Tuesday, October 12, 2010

Kesesakan Jalan Raya: Cerita Sepanjang Zaman

Hal kesesakan jalan raya telah acapkali diulas orang. Dalam siaran ini juga hal yang sama pernah dibicarakan.

Tidak ada cara lain yang lebih menjimatkan belanja dan masa untuk mengatasi kesesakan jalan raya selain daripada mengatur atau mengehadkan kemasukan kenderaan ke kawasan yang menyebabkan kesesakan. Seperti yang diketahui, kawasan yang biasa mengalami kesesakan di negara ini ialah Kuala Lumpur. Kalau pada waktu puncak, Lebuh Raya Persekutuan, Lebuh Raya Damansara-Puchong, Jalan Cheras-Kajang, Lebuh Raya KL-Sungai Besi (Besraya), Jalan Tun Razak, Jalan Istana Negara-Mahameru, akan mengalami kesesakan yang melampau.

Perlukah kerajaan menegeluarkan belanja untuk melakukan pelebaran jalan, penaiktarafan jalan, dan sebagainya untuk mengatasi masalah ini? Terbukti bahawa, usaha kerajaan membesarkan jalan, membina lebuh raya baharu, dan sebagainya tidak banyak membantu menyelesaikan masalah ini. Sebenarnya, pembinaan lebuh raya baharu bukan benar-benar dapat mengatasi masalah kesesakan jalan raya sebaliknya sekadar dapat memindahkan kesesakan. Sebagai buktinya, pembinaan terowong SMART di Kuala Lumpur telah menjadikan Jalan Tun Razak di persimpangan Bukit Bintang dan Jalan Ampang bertambah sesak pada waktu puncak. Pelepasan Kerinci Link ke Lebuh Raya Persekutuan menjadikan laluan menghala ke pusat bandar raya di hadapan RTM sesak teruk.

Oleh sebab pembinaan lebuh raya baharu tidak banyak membantu menyelesaikan masalah ini, kerajaan perlu mengaturkan, mengehadkan, serta menjadualkan kemasukan kenderaan ke pusat-pusat bandar. Sudah sampai masanya cadangan yang pernah diutarakan pada tahun 1990-an dahulu, iaitu mewajibkan amalan pekongsian kenderaan dikuatkuasakan kepada setiap orang. Dalam hal ini, tidak perlulah sampai lima orang sekenderaan, tetapi memadailah dengan tiga orang sekenderaan.

Atau, jadualkanlah kemasukan kenderaan ke pusat bandar. Sebagai contohnya, kenderaan yang nombor platnya berakhir dengan angka ganjil dibenarkan untuk memasuki pusat bandar pada hari Isnin, Rabu, dan Jumaat manakala kenderaan yang nombor platnya berakhir dengan angka genap dibenarkan memasuki bandar hanya pada hari Selasa, Khamis, dan Sabtu. Hari Ahad ialah hari kelepasan, maka kenderaan bebas memasuki KL.

Sama ada idea perkongsioan kenderaan atau penjadualan kemasukan kenderaan, semuanya memerlukan keikhlasan kerajaan. Jikalau lebih suka bercakap daripada bertindak demi rakyat, kita akan selalu mendengar retorik. Kalau bertindak seiring dengan yang dicakapkan, kita harus mengangkat ibu jari kepada mereka.

Pengendali lebuh raya pasti menentang idea ini kerana sebarang pelaksanaan seperti ini akan mengurangkan kutipan tol mereka! Tetapi, kerajaan perlu ingat, jumlah kenderaan yang berkurang di jalan raya berkat daripada pelaksanaan itu kelak akan menjimatkan belanja untuk membina lebuh raya baharu dan jumlah penggunaan petrol dan diesel dapat dikurangkan sekali gus beban subsidi dapat dikurangkan.

Hal ini bukan masalah besar kecuali kalau kerajaan berfikir bahawa perolehan pengendali tol lebih penting daripada keselesaan rakyat dan penjimatan subsidi petroleum harus dibebankan kepada rakyat.

2 comments:

  1. Salam, Tuan Zul.

    Perkongsian kenderaan adalah kaedah yang tidak relevan kerana ia hanya akan menjejaskan kadar kutipan tol. Itulah sebabnya ia hanya dicadangkan, tidak dikuat kuasakan sepenuhnya. Menaik taraf jalan menjadi lebuh raya dan melebarkan lebuh raya juga bukan bertujuan bagi mengurangkan kesesakan, tetapi bagi meningkatkan jumlah kenderaan (sekali lagi, merangsang pertumbuhan ekonomi pemilik konsesi lebuh raya dan pusat-pusat komersial di tengah bandar raya). Siapa kata rakyat didahulukan? hehehee...

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu;
    Agaknya, membenarkan pengendali tol lebuh raya mengutip lebih banyak hasil sangat penting kepada parti peneraju negara searang. Mungkin dapat membantu mereka dalam pilihan raya. Agaknyalah....

    ReplyDelete