Tatkala membaca cerita tentang insan itu lewat akhbar popular baru-baru ini, saya segera teringat akan mimpi saya, juga baru-baru ini. Saya tidak tahu mengapa mimpi itu muncul dalam tidur saya tetapi yang pasti mimpi itu muncul selepas saya berurusan dengan seorang pemuda yang mengaku dirinya sebagai sepupu insan itu. Dan saya mendengar cerita yang kurang menarik tentang insan itu daripada bibir pemuda yang mengaku sepupunya itu.
Dalam mimpi itu, saya bertemu dengan insan itu di rumahnya dan tatkala saya sampai dia sedang rancak berbual dengan adiknya tanpa mempedulikan saya walaupun saya menganggukkan kepala dan tersenyum kepadanya. Saya tidak dapat mengingat isi bualannya tetapi berkisar tentang pengalamannya setelah tidak muncul sekian lama. Yang kurang menarik dalam mimpi itu ialah dia tidak berbaju dan kulitnya agak gelap sedang dia yang saya kenal berkulit gebu.
Itu cerita tentang dirinya dalam mimpi saya. Tetapi tentang realitinya, saya dengan dia tidak mesra. Saya bertemu dengannya beberapa kali, mungkin tidak lebih daripada tiga kali dan beberapa kali juga berbual dengannya menerusi telefon atas urusan kerja. Saya terlibat secara langsung dalam menerbitkan antologi mini beliau bersama-sama dengan 29 antologi mini yang lain. Saya juga pernah mengedit beberapa buah cerpennya untuk dimuatkan di dalam beberapa buah antologi bersama. Malah, beliau pernah mengundang saya untuk menjadi panel penceramah untuk suatu program kesusasteraan tetapi saya menolaknya kerana seperti yang saya tegaskan, saya tidak petah berkata secara lisan.
Begitulah seimbas lalu tentang kaitan antara saya dengan insan yang kini telah “pergi tak kembali” itu. “Pemergiannya” telah menyebabkan peminatnya tidak lagi dapat untuk berlibur dengan karyanya yang hidup dan segar itu. Namanya juga tidak lagi tercatat sebagai pemenang dalam mana-mana sayembara penulisan yang sebelum ini kerap dimenanginya. Tetapi dampak paling besar daripada “pemergiannya” ialah derita batin yang ditanggung keluarganya. Sehingga kini, mereka tidak dapat menaburi pusaranya dengan bunga dan air kerana pusaranya tidak diketahui duduknya.
Kelip-kelip kusangka api,
Kalau api mana puntungnya;
Hilang ghaib kusangka mati,
Kalau mati mana kuburnya?
No comments:
Post a Comment