Kalaulah pada setiap hari perayaan — Hari Raya Puasa dan Hari
Raya Haji, Tahun Baharu Cina, Deepavali, dan Krismas (termasuklah Hari Gawai dan Kaamatan) — kerajaan yang memerintah
sekarang lebih murah hati, tentu rakyat akan lebih gembira. Kita bukan
mengharapkan kerajaan menurunkan harga gula, tepung, beras, pulut, minyak masak,
dan bahan-bahan keperluan lain supaya beban kos hidup rakyat dalam tempoh
menghadapi perayaan dapat direndahkan. Kita tidak mengharapkan yang demikian
kerana kita tahu bahawa kerajaan sukar untuk berbuat demikian kerana
bahan-bahan itu, betapapun diturunkan harganya, tetap akan berlaku tipu helah dalam
kalangan peniaga bagi mengaut keuntungan daripada penjualan barang-barang itu.
Kemurahan hati kerajaan memberikan bonus kepada kakitangan awam
ada impak besarnya — kenaikan harga barang (walaupun dinafikan oleh menteri yang
berkaitan kepenggunaan). Kerana berlaku kenaikan harga barang, pemberian bonus RM500.00
kepada segolongan orang akan membolehkan peniaga beroleh “bonus” daripada semua
orang. Hal ini bermaksud bahawa semua orang akan terbeban oleh kemurahan hati
kerajaan itu kerana seperti yang saya katakan tadi, para peniaga pasti akan menaikkan harga jualan barang-barang yang diniagakan oleh mereka. Jadi, bagaimanakah kerajaan dapat membantu semua orang untuk menghadapi
kenaikan kos sara hidup yang tiba-tiba itu?
Alangkah moleknya kalau kerajaan dapat menurunkan harga runcit
petrol dan diesel untuk tempoh dua tiga hari pada musim-musim perayaan seperti
sekarang! Alangkah eloknya kalau kerajaan “memaksa” semua pengendali lebuh raya
menurunkan kadar bayaran tol mereka untuk tempoh dua tiga hari pada musim-musim
perayaan ini! Ya, benar, penurunan harga petrol diesel tol masih tidak dapat
dinikmati oleh semua rakyat, tetapi usaha itu lebih baik daripada cuma memberikan
nikmat kepada segelintir orang sahaja. Yang beroleh bonus ribuan orang sahaja,
tetapi yang beroleh manfaat daripada penurunan harga petrol diesel dan kadar tol itu mungkin jutaan orang!
Kita tidak mengharapkan kerajaan menurunkan harga petrol diesel sampai
dua puluh sen, malah kita juga tidak mengharapkan kerajaan menurunkannya pada
kadar lima sen pun! Cukuplah kalau kerajaan dapat menurunkan harganya sebanyak
dua atau tiga sen untuk tempoh dua tiga hari. Setidak-tidaknya, kos perjalanan
rakyat dapat dikurangkan dalam tempoh hari perayaan ini. Begitu juga halnya
dengan kadar tol. Cukuplah sudah kerajaan membiarkan pengendali tol hanya memperlihatkan
kemurahan hatinya untuk tempoh tengah malam sahaja (pengendali tol selalunya
memberikan rebat/pelepasan tertentu untuk tempoh tengah malam hingga awal pagi
sahaja). Unsur pembodohan yang menggalakkan orang menggunakan lebuh raya pada
waktu malam hingga kemudiannya menambah jumlah kemalangan di jalan raya haruslah
dinoktahkan. Gunakanlah kaedah lain yang manfaatnya lebih menyeluruh.
Begitulah antara lain harapan kita. Harapan belum tentu menjadi kenyataan.
Yang menjadi kenyataan pula selalunya bukan yang kita harap-harapkan. Tidak
mengapa, yang penting, jangan berhenti berharap walaupun harapan itu harapan
yang sama sejak puluhan tahun lalu dan mungkin puluhan tahun akan datang. Kalau
kerajaan yang sama tidak dapat menunaikan harapan kita, kita harap ada kerajaan
lain yang dapat menunaikannya, pada tempoh yang lain kelak.
Assalamualaikum Sdra Zul,
ReplyDeleteSaya beberapa kali memberi komen pada topik yg cukup baik diketengahkan oleh Sdra tetapi apabila saya cuba hendak hantar terdapat masaelah dengan google akaun saya. Biarpun begitu saya cuba juga.
Saya sangat setuju dengan buah fikiran yang dilontarkan oleh Sdra dan saya ingin mencadangkan Sdra ketengahkan kepada pihak yg berwajib atau kepada P.M terus. Mungkin Sdra boleh memulakan kempen dengan mengambil tanda tangan orang ramai. Kita tidak minta tol itu dimansuhkan kerana kita kena dan perlu faham penyelenggaran untuk lebuh raya atau jalan raya sangat mahal. Diskaun untuk musim perayaan sangatlah baik dan mungkin boleh diperluaskan kpd pengusaha Bas dengan memberi diskaun kepada mereka mengikut penumpang yang terdapat didalam bas. Jadi semua orang dapat menikmati faedahnya sama ada yg punya kenderaan atau marhaen yg menaiki bas pulang ke kampung dimusim perayaan.
Syabas untuk Sdra. Saya jarang mengunakan lebuh raya kerana tinggal di pulau biarpun begitu saya menyokong penuh cadangan Sdra itu. Cara terbaik ialah memberi cadangan yg bernas bukan guna nafsu yang akhirnya merugikan kita sendiri
Abd Rahman
.....maksud saya penumpang bas akan mendapat harga tiket yg lebih murah apabila pengusaha bas mendapat diskau pada baya tol.
ReplyDeleteAbd Rahman
Salam, Syeikh AbdurRahman,
ReplyDeleteTerima kasih, Syeikh kerana menyokong idea ini. Idea ini kalau dilaksanakan oleh kerajaan dan semua pihak yang beroleh manfaat itu jujur (termasuk pengusaha pengangkutan), manfaatnya akan dapat diperluas kepada rakyat keseluruhannya.
Mungkin saya wajar menghantar idea ini ke akaun FB atau Twitter PM untuk perhatian beliau. Insya-Allah, akan saya usahakan.
Terima kasih sekali lagi.
Syeikh AbdurRahman,
ReplyDeleteSaya berharap agar masalah Google yang Syeikh hadapi itu dapat diatasi.