Wednesday, October 27, 2010

Gadis Sunti Itu: “Anak sapa la dia?”

Anak sapa la tu?” Itulah pertanyaan “ala gatal” yang saya dengar kira-kira lima tahun lalu daripada mulut pasangan regu badminton saya. Pertanyaan itu diujarkannya secara bersahaja tatkala melihat beberapa orang anak gadis yang pulang selepas habis bermain di gelanggang sebelah. Saya tahu bahawa dia tidak berniat untuk menggatal, tetapi sekadar mengajuk ungkapan yang lazim didengarnya daripada rakan-rakan jurutekniknya yang bujang. Kepada saya, itulah kali pertama saya mendengar kalimat itu yang kemudiannya sering pula saya dengar dilafazkan oleh orang lain di pelbagai lokasi.

Anak sapa la tu?” Itulah yang bermain dalam kepala saya apabila membaca kisah ini semalam. Anak itu baru 12 tahun usianya. Sangat sunti, barangkali belum pun masuk ke alam remaja. Tetapi, bagaimanakah anak sesunti itu begitu sekali nakalnya? Sudah pandai berasmara dengan tiga orang remaja sekali gus. Saya, apabila membaca kisah itu, sangat sukar hendak mempercayainya. Memang biasa didengar ada pelacur sunti semuda 9 tahun di negara jiran, tetapi apabila hal seperti ini berlaku di Malaysia, saya menjadi sangat sukar untuk percaya.

Berani kerana benar, takut kerana salah. Kerana takut perbuatannya telah diketahui orang, si sunti lari apabila disergah. Dalam percubaannya hendak lari, si sunti tersilap langkah dan jatuh dari tingkat enam lalu meninggal dunia.

Saya hanya dianugerahi seorang anak lelaki. Saya pernah menitipkan pesan kepada adik ipar saya yang menunaikan haji beberapa tahun lalu. Saya memintanya mendoakan saya memperoleh seorang anak lagi (kala itu anak saya sudah berusia 17 tahun). Saya memahukan anak perempuan. Alhamdulillah, doa itu barangkali dimakbulkan Allah SWT kerana kira-kira setahun selepas adik ipar pulang dari Makkah, isteri saya mengandung. Terbit air mata gembira, tetapi entah di mana silapnya, kandungan itu mati di dalam perut dan terpaksa digugurkan. Sekali lagi air mata mengalir, tetapi sekali ini kerana sedih.

Apabila melihat kejadian demi kejadian, fenomena demi fenomena, saya sebenarnya takut untuk memiliki anak lagi, khususnya anak perempuan. Cabaran yang menganga di depan begitu sekali lahapnya untuk mencemarkan nama keluarga, bangsa, dan agama. Saya ada kalanya sampai melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana Dia tidak mengurniai saya anak lagi. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui keupayaan saya.

Walau tidak punya anak kandung perempuan, saya mempunyai enam belas orang anak saudara perempuan yang berusia antara satu tahun hingga dua puluh tiga tahun. Dua belas orang daripada mereka memanggil saya “Pak Long” dan empat orang lagi memanggil saya “Papa”.

Cukuplah saya menumpang kasih kepada mereka dan kebanyakan daripada mereka memang manja dengan saya. Dan baru-baru ini saya berpesan kepada adik-adik saya dan adik-adik ipar saya, jagalah anak-anak perempuan kalian dengan penuh waspada. Hadirkan rasa cemburu dalam hati kalian, kata saya. Tanya ke mana mereka pergi, siasat di mana mereka berada, dengan lelaki mana mereka berkawan. Malah saya sendiri berikrar kepada mereka bahawa saya akan tolong memantau anak-anak perempuan mereka.

Si gadis sunti yang malang itu, semoga dia sempat diampunkan Allah SWT. Dan kita sendiri, ambillah iktibar daripada kisah itu, tidak kira kisah itu benar ataupun sebaliknya. Fitnah akhir zaman sangat menakutkan kita. Semoga yang membaca mendapat perlindungan Allah daripada Fitnah ini. Allahumma amin.

No comments:

Post a Comment