Monday, May 17, 2010

Strategi Politik Memerlukan Kita Terus Memberikah?

PAS (Parti Islam Se-Malaysia) telah menempa sejarah dalam perjuangan politiknya apabila menaiktarafkan Kelab Penyokong PAS (KPP) kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP). Dengan kenaikan taraf itu, DHPP dapat berperanan sebagai sayap baharu parti itu dan ahlinya boleh dipilih untuk bertanding dalam pilihan raya. Oleh sebab DHPP dianggotai oleh orang bukan Islam (kira-kira 20 ribu orang setakat ini), maka lebih banyaklah calon bukan Islam berpeluang untuk bertanding dalam pilihan raya dengan menggunakan lambang PAS.

Penubuhan DHPP itu merupakan strategi politik PAS. Para pemuka PAS berharap agar penubuhan sayap baharu itu dapat melebarkan pengaruh mereka (PAS) dalam kalangan penyokong bukan Islam. Selain matlamat itu, penaiktarafan itu bertujuan untuk membolehkan KPP yang ditubuhkan sejak tahun 2004 bergerak aktif dan bebas sebagai sayap parti dalam PAS seperti Dewan Pemuda, Ulama, dan Muslimat.

DHPP akan dilancarkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 23 Mei 2010 ini.

Kita memahami strategi politik ini, tetapi kita berasa bimbang kerana kita sejak sekian lama terlalu banyak memberi, kesemuanya atas nama kelangsungan politik. Kita tidak tahu, sejak tahun 2004, sudah berapa banyak ahli KPPkah yang ditarbiyahkan dan diislamkan oleh pihak PAS? Pada hemat saya, pentarbiyahan dan pengislaman ahli KPP lebih penting daripada penubuhan DHPP itu. Dengan pengislaman mereka, mereka dengan sendirinya boleh menjadi ahli PAS (Perlembagaan PAS menyatakan bahawa syarat untuk menyertai PAS mestilah beragama Islam) dan sekali gus berpeluang untuk dicalonkan sebagai wakil rakyat.

Barangkali, kita, saya khususnya, terlalu dangkal dalam memahami politik. Cuma saya terfikir tentang hal yang berlaku sekarang. Calon Bebas yang memakai lambang PAS dalam PRU12 lalu (khabarnya mendapat restu TG) telah memenangi kerusi yang ditandinginya. Setelah menang, beliau berkerenah sehingga beliau (seorang sahaja!) langsung tidak dapat dikawal oleh PAS. Berdasarkan senario ini, apakah asas yang menjadi pegangan pihak PAS bahawa wakil rakyat dari DHPP itu kelak tidak akan berkerenah seperti Wakil Rakyat Bebas itu? Diandaikan bahawa pada suatu hari kelak, hubungan PAS-DAP atau PAS-PKR retak, agak-agaknya akan berdiri tegapkah wakil rakyat DHPP itu bersama PAS? Jangan menjadi seperti PKR sekarang ini sudahlah!

Wallahua‘lam. Kita, saya khususnya, tidak arif sangat dalam strategi politik.

No comments:

Post a Comment