Wednesday, August 1, 2012

Kerajaan: Berikanlah Bonus kepada Rakyat yang Lain Juga

Kalaulah pada setiap hari perayaan — Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji, Tahun Baharu Cina, Deepavali, dan Krismas (termasuklah Hari Gawai dan Kaamatan) — kerajaan yang memerintah sekarang lebih murah hati, tentu rakyat akan lebih gembira. Kita bukan mengharapkan kerajaan menurunkan harga gula, tepung, beras, pulut, minyak masak, dan bahan-bahan keperluan lain supaya beban kos hidup rakyat dalam tempoh menghadapi perayaan dapat direndahkan. Kita tidak mengharapkan yang demikian kerana kita tahu bahawa kerajaan sukar untuk berbuat demikian kerana bahan-bahan itu, betapapun diturunkan harganya, tetap akan berlaku tipu helah dalam kalangan peniaga bagi mengaut keuntungan daripada penjualan barang-barang itu.

Kemurahan hati kerajaan memberikan bonus kepada kakitangan awam ada impak besarnya — kenaikan harga barang (walaupun dinafikan oleh menteri yang berkaitan kepenggunaan). Kerana berlaku kenaikan harga barang, pemberian bonus RM500.00 kepada segolongan orang akan membolehkan peniaga beroleh “bonus” daripada semua orang. Hal ini bermaksud bahawa semua orang akan terbeban oleh kemurahan hati kerajaan itu kerana seperti yang saya katakan tadi, para peniaga pasti akan menaikkan harga jualan barang-barang yang diniagakan oleh mereka. Jadi, bagaimanakah kerajaan dapat membantu semua orang untuk menghadapi kenaikan kos sara hidup yang tiba-tiba itu?

Alangkah moleknya kalau kerajaan dapat menurunkan harga runcit petrol dan diesel untuk tempoh dua tiga hari pada musim-musim perayaan seperti sekarang! Alangkah eloknya kalau kerajaan “memaksa” semua pengendali lebuh raya menurunkan kadar bayaran tol mereka untuk tempoh dua tiga hari pada musim-musim perayaan ini! Ya, benar, penurunan harga petrol diesel tol masih tidak dapat dinikmati oleh semua rakyat, tetapi usaha itu lebih baik daripada cuma memberikan nikmat kepada segelintir orang sahaja. Yang beroleh bonus ribuan orang sahaja, tetapi yang beroleh manfaat daripada penurunan harga petrol diesel dan kadar tol itu mungkin jutaan orang!

Kita tidak mengharapkan kerajaan menurunkan harga petrol diesel sampai dua puluh sen, malah kita juga tidak mengharapkan kerajaan menurunkannya pada kadar lima sen pun! Cukuplah kalau kerajaan dapat menurunkan harganya sebanyak dua atau tiga sen untuk tempoh dua tiga hari. Setidak-tidaknya, kos perjalanan rakyat dapat dikurangkan dalam tempoh hari perayaan ini. Begitu juga halnya dengan kadar tol. Cukuplah sudah kerajaan membiarkan pengendali tol hanya memperlihatkan kemurahan hatinya untuk tempoh tengah malam sahaja (pengendali tol selalunya memberikan rebat/pelepasan tertentu untuk tempoh tengah malam hingga awal pagi sahaja). Unsur pembodohan yang menggalakkan orang menggunakan lebuh raya pada waktu malam hingga kemudiannya menambah jumlah kemalangan di jalan raya haruslah dinoktahkan. Gunakanlah kaedah lain yang manfaatnya lebih menyeluruh.

Begitulah antara lain harapan kita. Harapan belum tentu menjadi kenyataan. Yang menjadi kenyataan pula selalunya bukan yang kita harap-harapkan. Tidak mengapa, yang penting, jangan berhenti berharap walaupun harapan itu harapan yang sama sejak puluhan tahun lalu dan mungkin puluhan tahun akan datang. Kalau kerajaan yang sama tidak dapat menunaikan harapan kita, kita harap ada kerajaan lain yang dapat menunaikannya, pada tempoh yang lain kelak.

4 comments:

  1. Assalamualaikum Sdra Zul,

    Saya beberapa kali memberi komen pada topik yg cukup baik diketengahkan oleh Sdra tetapi apabila saya cuba hendak hantar terdapat masaelah dengan google akaun saya. Biarpun begitu saya cuba juga.
    Saya sangat setuju dengan buah fikiran yang dilontarkan oleh Sdra dan saya ingin mencadangkan Sdra ketengahkan kepada pihak yg berwajib atau kepada P.M terus. Mungkin Sdra boleh memulakan kempen dengan mengambil tanda tangan orang ramai. Kita tidak minta tol itu dimansuhkan kerana kita kena dan perlu faham penyelenggaran untuk lebuh raya atau jalan raya sangat mahal. Diskaun untuk musim perayaan sangatlah baik dan mungkin boleh diperluaskan kpd pengusaha Bas dengan memberi diskaun kepada mereka mengikut penumpang yang terdapat didalam bas. Jadi semua orang dapat menikmati faedahnya sama ada yg punya kenderaan atau marhaen yg menaiki bas pulang ke kampung dimusim perayaan.
    Syabas untuk Sdra. Saya jarang mengunakan lebuh raya kerana tinggal di pulau biarpun begitu saya menyokong penuh cadangan Sdra itu. Cara terbaik ialah memberi cadangan yg bernas bukan guna nafsu yang akhirnya merugikan kita sendiri
    Abd Rahman

    ReplyDelete
  2. .....maksud saya penumpang bas akan mendapat harga tiket yg lebih murah apabila pengusaha bas mendapat diskau pada baya tol.

    Abd Rahman

    ReplyDelete
  3. Salam, Syeikh AbdurRahman,
    Terima kasih, Syeikh kerana menyokong idea ini. Idea ini kalau dilaksanakan oleh kerajaan dan semua pihak yang beroleh manfaat itu jujur (termasuk pengusaha pengangkutan), manfaatnya akan dapat diperluas kepada rakyat keseluruhannya.

    Mungkin saya wajar menghantar idea ini ke akaun FB atau Twitter PM untuk perhatian beliau. Insya-Allah, akan saya usahakan.

    Terima kasih sekali lagi.

    ReplyDelete
  4. Syeikh AbdurRahman,
    Saya berharap agar masalah Google yang Syeikh hadapi itu dapat diatasi.

    ReplyDelete