Wednesday, March 30, 2011

Kebosanan Bekerja: Diladeni Secara Jujur atau Pura-pura

Kebosanan, kalau dibiarkan berpanjangan, akan merajai sikap dan tindakan. Kerana bosan terhadap tugas hakiki, misalnya, tugas hakiki itu akan menjadi tugas sampingan sahaja. Sebaliknya, hal-hal lain akan mengambil tempat tugas hakiki. Lebih teruk lagi, kerana bosan terhadap tugas hakiki, ada orang yang sering ponteng kerja sehingga tabiat buruk itu menjadi kemestian pada setiap bulan.

Jangan sekali-kali kita biarkan rasa bosan menguasai diri kita kerana rasa bosan akan menjadikan kita tidak ikhlas untuk melaksanakan tugas hakiki kita. Tidak ikhlas dalam melaksanakan sesuatu tugas tidak dapat menelurkan hasil yang baik. Hasil yang tidak baik akan menjejaskan peribadi kita. KPI kita mungkin berada di tahap kosong!

Seorang sahabat yang sudah bosan bekerja berkata kepada saya, “Saya ingin bertani, berladang, atau berternak. Saya sudah bosan dikongkong waktu. Saya bosan meladeni kerja yang terpaksa mematuhi deadline. Saya bosan terhadap semua keadaan yang formal itu!”

Saya memahami perasaannya kerana saya sendiri, pada tahap usia yang begini, turut berasa bosan terhadap rutin yang demikian. Kebetulan, saya juga hendak bertani atau berladang seperti beliau (tetapi saya tidak suka berternak).

“Jadi, apakah usaha kamu ke arah itu?” Saya bertanya kepadanya kerana saya benar-benar ingin tahu. Pada fikiran saya, kalau ideanya bernas, saya mungkin boleh mengikut jejak langkahnya.

Tiada jawaban daripada beliau. Ingatan saya kembali tentang ceritanya kepada saya tidak lama dahulu — bahawa beliau tidak punya tanah untuk diusahakan (ibu bapanya hanya mempunyai tanah seluas kangkang kera atau sepanjang badan mengkarung yang tidak memungkinkan beliau menjadi petani, peladang, atau peternak); bahawa beliau tidak punya wang yang banyak yang membolehkannya membeli tanah atau membeli haiwan ternakan; bahawa beliau tidak suka meminjam wang untuk merealisasikan cita-citanya.

“Saya fikir kamu perlu terus melakukan kerja yang kamu jawat sekarang seikhlas-ikhlasnya. Rasa bosan tidak harus kamu tatang, tidak harus kamu julang. Kalau kamu tidak pernah berasa bosan untuk makan, tidak pernah berasa bosan untuk tidur, tidak pernah berasa bosan untuk berfutsal, maka tidak ada sebab untuk kamu berasa bosan terhadap tugas kamu! Bekerjalah, setidak-tidaknya kamu dapat menghimpunkan wang melalui KWSP selama kamu bekerja bagi membolehkan kamu membeli tanah supaya kamu dapat menjadi petani, peladang, atau peternak pada suatu ketika nanti,” saya berkata dengan lancar dan spontan bagi memotivasikan beliau.

Beliau termenung sejurus dan kemudian berkata, “Rasa saya, menjadi pemandu teksi ialah pilihan terbaik saya. Pekerjaan demikian lebih baik kerana saya tidak dapat mengikhlaskan diri saya terhadap tugas saya sekarang. Seperti yang abang tahu, saya tidak punya tanah untuk diusahakan, saya tidak punya wang untuk membeli tanah. Pemandu teksi lebih sesuai dengan saya ... dengan kelulusan yang saya ada.”

Saya jadi keliru. Beliau memiliki diploma, maka dengan kelulusan itu beliau tidak wajar menjadi pemandu teksi. Lalu, saya segera merumuskan bahawa beliau memang betul-betul bosan terhadap tugasnya dan tugas-tugas lain yang mengongkong waktunya. Saya menatap wajahnya. Galur-galur dan riak-riak bosan itu terlihat dengan jelas pada wajahnya yang pudar.

“Dik...,” kata saya, “fikirkanlah masa depan kamu dan anak-anak kamu juga. Dengan pekerjaan kamu sekarang, alhamdulillah, kalau kamu atau anak-anak kamu sakit, segala kosnya ditanggung oleh syarikat. Tapi, kalau kamu menjadi pemandu teksi, semua beban itu terpaksa kamu tanggung sendiri. Mampukah kamu mendepaninya kelak?”

“Bang, tadi abang kata bahawa saya perlu terus melakukan kerja yang saya jawat sekarang dengan ikhlas. Maknanya, dalam kerja mesti ada keikhlasan. Dalam kes saya, keikhlasan terhadap tugas yang mengongkong masa saya sudah tidak ada. Tidak ada langsung, bang. Kosong! Oleh itu, saya perlu mencari keikhlasan itu. Ya, untuk tergolong sebagai insan mukhlisin, saya perlu mencarinya.”

Saya, pada waktu itu, tidak dapat berbuat apa-apa. Jelas bahawa kebosanan memungkinkan orang bertindak di luar dugaan.

Saya sempat menjelajah ke dalam diri saya dan membandingkan diri saya dengan dirinya. Saya fikir bahawa saya sangat realistik sehingga memberikan pandangan demi pandangan yang demikian, rupa-rupanya beliau lebih realistik lagi. Beliau lebih jujur terhadap dirinya kerana bersedia untuk berhijrah demi mendapatkan keikhlasan sedang saya terus hipokrit terhadap diri saya kerana terus berkerja dalam kebosanan, setidak-tidaknya untuk tempoh 5-6 tahun lagi!

Sekarang, sahabat saya itu lebih ceria.

“Tidaklah senang sangat, bang tapi tidaklah sampai saya terpaksa untuk meminta sedekah. Yang lebih menyeronokkan saya, sekarang saya tidak menunggu masa yang terluang untuk melakukan sesuatu, sebaliknya saya yang meluangkan masa untuk melakukan sesuatu. Saya punya banyak waktu untuk berada di surau, bergaul dengan jemaah dan ahli kariah setaman dengan saya. Sekarang saya punya waktu untuk mendalami al-Quran, sama ada tajwidnya dan tafsirnya, malah saya turut mengikuti kelas hafazan, cara orang tualah...,” kata sahabat saya dengan bangga.

Saya kagum tetapi saya masih tidak mempunyai keberanian seperti beliau. Sehingga demikian, saya masih kurang akrab dengan surau dan ahli kariah setaman. Dalam usaha saya mencari masa yang terluang, rupa-rupanya sudah banyak masa saya yang terbuang.

2 comments:

  1. Assalamualaikum, Tuan Zulkifli.
    Sejujurnya, saya sangat mencintai kerjaya saya sekarang, sebagai guru. Hati sentiasa berbunga setiap kali berdiri di hadapan dewan kuliah menghadap pelajar yang dahagakan ilmu. Ya, keikhlasan mencurah ilmu memang membahagiakan. Namun jauh di sudut hati (pada ketika yang sama), saya sudah bosan dengan sikap ketua yang gemar benar menunjuk-nunjukkan kuasanya. Sikapnya menawarkan segala rasa manis yang ada dalam dunia kerjaya saya. Kadangkala terfikir juga, alangkah baiknya jikalau pelajar tidak diberi cuti dan saya boleh menghadap mereka setiap hari, alangkah bahagianya!

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu,
    (Saya akan terus berCikgu walaupun dari awal saya tahu Cikgu ialah pensyarah. Cikgu Ghazali Lateh (guru Cikgu) merupakan penulis di syarikat saya bekerja.)

    Saya puas apabila buku yang saya kelolakan berada di pasaran. Lebih puas lagi kalau saya melihat sendiri buku itu digemari pelajar. Kerenah dan sikap ketua serta aturan kerjalah yang membosankan saya. Saya terkongkong, bukan sahaja oleh masa, tetapi juga oleh kerenah yang demikian.

    ReplyDelete