Wednesday, October 27, 2010

Piala Malaysia 2010: Penontonnya Matang atau “Menatang”?

Semoga tajuk yang agak kasar ini tidak menyinggung hati dan perasaan orang yang terlibat. Saya tidak berniat hendak menghina sesiapa melainkan hanya hendak memberikan pesan dan nasihat kepada pihak-pihak yang terlibat.

Hari Sabtu minggu ini (tepatnya 30 Oktober 2010), akan berlangsung perlawanan akhir Bola Sepak Piala Malaysia. Perlawanan akhir itu melibatkan dua buah pasukan yang sama dengan perlawanan akhir tahun lalu – Kelantan dan Negeri Sembilan! Pada perlawanan akhir tahun lalu, Negeri Sembilan telah berjaya menjadi juara setelah mengalahkan pasukan Kelantan dengan keputusan 3-1.

Dalam perlawanan akhir tahun lalu, pelbagai kejadian yang tidak diingini telah berlaku. Rempuhan semasa memasuki stadium, mercun dan bunga api bersipongang dalam stadium semasa perlawanan berlangsung, kerusi di dalam stadium dibakar selepas perlawanan, dan sebagainya.

Siapakah pelakunya? Pada pandangan saya, pelakunya tidak lain tidak bukan orang yang jahil tentang tamadun. Dalam erti kata yang lebih tepat, pelaku itu terkategori sebagai orang yang tidak bertamadun!

Kali terakhir saya menonton perlawanan bola sepak di stadium ialah empat tahun lalu. Pada waktu itu Bambang Pamungkas dan Elly Aiboy (kedua-duanya asal Indonesia) bermain untuk pasukan Selangor yang saya sokong. Semasa menonton, ada kalangan penyokong Selangor yang “menyampaikan ulas langsung” dengan mengungkapkan pelbagai kata yang buruk, kasar, dan biadab. Telinga sakit, hati berlebih-lebih lagi. Si penyampai ulas langsung itu, pada pandangan saya adalah antara contoh orang yang tidak bertamadun.

(Saya tidak pernah mendengar ungkapan itu semasa menjadi penonton setia Selangor semasa di Stadium Merdeka dulu. Sejak pengalaman itu, saya lebih suka menonton perlawana bola sepak di rumah, aman daripada orang yang tidak bertamadun.)

Perlawanan akhir Piala Malaysia pada tahun ini biarlah bebas daripada apa-apa bentuk kejadian buruk. Keghairahan seseorang semasa menyokong pasukan yang disukai janganlah hendaknya sampai melampaui tamadun yang telah dibentuk oleh agama Islam yang suci. Bersederhanalah. Kalah, kita reda; menang kita bersyukur. Lagipun, sudah dapat menjejakkan kaki ke perlawanan akhir bukankah suatu kejayaan?

Bola sepak sudah menjadi sukan ulung di negara ini sejak sekian lama. Jadi, sudah sepatutnya para penonton sangat matang dalam hal-hal yang berkaitan dengan bola sepak, khususnya yang berkait dengan memberikan sokongan. Anggaplah perlawanan bola sepak yang kita saksikan sebagai suatu unsur hiburan. Dengan beranggapan demikian, kedua-dua pasukan yang bermain di tengah padang akan kita anggap sebagai penghibur kita. Orang yang matang tidak akan mencela orang yang menghiburkannya.

Sebaliknya, janganlah kita anggap perlawanan bola sepak sebagai perjudian kerana perjudian bakal menumbukan pergaduhan. Adat orang berjudi memang demikian – menang mua, kalah hendak membela. Sikap ini bukan sikap orang yang matang tetapi menghampiri sikap “menatang” (binatangnate kata orang Kelantan).

Tahun lalu, Negeri Sembilan berjaya menjadi juara. Kebetulan, semasa mereka menjadi juara mereka mendapat Raja yang baharu – Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir. Pada tahun ini saya ramalkan Kelantan akan menjadi juara. Alasan saya, Kelantan baru saja mendapat Sultan yang baharu – Tuanku Sultan Muhammad Faris Petra ibni Tuanku Ismail Petra.

Mudah untuk meneka. Tidak perlu buat analisis tentang pencapaian setiap pasukan.

2 comments:

  1. Salam, tuan. Isu keganasan di stadium ini memang sangat mengecewakan para pencinta sukan bola sepak negara. Dahulu, kami memang gemar membawa anak-anak ke stadium, tetapi sejak setahun kebelakangan ini, kami terpaksa memikirkannya beratus-ratus kali. Bak kata suami, "stadium adalah tempat anak-anak belajar kosa kata bahasa kesat"... aduhai... Para penyokong bising apabila harga tiket naik, tetapi terfikirkah mereka bahawa bayaran itu sebahagian daripada kos yang diperlukan bagi menampung kerosakan yang dilakukan oleh mereka sendiri.

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu;
    Pagi tadi sempat berbual dengan seorang penyokong salah sebuah pasukan yang akan bertarung Sabtu nanti. Dia memberikan pendapat yang sama dengan Cikgu, iaitu bahawa kenaikan itu wajar kerana penyokong kini cenderung untuk menjahanamkan barang.

    Eloklah kita menjauhi stadium kerana di dalam stadium banyak orang yang membelakangkan apa-apa yang dipelajari di sekolah di situ.

    ReplyDelete