Wednesday, November 4, 2009

Kuasa dan Kekuasaan: Pencetus Huru-hara

Pendaftar Pertubuhan (ROS) Datuk Md Alias Kalil berkata bahawa Datuk Seri Chua Soi Lek masih Timbalan Presiden MCA yang sah. Hal ini demikian kerana walaupun Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA pada 10 Oktober 2009 memutuskan Datuk Seri Chua dilucutkan jawatannya sebagai Timbalan Presiden parti itu, namun keputusan itu tidak memenuhi keperluan 2/3 majoriti seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 35 Perlembagaan MCA. Hal ini bermakna, selepas EGM itu, tidak berlaku apa-apa kekosongan untuk jawatan Timbalan Presiden MCA.

Datuk Md Alias Kalil berkata surat pengesahan kedudukan Datuk Seri Dr. Chua itu telah pun dihantar kepada MCA.

Di pihak Barisan Nasional, Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin akur dengan keputusan Pendaftar Pertubuhan itu.

“Kita ikut pada undang-undang dan Perlembagaan; kalau begitulah kedudukannya dan disahkan oleh ROS maka kita harus terima,” kata beliau.

Pada 26 Ogos 2009 lalu, Majlis Presiden MCA memecat Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta berikutan kes skandal seks beliau yang terpapar dalam DVD dua tahun lepas. Walau bagaimanapun, pada 19 September 2009, Jawatankuasa Pusat parti itu membatalkan keputusan pemecatan itu, tetapi menggantung keahliannya selama empat tahun. Walau bagaimanapun, dalam mesyuarat EGM pada 10 Oktober 2009 yang lalu, Datuk Seri Dr. Chua telah diambil sebagai ahli MCA semula tanpa mengembalikan jawatan Timbalan Presiden yang disandangnya sebelum ini.

Dalam satu sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pusat, Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, mesyuarat tersebut menerima keputusan ROS untuk mengekalkan Datuk Seri Dr. Chua sebagai Timbalan Presiden.

Sebaliknya, dalam satu sidang akhbar yang lain selepas mesyuarat yang sama, Datuk Seri Liow Tiong Lai mempertikaikan keputusan ROS itu, malah beliau berkata bahawa, “Saya masih lagi Timbalan Presiden”. Beliau mengemukakan tiga sebab pengekalan jawatan Chua sebagai Timbalan Presiden MCA tidak sah:
  1. Jawatankuasa Pusat menggantung keahlian dan jawatan Chua sekali gus;
  2. ROS tidak berhak untuk campur tangan dalam keputusan Jawatankuasa Pusat; dan
  3. tindakan yang diambil merupakan tindakan disiplin,bukannya satu penyingkiran.
Sehubungan dengan hal itu, Datuk Seri Liow berkata bahawa beliau mempunyai hak untuk membuat rayuan terhadap keputusan ROS itu, malah beliau akan membawanya ke mahkamah jika perlu.

Datuk Seri Liow Tiong Lai dilantik sebagai Timbalan Presiden MCA pada 15 Oktober 2009 lalu bagi menggantikan Datuk Seri Dr. Chua tetapi beliau telah dilabel sebagai penentang Presiden MCA selepas kumpulan Menteri Kesihatan itu mendesak pemilihan baharu parti diadakan.

Dengan perkembangan terbaharu ini, usaha untuk menyelesaikan krisis MCA melalui pelan damai sekali lagi menemukan jalan buntu. Kini, MCA mempunyai dua Timbalan Presiden!
ULASAN
Sekali lagi, kegilaan orang terhadap KUASA telah mencetuskan keadaan huru-hara dan kacau-bilau. Dalam konteks MCA pada masa ini, kegilaan terhadap KUASA itu tampaknya diperlihatkan oleh Datuk Seri Liow Tiong Lai yang “tidak mengiktiraf” keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS). Di pihak Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, beliau kelihatan seperti “orang yang menuntut haknya”.

Kocak yang terbentuk dalam parti itu akan bertukar menjadi ombak dan gelombang. Hal ini memang pernah berlaku dalam parti itu (juga pernah berlaku dalam UMNO dan MIC). Ironisnya, ombak dan gelombang seumpama ini tidak berlaku dalam DAP. Dengan perebutan yang berlaku dalam MCA itu, tentu ada ahli biasa parti itu atau penyokongnya yang berasa “menyampah” lalu mengambil keputusan untuk “angkat kaki”.

Dalam keadaan sekarang – rakyat kurang menyokong BN, persepsi lebih diyakini – kocak itu harus ditangani dengan wajar dan segera. Jika tidak, kocak yang sudah bertukar menjadi ombak dan gelombang itu akan menjadi Tsunami pula.

Kepada parti yang bukan BN, tidakkah kalian hendak “mengambil pengajaran daripada kehuru-haraan MCA ini”?

No comments:

Post a Comment