Thursday, May 2, 2013

Manusia-manusia Pencetus Fenomena

Sesuatu itu, apabila hendak berada di tempat yang tinggi, dalam beberapa keadaan, harus ada manusia/medium yang menjadi pencetusnya. Pembaca mungkin bersetuju dengan teori saya ini, dan mungkin juga tidak bersetuju dengannya. Malah, pembaca mungkin juga faham akan maksud kata-kata saya ini, dan mungkin juga tidak faham akan maksud saya itu! Jadi, elok saya jelaskan hal tersebut.

Mari kita melihat bidang yang dikatakan “seni” – nyanyian. Suatu ketika, ada sedikit penyanyi yang memperjuangkan lagu etnik Melayu asli bertahun-tahun. Malangnya, lagu etnik Melayu asli itu tetap berada di takuk yang itu-itu juga – naik dan disukai oleh kelompok yang itu-itu jugalah, iaitu golongan yang berumur di desa. Yang muda, tak ambil parwah. Antara yang giat mempopularkannya ialah arwah Abdullah Chik dan pasangannya, Noraniza Idris.
 
Muncul seorang Siti Norhaliza dengan lagu “Cindai” yang berirama Malaysia – melata orang yang menyukainya, baik yang tua mahupun yang muda. Lagu itu menjadi kegemaran orang tua, menjadi siulan muda-mudi di sana sini hingga membolehkan albumnya terjual lebih 120,000 keping. Abdullah Chik dan pasangannya berjuang lama, tidak begitu berjaya (tidak berniat untuk memperkecil usaha mereka); Siti berjuang sekejap, meletup!
 
Sebelum itu, kemunculan TV3 pada tahun 1984 telah meredumkan minat orang terhadap radio. Dengan mengangkat “Berita Terkini Hiburan Sensasi” sebagai tema penyiaran mereka, stesen TV yang pada awalnya sekadar bersiaran di Lembah Klang sahaja itu telah mengurangkan minat orang terhadap radio. (Sungguh, saya sendiri hampir lupa akan kewujudan dan peranan radio.)
 
Muncul seorang Zainaldin Zainal di RMIK dengan tiupan wiselnya pada awal pagi. Tiada sesiapa yang menggerakkan hati saya dan rakan-rakan serumah sewa untuk membuka radio (RMIK) pada setiap awal pagi bagi mendengar tiupan wiselnya. Betul, memang tidak ada sesiapa yang mendorong kami untuk mendengar RMIK yang telah lama kami abaikan. (Saya yakin bahawa semuanya kerja Allah!).

Tentang Zainaldin ini, saya sendiri mendengar di udara suatu perbualan telefon beliau dengan seorang pemanggil pada suatu hari. Pemanggil itu dengan ikhlas memuji (setinggi langit) serta berterima kasih kepada beliau kerana berjaya mengembalikan minat orang terhadap radio. Bagi beliau, Zainaldinlah yang menyebabkan orang kembali meminati radio.
 
Senario seperti yang saya contohkan itu juga berlaku dalam bidang politik. Berapa banyak rakyatkah yang meminati Parti Islam se-Malaysia (PAS) hingga mereka bersedia untuk memilih parti itu dalam PRU atau PRK sebelum tahun 1999? Berapa banyak kerusi Parlimenkah yang dimenanginya pada peringkat Parlimen pada tahun 1995, 1990, dan 1986, dan tahun-tahun sebelumnya, misalnya?
 
Sebagai imbasan, pada PRU tahun 1986, PAS menang 1 daripada 98 kerusi yang ditandinginya. Pada PRU 1990, PAS menang 7 daripada 30 kerusi yang ditandinginya. Pada PRU 1995, PAS menang 7 daripada 46 kerusi yang ditandinginya. Tetapi pada PRU 1999, PAS menang 27 kerusi daripada 30 kerusi yang ditandinginya. Pada PRU 2004, pencapaiannya merosot, iaitu menang 7 daripada 84 kerusi yang ditandinginya, tetapi pada PRU 2008, PAS menonjol lagi – menang 23 daripada 66 kerusi yang ditandinginya.
 
Yang menarik, jika sebelumnya PAS hanya memenangi kerusi Parlimen di Kelantan, Terengganu, dan Kedah, tetapi pada PRU 2008, PAS berjaya menempatkan diri di Parlimen Selangor, Perak, dan KL. Malah, pada peringkat DUN, PAS pada PRU 1999, sudah dapat mengembangkan sayap kemenangannya di kubu-kubu kuat BN, seperti Pahang, Perlis, Selangor dan sayapnya kemudian melebar di NS, Johor, dan PP pada PRU 2008!
 
Seperti lagu etnik Melayu asli dan penyiaran (radio) tadi, minat mendadak rakyat untuk menyertai atau menyokong PAS juga ada pencetusnya, yang sudah tentulah dengan perencanaan Allah juga. DS Anwar Ibrahim itulah pencetusnya! Pemecatan DS Anwar Ibrahim pada 1998 menjadi titik mula orang beralih kepada parti-parti yang bukan lagi berpakat di bawah nama Barisan Nasional. Suka atau tidak, kita perlu bersetuju dengan perencanaan Allah ini. PAS beroleh manfaat daripada nasib DS Anwar Ibrahim!
 
Sesuatu itu, seperti yang saya ungkapkan tadi, apabila hendak berada di tempat yang tinggi, dalam beberapa keadaan, harus ada manusia/medium yang menjadi pencetusnya. Dalam konteks seni, lagu etnik melata ke dalam jiwa semua lapisan masyarakat melalui Siti Nurhaliza. Dalam konteks penyiaran, siaran radio yang pernah terabai oleh kemunculan TV3, kembali bertakhta di hati pendengar melalui Zainaldin Zainal. Dalam konteks politik, PAS disukai dan disokong rakyat selepas tragedi pemecatan DS Anwar Ibrahim.
 
Tulisan ini bukan kempen apa-apa, sekadar renungan biasa-biasa untuk mengingatkan orang supaya senantiasa bersikap merendah diri, mensyukuri apa-apa yang diberikan Allah, dan kalau dapat mengenang jasa orang-orang tertentu. Doakanlah kesejahteraan mereka!

1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete