Thursday, November 26, 2009

Ibadah Qurban dan Kita: Orang Sering Beralasan

Ibadah qurban suatu tuntutan yang “disunatmuakkadkan” dalam agama kita yang benar dan suci ini – ISLAM. Amalan ini telah berlangsung zaman-berzaman, setelah berlakunya peristiwa “penyembelihan” Nabi Ismail AS oleh ayahandanya Nabi Ibrahim AS sebagai menunaikan titah perintah Allah SWT.

Peristiwa “simbolik” itu merupakan suatu bentuk ujian daripada Allah SWT kepada hamba-Nya – Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS – yang jelas sukar untuk dilaksanakan oleh mana-mana insan di muka bumi ini sekiranya tidak dibaluti iman di dalam jiwa dan raganya. Kesediaan kedua-dua insan itu mengorbankan kasih sayang masing-masing telah dibalas dengan limpahan kasih sayang yang Maha Luas oleh Allah SWT melalui keajaiban dan kebesaran-Nya – Nabi Ismail yang hendak disembelih itu telah ditukar oleh Allah SWT dengan sejenis haiwan.

Demikianlah kita mendengar kisah qurban ini semenjak kita kecil sehinggalah saat ini. Alhamdulillah, kita tidak pernah jemu dan jelak mendengarnya apatah lagi hendak menidakkan kebenaran dan keajaiban yang diperlihatkan Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang terpilih itu.

Tetapi, adakah kita sebahagian daripada insan yang mencontoh pengorbanan kedua-dua Nabi Allah itu walaupun tanpa perlu mengorbankan anak kita bagi melaksanakan ibadah sunat itu. Kita hanya disarankan mengorbankan haiwan-haiwan seperti unta, lembu, kerbau, kambing, biri-biri, dan yang seumpa dengannya. Itu sahaja!

Walaupun itu sahaja yang diperintahkan kepada kita, namun masih banyak insan yang masih menabur 1001 alasan untuk mengelakkan diri masing-masing daripada melaksanakannya. Alasan yang paling lazim diberikan oleh insan-insan ini ialah ibadah ini hanya ibadah sunat, maka tidak perlulah kita mengutamakan dan mendahulukannya. Alasan kedua yang paling lazim dikumandangkan ialah ketidakmampuan daripada segi kewangan.

Banyak insan yang menerima alasan ini. Walau bagaimanapun, perihal sunat dan tidak mampu itu perlu difikir-fikirkan dengan wajar dan waras. Sunat muakkad bermaksud kita diberatkan untuk melaksanakannya. Tidak mampu alasan yang sangat nipis!

Banyak kalangan orang Islam yang merokok walaupun harga rokok sudah melebihi RM5.00 sekotak. Merokok langsung tidak disunatkan dalam Islam, malah makruh dan ada yang menggolongkannya sebagai haram. Oleh itu, kalau yang tidak sunat (makruh dan haram) dapat kita lakukan, seharusnya yang sunat muakkad lebih-lebih lagi dapat kita dahulukan. Dan, kalau sehari perokok menghabiskan sekotak rokok, hal ini bermakna mereka telah menghabiskan RM150.00 sebulan yang kalau dicampurkan untuk tempoh setahun, mereka telah menghabiskan RM1800.00! Fikirkan dengan wajar dan waras, kalau RM1800.00 mampu dibelanjakan untuk yang bukan sunat, bermakna kita mampu untuk melaksanakan ibadah qurban. Jadi, perihal sunat dan tidak mampu bukan alasan untuk kita meninggalkan ibadah qurban ini.

Kebanyakan kita juga memiliki kenderaan. Alasan yang mewajarkan kita untuk memiliki kenderaan ialah kenderaan suatu keperluan. Hal ini memang benar. Tetapi, anehnya, banyak insan yang sanggup berhabis demi kenderaan mereka. Ada yang menukar rim sport, menukar sistem hi-fi radio, menambah aksesori, dan sebagainya lagi. Sesetengahnya menempah pula nombor plat khas, sama ada satu digit, dua digit, nombor berkembar, dan sebagainya yang kesemuanya memerlukan wang. Yang lain pula memiliki lebih daripada satu kenderaan, satu untuk ke tempat kerja dan satu lagi untuk ke pasar. Jadi, fikirkanlah dengan wajar dan waras, menukar sport rim, sistem hi-fi, aksesori dan sebagainya untuk kenderaan bukan sunat. Memiliki nombor kenderaan yang “cantik” juga bukan sunat. Memiliki lebih daripada satu kenderaan juga bukan sunat. Dengan yang demikian juga, alasan tidak mampu tidak dapat diguna pakai untuk meninggalkan ibadah qurban ini kerana hakikatnya, banyak yang mampu untuk melakukannya.

Tidak cukup dengan hal itu, banyak orang yang memiliki telefon bimbit yang canggih-manggih, sesetengahnya ada yang menjadikannya sebagai koleksi. Dan, bukan sedikit jumlahnya insan yang bergaji RM750.00-1000.00 sebulan memiliki telefon bimbit canggih yang mencecah harga RM1500.00! Sunatkah memiliki telefon bimbit sedemikian sedangkan kegunaan utamanya hanyalah untuk berbual dan berSMS? Kalau dengan gaji RM1000.00 kita mampu untuk memiliki telefon berharga RM1500.00, seharusnya kita mampu untuk mengenyampingkan RM380.00 untuk satu bahagian dalam ibadah qurban sekurang-kurangnya.

Begitu juga, banyak orang yang melengkapkan kehidupan mereka dengan televisyen berbayar. Kalau di negara ini, televisyen berbayar ini dikendalikan oleh pihak ASTRO. Oleh sebab namanya pun televisyen berbayar, maka orang yang melanggani kemudahan ini akan dikenakan bayaran tertentu, antara RM37.95-RM131.95 sebulan. Melanggan ASTRO bukan sunat, apatah lagi sunat muakkad. Oleh sebab bukan sunat, kita tidak perlu melangganinya. Tanpa melanggan ASTRO, kita sekurang-kurangnya dapat menyimpan RM455.40 setahun! Jumlah itu, pada pandangan saya, cukup untuk kita membeli seekor kambing untuk dijadikan haiwan qurban.

Allah SWT akan bertanya kepada kita tentang amalan kita. Antara lain, Dia akan bertanya, ke manakah kita salurkan rezeki yang diberikan-Nya. Tidak mengapalah kalau kita menjawab bahawa rezeki itu antara lainnya kita salurkan kepada kereta, telefon bimbit, ASTRO, dan sebagainya setelah kita menyalurkan sebahagian besar rezeki itu dengan berjihad di jalan Allah, termasuklah melaksanakan ibadah qurban! Tetapi, kalau kita menjawab sebahagian besar rezeki itu kita gunakan untuk rokok, kereta, telefon bimbit, ASTRO, dan sebagainya dan mengenyampingkan ibadah sunat dan wajib, kita telah tergolong sebagai orang yang menzalimi diri kita sendiri.

Sebagai tambahan, sama-samalah kita hayati ancaman yang disuarakan oleh Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad SAW terhadap orang yang mampu untuk melakukan qurban tetapi mengabaikannya:

Daripada Abu Hurairah RA katanya, Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang ada kemampuan untuk berqurban tetapi tidak melakukannya, janganlah dia hadir bersama kami di tempat solat kami”.

Sebagai tambahan, hayatilah dalili-dalil ini:
  1. Firman Allah SWT dalam surah Al-Kautsar, ayat 2 yang bermaksud:
    Maka kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah qurban sebagai bersyukur.
  2. Firman Allah SWT dalam surah surah Al-Haj, ayat 37 yang bermaksud:
    Daging dan darah binatang qurban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan taqwa daripada kamu.
  3. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Tirmidzi, maksudnya:
    Aku diperintahkan dengan menyembelih qurban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu.
  4. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Tobrani, maksudnya:
    Wahai manusia, sembelihlah qurban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah qurban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla.
  5. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Tirmidzi, maksudnya:
    Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai oleh Allah Taala daripada menumpahkan darah (menyembelih qurban). Bahawa qurban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya, dan kuku-kukunya. Sesungguhnya, darah qurban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat qurban itu dengan hati yang bersih.

(Posting ini sebenarnya untuk menasihati diri dan keluarga saya sendiri serta orang-orang yang berfikiran terbuka. Sebahagian isinya saya olah semula daripada ceramah yang tersiar dalam rancangan “Suara Mimbar” di radio FM100.9. Dalil-dalil al-Quran dan Hadis diperoleh daripada Al-Azim.com. Sama-samalah kita mengambil manfaatnya.)

2 comments:

  1. Salam, Syekh;
    Terima kasih. Demikianlah betapa cincainya umat Islam dalam menghayati Islam.

    ReplyDelete