Tuesday, November 24, 2009

Tua Sebelum Waktunya

Kemiskinan menyebabkan seseorang itu menjadi tua sebelum waktunya. Perlukah hal ini dibuktikan melalui kajian ilmiah? Rasanya tidak perlu kerana hakikat ini pernah kita lihat, malah masih dapat kita lihat hingga sekarang, di sekeliling kita.

Dalam memperkatakan hal ini, seorang insan yang ada hubungan kekeluargaan dengan saya ingin saya jadikan contoh terbaik. Semasa zaman kanak-kanak, insan yang saya maksudkan itu jauh lebih mewah daripada saya. Dia dapat menunggang basikal Raleigh sedangkan saya sekadar berjalan kaki. Dia memakai baju yang berseterika, sedang saya cukup puas hati kalau dapat memakai baju putih berkedut yang tidak bertampal. Dengan kata yang lebih mudah, perbedaan kami seperti langit dengan bumi. (Insan yang saya maksudkan itu dipelihara oleh saudara angkatnya, yang juga ada bau-bau bacang dengan kami.)

Saya, khususnya adik kedua saya, agak nakal dan ligat berbanding dengan insan yang saya maksudkan itu. Insan itu berada berada di bawah ketiak saudara angkatnya sehingga pada satu ketika kami seperti ditegah bergaul tetapi demikian ditegah, kami tetap bergaul kerana hubungan persaudaraan tidak mungkin dapat dipisahkan.

Selepas melewati alam persekolahan pada peringkat menengah, kami terpisah, betul-betul terpisah. (Dia berkahwin awal, seawal usia sembilan belas tahun kalau tidak silap saya). Khabar tentang dirinya, selepas itu, hanya saya dengar daripada abangnya. Setiap kali saya mendengar khabartentang dirinya, saya cukup puas hati dan bersyukur – kerana tahu bahawa dia masih bernyawa.

Sehinggalah tiga atau empat tahun lalu, saya kembali bertemu dengannya apabila dia kembali ke daerah saya. Selepas lebih dua puluh tahun terpisah, saya mendapati dia kelihatan amat tua daripada usianya (dia lebih muda dua tahun daripada saya). Giginya hampir keseluruhannya sudah luruh, kepalanya dapat dikatakan botak, jambangnya memutih. Saya tidak tergamak untuk bertanya akan nasib yang menimpa dirinya pada waktu pertama kali bertemu dengannya itu. Yang pasti, saya sangat insaf pada waktu itu! Kehidupan ini betul-betul seperti roda.

Melalui bapa saya, saya mendapat tahu bahawa dia sekarang bekerja sebagai tukang kebun dan menumpang tinggal di tanah orang (sekarang sudah memiliki rumah sendiri daripada PPRT). Hidupnya dikatakan sangat miskin.

Perihal dirinya terlihat terlalu tua daripada usianya itu dapat saya buktikan melalui cerita insan yang saya maksudkan itu sendiri (cerita ini agak lucu, tetapi itulah hakikat yang terpaksa ditelannya).

Pada suatu hari, dia pergi ke Hari Terbuka sekolah menengah anaknya. Tanpa diduganya, guru kelas yang akan menerangkan perihal pencapaian anaknya (guru kelas anaknya) ialah bekas gurunya semasa dia bersekolah menengah dahulu (dia tidak dapat mengingat subjek yang diajarkan oleh guru itu dahulu).

Apabila tiba giliran dia dan anaknya, kedua-dua beranak itu pergi ke meja guru tersebut. Dia menghadap guru itu tanpa memperkenalkan dirinya (kerana menginsafi dirinya, saya rasa). Menurut ceritanya lagi, sepanjang sesi penjelasan itu, guru yang ternyata lebih tua daripadanya sekitar tiga atau empat tahun itu dengan konsisten memanggilnya dengan panggilan “pak cik” walhal insan yang dipanggilnya “pak cik” itu ialah anak muridnya dahulu. Dan insan itu tidak sedikit pun hendak membetulkan keadaan itu, malah terasa lucu apabila dipanggil demikian. Memang pun, kata insan yang saya maksudkan itu, guru itu kelihatan jauh lebih muda daripada dirinya.

Daripada peristiwa itu, jelas bahawa kemiskinan memang menyebabkan seseorang itu menjadi tua sebelum waktunya – kerana orang miskin perlu memaksa fizikalnya untuk mencari rezeki bagi menyara keluarganya sehingga terpaksa pula melupakan nikmat rehat; kerana otak orang miskin terlalu memikirkan masalah sepanjang tidurnya – tentang rumah yang tidak sempurna, tentang keluarga yang perlu diberi makan, tentang persekolahan anak-anak, tentang keperluan isteri yang tidak tertunai, dan sebagainya lagi.

Tetapi, sebagai bandingan, guru pengajian al-Quran saya dahulu (yang sudah melewati usia 70 tahun) tergolong sebagai “miskin” juga, tetapi ketuaan wajahnya sepadan dengan usianya, malah wajahnya kelihatan berseri!

Apakah yang dapat disimpulkan daripada dua hakikat ini? Anda pasti dapat menjawabnya.

2 comments:

  1. Salam tuan. Kemiskinan bukan sahaja menjadikan wajah seseorang nampak tua tetapi ia juga menjurus kearah kekufuran.

    Selamat menyambut hari raya korban.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih. Lebih bahaya menjadi kufur dan saya amat takut untuk memperkatakannya.

    ReplyDelete