Thursday, November 5, 2009

Menanti Sang Juara

Kejayaan memang wajar diraikan, apatah lagi kejayaan itu jarang-jarang dikecapi. Tetapi meraikannya haruslah dengan hati dan otak yang dingin.

Menyokong juga harus begitu. Pihak yang setia kepada pihak yang disokong haruslah mengikut tatasusila. Mengetepikan tatasusila kelak akan merosakkan diri dan orang lain.

Begitulah nanti hendaknya penyokong pasukan bola sepak Negeri Sembilan dan Kelantan apabila kedua-duanya – pasukan itu sendiri dan penyokongnya – bertembung di Stadium Bukit Jalil kelak. Pertembungan pasukan bola sepak itu melibatkan kudrat di dalam padang manakala pertembungan para penyokongnya melibatkan sorakan dan jerit pekik, gendang dan kibaran bendera dari di tempat duduk.

Pernah beberapa kali, di negara ini sendiri, keghairahan penyokong menyebabkan keadaan huru-hara dan kacau-bilau hingga perlawanan terpaksa ditangguhkan. Maka, pada hari Sabtu ini, janganlah hendaknya kejadian itu berlaku. Kelantan dan Negeri Sembilan ada “sejarah tidak elok” dalam hal yang melibatkan bola sepak ini dan kita berharap agar peristiwa itu tidak berulang. Saya yakin kesemua penyokong sangat profesional malam itu.

Teman Kelantan saya yang paling akrab – Sdr Wan Mokhtar – turut akan pergi ke Stadium Bukit Jalil untuk menyokong pasukan negerinya. Saya tidak pasti apakah Zamani, Khairuddin, Awe, dan lain-lain, termasuk adik ipar saya, akan menjadi sebahagian penonton yang akan memenuhi Stadium Bukit Jalil kelak. Saya sangat kagum kepada mereka kerana saya sendiri sudah lama tidak menjejakkan kaki ke stadium mana-mana pun untuk menyokong pasukan negeri saya – Selangor. Saya menyokongnya di hadapan televisyen sahaja.

Baik Kelantan mahupun Negeri Sembilan, kalian memang hebat pada musim ini, tetapi pada perlawanan akhir itu kelak, akan hanya ada satu juara. Kelantan sudahpun menjadi “juara” apabila pemain penyerangnya, Indra Putra Mahayuddin dipilih sebagai “Pemain Paling Berharga” dan “Penyerang Terbaik”. Negeri Sembilan, daripada aspek ini, menjadi naib juara kerana hanya dapat merebut gelaran “Pemain Pertahanan Terbaik” melalui Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak.

Berdoalah agar kita dapat menyaksikan perlawanan terhebat, paling bermutu, dan rancak sepanjang sejarah Piala Malaysia. Berdoalah juga agar semua pemain tidak gugup berdepan dengan situasi final yang sangat berbeda itu.

3 comments:

  1. Kawe memang nak gi. Buke sene Kelate masok fainal. Kawe tunggu jak kawe beranok lagi, kelate dak rajing lagi masok fainal. Ni kiro perkaro-perkaro ajaib hok belaku di kelate. Kalu kelate mene, kawe wat gi budu depe ghumah demo...

    ReplyDelete
  2. Salam tuan. Saya pun sokong kelantanlah.Bila jadi begini kena sokong team pantai timurlah. Maaflah bukan assobiyyah namanya tu.

    ReplyDelete
  3. Salam, Cikgu Metal
    Hak ajaib keno gi tengok. Kalo mu dak gi tengok tu yang ajaibnyo.

    Salam, Syekh,
    Tak pa, sokonglah pasukan mana-mana pun. Tapi geram gak, Terengganu dok bahan Selangor, hi, hi.

    Dalam sukan, assobiyah tak wujud. Saya suka Manchester United, tak kan nak kata saya assobiyah, jugak kan.

    ReplyDelete