Wednesday, October 17, 2012

Cabaran Hidup: Hanya Daki di Celah Kuku

Selalu kita dengar daripada mulut orang-orang seni bahawa hidup sebagai orang seni ini sangat besar cabarannya. Bentuk cabaran yang dimaksudkan mereka kadangkala kurang jelas kepada kita, tetapi yang selalu dijadikan oleh mereka sebagai cabaran ialah pandangan masyarakat, seperti kita, iaitu kita sukar untuk menerima mereka yang berprofesion penyanyi, pemuzik, pelakon, penari, pelawak, dan lain-lain, malahan kita ini, kata mereka, sering menohmah mereka.

Wallahualam, saya tidak pernah berdepan dengan hal ini, iaitu masyarakat membenci dan menohmah orang seni, tetapi saya pernah melihat masyarakat menohmah orang lain dan orang lain itu bukan orang seni pun. Saya (para pembaca sendiri pun) cuma pernah melihat orang menohmah orang seni dalam filem sendiri — Nyonya Mansoor menohmah si ahli muzik miskin yang bernama Kassim Selamat yang dicintai oleh anaknya, Sabariah Mansoor dalam filem “Ibu Mertuaku”.

“Berapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul”, demikianlah yang diungkapkan oleh peribahasa. Dalam konteks ini, kita sekadar dapat memandang dan bersimpati terhadap orang dan “penderitaan” yang dihadapinya. Sebaliknya, mereka yang “menanggung penderitaan” itu patah selera untuk makan dan minum, tidak berkudrat untuk merasai nikmat tidur, tidak berupaya untuk menyekat air mata daripada berlelehan dari pipi ke dada, dan sebagainya.

Hakikat yang sebenarnya ialah semua manusia mendepani cabaran dan cabaran itu berbeda-beda, mengikut profesion masing-masing. Orang-orang politik adalah antara ahli masyarakat yang paling banyak mendepani cabaran (kadang-kadang mencipta cabaran), seperti fitnah, cacian, dan iri hati. Cabaran yang didepani oleh ahli perniagaan dan tokoh-tokoh korporat pun besar juga, khususnya persaingan dan iri hati pesaing, kerugian dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, yang lebih benar ialah cabaran yang didepani oleh siapa-siapa pun di dunia ini hanya seperti kotoran di celah kuku (yang apabila dibersihkan hilang tidak berbekas) jika hendak dibandingkan dengan cabaran yang didepani oleh Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad SAW. Cabaran yang didepani oleh baginda yang kita kasihi itu sangat rencam dan payah, seksa dan pedih hingga baginda tergolong sebagai salah seorang Rasul Allah yang bergelar “Ulul Azmi”.

Saya tidak fikir ada orang seni kita yang pernah direjam dengan batu hingga berdarah kakinya seperti yang dialami oleh Rasulullah SAW. Saya tidak fikir ada orang politik di negara ini yang terusir dari negaranya kerana berdepan dengan tentangan keras kaumnya seperti yang dialami oleh Rasulullah SAW. Saya ulang sekali lagi, cabaran yang kita tempuh hanya seumpama kotoran di celah kuku jika hendak kita bandingkan dengan cabaran yang ditempuh oleh Rasulullah SAW.

Jangan mengeluh dan menyalahkan pihak yang kita anggap menjadi cabaran kepada kita kerana Rasulullah SAW tidak meminta yang buruk-buruk daripada Allah SWT untuk ditimpakan kepada orang-orang yang menganiayanya. Jadilah insan terbaik yang semakin dianiaya semakin mendoakan kebaikan si penganiaya kerana doa orang yang teraniaya tiada hijab. Makbul doa orang yang teraniaya, berkurang seorang penganiaya di muka bumi ini.

No comments:

Post a Comment