yang paling akrab – Sdr Wan Mokhtar – turut akan pergi ke Stadium Bukit Jalil untuk menyokong pasukan negerinya. Saya tidak pasti apakah Zamani, Khairuddin, Awe, dan lain-lain, termasuk adik ipar saya, akan menjadi sebahagian penonton yang akan memenuhi Stadium Bukit Jalil kelak. Saya sangat kagum kepada mereka kerana saya sendiri sudah lama tidak menjejakkan kaki ke stadium mana-mana pun untuk menyokong pasukan negeri saya – Selangor. Saya menyokongnya di hadapan televisyen sahaja.

Baik Kelantan mahupun Negeri Sembilan, kalian memang hebat pada musim ini, tetapi pada perlawanan akhir itu kelak, akan hanya ada satu juara. Kelantan sudahpun menjadi “juara” apabila pemain penyerangnya, Indra Putra Mahayuddin dipilih sebagai “Pemain Paling Berharga” dan “Penyerang Terbaik”. Negeri Sembilan, daripada aspek ini, menjadi naib juara kerana hanya dapat merebut gelaran “Pemain Pertahanan Terbaik” melalui Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak.

Berdoalah agar kita dapat menyaksikan perlawanan terhebat, paling bermutu, dan rancak sepanjang sejarah Piala Malaysia. Berdoalah juga agar semua pemain tidak gugup berdepan dengan situasi final yang sangat berbeda itu.

Wednesday, November 4, 2009

Kuasa dan Kekuasaan: Pencetus Huru-hara

Pendaftar Pertubuhan (ROS) Datuk Md Alias Kalil berkata bahawa Datuk Seri Chua Soi Lek masih Timbalan Presiden MCA yang sah. Hal ini demikian kerana walaupun Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA pada 10 Oktober 2009 memutuskan Datuk Seri Chua dilucutkan jawatannya sebagai Timbalan Presiden parti itu, namun keputusan itu tidak memenuhi keperluan 2/3 majoriti seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 35 Perlembagaan MCA. Hal ini bermakna, selepas EGM itu, tidak berlaku apa-apa kekosongan untuk jawatan Timbalan Presiden MCA.

Datuk Md Alias Kalil berkata surat pengesahan kedudukan Datuk Seri Dr. Chua itu telah pun dihantar kepada MCA.

Di pihak Barisan Nasional, Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin akur dengan keputusan Pendaftar Pertubuhan itu.

“Kita ikut pada undang-undang dan Perlembagaan; kalau begitulah kedudukannya dan disahkan oleh ROS maka kita harus terima,” kata beliau.

Pada 26 Ogos 2009 lalu, Majlis Presiden MCA memecat Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta berikutan kes skandal seks beliau yang terpapar dalam DVD dua tahun lepas. Walau bagaimanapun, pada 19 September 2009, Jawatankuasa Pusat parti itu membatalkan keputusan pemecatan itu, tetapi menggantung keahliannya selama empat tahun. Walau bagaimanapun, dalam mesyuarat EGM pada 10 Oktober 2009 yang lalu, Datuk Seri Dr. Chua telah diambil sebagai ahli MCA semula tanpa mengembalikan jawatan Timbalan Presiden yang disandangnya sebelum ini.

Dalam satu sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pusat, Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, mesyuarat tersebut menerima keputusan ROS untuk mengekalkan Datuk Seri Dr. Chua sebagai Timbalan Presiden.

Sebaliknya, dalam satu sidang akhbar yang lain selepas mesyuarat yang sama, Datuk Seri Liow Tiong Lai mempertikaikan keputusan ROS itu, malah beliau berkata bahawa, “Saya masih lagi Timbalan Presiden”. Beliau mengemukakan tiga sebab pengekalan jawatan Chua sebagai Timbalan Presiden MCA tidak sah:
  1. Jawatankuasa Pusat menggantung keahlian dan jawatan Chua sekali gus;
  2. ROS tidak berhak untuk campur tangan dalam keputusan Jawatankuasa Pusat; dan
  3. tindakan yang diambil merupakan tindakan disiplin,bukannya satu penyingkiran.
Sehubungan dengan hal itu, Datuk Seri Liow berkata bahawa beliau mempunyai hak untuk membuat rayuan terhadap keputusan ROS itu, malah beliau akan membawanya ke mahkamah jika perlu.

Datuk Seri Liow Tiong Lai dilantik sebagai Timbalan Presiden MCA pada 15 Oktober 2009 lalu bagi menggantikan Datuk Seri Dr. Chua tetapi beliau telah dilabel sebagai penentang Presiden MCA selepas kumpulan Menteri Kesihatan itu mendesak pemilihan baharu parti diadakan.

Dengan perkembangan terbaharu ini, usaha untuk menyelesaikan krisis MCA melalui pelan damai sekali lagi menemukan jalan buntu. Kini, MCA mempunyai dua Timbalan Presiden!
ULASAN
Sekali lagi, kegilaan orang terhadap KUASA telah mencetuskan keadaan huru-hara dan kacau-bilau. Dalam konteks MCA pada masa ini, kegilaan terhadap KUASA itu tampaknya diperlihatkan oleh Datuk Seri Liow Tiong Lai yang “tidak mengiktiraf” keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS). Di pihak Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, beliau kelihatan seperti “orang yang menuntut haknya”.

Kocak yang terbentuk dalam parti itu akan bertukar menjadi ombak dan gelombang. Hal ini memang pernah berlaku dalam parti itu (juga pernah berlaku dalam UMNO dan MIC). Ironisnya, ombak dan gelombang seumpama ini tidak berlaku dalam DAP. Dengan perebutan yang berlaku dalam MCA itu, tentu ada ahli biasa parti itu atau penyokongnya yang berasa “menyampah” lalu mengambil keputusan untuk “angkat kaki”.

Dalam keadaan sekarang – rakyat kurang menyokong BN, persepsi lebih diyakini – kocak itu harus ditangani dengan wajar dan segera. Jika tidak, kocak yang sudah bertukar menjadi ombak dan gelombang itu akan menjadi Tsunami pula.

Kepada parti yang bukan BN, tidakkah kalian hendak “mengambil pengajaran daripada kehuru-haraan MCA ini”?

Tuesday, November 3, 2009

Janganlah Sampai Ada yang Teraniaya kerana Mengutamakan Pencapaian

Dalam sidang akhbar bersempena dengan kempen “Pakej Penjimatan Setiap Hari” di Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. di Mutiara Damansara semalam, YB Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bahawa kerajaan akan mempertimbangkan cadangan untuk membenarkan pengusaha pasar raya besar milik syarikat luar negara membuka cawangan di kawasan luar bandar.

“Kertas kerja mengenainya sudah disiapkan, namun masih ada beberapa perkara yang saya minta perlu dibaiki.

“Perkara ini akan dibentangkan ke Kabinet dan jika mendapat persetujuan, barulah kerajaan akan memberikan kebenaran kepada pasar raya besar luar negara untuk meluaskan rangkaian perniagaan di luar bandar,” katanya.

Jelasnya, perkara itu perlu dihalusi dengan sewajarnya dengan mengambil kira pandangan semua pihak.

“Ada pendapat yang mengatakan kedatangan pasar raya besar ini akan membunuh (punca rezeki) peniaga runcit kecil-kecilan kerana harga yang ditawarkan oleh pasar raya besar ini jauh lebih murah. Namun ada pengguna yang menganggap ia satu tindakan tidak adil kepada mereka kerana tidak dapat menikmati harga barangan pada kadar terendah seperti penduduk di bandar besar,” jelasnya.

Oleh itu, beliau meminta sesetengah pihak jangan terlalu cepat membuat andaian bahawa kerajaan tidak peka akan nasib peniaga runcit kecil-kecilan.

“Sebenarnya, kerajaan sedang membantu mereka dengan mengadakan rundingan di samping mensyaratkan produk industri kecil dan sederhana (IKS) mestilah dipasarkan di dalam setiap pasar raya besar.

“Dalam setiap tindakan, kerajaan akan sentiasa bersikap seimbang supaya dapat memberikan keuntungan kepada pengguna,” katanya.

Tambahnya, setiap pasar raya besar juga menyediakan peluang pekerjaan kepada orang ramai.

(Sumber: Utusan Malaysia)

KOMEN

Supaya syarikat-syarikat luar negara terus berminat untuk mengekalkan pelaburan mereka di negara ini, memanglah kita wajar memberikan pelbagai kemudahan dan kebenaran yang “menyeronokkan” mereka. Tetapi, pada masa yang sama, jagalah kebajikan rakyat negara ini kerana di tangan rakyat terletak “kuasa” yang menentukan kerajaan sedia ada sama ada dapat terus berkuasa atau jatuh menyembam bumi.

Saya cuba membayangkan, jika cadangan ini menjadi realiti, akan banyaklah kedai runcit, pasar mini, malah mungkin pasar raya juga “menjadi arwah”. Kedai mereka, pada pandangan saya, hanya akan menjadi tumpuan pelanggan yang membeli secara kredit manakala yang membeli secara tunai akan beralih arah ke pasar raya besar.

Sebenarnya, tidaklah semurah mana pun harga barangan di pasar-pasar besar itu. Jika kita orang yang rajin membanding-bandingkan harga antara pasar besar ini, akan kita dapati harga barangan yang sama berbeda harganya antara Pasar Raya Besar A dengan Pasar Raya Besar B, malah dalam banyak keadaan, barangan sama yang dijual di pasar raya tempatan lebih murah harganya daripada yang dijual di pasar raya besar milik syarikat luar negara. Mengapakah keadaan ini berlaku? Tidak bolehkah barangan yang sama dijual pada harga yang sama? Saya pernah membuat bandingan harga cecair kumur di sebuah pasar raya tempatan dengan pasar raya besar milik syarikat luar negara. Harga di pasar raya tempatan ialah RM19.++ manakala yang dijual di pasar raya besar milik syarikat luar negara ialah RM22.++. Ternyata, harga di pasar raya besar milik syarikat luar negara itu lebih mahal sekitar RM3.00!

Jadi, pihak Kementerian yang dipimpin Datuk Seri Ismail Sabri perlu mengkaji aspek ini sebelum membentangkan kertas kerja ke kabinet. Jika harga barangan tertentu yang dijual oleh pasar raya besar milik syarikat luar negara ini lebih mahal daripada yang dijual oleh pengusaha pasar raya tempatan, perlu apa dibenarkan pengusaha pasar raya besar milik syarikat luar negara membuka cawangan di kawasan luar bandar?

Lagipun sebenarnya, yang menyebabkan orang tertarik untuk berbelanja di pasar raya besar bukan kerana harga barangan yang dijual di situ murah tetapi kerana “SEMUANYA DIJUAL DI BAWAH SATU BUMBUNG”. Pengguna tidak perlu “berangkut” ke sana ke mari untuk membeli barangan yang berbeda kerana pasar raya besar ini menyediakan hampir segala-galanya! Kita tidak mungkin dapat membeli televisyen “cap ayam” di kedai runcit atau di pasar mini tetapi kita dapat membelinya di pasar raya besar yang turut menjual ikan, sayur, dapur gas dan penapis air, dan segala-galanya.

Kalau kerajaan memang berhasrat untuk menukar bentuk perniagaan peniaga runcit di kampung kepada pengusaha IKS, maka cadangan itu wajarlah dilaksanakan. Bolehlah mereka menjadi pembekal produk IKS ke dalam setiap pasar raya besar pula. Tetapi, adakah pasar raya besar milik syarikat luar negara turut menjual produk IKS tempatan di cawangan-cawangan pasar raya besar mereka di negara-negara lain?

Monday, November 2, 2009

Penahanan Dr. Asri: Satu Titik Mula ke Arah Perubahan

YAB Dato’ Seri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak mempersoalkan motif pihak JAIS menahan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin pada 2 November 2009. Menurut beliau, Dr Asri penceramah agama yang berterus terang. Semua ceramahnya disokong oleh bukti dan dalil sahih daripada Al-Quran dan As-Sunnah.

“Saya tidak tahu apakah motif di sebalik penahanan (Dr. Asri) ini. Ianya dilakukan oleh Jabatan Agama Negeri dan ia tiada kaitan dengan kerajaan pusat,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Dr. Mohd Asri berkata, dia menyokong pendapat YAB Perdana Menteri yang mempersoalkan sebab-musabab beliau sahaja yang ditangkap berhubung isu memberikan ceramah tanpa tauliah.

“PM pun tak puas hati sebab ramai lagi yang memberikan ceramah, tetapi saya seorang sahaja yang kena,” ujarnya.

Dr. Asri juga menambah, “Ini merupakan satu titik tolak di mana kerajaan perlu memberikan kebebasan untuk bersuara. Jangan terlalu banyak akta yang menghalang seseorang itu untuk sampaikan ceramah.”Font size
(Sumber: Mstar)
ULASAN
Pendirian YAB Perdana Menteri yang mengatakan bahawa Dr. Asri penceramah yang berterus terang (jujur) dan ceramahnya disokong oleh bukti dan dalil sahih daripada Al-Quran dan As-Sunnah harus juga merujuk kepada penceramah-penceramah agama yang lain — Dato’ Ismail Kamus, Dato’ Dr. Harun Din, dan lain-lain malah TG Dato’ Nik Abdul Aziz sendiri — mereka penceramah jujur dan ceramah mereka didukung oleh hujah dan dalil daripada Al-Quran dan Al-Hadis.

Komen Dr. Asri juga menarik:

Ini merupakan satu titik tolak di mana kerajaan perlu memberikan kebebasan untuk bersuara. Jangan terlalu banyak akta yang menghalang seseorang itu untuk sampaikan ceramah.”

Komen bekas Mufti itu sangat benar, yakni kerajaan selama ini terlalu menyekat kebebasan penceramah untuk memberikan ceramah mereka. Dahulu, ada beberapa buah negeri yang kini dikuasai pembangkang, yang menyekat para agamawan, khususnya dari pihak pembangkang, berceramah tentang agama (mungkin kini masih ada lagi kerajaan negeri yang dikuasai BN yang melakukan hal yang sama). Hal ini tidak harus berlaku kerana ilmu harus dibiarkan terus berkembang supaya rakyat celik ilmu.

Kalau benar isu ini menjadi titik tolak kepada perubahan tersebut, rakyat haruslah bersyukur.

Main Tangkap Sahajakah?


Jabatan Agama Islam Selangor dikenal juga dengan singkatan JAIS. Jabatan Anti Islam boleh juga disingkatkan menjadi JAIS. Antara kedua-duanya, saya yakin semua orang tahu bahawa JAIS ialah Jabatan Agama Islam Selangor. Memang tidak ada jabatan yang bernama Jabatan Anti Islam.

Walau bagaimanapun, bertindak tanpa kompromi (musyawarah) dalam kes menahan, membawa ke balai polis, dan kemudian mengarahkan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin hadir ke mahkamah tanpa pertuduhan konkrit bukan tindakan yang digariskan Islam, pada pandangan saya. Ada unsur-unsur anti-Islam di situ.

(Kesalahan yang digambarkan setakat ini ialah Dr Asri memberikan ceramah agama tanpa tauliah!)

Sekadar memetik kata-kata Dr. Asri dalam sidang medianya, “Cuba beritahu apa kriteria yang dia mahu ... nak beri tauliah pada orang? Saya bekas mufti, ada PhD daripada UIA. Siapa yang buat keputusan untuk beri tauliah ini? Jika demikian, mereka telah menghalang orang untuk sampaikan ilmu.” Ada kebenaran daripada kata-kata beliau itu.

Ketika rejim BN (pimpinan) DS Khir Toyo dahulu berkuasa, memang kita tahu akan “kebencian” mereka terhadap segelintir agamawan. TG Nik Abdul Aziz pernah “diharamkan” memberikan kuliah agama di Selangor, begitu juga dengan halnya dengan Dr Asri sendiri.

Tetapi, setelah rejim itu tumbang, halangan ke atas TG Nik Abdul Aziz dileraikan. Kurang pasti pula sama ada Dr Asri masih lagi dilarang sehingga diambil tindakan sedemikian rupa. Jika ada larangan, siapakah yang melarangnya sehingga Dr Asri berkata, “... pihak JAIS yang bagi arahan, tetapi saya nak tahu ‘tangan ghaib’ siapa di sebaliknya”.

Sewaktu tiba di Mahkamah Syariah Gombak tepat jam 9:00 pagi bersama dengan empat orang peguam yang akan membela beliau, Dr Mohd Asri Zainul Abidin masih belum didakwa atas apa-apa pertuduhan oleh pihak JAIS.

Tentang Dr Asri ini, sama ada beliau berfahaman Wahabi atau Ahli Sunnah wal Jamaah, sebagai orang biasa, kita memerlukan suatu perisytiharan daripada pihak berkuasa agama. Yang perlu diisytiharkan adalah sama ada Wahabi itu salah dan menyalahkan ataupun sebaliknya. Tetapi, semasa Datuk Dr Zahid Hamidi menjadi Menteri berkaitan agama di Jabatan Perdana Menteri dahulu, beliau berkata bahawa Wahabi tidak sesat.