Thursday, April 28, 2011

Di Pesta Buku

Tidak seperti dua tiga tahun yang lalu (kerana dihambat oleh hal-hal yang tidak dapat dielakkan sampai menyebabkan saya tidak berkesempatan untuk pergi ke Pesta Buku Antarabangsa KL), pada tahun ini saya sempat berkunjung ke pesta itu. Melawat ke pesta buku kerana sebahagian daripada tugas terasa kurang seronok kerana saya berasa tidak bebas untuk berlama-lama di sesebuah gerai buku. Apatah lagi saya perlu melihat buku-buku pesaing untuk dikaji selidik dan dibandingkan dengan buku-buku yang diterbitkan oleh syarikat tempat mencari makan.

Hal membuat kaji selidik dan perbandingan ini sepatutnya, tidak memerlukan kita ke pesta buku kerana kalau setakat hendak mengetahui maklumat tentang ciri-ciri dan kandungan buku pesaing, melawat ke kedai-kedai buku seperti yang lazim saya lakukan sudah memadai! Melawat pesta buku sepatutnya diwajibkan kepada editor bagi membuka fikiran mereka untuk melihat dunia penerbitan secara keseluruhannya. Begitulah kadang-kadang sempitnya fikiran pihak atasan tentang perlunya editor diberi kesempatan untuk “menjelajah” ke dunianya yang sebenarnya.

Berbalik kepada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada tahun ini, saya berasa bangga apabila melihat banyak penerbit bumiputera ikut serta dalam pesta itu. Yang paling membanggakan ialah PTS Publications, sebuah syarikat bumiputera, dimeriahi oleh para pengunjung daripada segenap lapisan masyarakat. Dengan senarai judul yang merangkum hampir semua bidang, kecuali buku-buku rujukan dan buku kerja untuk sekolah, PTS harus menjadi gerai wajib untuk dikunjungi. Saya lihat Profesor Emeritus Abdullah Hassan sibuk merakamkan aksi pengunjung. Saya sempat bertanya khabar dan berbual dengan beliau.

Lazimnya, apabila berkunjung ke pesta buku, saya mesti berkunjung ke gerai DBP dan gerai syarikat tempat saya membina kerjaya sebagai editor dahulu. Saya sangat terkejut apabila melihat gergasi penerbitan yang pernah menjadi tempat saya membina kerjaya sebagai editor itu tidak ubah seperti melukut di tepi gantang dalam pesta buku kali ini. Syarikat itu hanya menempel di gerai buku antarabangsa yang menjadi induk syarikat itu sendiri dengan hanya menampilkan senarai judul yang sangat sedikit. Walhal, pada era 1980-an dan 1990-an dahulu, syarikat inilah yang mempunyai gerai paling banyak dalam pesta buku seperti ini! Benar-benar dunia ini seperti roda.

Namun yang paling ketara, kebanyakan pengunjung yang datang ialah rombongan pelajar sekolah yang memakai pakaian seragam masing-masing. Dalam suatu peristiwa yang berlaku di sisi saya, seorang pelajar sekolah rendah menunjukkan sebuah buku kerja kepada rakannya. Rakannya mengambil buku itu lalu melihat harga yang tertera pada kod bar pada kulit belakang buku itu dan berkata dalam bahasa Inggeris yang ‘gitu-gitu’ sahaja, “Ho, I only have one ringgit twenty cents in my pocket” lalu dia pun meletakkan buku itu. Saya memandang kedua-duanya dan mereka memandang saya sambil terus berlalu. Saya ambil buku itu (sebuah buku topikal) untuk mengetahui harganya — RM3.90!

Saya menyalahkan diri saya kerana tidak menawarkan diri kepada pelajar itu untuk membelikannya buku tersebut. Tetapi hati saya membidas, saya harus lebih menyalahkan ibu bapanya kerana tidak memewahkan anaknya untuk membeli buku yang menjadi gerbang maklumat, gerbang ilmu, dan gerbang kejayaan itu. Hati ini membidas kembali dan berbisik, ‘Mungkin ibu bapanya tidak mampu’, dan saya kembali menyalahkan diri saya.

Saya membeli beberapa naskhah buku agama (bagi menambah senarai buku agama yang belum sempat dihabisi pembacaannya) serta beberapa naskhah novel karya penulis yang saya minati (isteri saya pun sudah mulai meminatinya). Namun, saya belum puas hati kerana saya tidak sempat menyeluruhi gerai-gerai di pesta buku itu.

Yang masih sama dalam pesta buku ini ialah buku-buku terbitan universiti awam masih dengan persembahan yang sama. Senarai judulnya masih terhad dan tidak menarik orang awam untuk mendekatinya. Pihak ini perlu sedikit agresif dalam menerbitkan bahan bacaan untuk umum (Penerbit UM tampaknya ada menerbitkan beberapa judul yang menarik). UM, UKM, UPM, USM dengan pelbagai fakulti yang ada, sepatutnya dapat menghasilkan biografi para negarawan daripada perspektif yang lain (mungkin dengan mendasarkan pelibatan dan minat mereka (para negarawan ini) dalam bidang seperti sukan, seni, sastera, kebudayaan, sains, dan sebagainya. Dengan cara ini, pembaca umum dan siswa di fakulti yang berkenaan dapat memanfaatkannya.

Novel popular masih menjadi lubuk beberapa penerbit untuk menambak wang! Kerana genre ini mempunyai khalayak pengikutnya yang tersendiri, maka semakin banyak penerbit yang telah ikut serta dalam perlumbaan untuk menerbitkan genre ini. Mungkin langkah untuk menyertai perlumbaan itu berbaloi, tetapi kadang-kadang penawaran yang berlebihan dapat memualkan khalayak dan menjadikan mereka lebih selektif. Akhirnya, khalayak ini mengecil dan menjejaskan penerbitannya.

Apa-apa pun, oleh sebab pesta buku ini menjadi tumpuan pengunjung pada hari cuti umum atau cuti Sabtu dan Ahad, saya berpendapat bahawa ada baiknya pesta ini dilangsungkan pada musim cuti persekolahan. Hal ini wajar dilakukan demikian supaya ibu bapa dapat mengambil cuti dan mengunjunginya bersama dengan anak masing-masing. Yang menjadi masalah, mungkin cuti persekolahan itu jatuh pada tempoh gersang (pertengahan bulan) yang mengehadkan kuasa beli pengunjung.

6 comments:

  1. Saya teringat Delta dulu. Zmn puncaknya penerbit itu gah di persada lepas tu lenyap dn sunyi sepi. Saingan skrg kuat. Yg dah established lama pun dpt serpih sj.

    ReplyDelete
  2. hai, salam kenal. saya kena betugas di kejiranan pts eventho adalah editor, semua kena turun pdg jadik promoter ;)

    ReplyDelete
  3. Sdr Anon,
    Itu yang saya katakan dunia ini seperti roda.

    Untuk mengelakkan berada di bawah seperti Delta itu, bagi syarikat bumiputera yang Islam, janganlah lupa akan tanggungjawab berzakat. Insya-Allah berkat syarikat itu.

    ReplyDelete
  4. Salam, Mak Su,
    Elok sesekali kita sebagai editor turun padang. Melihat gelagat pembeli akan meluaskan pengetahuan kita tentang penerimaan orang ramai terhadap buku-buku yang diterbitkan.

    ReplyDelete
  5. Salam Adinda Zul,

    Teman pun udah lama beno ghasanye idak ke Pesta buku-bukuan gini!

    Bukan dah tak minat buku . . . cuma udah ghasa letih begelumang dalam he he seperti yg mike sebut tadi . . . (khasnye nengok buku pesaing waktu dulu tu le dsb dsb )

    Kadang-kadang rindu juge weh . . . zaman gemilang dulu-dulu . . . banyak kali naik penteh dalam pesta-pesta buku gini . . . ambik anugerah pemenang hadiah pertandingan buku . . . terbaik? Entah le Tuhan aje yang ngetahui!

    Ha gitu sekali ke keadaan penyertaannya sekarang . . . tempat mike bertapak sebage editor dulu? Kesian, kesian . . . dah laih kot!

    Teman masih ingat . . . dulu dema tu sentiasa sombong dalam keadaan gah yang kadang-kadang hilang arah (tak tentu arah le tu!) . . .

    Dalam satu 'management meeting' teman peghonah begaduh dgn pihak atasan dema tu pase 'advertisement' tertentu . . . Ah elok dilupakan saje weh!

    Ha ah . . . dah lama ge teman tak bejumpa Prof Abdullah Hassan dan Ainon. Baru-baru lepeh pencen dulu ada ge betemu from time to time . . . (ketagih cakap bahasa ibunda jiran teman tu!)

    Kalau Zul betemu mereka sampe kan le salam teman ye.

    Tiba-tiba teman teringat akan serangkap dua lirik lagu Roda Padati nyanyian Elly Kassim (famous tu pada tahun-tahun 60/70-an):

    Nasib bak cando roda padati
    Roda padati
    Turun naik baputa
    Ganti baganti

    Baputa kateh yo dapek
    Galak badarai galak badarai
    Turun ka bawah taimpik
    Badan marasai . . .




    "Begitulah kehendak Tuhan," . . . ustaz di kampung teman peghonah mengatakan sedemikian suatu ketika dulu . . .

    ReplyDelete
  6. Salam, Da;
    Teman mungkin tak peghasan ghentak lagu tu, tapi senikatenye tepat benor.

    Yang gate-gate dicampor nama Melayu dengan nama Mat Saleh pade name syarikat ape he? Dah timboi persepsi lain dalam kalangan pengguna, termasuk pihak Kementerian sendiri. Deme ni bute kayu.

    Daripada satu segi, teman bangge gak ngan si AFY tu, dunia sastera hidup pade zaman die jadi bos.

    Mau tak mau, penerbit dikene oghang dengan sastera Melayu.

    ReplyDelete