Friday, May 3, 2013

Pertandingan Besar 5513: Ganjaran dan Derajat


Apabila kita bersaing dalam apa-apa pertandingan, yang kita harapkan ialah kemenangan. Hal ini berlaku demikian kerana kemenangan menjanjikan ganjaran, imbalan, dan sebagainya. Harapan untuk menang itu juga muncul kerana kemenangan akan mengharumkan nama serta mengangkat derajat pemenang di mata orang (walaupun sebenarnya kemenangan itu belum tentu mengangkat derajat pemenang di sisi Allah).

Kalau kita bersaing dalam pertandingan nyanyian, pertandingan lukisan, atau sayembara penulisan, misalannya, akan ada kelompok orang yang dipertanggungjawabkan untuk menilai kelebihan kita. Orang yang dipertanggungjawabkan itu biasanya digelar orang sebagai “Panel Penilai” yang terdiri daripada pakar dalam bidang masing-masing. Sama ada kita berbakat atau berkelebihan, kelompok “Panel Penilai” inilah yang menentukannya.

Yang menariknya dalam persaingan serupa itu, para peserta yang bersaing tidak akan sekali-kali merengek-rengek, merayu-rayu, meminta-minta “Panel Penilai” untuk memenangkan mereka. Untuk menang, para peserta perlu memperlihatkan kualiti yang dimiliki – kelebihan atau apa-apa yang dihasilkan mereka itu memang benar-benar luar biasa dan bagus di mata “Panel Penilai”. Kalau bagus, mereka pasti menjadi pemenang.

Dalam pertandingan sukan pula, misalnya bola sepak, hoki, tenis, badminton, dan olahraga, “Panel Penilai” langsung tidak diperlukan. Yang diperlukan dalam pertandingan seperti itu ialah pengadil dan pegawai pertandingan. Kerana mereka pengadil, mereka diperlukan untuk mengadili pertandingan serta untuk memastikan pertandingan itu berlangsung mengikut disiplin dan garis panduan yang digariskan dalam setiap sukan tersebut.

Kemenangan peserta dalam sukan-sukan yang dicontohkan itu banyak bergantung pada kekuatan, kelebihan, dan keupayaan diri masing-masing. Tidak ada “Panel Penilai” yang akan dipertanggungjawabkan untuk menilai permainan mereka hingga kemudiannya memilih mereka sebagai pemenang. Cuma kadangkala, jika yang bersaing itu senegeri atau senegara, mereka mungkin akan berpakat sesama sendiri untuk menjadi pemenang.

Bagaimanakah pula halnya dengan Pertandingan Besar 5513 yang akan berlangsung tidak lama lagi? Di kategori manakah duduknya pertandingan itu? Adakah pertandingan itu duduk pada kategori yang memerlukan “Panel Penilai” ataupun duduk pada kategori yang hanya memerlukan pengadil dan pegawai pertandingan? Saya yakin bahawa banyak kalangan pembaca yang menjawab pertandingan itu memerlukan “Panel Penilai”!

Jika demikian halnya, siapakah pula kelompok “Panel Penilai” itu? Jawabannya, mereka itu tidak lain orang-orang yang telah mendaftarkan diri mereka sebagai pemilih yang kemudiannya tergolong sebagai pengundi. Ya, pertandingan ini memerlukan pengundi. Pengundi ini lazimnya akan memilih pemenang berdasarkan dua skop utama – calon atau organisasi yang diwakili oleh calon. Pengundi yang bijak akan memilih organisasi.

Benarkah pendapat saya ini, iaitu orang yang membuat pilihan berdasarkan organisasi tergolong sebagai pengundi yang bijak? Saya memilih untuk menjawab ya. Hal ini saya lakuakn begitu kerana Pertandingan Besar 5513 ini pertandingan berkelompok, bukan pertandingan individu. Masing-masing calon bergerak dalam kelompok besar bagi mewakili organisasi masing-masing, bukannya bergerak secara bersendirian (kecuali calon bebas).

Bukanlah saya bermaksud hendak mengatakan bahawa orang yang menjadikan calon sebagai keutamaan tidak bijak. Ada juga cerdiknya orang yang demikian itu, tetapi perlu diingat bahawa Pertandingan Besar 5513 ini pertandingan untuk memenangkan pihak yang bakal menjadi peneraju negara, bukannya pertandingan untuk memenangkan individu yang kemudiannya akan menjadi Yang Amat Berhormat atau Yang Berhormat sahaja!

Untuk memenangi pertandingan besar ini, semua organisasi akan menaburkan pelbagai janji melalui calon mereka – ada yang menggolongkan janji mereka sebagai aku janji dan ada pula yang menggolongkannya sebagai manifesto. Kita yang menjadi “Panel Penilai”harus menjadikan aku janji dan manifesto ini sebagai garis panduan untuk memilih pemenang. Dan jangan pula lupa tentang rekod prestasi organisasi yang bersaing.

Tanyai diri kita yang menganggotai “Panel Penilai”, apakah yang kita inginkan daripada sebuah organisasi yang bakal menerajui negara? Saya, secara peribadi, berhajatkan negara yang bebas rasuah, pemimpinnya pula memiliki integriti. Saya juga menginginkan penurunan harga barangan keperluan harian seperti gas memasak, bahan api kenderaan, kenderaan itu sendiri, dan lain-lain. Harga biar rendah walaupun tidak murah.

Saya juga berkehendakkan biaya hospital swasta yang rendah, pendidikan percuma, jalan raya bebas tol, tarif telefon, air, dan elektrik yang relatif rendah, dan lain-lain. Saya juga menginginkan negara yang rakyatnya menjadi penjual manakala rakyat luar yang datang sebagai pembeli, bukan sebaliknya supaya wang dalam negara tidak berhijrah ke luar negara. Lebih penting lagi, saya menginginkan negara bebas dadah dan jenayah.

Sungguh, pemenang dalam pertandingan akan beroleh ganjaran, imbuhan, atau imbalan. Benar juga kemenangan yang diperoleh akan mengangkat nama dan derajat pemenang di mata orang (walaupun belum tentu mengangkat derajatnya di sisi Allah). Walau bagaimanapun, dalam konteks Pertandingan Besar 5513 ini, pemenang janganlah menghambat ganjaran dan derajat, tetapi tunaikanlah tanggungjawab.

Negara ini Negara 1001 Kekayaan; oleh itu, pastikanlah kekayaan itu diperoleh oleh semua hamba rakyat. Rakyat bukannya mengharapkan BR1M RM500 @ RM1200 (akan datang) itu sangat kerana pemberian seperti itu tidak menyeluruh dan tidak adil. Rakyat sebenarnya mengharapkan kadar pendapatan yang tinggi dan kos sara hidup yang rendah. Inilah ganjaran daripada kemenangan dalam pertandingan besar itu yang sebenar-benarnya.

Kalau kamu menang, tegakkanlah keadilan dan kesaksamaan. Kalau kamu menang di Pusat dan kalah di Negeri, janganlah kamu melakukan penganiayaan. Yang berhak memperoleh royalti petroleum, berikanlah hak mereka itu. Yang hendak mengembalikan hak air kepada rakyat, berikanlah juga. Apa-apa yang kamu jadikan sebagai aku janji, laksanakan segera. Amalan kronisme dan nepotisme hendaklah kamu campakkan jauh-jauh ke dasar bumi.

Ingatlah, wahai para peserta Pertandingan Besar 5513! Tidak seperti pertandingan lain, Pertandingan Besar 5513 yang kamu sertai ini menghendaki kamu merengek-rengek, merayu-rayu, meminta-minta daripada “Panel Penilai”. Jadi, setelah rengekan, rayuan, dan permintaan kamu terpenuhi nanti, tentulah tidak molek kamu membutakan mata dan menulikan telinga terhadap apa-apa yang kamu janjikan dan apa-apa yang kami minta.

Kamu berdua sahaja yang bertanding secara berkelompok dalam Pertandingan Besar 5513 ini. Oleh sebab itu, mata dan fikiran kami sekarang sepenuhnya terhala kepada kamu berdua. Kami, “Panel Penilai”, berharap agar pilihan kami akan memberikan ganjaran dan manfaat yang besar kepada kami. Di pihak kamu, cukuplah elaun dan segala kemudahan yang diperuntukkan itu. Janganlah memburu habuan untuk tembolok kamu sahaja.

No comments:

Post a Comment