Hal ini tidak mungkin atau tidak banyak berlaku pada orang bukan Melayu. Kalaupun mereka menulis karya dalam bahasa Melayu, bercakap dalam bahasa Melayu, tetapi sebagai penutur asli bahasa Tamil, Cina, Inggeris, misalnya, mereka tidak mungkin akan berfikir atau berangan-angan tentang sesuatu perkara/hal dalam bahasa Melayu juga. Mereka kebanyakannya akan berfikir dan berangan-angan dalam bahasa asli mereka. Kelompangan seperti inilah yang menjadikan mereka tidak betul-betul bersebati dengan bahasa Melayu. Sama halnya dengan orang Melayu. Ibu saya, misalnya, sangat fasih berbahasa Tamil, tetapi beliau tidak berfikir dan berangan-angan dalam bahasa itu. Hal ini menghalang beliau untuk memahami secara keseluruhan budaya berbahasa bangsa India.
Tentang perkataan “makan”, misalnya, apabila orang Melayu berkata: “Pisau ini tidak makan.” atau “Dia bekerja makan gaji.” atau “Kawan aku itu tidak makan nasihat.” atau “Kerja itu memakan masa yang lama.” atau “Kalau memandu, jangan sampai makan jalan orang.” dan lain-lain, orang Melayu lazimnya tidak perlu merujuk kepada kamus untuk mengetahui maksudnya. Hal ini jarang-jarang berlaku kepada orang bukan penutur asli bahasa Melayu. Tahap kefahaman mereka terhadap penggunaan kata “makan” dalam ayat-ayat itu tidak sama dengan orang Melayu.
Demikianlah halnya apabila pengarang memuatkan perkataan “Paria” dalam novel Interlok itu. Beliau sangat arif akan maksudnya kerana perkataan “Paria” dalam bahasa Melayu tidak merujuk kepada perangai, sifat, atau tabiat, atau apa-apa yang negatif. Beliau sedar bahawa dalam bahasa Melayu, makna yang didukung oleh perkataan “Paria” hanyalah “orang atau golongan yang paling rendah kastanya di India” (Kamus Dewan Edisi Keempat). Itulah satu-satunya definisi yang ada untuk perkataan “Paria” dalam bahasa Melayu berdasarkan kamus yang berautoriti.
Hal ini berbeza dengan bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris meletakkan makna yang sangat buruk untuk perkataan “Paria” yang dieja mereka sebagai “Pariah” itu, iaitu:
- a person who is avoided or not accepted by a social group, esp. because he or she is not liked, respected, or trusted; an outcast
(Cambridge Dictionary of American English)
- someone who everyone hates and avoids SYN outcast.
Perkataan “outcast” yang disinonimkan dengan perkataan “Pariah” itu pula didefinisikan sebagai:
- someone who is not accepted by the people they live among, or who has been forced out of their home
(Longman Dictionary of Contemporary English)
- a person who has no place in their society or in a particular group, because the society or group refuses to accept them
(Cambridge Advanced Learner's Dictionary)
Jadi, apabila perkataan “Pariah” yang ada dalam novel itu dijadikan sebagai sasaran kemarahan oleh kaum India sehingga mereka merasakan novel itu perlu dinyahkan daripada pembacaan pelajar, saya fikir perbuatan itu sangat tidak berasas. Novel itu perlu dibaca dan difahami isinya dalam bahasa Melayu dan bukannya dirujuk kepada bahasa Inggeris.
Walau bagaimanapun, pihak Kementerian Pelajaran, seperti yang dijelaskan oleh Menterinya (Tan Sri Muhyiddin Yassin), telah membuat keputusan tentang novel ini — bahawa novel itu akan terus dipelajari, dihayati, dan didalami oleh pelajar di Tingkatan 5 (di KL, Putrajaya, Selangor, dan NS) setelah pindaan (yang akan dilakukan oleh panel bebas yang dilantik) dibuat.
Sama ada perkataan “Paria” dan peristiwa yang berkaitan dengannya serta hal-hal lain yang berkaitan dengan masyarakat India akan dibuang atau tidak, tidaklah dapat dipastikan tetapi pindaan memang akan dilakukan oleh panel bebas yang akan direstui ... oleh Kementerian Pelajaran.
Adakah pengarangnya akan memberikan restu terhadap pindaan itu kelak? Beliau ada memberikan kenyataan sebelum ini bahawa beliau tidak membenarkannya dibuang (dipinda?). Pihak NGO Melayu juga (PENA, PERKASA, GAPENA) bertegas dalam hal ini — yang dikatakan sebagai sensitif itu tidak perlu dibuang kerana kesensitifan itu tidak wujud.
Pendirian saya? Elok ada pindaan walaupun langkah itu menampakkan bahawa orang India seperti memiliki keistimewaan dalam hal menapis karya berbahasa Melayu! Kalau ditarik terus pula, kelihatannya satu pihak saja yang menang. Lagipun, pada pandangan saya, yang dipinda hanya Edisi Murid untuk KOMSAS sahaja. Yang asli tidak kena-mengena. Walau bagaimanapun, sebagai orang yang berprinsip, pengarang berhak untuk menarik penggunaan novel itu.
Salam Zul.
ReplyDeleteKalau saya pengarangnya, tidak akan saya benarkan sebarang pindaan; tidak akan saya izinkan untuk dijadikan sebagai teks KOMSAS. Kalau dipinda juga, karya tersebut bukan lagi karya saya, manakala judulnya bukan lagi Interlok.
Kalau saya pengarangnya, saya berasa amat terhina. Akan saya pulangkan sebarang penghargaan yang saya terima hasil daripada karya saya itu. Malah akan saya pulangkan gelar Sasterawan Negara yang dianugerahkan kepada saya. Gelar Sasterawan Negara sudah tiada bermakna apa-apa! Mungkin sudah tiba masanya diwujudkan gelar sasterawan UMNO, Sasterawan MIC, Sasterawan MCA, dan lain-lain seumpamanya yang menepati fikiran sempit Melayu UMNO, India MIC, Cina MCA, dan sebagainya!
Suhaimi Khalid
Sdr Suhaimi,
ReplyDeleteSeperti yang kita sedia maklum, karya itu sudah pun dipinda (dimurnikan) daripada yang asli. Tanyalah Sdr Abdul Ahmad. Oleh itu, membuat sedikit lagi pindaan terhadap karya itu, pada pandangan saya, haruslah dibenarkan.
Rasional saya ialah, saya ingin karya itu dibaca oleh murid-murid (Melayu, khususnya) dengan harapan semoga (selepas mengikuti kontroversi ini) mereka terdorong untuk membaca karya yang asli pula, yang tiada pindaan.
Jauh dalam hati, saya akan bertindak seperti yang Sdr nukilkan dalam komen ini kerana sasterawan memiliki licentia poetica.
Salam, Tuan Zul.
ReplyDeleteSecara peribadi, saya sama sekali tidak bersetuju naskah pelajar ini dipinda.
Pertama, kerana naskah pelajar itu sendiri sudah diubah suai daripada karya asal agar lebih sesuai digunakan untuk pelajar sekolah. Apakah perlu ia dipinda sekali lagi hanya kerana kepentingan pihak tertentu? Kita boleh menerima alasan pindaan jikalau ia memiliki kepentingan akademik, bukan kerana ia memiliki kepentingan pihak yang berfahaman rasisme.
Kedua, saya bersetuju dengan pandangan Tuan Suhaimi Khalid. Apa ertinya anugerah Sasterawan Negara jikalau kita sendiri tidak menghormatinya? Jikalau karya seorang sasterawan boleh dipinda sesuka hati, apatah lagi karya orang lain yang tidak menyandang status'sesiapa'. Sudahlah kebenaran yang tercatat dalam sejarah hendak kita sembunyikan, kebenaran dalam karya kesusasteraan pun hendak kita padamkan?
Ketiga, adalah sesuatu yang tidak munasabah sama sekali kita membuat keputusan sebegini atas semangat 1Malaysia. Jikalau inilah 'rupa' 1Malaysia, maka secara peribadi saya menganggap bahawa gagasan itu mengarut, malah sebenarnya 'membunuh' apa yang dinamakan sebagai perpaduan kaum.
Kesimpulannya, saya tidak bersetuju novel ini dipinda biar apa sekalipun kaedahnya. Lebih baik ia ditarik balik dan tidak digunakan di sekolah. Biar undur bermaruah, daripada mara terhina. Biar mati tidak makan, daripada mati keracunan makanan...
bagi saya tidak perlu di pinda kalau atas dasar menjaga sensitivi sesetengah dan kaum tersebut perlu sedar bahawa perkaataan itu kaum itu sendiri yang mencipta dan mengamalkanya terhadap kaumnya(bangsa)sendiri,mengapa pula nak di pertikaikan pula apabila kaum itu sendiri yang menghina bangsanya sejak dahulu kala lagi serta kita semua tahu dan sememangnya mereka tahu kaum tersebut terbahagi kepada beberapa puak(kasta) ia itu salah satu puak seperti yang tersebut dalam buku itu.penulis bukan nya baru mencipta perkataan itu bahkan telah diambil dari bangsa itu.
ReplyDeleteSalam, Cikgu Marni,
ReplyDeleteSeperti yang saya tegaskan, jauh di sudut hati, saya tidak akan membenarkan apa-apa pindaan pun dilakukan terhadap karya agung itu.
Karya ini sangat bagus dan perlu dibaca oleh para pelajar. Menarik karya ini terus daripada kegunaan pelajar akan menutup ruang pelajar untuk mengetahui segala-galanya tentang sejarah yang disentuh dalam novel itu. Dan seperti dalam komen saya terhadap komen Sdr Suhaimi, saya berharap agar selepas mengikuti kontroversi ini, pelajar terdorong dan didorong oleh ibu bapa untuk membaca naskhahnya yang asal pula, yang tiada pindaan langsung. Membaca naskhahnya yang asal, dapat menyedarkan mereka tentang pelbagai perkara, khususnya pandangan dua bangsa itu terhadap bangsa kita.
Salam, Sdr Nangome,
ReplyDeleteItulah yang saya katakan dalam beberapa komen saya dalam entri saya yang lain - orang India (dan kita sendiri, sebagai tanda sokongan) harus berasa marah terhadap pencipta sistem kasta yang bodoh itu. Sebab itulah saya dahulukan maksud "Paria" dalam bahasa Melayu pada bahagian awal entri ini - supaya hakikat yang Sdr Nangome katakan bahawa "penulis bukannya baru mencipta perkataan itu bahkan telah diambil dari bangsa itu" disedari oleh mereka.
Pindaan itu ada kepentingan politikkah? Selepas Tenang, ada Merlimau! Hmm.