Thursday, December 30, 2010

MIC Minta Kerajaan Lakukan Perubahan terhadap Kandungan Novel “Interlok”

Yang berikut ini ialah isi berita BERNAMA semalam tentang novel Interlok.

MIC Minta Lakukan Perubahan terhadap Kandungan “Interlok”

PUTRAJAYA: MIC, parti terbesar mewakili masyarakat India di negara ini, memohon Kementerian Pelajaran melakukan perubahan dalam kandungan novel “Interlok”, buku teks sastera Tingkatan Lima sebelum digunakan buat kali pertama bagi sesi persekolahan 2011.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Dr S Subramaniam, berkata prinsip asas penggunaan buku itu tidak akan tercapai kerana terdapat satu bahagian yang menyentuh isu sensitif di kalangan masyarakat India berkaitan sistem kasta.

“Interlok” ialah teks Komponen Sastera dalam Pengajaran Bahasa Melayu Tingkatan 5, karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain yang memaparkan tema mengenai integrasi tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India seawal tahun 1900-an hingga merdeka.

Subramaniam berkata beliau akan menemui Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran, minggu hadapan sebelum satu surat cadangan kepada kementerian itu dikemukakan.

Menteri Sumber Manusia itu ditemui selepas mengadakan perjumpaan bersama para pegawai Jabatan Pelajaran di seluruh negara yang bertanggungjawab ke atas pendidikan masyarakat India di kementeriannya di sini hari ini.

Subramanian berkata setelah mengambil kira pandangan masyarakat India, beliau berpendapat apa yang ditulis dalam buku itu tidak memberi satu gambaran tepat tentang keadaan dan fikiran masyarakat India pada masa sekarang.

“Oleh itu, saya takut bahawa jika tiada perubahan dibuat kepada kandungan yang ada di dalam buku itu, ia akan memberi satu pandangan salah kepada pelajar yang akan menggunakan buku itu.

“Ia akan diajar kepada semua pelajar tanpa mengira bangsa ... ini akan mengurangkan pemahaman mereka tentang apa yang sebenarnya berlaku di kalangan masyarakat India pada masa sekarang,” katanya.

“Jika ini dibiarkan ia juga akan mewujudkan satu perasaan “pahit” di kalangan masyarakat India,” katanya.

Subramaniam berkata kandungan buku itu harus diubah jika Kementerian Pelajaran tidak berhasrat menarik penggunaan buku teks sastera itu.
(Sumber daripada BERNAMA)

Tampaknya kisah tentang novel Interlok ini sudah menjadi seperti kisah dalam hikayat 1001 malam kerana masih belum habis-habis. Tahap sensitiviti kaum India terhadap isu dalam novel itu tampaknya setipis kulit bawang.

Dugaan saya selama ini tepat – bahawa isu yang dikategorikan sebagai sangat sensitif oleh kaum India yang disentuh dalam novel itu ialah isu kasta yang sebenarnya disentuh oleh pengarangnya seimbas lalu sahaja. Perhatikan petikan ini yang saya ambil daripada novel Interlok Edisi KOMSAS:

Di dalam kapal ini dia tidak susah. Sebahagian besar daripada penumpang dek yang bersama-samanya itu dapat bercakap dalam satu bahasa sahaja, bahasa Tamil, Mereka yang dari arah ke utara sedikit bercakap bahasa Malayalam atau Telugu, tetapi hampir semuanya tahu bahasa Tamil. Malayalam dan Telugu pun berasal dan satu rumpun bahasa Dravidia. Satu perkara besar yang membuatkan mereka senang bergaul adalah kerana mereka tergolong dalam satu kasta Paria. Mereka tidak perlu takut akan mengotori sesiapa kalau bersentuhan. Mereka juga bebas bergaul. Tempat di dalam kapal itu tidak teratur. Mereka berasak-asak seperti kambing.
(Interlok Edisi KOMSAS, hlm 211)

Pada bulan pertama Maniam sudah dapat mengirimkan duit kepada isterinya. Maniam seperti orang India yang lain, tidak pernah khuatir tentang keselamatan isterinya. Ada antara temannya yang sudah dua tahun tidak pulang, tetapi apabila sesekali pulang, isterinya masih tetap menunggunya. Maniam juga masih tetap setia pada isterinya. Maniam sudah dapat menyesuaikan dirinya dengan kehidupan di Pulau Pinang. Dia gembira hidup di negeri ini kerana untuk pertama kali dalam hidupnya dia berasa dirinya sebagai manusia seperti orang lain. Di sini dia tidak sahaja bebas bercampur gaul dengan orang lain sama sebangsanya, malah dia tidak takut dengan pantang larang yang terdapat di negaranya apabila seorang India daripada kasta rendah menyentuh orang India daripada kasta tinggi. Dia tidak sahaja dimaki hamun dengan kata-kata yang kesat, malah disisihkan daripada masyarakat sehingga dirinya dan orang-orang yang sekasta dengannya menjadi lebih hina daripada binatang.

Di negeri ini, orang daripada keturunan kasta tinggi, kasta Brahma, memakai punul yang melintang di tubuh, tetapi dia tidak takut menyentuh orang itu. Dia boleh membeli barang daripada penjaja dengan memberikan wang dari tangan ke tangan; tidak seperti di negaranya, dia mesti meletakkan wang itu di suatu tempat dan penjaja itu akan menyiram wang itu dengan air sebelum diambil dan dimasukkan ke dalam petinya.

Memang negeri baharu ini sesuai dengannya. Kalau dia mempunyai wang, dia akan menyampaikan pesanan kepada isterinya supaya datang ke mari.
(Interlok Edisi KOMSAS, hlm 218)

Mengapakah berasa sensitif? Hal itu bukan suatu penghinaan kerana amalan kasta di India sudah diketahui di seluruh dunia. Lagipun, hal yang dikisahkan oleh Datuk Abdullah adalah sebagai perbandingan antara masyarakat India di negara ini dengan di negara asal mereka.

Pada hemat saya, yang dirisaukan oleh pemuka MIC ini ialah persepsi yang mungkin timbul dalam kalangan masyarakat bukan India apabila hakikat ini “terdedah” dengan meluas (melalui pembacaan novel Interlok oleh lebih daripada 100 000 orang pelajar di Zon 2 – KL, Putrajaya, Selangor, dan Negeri Sembilan). Pada pandangan mereka, pembaca daripada kalangan pelajar bukan India akan menganggap bahawa kebanyakan kaum India di Malaysia berasal daripada kaum India yang berkasta rendah. Apabila hal ini berlaku, mereka berandaian bahawa bangsa lain akan memandang hina bangsa India di Malaysia atau kalau berlaku hal-hal yang tidak diingini, orang India di Malaysia akan diejek dengan gelaran PARIA. Sebagai akibatnya, matlamat murni untuk menyatupadukan rakyat majmuk di Malaysia tidak dapat direalisasikan. Itu pendapat saya yang dangkal. Tentu ada pendapat yang lebih konkrit.

Kalau persepsi masyarakat bukan India terhadap orang India yang dibimbangkan, hal itu tidak harus dilayan. Sebagai negara yang beragamarasmikan Islam dan menjadi salah sebuah negara penentang dasar Apartheid di Afrika Selatan yang kuat suatu waktu dahulu, kerajaan tidak akan membiarkan hal itu berlaku. Dalam Islam, tidak ada kasta. Dengan dasar benci Apartheid yang diamalkan oleh negara ini terhadap negara asing, tidak mungkin kerajaan akan merelakan dasar yang hampir sama berlaku di negaranya sendiri.

Sekali lagi, saya masih berpegang pada hakikat bahawa tujuan Datuk Abdullah Hussain merencahkan hal kasta itu sekali lalu dalam Interlok adalah untuk menelurkan hakikat yang berlaku selepas itu – bahawa perpaduan bukan lahir daripada kasta dan kebencian tetapi daripada kebersamaan!

4 comments:

  1. Assalamualaikum, tuan.

    Isu yang menarik. Sayangnya, tidak ramai yang mengulas isu ini (termasuk saya sendiri). Ermm, silapnya bermula daripada kita sendiri. Sekian lama kita menutup apa sahaja kebenaran demi menjaga hati pihak-pihak tertentu. Kini mereka berani bersuara atas alasan sensitiviti bangsa. Barangkali selepas ini semua novel berlatar belakangkan sejarah dan kebenaran harus dipinda. Memang hobi kita menyembunyikan kebenaran (tetapi riuh rendah apabila generasi muda buta sejarah!)...

    ReplyDelete
  2. t.kasih memberikan saya maklumat ini.

    ReplyDelete
  3. Salam, Cikgu;
    Kalau sekali ini pihak kerajaan beralah, jelas bahawa kita telah meletakkan amanah pada pihak yang salah.

    Seperkara yang saya baru terfikir. Ada sebab lebih besar daripada isu kasta itu, iaitu isu mereka memang pendatang yang ada dinyatakan pada awal setiap bab Keluarga Cing Huat dan keluarga Maniam.

    ReplyDelete
  4. Salam, Syeikh Muaz,
    Sama-sama Syeikh. Dapat kita kongsi bersama, insya-Allah.

    ReplyDelete