Sunday, April 17, 2011

Apakah Selepas PRN Sarawak?

BERSEDIALAH! Harga minyak mentah dunia sudah dekat mencecah AS$110 setong. Kerajaan baru menaikkan harga RON97 sebanyak 20 sen, daripada RM2.50 kepada RM2.70 seliter, manakala harga RON95 yang menjadi pilihan kebanyakan rakyat jelata belum dinaikkan oleh pihak kerajaan lagi. Mengapakah kerajaan begitu bermurah hati mengekalkan harganya pada paras sekarang? Semua orang tahu akan rahsianya itu.

PRN Sarawak yang dikaitkan orang dengan tidak naiknya harga RON95 itu, baru sahaja berlalu. Kalau ada rancangan pihak kerajaan hendak membubarkan Parlimen dalam masa terdekat ini bagi membolehkan PRU13 diadakan, harga RON95 mungkin akan terus dikekalkan pada parasnya sekarang. Kalau PRU13 itu lambat lagi, kita harus dapat “menikmati” harga baharu RON95 itu dalam masa terdekat ini, insya-Allah.

Mujurlah BN menang di Sarawak. Kalau mereka kalah, agaknya saat ini kita sudah pun “menikmati” harga RON95 baharu. Bukankah mereka bijak “mengajar” rakyat yang menyingkirkan mereka daripada tampuk kekuasaan? Tidak percaya? Lihatlah apa yang dilakukan mereka kepada rakyat Terengganu yang memilih pembangkang pada PRU 1999 dahulu. Royalti petroleum telah ditukar kepada wang ihsan!

Kerana mereka menang, mereka agaknya malu-malu alah untuk menaikkannya sekarang. Kalau dinaikkan, mereka seperti tidak mengenang jasa rakyat Sarawak yang masih memilih mereka untuk menerajui kerajaan Sarawak. Kalau tidak dinaikkan, beban subsidi yang ditanggung makin tinggi. Jadi, tidak ada jalan lain untuk memastikan harga RON95 tidak dinaikkan oleh kerajaan — berdoa agar harga minyak mentah turun, turun, dan terus turun.

Alangkah buruknya sangkaan saya terhadap kerajaan!

10 comments:

  1. Sdr. Zul,

    Kita masih menunggu wujudnya iklim politik yang membayangkan keikhlasan kerajaan membela rakyat, bukan semata-mata disebabkan strategi pilihan raya.

    ReplyDelete
  2. Salam, Prof;
    Berdasar pada PRN Sarawak, kita seperti lambat lagi untuk menikmati iklim itu, Prof. PM dan TPM sendiri seperti belum matang dalam memahami maksud pilihan raya dan tidak bersedia untuk menyediakan iklim itu.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum, Tuan Zul...
    Mengenali kerajaan kita, memang sukarnya untuk kita tidak berburuk sangka, hehehhee

    ReplyDelete
  4. Salam, Cikgu;
    Alhamdulillah ... kita kenal akan kerajaan kita. Sayangnya, kita terus menjadi mentimun yang digelek-gelek durian musang king itu.

    ReplyDelete
  5. Bersyukurlah dan cubalah bermuhasabah. Dari manakah kesenangan yang kita nikmati selama ini. Jangan letakkan kebencian dalam hati dan berfikiran positif dan berbaik sangka itu baik. Jangan bersangka buruk terhadap pemimpin kerana yang menjadi pemimpin itu sebenarnya diberikan kehebatan dan kelebihan oleh Allah. Tanyalah pada diri, mampu kita melakukan tanggungjawab sebesar itu. Terukkah sangat kehidupan kita sampai terlalu benci kepada pemimpin. Sedangkan kita belajar ke tahap tertinggi juga jangan lupa dari mana kita mendapat peluangnya?

    ReplyDelete
  6. Mari kita kembali kpd Rasulullah SAW, pemimpin yang sebenar-benarnya pemimpin. Siapakah yg diutamakan oleh baginda SAW? Adakah baginda SAW lebih kaya-rayawan dpd rakyat dan pengikutnya? Apakah harta berupa material dan berapa dinarkah yg ditinggalkannya slpas kewafatannya? Itulah pemimpin yg benar-benar mendahulukan rakyatnya.

    Jgn terlalu merendahkan diri kita, Sdr Anon. Kesenangan diberikan oleh Allah SWT, bkn oleh pemimpin krn pemimpin sendiri pun beroleh kesenangan dpd Allah SWT. Kita membeli laptop, mslnya, dgn menggunakan wang sndr bkn oleh pemimpin. Mereka hanya mengatur sistem, yg menguntungkan mrk - menerima gaji lumayan, disediakan pemandu dan pembantu rumah, menerima elaun itu dan ini, boleh membuat tuntutan perbatuan (sbb itu kenaikan harga petrol tdk dirasai oleh mereka), boleh membuat tuntutan parkir, dsb. Kesemua itu pernahkah didedahkan dan dibincangkan dgn rakyat? Pernahkah hal ini dibincangkan dgn Sdr, pengagum pemimpin, mslnya dan pernahkah Sdr memberikan persetujuan?

    Oleh sbb itulah perkara paling asas yg dipentingkan Islam ialah KESEDERHANAAN.

    ReplyDelete
  7. Salam, Sdr Anon 5.22 pm dan 7.51 pm;
    Rasa saya, banyak orang yang berprasangka terhadap kerajaan kerana semasa minyak mentah berada pada paras AS85, harga RON95 dinaikkan, tetapi apabila terus naik ke paras AS100, tidak pula dinaikkan, kecuali RON97 sahaja. Tidak bolehkah kita berprasangka apabila hal seperti itu dilakukan?

    Saya bersetuju dengan pandangan Anon 7.51 pm, kesenangan didatangkan oleh Allah bukan oleh pemimpin. Sumber petroleum yang mendatangkan kesenangan kepada negara dikurniakan oleh Allah bukan dikurniakan oleh pemimpin, tidak kira BN atau PR.

    Memberikan pendidikan kepada rakyat hingga tahap tertinggi merupakan tanggungjawab mana-mana kerajaan. Hal ini bukan sesuatu yang menghairankan. AS dan UK terus memberikan pendidikan kepada rakyatnya, tidak kira kerajaan dipimpin oleh Republikan atau Demokrat di AS atau Buruh dan Konservatif di UK.

    Wallahua'alam.

    ReplyDelete
  8. Saya amat bersetuju dengan konsep KESEDERHANAAN yang dianjurkan oleh agama Islam. Masalahnya, pendirian tuan-tuan tidak tetap dengan kesederhanaan. Pemikiran tuan-tuan terlalu ekstrem ke arah ketaksuban dan berpihak. Saya bukan pengagum pemimpin, saya hanya marhaen biasa yang mahu berdiskusi secara intelektual. Saya tidak mahu meneruskan perbincangan ini kerana tuan-tuan terlalu memghukum dan prejudis, dan saya memahami sifat ini ialah sifat tipikal majoriti orang Melayu. Harap maaf.

    ReplyDelete
  9. Encik Anon 10:00AM,
    Di mana pun kita berdiri, kita harus sentiasa tenang, tdk emosi, dn yg penting berfikiran terbuka utk menerima pndngan org lain.

    Sy menerima pndngan semua org, termasuk En Zul dan En Anon. Sy mmg memihak kalau sy rasakan org yg menyebabkan sy berpihak itu betul. Keadilan ialah berkata betul kpd yg betul dn berkata salah kpd yg salah.

    Terimakasih.

    ReplyDelete
  10. Salam, Sdr-Sdr Anon,
    Terima kasih kerana meluangkan masa dan memberikan pandangan dalam Blog ini. Saya sangat menghargai kesediaan Sdr-sdr memberikan komen terhadap siaran saya. Saya yakin, kita akan beroleh manfaat daripadanya.

    ReplyDelete