Wednesday, December 15, 2010

Sekilap Lalu: Kalaulah Kita Bercerai

Pernahkah kita terfikir akan suatu kemungkinan, kita dan isteri kita bercerai, hanya kerana sebab yang paling seni – kita atau isteri kita jarang-jarang berbedak!

Sebelum berkahwin dahulu, semasa makna cinta benar-benar diselami dan dihayati lalu bersebati di sanubari, soal berbedak atau tidak berbedak soal budak-budak. Berbedak engkau molek, tidak berbedak pun engkau tetap cantik, itulah puji dan puja yang rupa-rupanya cuma suatu bodek.

Ikhlasnya cinta dia kepada kita atau cinta kita kepada dia pada masa itu, Allah sahajalah yang tahu. Pada dia, walaupun lelaki lain macho, lelaki lain itu tidak memikat nafsu. Pada kita pula, walaupun wanita lain mendedahkan sejuta alur, kita langsung tidak tergiur. Kasih dan ikhlasnya kasih kita sampai “selipar yang diminta dibelikan sepatu, singlet yang dirayu, dibelikan baju”.

Tup-tup, selepas 12 atau 13 tahun sebumbung sekatil semimpi, kita ambil keputusan untuk menamatkan hubungan atas alasan dia tidak berbedak sepanjang 12 atau 13 tahun usia perkahwinan kita itu. Bedak telah menjadi syaitan yang memporak-perandakan jalinan kasih sayang kita sepanjang bergelar kekasih dan suami isteri.

Dan selepas berpisah, baik dia ataupun kita, bergilir-gilir dan kadang-kadang serentak pula saling menohmah satu sama lain. Buruk yang kecil semasa bersama dahulu dibesar-besarkan, tidak cukup dikhabarkan kepada rakan kenalan, kita ceritakannya kepada jiran. Kalau ada Blog, cerita itu kita kongsi pula di dalam Blog.

Kalau kita orang terkenal, berlumba-lumba kita mencari ruang di akhbar atau majalah untuk mendedahkan segala buruk dan cela pasangan kita. Lupalah kita akan semua kebaikan pasangan kita itu selama sebumbung sekatil semimpi dahulu. Cerita tentang minta selipar dapat sepatu, minta singlet dapat baju itu kita ungkit-ungkit selagi mahu! Sudah-sudahnya kerana marah, kita saman-menyaman di mahkamah.

Pelik sungguh hal yang begitu. Benarkah kita memang benar-benar ikhlas jujur setia semasa bercinta dahulu. Kalau benar kita ikhlas jujur setia semasa bercinta dahulu, mengapakah tergamak kita mencela pasangan kita selepas kita berpisah hanya oleh kebencian kita terhadap bedak?

Bukankah elok semuanya kita tutup dengan sekedap-kedapnya, biar Allah sahaja yang tahu? Walaupun kita tidak dapat sehidup semati seperti yang kita idam-idamkan dahulu, bukankah elok kalau buruk baik sepanjang kita sebumbung sekatil semimpi dahulu betul-betul kita bawa ke mati?

Ada orang yang telah bercerai tetapi kemudian kembali memasuki dunia percintaan, tetapi kerana terhalang oleh pandangan keluarga kekasihnya, orang yang telah bercerai itu menghebah-hebahkan keburukan kekasihnya. Dengan penuh sedar, segala kebaikannya kepada kekasihnya sepanjang percintaan singkatnya itu dilabun-labunkannya, bukan sahaja kepada kenalan dan taulan, tetapi kepada publik, sebab dia ada sedikit nama di tengah khalayak.

Pernah berkahwin rupa-rupanya tidak menjadikan orang itu matang!

RENUNGAN
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
Sesiapa yang membebaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan, Allah akan membebaskan satu kesusahan daripadanya pada hari akhirat. Sesiapa yang memudahkan urusan orang lain, Allah pasti akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Sesiapa yang menutup aib seorang Muslim, Allah pasti akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah sentiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu menolong saudaranya....
(Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

No comments:

Post a Comment